Selalu bersembang mengingati kematian, isteri hamil 7 minggu reda, ingat pesan arwah suami walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa.
Dirinya yang kini hamil tujuh bulan meluahkan bayi yang dikandung adalah peninggalan berharga suaminya biarpun arwah pergi dahulu sebelum sempat menatap wajah anaknya.
Isteri Hamil 7 Minggu Reda
Nur Syahirah Abdullah reda dengan kejadian menimpa suaminya dan berjanji akan menjaga anak dalam kandungan yang kini sudah memasuki tujuh minggu.
“Ini peninggalan berharga suami untuk saya selepas hampir dua tahun berkahwin,” kata Nur Syahirah, 25.
Nur Syahirah adalah isteri kepada Mohd Nur Hisham Hassan, 29, yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan enam motosikal di Kilometer 4 Jalan Kampung Acheh-Sitiawan, Perak.
Kejadian pada 5.30 petang itu turut menyebabkan Hasrandy Bahrum, 27, dan Mohd Suhail Zainal, 22 meninggal dunia.
Selalu Bersembang Mengingati Kematian
Ketika kejadian Mohd Nur Hisham menunggang sendiri motosikalnya, manakala Hasrandy serta Mohd Suhail pula menaiki motosikal sama dan ketiga-tiga mereka maut di lokasi kejadian.
Nur Syahirah berkata, dia kini hamil tujuh minggu anak sulung mereka dan arwah suaminya teruja serta gembira apabila dia disahkan hamil, Julai lalu.
“Suami gembira sehingga mengalirkan air mata sebaik tahu saya hamil dan dia teruja menunggu kehadiran anak sulung kami.
“Saya sedih tetapi reda kerana suami selalu berpesan supaya kuatkan semangat kalau dia sudah tiada nanti, malah kami selalu bersembang mengingati kematian dan dia kerap cakap sayangkan saya sampai hujung nyawanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM), hari ini.
Ads
Ingat Pesan Arwah Suami
Pada hari kejadian dia berasa tidak sedap hati dan bertambah risau apabila suaminya masih tidak pulang walaupun sudah habis waktu bekerja.
“Saya rasa sayu dan tiba-tiba menangis. Saya cuba hubungi suami apabila dia masih belum sampai rumah tetapi panggilan tidak berjawab sebelum mak minta saya ke rumah kawan untuk mendapatkan bantuan pada 6.30 petang.
“Kawan suami ketika itu sedang melihat video kemalangan berkenaan, namun masih tidak tahu yang suami terbabit kemalangan itu. Kami terus ke lokasi dan luluh hati saya apabila melihat topi keledar dan tempat duduk motor suami di situ.
“Melihat keadaan lokasi dan barang suami saya dapat rasakan yang suami saya sudah tiada,” katanya yang baru tinggal bersama suaminya Januari lalu selepas tamat pengajian di Pasir Gudang, Johor Bharu.
Nur Syahirah berkata, suami tidak menunjukkan perubahan ketara cuma dia menyedari Mohd Nur Hisham yang tidak pernah memancing sebelum ini menunjukkan minat melakukan aktiviti itu dan mula membeli peralatan serta menonton cara memancing di YouTube sejak tiga minggu lalu.
“Biasanya setiap pagi suami akan pegang perut saya serta bacakan doa untuk kandungan tetapi semalam dia tak buat macam itu.
“Sebelum pulang kerja suami ada hantar gambar ‘selfie’ dan beritahu mahu balik pada jam 4.55 petang. Dia juga beritahu dia sayangkan saya dan ada beri lagu Hanya Satu nyanyian BPR di telegram,” katanya memberitahu mereka berdua berasal dari Kuantan, Pahang dan jenazah suami akan dikebumikan di Batu Lima, Kuantan.
Ads
Dua Lagi Mangsa
Sementara itu, Jufry Rustam, 37, yang juga sepupu kepada Hasrandy berkata, adik sepupunya berasal dari Inanam, Sabah itu masih bujang dan mereka tinggal bersama di Sitiawan.
“Sepupu seorang anak yang bertanggungjawab dan dia yang membantu keluarganya di Sabah termasuk masih menanggung persekolahan seorang adiknya,” katanya. Seorang lagi mangsa, Mohd Suhail berasal dari Sepanggar, Sabah.
Mingguan Wanita : Team MW merakamkan ucapan takziah kepada isteri mangsa dan mendoakan agar keluarganya datang menerima ujian ini. Al-Fatihah.
