Tidak dinafikan kemampuan fasih bertutur serta berkomunikasi dalam pelbagai bahasa asing mampu menjadi antara kelebihan diri. Bukan tukang cuci biasa, wanita kelahiran Minangkabau, Sumatera, Indonesia ini pernah berkhidmat sebagai pemandu pelancong selama 30 tahun dan mahir bertutur dalam lima bahasa lain.
Tidak menyangka video memaparkan Nirmaningsih Mawi, 59, yang bertugas sebagai pencuci di Masjid Negara sedang berinteraksi dengan pelawat dalam bahasa Jepun di premis itu menjadi tular di media sosial, baru-baru ini.
Beliau berkata, berbual dan menyantuni pelancong adalah rutinnya sejak berkhidmat sebagai tukang cuci di premis itu, kira-kira enam bulan lalu.
Mempunyai 4 Lesen Bahasa
Nirmaningsih yang berhijrah ke Malaysia bersama keluarganya sejak berusia tiga tahun berkata, minat mendalam khususnya dalam bahasa Jepun yang membuatkan beliau berusaha mencari jalan untuk mengambil kursus bahasa.
“Saya memperoleh empat lesen bahasa yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), iaitu Bahasa Inggeris pada 1990, bahasa Jepun pada 1994, Arab (2010) dan Jerman (2011).
“Bukan mudah untuk buat lesen ini, komitmen sangat tinggi kerana ada peperiksaan yang perlu dilalui,” katanya ditemui di Masjid Negara, semalam.
Tambahnya, pengalaman mengikuti kursus intensif bahasa Jepun adalah kenangan terindah dan pada masa sama menuntut pengorbanan yang besar kerana baru melahirkan anak pertama.
“Saya masih ingat pada 1992, ada terbaca iklan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai tawaran tajaan itu di akhbar Berita Harian dan disebabkan minat, saya hantar borang permohonan.
“Tak sangka pula dapat panggilan temuduga tetapi saya agak berbelah bahagi kerana anak masih kecil, baru 10 bulan. Jadi selama setahun juga terpaksa berpisah dengan keluarga dan anak, enam bulan ikuti kursus bahasa Jepun di Wisma Belia, Kuala Lumpur dan kemudian dihantar pula ke Tokyo untuk bekerja dengan sebuah syarikat pelancongan di sana bagi memantapkan penguasaan bahasa, selain mempelajari corak kerja mereka.
“Memang tempoh awal berada di Jepun saya tak senang duduk kerana fikirkan anak yang masih kecil, tetapi jika saya tak ambil peluang itu mungkin sampai sekarang tak boleh bercakap dalam bahasa Jepun,” katanya yang turut memberitahu sokongan keluarga khususnya suami adalah faktor utama kejayaannya.
Ads
Jangan Malu Bertutur Bahasa Asing
Berkongsi panduan untuk kekal fasih dalam semua bahasa yang dikuasainya, Nirmaningsih berkata, jangan sesekali malu dan sentiasa berusaha bercakap dengan individu yang bertutur dalam bahasa itu.
“Lagi satu…tip untuk senang hafal apa pun…ustaz saya ajar praktikkan baca surah Yasin setiap hari, Insya-Allah.
“Inilah yang saya lakukan. Bayangkan dua tahun pelancong luar tak datang Malaysia sebelum ini…jadi bila bertemu mereka misalnya di masjid, saya mesti mulakan bicara. Ini salah satu cara…jika tidak buat memang boleh lupa.
Hilang Pekerjaan Akibat Pandemik Covid-19
Bercerita lanjut, sebelum ini beliau bekerja sebagai pemandu pelancong tetapi hilang pekerjaan disebabkan pandemik COVID-19.
“Saya pernah menganggur selama empat bulan dan disebabkan itu, saya rebut sahaja peluang kerja yang ada.
Ads
“Bayangkan kerja sebagai pemandu pelancong adalah cinta pertama saya, jadi untuk hilangkan rindu pegang mikrofon… berinteraksi dengan pelancong, sambil kerja (cuci masjid) saya turut ambil peluang tegur, berbual dan bantu pelancong yang hadir melawat dengan menggunakan kelebihan boleh berkomunikasi pelbagai bahasa.
