Sayu hati tatkala melihat ketabahan seorang wanita menguruskan ibu bapanya yang juga orang kurang upaya fizikal dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.Ketika sebahagian daripada anak-anak di negara ini mengambil jalan mudah dengan menghantar mak ayah ke rumah kebajikan, pujian harus diberikan kepada ibu tunggal, Intan Zulina Osman, 32, yang tetap cekal menguruskan kedua-dua orang tuanya yang uzur biar pun mereka hanya mampu mengesot dan terlantar di dalam bilik.
Bertubuh kecil selain kudrat wanita yang tidak seberapa, Intan Zulina tidak pernah mengeluh apabila menguruskan kedua-dua orang tuanya, Osman Jusoh, 78, dan Siti Zabedah Saidin, 70, termasuk perlu mengangkat bapanya yang semakin uzur setiap hari untuk ke bilik air.
Dengan pendapatan hanya RM600 sebulan selaku peniaga nasi lemak selain bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Intan Zulina tidak sesekali sanggup menyerahkan mak dan ayahnya itu ke tangan orang lain biar pun dia perlu menanggung tiga anak berusia antara 8 hingga 13 tahun.
Tidak Mengeluh
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kodiang Lama Luar, di sini, Intan Zulina yang juga ibu tunggal kepada tiga cahaya mata mengakui bakti dicurahkan itu tidak seberapa dibandingkan dengan pengorbanan ibu bapa membesarkannya dengan sempurna.
Ads
“Selagi mereka hidup dan kudrat saya kuat, saya akan menjalankan tanggungjawab diamanahkan demi menjaga ayah dan emak tanpa pernah sekelumit ada perasaan mengeluh kerana mereka yang melahirkan saya ke dunia ini,” katanya.
Menurutnya, cabaran memang ada apatah lagi dia perlu membesarkan tiga anaknya, Muhammad Akif Aidil Fikri, lapan, Muhammad Afiq Irfan, 11, dan Aiman Haikal, 13.
Dapat Perhatian Perdana Menteri
Katanya, kisah ibu bapanya pernah tular di media sosial hingga turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang meluangkan masa melawat pasangan itu 19 Jun tahun lalu.
“Sejak itu kehidupan kami bertambah selesa, namun kini ayah semakin uzur apabila tidak mampu bergerak dan perlu dibantu mengurus keperluan harian,” katanya.
Ads
Intan Zulina berkata, sebelum ini, dia berniaga nasi lemak di kampung itu dengan pendapatan RM50 hingga RM80, namun sejak empat bulan lalu terpaksa berhenti berniaga kerana perlu memberi sepenuh tumpuan menjaga bapanya.
“Sebelum ini ayah boleh mengurus dirinya sendiri walaupun OKU dan turut menjaga emak, namun sejak empat bulan lalu kesihatannya semakin teruk apabila kedua-dua tangannya tidak kuat dan sering kebas.
“Ayah kini hanya terlantar dan saya menguruskan semuanya termasuk menyuap makan, memandikannya dan perlu mengangkatnya tiga kali sehari ke bilik mandi.
“Namun, selagi mereka hidup saya akan menjalankan tanggungjawab diamanahkan demi menjaga ayah dan emak,” katanya.
Katanya, itu rutin hariannya kini dan mencari alternatif lain dengan berniaga dalam talian menjual kek, roti dan tudung kerana tidak boleh meninggalkan orang tuanya terlalu lama.
“Hasil pemberian bantuan dan sumbangan orang ramai itu saya membeli ketuhar untuk memulakan perniagaan menjual kek dan roti.
“Walaupun pendapatannya tidak seberapa, namun cukup untuk saya sekeluarga meneruskan kehidupan kami,” katanya.
Selain itu, katanya, dia turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 dan zakat RM450 sebulan yang meringankan beban mereka sekeluarga.
Ads
“Emak dan ayah adalah anugerah Allah dan selagi saya kuat dan sihat tidak sesekali akan mensia-siakan mereka kerana ini tugas sebagai anak membalas jasa mereka.
“Cuma saya bimbang apabila mereka kurang berselera makan akibat faktor usia. Emak masih boleh dikatakan sihat namun ayah yang nampak perubahannya,” katanya.
Menurutnya, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarganya selepas kisah mereka tular tahun lalu dan menjadi kenangan terindah dilawati Perdana Menteri.