Kata suami ini, isteri bila dah merajuk nak memujuknya bukan senang. Haa.. diumpamakan sebagai perkara paling susah nak buat di alam semesta ini. Lucu bunyinya. Tapi inilah rupanya luahan tulus dari seorang suami.
Lud Ibrahim memanggil isterinya, Hamizah Zakaria dengan panggilan manja Ratu di facebook. Inilah yang dikongsi tentang petua bagaimana mahu memujuk isteri yang merajuk.
Petua Untuk Suami, Pujuk Isteri Merajuk
Kebiasaan waktu saya cuti, ratu memang suka sediakan makan untuk suami dia yang montel kacak ni. Sehari tu, datang ratu punya kerajinan. Tak tahu mana datangnya kerajinan superb dekat ratu. Ratu masak sup ayam seekor untuk makan tengah hari. Dua orang punya makan tengah hari.
Saya pun dengan selamba kacak nya tanya “Siapa nak makan sup ayam banyak banyak ni?” Tak sampai sesaat, berubah muka ratu. Bekerut seribu. Ratu diam. Ratu capai enfon, duduk dekat sofa ruang tamu. Merajuk ler tuh.
Salah satu perkara yang paling susah nak buat di alam semesta ialah pujuk hati isteri merajuk. Bukan senang tau nak pujuk hati isteri. Sebagai suami, kalau hati tu macam padang pasir, cepat cepat tukar jadi taman bunga lavender. Supaya senang nak pujuk isteri nanti.
Jujur saya katakan, tak mudah sebenarnya nak pujuk isteri. Faham faham la kalau isteri dah merajuk. Satu perkataan pun tak cakap. Muka kau pun dia tak hingin nak tengok. Walaupun kau kacak.
Tapii, biasa lah perempuan, dah memang sinonim dengan merajuk. Kekadang tu dah la merajuk, jual mahal pulak tuh. Huh.
Cara Paling Gentle Suami Boleh Cuba Bila Isteri Merajuk
Pegang Tangan Isteri, Tenung Mukanya Penuh kasih
Ambil tangan isteri pegang dengan lembut. Tenung muka dia dengan penuh kasih sayang. Tinggalkan dulu ego tu dalam lemari. Sapu air mata yang mengalir di pipi dia. Cakaplah paling tidak pun “I Love you”. InsyaAllah, hatinya akan lembut dan dia akan sandarkan kepalanya atas bahu.
Tapiii, kalian harus tahu, ia nya takkan berakhir dengan begitu sahaja. Kena pulak isteri tu merajuk atas sebab kesalahan si suami. Harus kalian teruskan lagi proses memujuk. Kah!
Sejambak Bunga Dan Barangan Yang Isteri Suka
Belikan sejambak bunga untuk isteri. Pastikan bunga tu bunga hidup. Bukan bunga plastik. Perempuan mana yang tak suka kalau dapat hadiah bunga dari tercinta. Kalau dah biasa sangat bagi bunga jambak jambak ni, tukar sikit skillnya. Cabut kelopak kelopak bunga tu dan tabur atas katil, bawah selimut, atau masukkan dalam sarung bantal.
Kalau isteri tak suka juga dengan bunga. Bagi lah apa yang isteri suka. Kalau dia suka cekelat, bagi cekelat. Kalau dia suka kucing, bagi kucing. Kalau dia suka kain batik, bagi kain batik. Begitulah.
Minta Maaf Tu Bukan Perkara Memalukan
Sebagai suami, jangan malu untuk menyatakan kemaafan kepada isteri. Tak sikit pun hilang kejantaan tu. Tulis rasa maaf pada isteri, luahkan rasa cinta. Cinta sepenuh hati kepada isteri. Berjanji tak akan buat isteri menangis lagi. Jika suami ingkar, haruslah kalian bertaubat!
Sabar & Tenang.. Itu Tanda Anda Suami Matang
Suami, harus nampakkan kematangannya sebagai seorang lelaki. Dah nampak isteri tu merajuk, jangan la pula suami sama naik. Di tambah lagi perisa. Marah marah tak tentu pasal. Harus kalian lebih sabar. Harus tenang. Buat tindakan yang matang. Fikir dengan waras segala tindakan. Bertenang. Semua tu syaiton punya permainan. Menyesal tak sudah nanti kalau terus dilayan.