“Jadi, kesempatan ini saya nak betulkan.. ada netizen kaitkan saya seorang guru, pensyarah dan macam-macam lagi, itu tak betul,” katanya.
Tak Malu Jadi Tukang Cuci
Ditanya mengenai kerjanya sebagai tukang cuci, ibu kepada lima orang anak ini berkata, beliau tidak pernah malu, malah gembira kerana kerja itu masih membolehkannya bertemu dengan pelancong setiap hari.
“Memang anak-anak pada mulanya minta saya cari kerja lain, tapi saya beritahu ini adalah apa yang saya ingin buat, tambahan pula suami turut bekerja sekali di sini.
“Bila kerja di masjid saya seronok kerana dapat bersihkan rumah Allah, auranya memang istimewa…tak ada di tempat lain. Dengan usia sebegini, kerja ini lebih relaks, sambil kerja dapat juga beribadah, malah ikuti tadarus dan pelbagai kelas agama,” katanya.
Beliau turut mengakui kerja tukang cuci bukan pilihan anak muda, sedangkan terdapat banyak peluang pekerjaan dalam sektor pembersihan yang tidak diisi.
Ads
“Ya…orang muda anggap kerja tukang cuci ini tak ada ‘kelas’, mentaliti orang kita masih begitu. Sedangkan, jika tak ada tukang cuci, saya rasa tak ada siapa pun yang nak masuk tandas awam.
“Pada saya dengan persaingan dan kesukaran mendapatkan kerja sekarang, usah terlalu memilih dan jangan pandang rendah kerjaya sebegini,” katanya.
Buka Mata Kerjaya Pemandu Pelancong
Mengulas kerjayanya sebelum ini sebagai pemandu pelancong, beliau berkata, disebabkan industri pelancongan kembali rancak selepas fasa endemik COVID-19, banyak tawaran mula diterima sejak bulan lalu.
“Saya bekerja sebagai pemandu pelancong sejak 1990 dan tak mungkin akan tinggalkan kerjaya ini. Saya tak berhasrat nak berhenti kerja (tukang cuci) tetapi buat masa sekarang kerja bawa pelancong dibuat ketika hujung minggu, waktu tak bertugas di masjid atau pada sebelah malam sahaja.
“Sekurang-kurangnya bila tular kisah saya, orang ramai tahu dan buka mata mengenai kerjaya sebagai pemandu pelancong…ia bagi saya peluang kerja yang perlu diteroka anak muda. Melalui kerja ini saya dapat teroka negara sendiri, hebahkan kawasan pelancongan dan bersejarah negara malah dapat bertukar pandangan dan budaya dengan pelancong dari serata dunia,” katanya.
Mingguan Wanita:Memang banyak kelebihannya bila mampu bertutur dan fasih berkomunikasi dengan pelbagai bahasa. Terbaik, wanita ini semoga menjadi inspirasi buat kita juga dalam meningkatkan ilmu dan menambah kemahiran berbahasa.
Ini berita gembira untuk diraikan oleh petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila setelah berhempas pulas selama lima bulan tanpa cuti rehat, akhirnya mereka diberikan cuti rehat dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi secara bergiliran.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga menjelaskan, frontliners KKM ini juga akan menerima khidmat kaunseling bagi memulihkan kembali semangat pada petugas ini.
Lima Bulan Bekerja Tanpa Cuti Rehat
Para petugas ini mempertaruhkan segalanya. Sehingga ada yang tidak pulang ke rumah bertemu anak isteri mahupun suami. Dan bermacam kisah terjadi dalam perjalanan mereka ‘berperang’ dengan wabak Covid-19.
“Lima bulan bekerja siang malam, tidak kenal hari minggu dan hari bekerja.” Itulah gambaran tentang mereka.
Dan hasil pengorbanan mereka menampakkan keputusan penurunan kes. Yang mana, penggunaan wad dan ICU (Unit Rawatan Rapi) pun semakin berkurang.
Keadaan ini membolehkan, warga kerja KKM ini diberi cuti rehat seminggu dua secara bergilir-gilir.
Kemungkinan Peningkatan Kes, Frontliners Persiapkan Diri
Khidmat kaunseling ini juga turut diberikan, bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes. Jadi, dapatlah petugas KKM bersiap sedia dengan ketahanan diri untuk menghadapinya.