Keluarga Angkat JKKK
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kodiang Lama Luar, Ku Azlan Ku Mat berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan keluarga terbabit, malah menjadi keluarga angkat JKKK.
“Pelbagai bantuan dihulurkan bagi meringankan beban keluarga ini termasuk membaik pulih rumah mereka melalui sumbangan Pejabat Daerah Kubang Pasu.
“Pelajaran anak Intan juga akan dibantu dan menyalurkan sumbangan melalui kelengkapan sekolah dan sebagainya,” katanya.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat wanita ini kerana pengorbanannya yang cekal menjaga kedua orang tua yang uzur tanpa sedikit pun rasa mengeluh. Semoga ramai lagi anak-anak yang mencontohi cara wanita ini dalam membalas jasa kedua mak dan ayah.
Pengakhiran yang baik, seorang lelaki menemui ajal selepas pulang dari masjid. Pemuda ini dilanggar sebuah kereta yang hilang kawalan. Sudah tertulis kematian itu pasti, tidak akan terlambat walaupun seminit.
Pemuda ini dikatakan baru pulang dari masjid maut dilanggar kereta di Kilometer 30 Jalan Pantai arah Kuala Terengganu-Kota Bharu berdekatan Kampung Mengabang Lekor, Kuala Nerus, semalam.
Mangsa Dalam Perjalanan Pulang Dari Masjid
Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa, Mohamad Ammar Lukman Roslan, 23, yang membantu bapanya menjual ikan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari masjid selepas selesai menunaikan solat Asar.
Ketika dalam perjalanan pulang, sebuah Perodua Bezza dipandu wanita berusia 60 tahun tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar mangsa.
Akibat pelanggaran itu, mangsa melambung di bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Pemandu kereta bersama dua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
MW: Semoga keluarga mangsa tabah dengan pemergian. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menempatkan allahyarham di kalangan para solihin. Insyallah. Al-Fatihah.
Bagi penggemar masakan berasaskan daging mahupun ayam, wajib cuba Resepi Daging Bakar ‘Harimau Menangis’ini. Perapannya elok sempurna dan secukup rasa! Rasa masam manis,pedas dan berempah dengan gandingan sos yang diadun sebati, pasti makan bertambah-tambah.
“Ni lah dia Daging Bakar Harimau Menangis.Nape harimau pulak menangis yek? sebenarnya hat makan daging bakar nilah yang menangis tau..best sangat memang terangkat habisss!!
Resepi perapan daging inilah yang memang saya selalu buat ..Mashaallah memang sedap sangat sesuai untuk daging dan ayam.
Bahan-Bahan:
2 kilo daging dipotong kecik atau suka hati tak kisah bahagian mana
5 sudu besar sos cili maggi
5 sudu besar sos tiram
6 sudu besar sos black pepper
6 sudu besar sos ikan
1 1/2 sudu besar lada hitam tumbuk
2 sudu gula
1 sudu kecil garam tak perlu banyak
1/2 cawan minyak masak
Cara Membuat:
1.Campur kesemua bahan diatas kecuali minyak masak dalam 30 minit.
2.Kemudian baru tuang minyak masak dan gaul sebati dan perap lagi dalam 2 jam
sedia untuk dibakar.
(#tujuan letak minyak masak untuk bagi daging lembut & juicy)
Sos Cili Ala Thai
Bahan-Bahan:
segenggam asam jawa*
1 cawan air suam* – campur keduanya hanya ambil air asam jawanya sahaja
3 sudu sos ikan
1 biji limau nipis
1 keping gula melaka ditumbuk halus
10 biji cili api tumbuk halus nak pedas boleh tambah lagi
8 biji bawang merah kecik dihiris nipis
beras di sangrai (digoreng tanpa minyak dan tumbuk halus)
daun ketumbar dipotong halus
garam
Cara Membuat:
1.Air asam jawa, sos ikan, gula melaka, cili api tumbuk, bawang merah, beras tumbuk dan daun ketumbar dicampur bersama dalam satu bekas.
2. Tambah sedikit air masak jika adunan nampak terlalu pekat dan perah limau nipis.
3.Perasakan dengan sedikit garam.