Sama-sama Solat Berjemaah Agar Lebih Cinta
Selepas kesemua diatas kalian sudah lakukan. Ajaklah isteri untuk solat berjemaah. Kalau bukan masa nya waktu solat. Cukup sekadar solat sunat dua rakaat. Paling penting sekali, minta sungguh sungguh kepada Allah. Yang Maha Membolak balik hati. Yang menyemarakkan rasa cinta. Yang menghantar rasa kasih dan rindu.
Kena ingat, Allah redha suami isteri yang berkasih sayang. Rezeki melimpah limpah Allah turunkan. InsyaAllah.
Jadiii, suami kalau isteri tu dah masak. Dah siapkan sesuatu untuk suami. Santuni lah dengan baik. Jangan banyak soal. Nasib baik sebelum malam dah reda rajuk isteri. Kalau tak, tidur luar lah kalian malam nanti. Padan muka.
Apa lagi? Pergi bagi bunga dekat isteri.
Suami Pegang Pesanan Ini
“Dengar dan peluklah isteri, insyaallah dia akan jadi isteri yang solehah dan ibu yang mithali”
-LelakiBurqa-
Sumber/Foto : Lud Ibrahim (Lelaki kacak beristeri satu).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sejuk hati mak ayah lihat anak mengaji Al Quran dengan lancar dalam usia bawah 7 tahun. Lagi seronok jika anak dilatih mengaji tanpa menggunakan rotan apatah lagi paksaan. Anak-anak pun tak semata-mata menghafal, tapi ilmu Al Quran masuk sampai ke dalam hati. Walaupun ketika itu usia anak baru masuk 3 tahun.
Ibu anak dua, Puan Syima Ariffinmenggunakan pendekatan cara mudah mengajar anak mengaji bermula dengan membaca alif ba ta menerusi aktiviti bermain.
Aisyah Kenal Huruf Al Quran Seawal 3 Tahun
“Masa itu saya terus guna buku. Anak jadi tak minat dan cepat bosan. Aisyah, anak sulung. Dia bukan jenis yang boleh duduk diam dalam satu masa yang lama. Dia lebih suka belajar bila ada aktiviti yang gerak-gerak.”
Sebab itulah Puan Syima keluarkan kad imbas syifa untuk tarik minat dia kenal huruf Al Quran. Ajar cara santai sambil bermain. Aisyah paling suka ‘matching game’.
Tip Mudah Ajar Anak Kenal Huruf Al Quran
1. Memahami usia 0-6 tahun, fitrah anak adalah bermain, ibu ini gunakan pendekatan bermain untuk melatih anaknya mengaji.
2. Dalam mendidik saya letakkan ukuran ini; ‘Sejauhmana anak ini rasa suka dan minat dengan huruf Al Quran’ ini akan memudahkan pembelajaran yang lebih advance iaitu Al-Quran.
3. Tak meletakkan anak CEPAT belajar mengaji AL Quran sebagai ukuran. Kerana cepat atau lambat itu bergantung kepada anak-anak.
4. Sejak usia anak 3 & 4 tahun, anak sudah didedahkan dengan ‘matching game’. Satu kejutan buat ibu ini bila guru Aisyah maklumkan, anaknya mula masuk level huruf bersambung. Dia jadi cepat tangkap dan boleh baca sendiri. Sebab biasanya, anak-anak akan keliru bila masuk hurud bersambung. Mereka biasanya lebih kenal huruf tunggal.
5. Tiada teknik pun salah atau betul. Cuma, apa yang saya nampak, walaupun agak lama Aisyah nak tunjukkan result, tapi rupanya dia kenal bentuk huruf tu, dia bukan hafal. Jadi bila ianya bersambung, ianya tidak menjadi masalah besar untuk dia.
“Sekarang, dia boleh baca 3 muka surat Buku Iqra sehari, berbanding dulu nak baca satu muka surat pun dia bosan. Saya akui faktor usia yang sudah makin besar, jadi dia sudah boleh baca buku.”
Dari Situlah Timbul Idea Nak Gunakan Kad Imbas (Matching Game)
(Rujuk video untuk memahamkan 5 langkah idea Puan Syima)
Langkah 1 – 5
1 – Buka ring pada set kad. Pilih 5 kad secara rawak, letak di depan anak.
2 : Pilih dan tunjukkan satu huruf pada poster kepada anak.
3 : Minta anak carikan kad yang sama dengan huruf yang ditunjukkan di poster.