Dalam tempoh seminggu dua ini juga, KKM bakal menyusun semula strategi dari segi tenaga kerja, peralatan, hospital, makmal dan kesihatan awam.
Katanya lagi, “inilah pertahanan terakhir kami untuk mengelakkan daripada bencana yang besar berlaku kepada Malaysia.”
Sehingga Selasa 12 tengah hari semalam, Malaysia mencatatkan 30 kes positif baru dengan jumlah kes Covid-19 sebanyak 6,386 kes di negara ini.
MW :Biar pun PKP sudah diberikan sedikit kelonggaran, tidak bermakna Malaysia sudah menang. Ingat! untuk ambil langkah keselamatan, kebersihan dan sentiasa berjaga-jaga bila berada di tempat awam.
Sememangnya tak salah jadi susah kerana hilang pendapatan atau pekerjaan, tapi jangan malas dan sentiasa harapkan bantuan sahaja.
Menjadi susah itu bukan kehendak kita, namun sekurang-kurangnya cubalah berusaha memperbaiki hidup. Jika kita malas dan kemudian langsung tidak berusaha sudahnya nanti lama-lama akan menyusahkan hidup kita juga.
Kongsi Firdaus Shakirin, dalam banyak-banyak susah zaman pandemik ini, ada satu “susah” yang bila dibantu pun masih tidak cukup…
Tapi Jangan Malas
Susah dan malas…
Sudah hilang kerja, tapi tak mahu keluar cari kerja lain… Juga sudah hilang pendapatan, tapi tak hendak fikir jalan untuk ada pendapatan…
Sudah tiada benda atau makanan untuk dimakan, tapi tetap tak mahu keluar cari bantuan…
Duduk di rumah, kemudian asyik mengeluh susah…
Kita ini betul-betul akan susah kalau kita tiada usaha langsung… Tapi kalau kita ada usaha, insyallah susah itu akan jadi tak berapa hendak susah…
Semalam saya lalu depan satu masjid ini, saya nampak papan tanda, “Kalau memerlukan bantuan makanan atau keperluan harian, sila hubungi tok imam…”
Inisiatif dari pejabat zakat…
Hubungi tok imam, tok imam akan hulurkan bantuan… Kalau tak kenal tok imam, hubungi pejabat zakat berdekatan…
Jika kita hendak mohon pertolongan, tak boleh berpeluk tubuh tunjuk anak tiada apa hendak makan kalau kita sendiri segan untuk berusaha…
Usahakan untuk hubungi sesiapa yang boleh bantu kita, usaha untuk meminta, usaha untuk mencari perlu ada dalam diri…
Tak Salah Jadi Susah Kerana Hilang Pendapatan
Tak salah jadi susah sebab hilang pekerjaan atau pendapatan, tapi jangan jadi malas dan mengharapkan sentiasa diberi pertolongan… Konsep rezeki, selagi kita usaha, selagi itulah ada rezeki untuk kita sekeluarga…
Usahalah sedaya yang mampu… Selebihnya, baru tawakal kepada Allah SWT…
Jangan pula tawakal tanpa usaha… Kalau sudah lama tak berhubung dengan Allah, maka masa susah inilah digunakan untuk perbaiki hubungan dengan Allah…
Dia yang memberi, maka Dia-lah yang patut kita cari…
Mingguan Wanita : Usaha dulu sebaik mungkin, kemudian barulah berserah. Begitulah cara sebaiknya. Renung-renungkan.
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral. Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini. Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Buat Aneka Kuih Frozen. Confirm sedap, laku keras. Dibuka pada 24 Julai 2021. Peserta diberi tunjuk ajar menyediakan beberapa jenis makanan sejuk beku yang laris di pasraan seperti donut, samosa, pizza dan banyak lagi. Sila klik pautan ini untuk pendaftaran //toko.ideaktiv.com/product/buat-aneka-kuih-frozen-confirm-sedap-laku-keras/
Tidur yang berkualiti dan mencukupi adalah amat penting bagi menjaga kesihatan badan untuk jangka panjang.Cukup membimbangkan rupanya purata rakyat Malaysia hanya dapat tidur kira-kira enam jam setiap malam serta 9 dalam 10 mengalami masalah tidur! Fakta ini merupakan antara hasil kajian yang dijalankan oleh Nielsen Malaysia mengenai kefahaman, corak tidur dan tabiat tidur rakyat Malaysia.