Sos Blackpepper Mushroom
Bahan-Bahan:
2 sudu besar mentega
2 sudu besar tepung gandum
1 sudu kecil lada hitam
5 sudu besar sos lada hitam
1 kiub stok ayam
2 sudu besar sos tiram
1/2 cawan sos perapan daging
1 sudu kecil kicap pekat
1/2 cawan whipping cream- kalau takde gantikan dengan susu segar
2 cawan air (jika pekat adunan boleh tambah air mushroom dalam tin dihiris nipis)
Cara Membuat:
1.Panaskan mentega dalam periuk.
2.Masukkan tepung gandum kacau sekata dan masukkan 2 cawan air dan kacau guna whisker sehingga sebati..
3.Masukkan sos lada hitam, sos tiram, lada hitam tumbuk, stok ayam, sos perapan daging, kicap pekat dan whipping cream, kacau sekata
4.Jika adunan pekat boleh tambah sedikit air hingga dapat kepekatan yang diingini.
Negara sekali lagi dikejutkan dengan pemergian seorang seniman tanahair yang cukup terkenal pada era 1970an, Dato’ Zulkifli Zain, 76. Allahyarham meninggal dunia di kediamannya, di Ukay Perdana, Ampang, sekitar jam 7.30 malam, pada Sabtu.
Sumbangan Allahyarham dalam dunia lakonan tiada gantinya. Arwah Dato’ Zulkifli Zain memulakan karier beliau dengan filem pertama lakonan beliau iaitu Jiwa Remaja pada tahun 1975, beliau juga telah berlakon lebih sepuluh buah filem dan beratus drama sepanjang berada didalam dunia hiburan.
Sebelum ini Allahyarham lumpuh separuh badan dan beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana penyakit buah pinggang yang agak kritikal.
Kenangan bersama arwah bapa.
“Kali terakhir minta saya angkat dia ke katil untuk berehat” Dr Norzizi
Anak sulung arwah iaitu Dr. Norzizi yang juga pelakon dan penggiat teater terkenal menerangkan ketika arwah bapanya menghembuskan nafas terakhiri dia berada disisi.
“Setiap hujung minggu saya memang akan datang ke rumah papa di sini. Jadi ketika papa menghembuskan nafas terakhir tadi, saya memang berada di sisinya. Petang tadi (Sabtu), ketika menyuap dia makan, papa tidak bercakap sangat dan banyak senyap. Dia hanya duduk diam di kerusi roda sahaja.
“Kali terakhir minta saya angkat dia ke katil untuk berehat. Ketika itu saya nampak pernafasan dia tidak macam biasa dan berbaincang dengan adik-beradik untuk membawanya ke hospital.
“Bagaimanapun ketika azan Maghrib, lebih kurang 7.30 malam, saya dapati dia sudah tiada. Memang saya tak sangka ini waktunya, tapi mujurlah saya ada bersamanya ketika ini kerana beberapa hari sebelum ini saya sibuk dengan rehearsal dan persembahan,” ujar Dr Norzizi seperti yang dipetik menerusi Sinar Plus.
Menurut Dr Norzizi Jenazah Allahyarham bapanya akan dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Ukay Perdana, selepas Zohor pada hari Ahad.
Arwah Bapa Minta Masakkan Mi Kari
Dr. Norzizi turut berkongsi permintaan terakhir Allahyarham, kata Dr. Norzizi, arwah bapanya ada memintanya memasakkan Mi Kari. Bagaimana pun hasrat tersebut tidak kesampaian.
“Beberapa hari lalu dia ada minta Mi Kari dan saya bercadang untuk masak pada minggu ini. Namun disebabkan masalah ketiadaan air yang berlaku, saya tidak sempat berbuat demikian.Baga imanapun alhamdulillah semua anak-anak papa ada di sini, termasuk adik lelaki saya yang tinggal di Perlis, kebetulan berada di Kuala Lumpur,” ujarnya juga memohon kepada rakan-rakan dan orang ramai yang mengenali Allahyarham agar menghubungi keluarganya jika arwah bapanya ada berhutang.
“Terima kasih kepada semua rakan-rakan artis, media dan kenalan terdekat atas ucapan takziah kepada kami sekeluarga. Kami sekeluarga merasakan kasih sayang dari seluruh rakyat Malaysia yang mengambil berat terhadap papa,” katanya.
Kenangan Allahyarham bersama keluarga.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, pelakon veteran, Datin Normala Omar, lima orang anak dan tujuh cucu.