4 : Aktiviti ini melibatkan pergerakan yang banyak dalam usaha anak mencari kad.
5 : Dengan cara bermain ini, bukan sahaja Aisyah seronok dan minat belajar, tapi dapat ingat huruf alif ba ta dengan mudah.
Ajar Anak Mengaji Tanpa Rotan, Aktiviti Bermain Ini Yang Akan Mengubah Mereka Jadi…
1 – Dulu, perlu ajak banyak kali baru anaknya nak belajar.
2 – Sekarang, belum tiba waktu mengaji, Aisyah sudah duduk di depannya, dah tak sabar nak bermain sambil belajar.
3 – Paling best, dulu bila guna buku Iqra, dia tak boleh habis walaupun 1 muka surat.
4 – Sekarang, dia suka baca. Sampai 3 muka surat sehari. .
5 – Alhamdulillah, cara mudah yang saya gunakan ini berjaya menarik minat Aisyah untuk belajar alif ba ta.
6 – Anak ini BUKAN HAFAL, tapi dia berjaya KENAL BENTUK huruf al quran ini.
Moga dengan perkongsian saya ini, ibu bapa yang tidak tahu macam mana nak tarik minat anak berkenal kenal dengan huruf Al Quran dapat dibantu.
Pupuklah anak minat mengaji dan cinta dengan Al Quran seawal usia. Bila ibu ada cara mudah ajar anak mengaji Al Quran perjalanan ibu melatih anak akan jadi lebih menyeronokkan.
Sumber/Foto: Syima Ariffin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mungkin sudah menjadi lumrah, apabila wanita mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, segala tanggungjawab berada di bahunya terutama dalam mengasuh anak-anak. Tidak kiralah, isteri itu seorang suri rumah tangga sepenuh masa atau pun berkerjaya.
Maklum sahaja, naluri keibuan itu menebal membuatkan anak lebih selesa bersama ibu. Sehinggakan suami perlahan-lahan melepaskan ‘baton’ dalam mengasuh atau menjaga anak.
Bukan sahaja di Malaysia, boleh dikatakan semua ibu bapa di seluruh dunia menggalas tanggungjawab yang sma. Persoalannya, adakah menjaga anak itu adalah tanggungjawab isteri sahaja. Mengulas lebih lanjut tentang topik ini bersama Abdul Muiez Ruslee, Guru Bimbingan dan Kaunseling Di Sekolah Menengah & Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Sabak Bernam.
Tidak Terabai
Bila difikirkan kembali, tanggungjawab yang digalas oleh isteri yan suri rumah sepenuh masa dan tidak berkerja adalah lebih berat. Contoh, buka sahaja mata, segala tugas sedia menunggu. Bermula dengan menyiapkan keperluan pakaian sekeluarga, menyediakan sarapan, mengemas segala sepah yang ditinggalkan. Tidak cukup dengan itu, tugas isteri ini dengan menyiapkan hidangan tengah hari dan berlarutan hinggalah ke tengah malam. Selagi mata belum terpejam, selagi itulah tugas perlu disiapkan.
Sebagai suami yang prihatin, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan dalam meringankan penat isteri.
Bantu isteri mengemas meja makan dan membasuh pinggan mangkuk yang telah digunakan.
Tolong bersihkan baju. Paling mudah dengan hanya masukkan ke dalam mesin basuh, letakkan sabun dan selebihnya biarkan teknologi yang mengurusnya.
Kemas permainan yang ditinggalkan anak di ruang tamu supaya mudah untuk isteri bersihkan keesokannya.
Beli barang dapur sebelum pulang ke rumah.
Urutlah isteri dengan belaian kasih sayang.
Dalam mengendalikan tugas menguruskan rumah tangga, suami isteri perlu sepakat sejak dari awal perkahwinan lagi. Contohnya:
Jika isteri memasak, suami yang mengemasnya.
Jika isteri mengemas ruang tamu, suami yang menyapunya.
Jika isteri membasuh baju, suami yang menyidainya.
Jika isteri melipat baju, suami yang menyusunnya.
Ini adalah perjanjian asas yang perlu dimenterai sejak dari awal perkahwinan lagi. Jika ia disepakati, pasti suami yang bersikap raja tidak akan wujud.
Suami Lepas Tanggung Jawab
Kisah suami lepas tangan sering kali dipaparkan di media massa dan turut mengundang kekacauan dalam rumah tangga.