Ia dedahkan didalam majlis Kempen CSR Hari Tidur Sedunia sempena memperingati Hari Tidur Sedunia 2018 yang disambut pada bulan Mac setiap tahun.Kempen kesedaran kepentingan tidur tahun ini dianjurkan oleh pakar kesihatan tidur AmLife International Sdn Bhd dengan tema ‘Join the Sleep World, Preserve Your Rhythms to Enjoy Life”.
Punca Gangguan Tidur
Terdapat pelbagai punca kepada gangguan tidur.Menurut Encik Lew Mun Yee iaitu Presiden dan Pengasas Amlife,
“Gangguan tidur menjejaskan 45% penduduk dunia. Laporan media menunjukkan bahawa kira-kira 35% penduduk Malaysia amnya mengalami gejala-gejala insomnia dan 12.2% menghidap insomnia kronik”
Hasil kajian menunjukkan bahawa kita menghabiskan sehingga 1/3 hayat kita dengan tidur. Tidur adalah satu keperluan asas manusia dan penting kepada kesihatan dan kesejahteraan kita secara keseluruhan. Insomnia menjadi satu gangguan tidur yang umum dalam masyarakat moden, disebabkan gaya hidup yang sangat sibuk dan tekanan. Penularan produk elektronik menyebabkan kekurangan tidur dan memburukkan lagi keadaan.
Akibat Kurang Tidur
Dr. Laura Palagini merupakan seorang psikiatri dan pakar tidur dari Itali untuk menerangkan peranan tidur yang berkualiti. Beliau menyentuh tentang gangguan yang dikaitkan dengan kesihatan mental, pelbagai penyakit kardiovaskular dan juga penyakit alzheimer. Beliau mempunyai pengalaman lebih 2 dekad dalam penyelidikan biologi dan psikologi klinikal serta kepakaran dalam gangguan tidur.
Dr Laura menerangkan bahawa ritma harian waktu tidur bukan sahaja dikawal atur oleh faktor-faktor dalam badan tetapi juga faktor-faktor luar badan, dan juga faktor-faktor alam sekitar seperti sinar matahari dan gaya hidup.
“Gangguan kepada ritma harian waktu tidur merosakkan mesin tidur yang mengawal atur tidur. Tidur nyenyak adalah satu daripada tiga tunggak kesihatan yang baik selain diet yang seimbang dan senaman secara tetap.”
“Gangguan tidur menjejaskan kualiti kesihatan dan menimbulkan masalah seperti obesiti dan diabetes, melemahkan sistem imun, menyebabkan pelbagai keadaan psikologi seperti kemurungan, keresahan dan psikosis. Akhirnya, ia menjejaskan kesejahteraan & kualiti hidup, produktiviti sosial & kerja kita,”
6 Corak Tidur Rakyat Malaysia:
AmLife telah mendedahkan penerbitan hasil kaji selidik yang dibuat oleh Nielsen Malaysia tentang kefahaman, corak tidur dan juga tabiat tidur rakyat Malaysia. Antara hasil penting tinjau selidik itu ialah :
1. 9 dalam 10 rakyat Malaysia mengalami masalah tidur.
2. Purata rakyat Malaysia hanya dapat tidur kira-kira enam jam (berbanding tujuh hingga sembilan jam yang disyorkan) setiap malam.
3. Punca utama masalah tidur dalam kalangan rakyat Malaysia ialah tekanan, keresahan dan kemurungan.
4. Kesan-kesan gangguan tidur termasuk sakit kepala, kelesuan, sukar untuk berfikir atau memberi tumpuan, dan sakit bahu dan leher.
5. Rakyat Malaysia bersetuju bahawa adalah penting untuk mencari penyelesaian apabila menghadapi gangguan tidur. Bagaimanapun, 40% daripada mereka tidak mengetahui caranya.
6. Rakyat Malaysia lebih suka penyelesaian cara semula jadi dalam soal mendapatkan tidur yang lebih baik (43%).
Jadi mak-mak yang ada anak kecil walaupun kebarangkalian untuk dapat tidur yang cukup tu agak susah nak dapat. Cubalah, berusaha jaga waktu tidur dan dapatkan tidur yang cukup demi kesihatan diri, mental dan fizikal untuk jangka panjang.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.