Apabila semua tugas dan kewajipan yang sepatutnya digalas oleh suami dibebankan sepenuhnya kepada isteri, tidak hairanlah akan wujud konflik dalam rumah tangga. Mungkin berpunca dari sikap tidak puas hati, sehingga persefahaman tidak mampu lagi disepakati. Ini menjadikan rasa amarah semakin meluap dan menyebabkan kerukunan rumah tangga menjadi musnah.
Walaupun apa pun yang berlaku, tugas mencari nafkah sepatutnya berada di atas pundak suami. Isteri hanya sekadar membantu untuk mencukupkan apa yang terkurang dalam keluarga.
Isteri Perancang Utama
Malah, bila difikirkan perkara yang paling suami takuti adalah apabila isteri sakit. Jika ada isteri mengadu tidak sihat atau demam, cepat-cepatlah tolong legakan isteri. Kenapa? Kalau isteri demam atau tidak sihat, lumpuhlah rumah tangga. Apa yang suami lakukan dalam rumah serba tidak kena. Mahu terbalik rumah, rasanya.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa isteri adalah tulang belakang kepada kesejahteraan dalam rumah. Apa tidaknya, tugas-tugas memasak, menguruskan anak akan dilaksanakan oleh isteri. Suami? Hanya menghulurkan tangan untuk meringankan beban.
Tetapi yang peliknya, apabila suami demam, sikap mengada-ngadanya mengalahkan anak kecil. Rasanya, inilah masalah global yang dialami oleh suami di seluruh dunia.
Apa pun, perkara paling penting dalam rumah tangga ialah suami isteri perlu saling membantu menguruskan istana cinta bersama. Insya Allah, hasilnya pasti cinta membawa ke jannah.
Tugas Suami
Membina mahligai rumah tangga bukannya mudah, apatah lagi mahu mempertahankannya. Suami dan isteri perlu berganding bahu untuk menjemput mawaddah dan rahmah bagi mengekalkan kebahagiaan rumah tangga dan mengetatkan rasa cinta buat selamanya.
Kadang-kadang, perempuan ini sukar untuk difahami. Apatah lagi menebak kemahuan dan kehendak mereka. Bila ditanya kenapa muncung, jawapan mereka sangat mudah, “tak ada apa-apalah.” Tetapi di sebalik perkataan tak ada apa-apa itulah tersenarai satu kajang salah laku suami yang tak disedari.
Apa pula tugas suami? Adakah sekadar membiarkan rajuk itu padam sendiri? Sebagai seorang lelaki yang gentlemen satu tindakan drastik perlu dilakukan. Antara perkara yang boleh dicuba ialah,
1. Belikan hadiah kecil buat mereka seperti coklat, kad mahu pun bunga. Tidak perlu mahal-mahal. Asalkan pemberian itu ikhlas dari hati. Apa perasaan kita jika menerima hadiah tanpa disangka? Begitu juga yang akan mereka rasa.
2. Sebelum pergi kerja, selitkan sekeping dua not sepuluh atau dua puluh ringgit di dalam dompet isteri. Sertakan juga sedikit nota cinta seperti “hadiah kecil buat kesayangan” atau “duit ini tidak boleh beli bahagia tetapi dengannya mungkin akan menghangatkan cinta.” Pasti senyumnya lebar sampai ke telinga.
3. Jika kita pulang kerja lebih awal daripada isteri, lakukan kejutan kecil seperti basuhkan baju, kemaskan meja makan, vakum karpet, masak nasi, siang ikan atau siapkan makan malam. Masa itu, kalau nak minta izin lepak mamak dengan kawan-kawan pun, mesti boleh punya.
4. Jika selama ini sang isteri yang menyediakan minuman sebaik sahaja suami pulang ke rumah, apa kata sesekali si suami pula yang mengambil tugas itu. Tak salahkan, jika suami pula yang berbakti kepada isteri?
5. Sebelum tidur, cuba gosok sedikit pinggang atau belakang isteri. Berikan belaian cinta sehingga isteri terlelap. Insya Allah pasti esoknya dia bangun dengan gembira. Cuma gosok itu jangan lebih-lebih pula. Nanti tak jadi kerja.
Perlukah suami buat semua ni? Eh, sudah tentulah perlu. Hubungan cinta ini konsepnya perlu memberi dan menerima. Sebelum menerima, kita perlu juga memberi. Barulah cinta itu akan mekar selamanya.