Sedih tapi itulah realiti sekarang yang banyak terjadi apabila semakin banyak kes perceraian suami isteri golongan berusia melibatkan orang ketiga. Lebih dikesalkan masing-masing merupakan isteri mahupun suami orang. Tidak menjaga batasan hubungan di media sosial antara puncanya.
Sedih tapi itulah realitinya. Perceraian di kalangan suami isteri 40’an, 50’an malah 60’an angkara orang ketiga semakin banyak terjadi. Puncanya: Selingkuh – mencintai atau dicintai isteri atau suami orang.
Hubungan haram itu selalunya bermula daripada perbualan di wasap, messenger dan lain-lain media sosial, yang mulanya sekali-sekala, kemudian makin akrab.
Hubungan tercela itu berpunca daripada program re-union (sekolah, IPT, TADIKA) , teman sepejabat, kumpulan sehobi (bela kucing, bertanam pokok dan lain-lain) atau kumpulan berniaga bersama.
Permulaan Perbualan Santai
Pada awalnya memang perbualan santai, tidak ada apa-apa, kemulian meleret-leret sehingga mesra, bercinta, bertemu dan zina.
Ingatlah, wahai suami orang, haram menghubungi isteri orang dengan tujuan bersuka-suka (kononnya hanya untuk berbual bertanya khabar). Wahai isteri orang, adalah tercela melayan lelaki selain suami mu walaupun atas alasan bekas teman rapat, sahabat akrab atau kenalan lama.
Daripada perbualan santai, akhirnya menjadi satu kenikmatan, terus jadi ketagihan. Datang pula rasa kosong bila tidak berhubung Awas, pada ketika itu pintu kecurangan sudah terbuka.
Jika ada lelaki lain di hati Sang isteri, jika ada wanita bersuami di hati Sang suami, terkutuklah perbuatan itu… kau akan menempa neraka. Sepandai-pandai bersembunyi, dosa itu akan terbalas jua!
Man neglecting his girlfriend and using his mobile phone in bed
Pasangan Berusia, ‘Kelihatan’ Beragama Juga Selingkuh
Saya menyentuh isu selingkuh sebab ia paling banyak berlaku. Bukan sahaja pada pasangan muda, tetapi juga yang sudah berusia. Bukan sahaja yang jahil, tetapi yang kelihatannya beragama – berjubah, bertudung labuh dan berlatar belakang agama.
Kepada kaum suami, kita pesankan jagalah maruah isteri orang lain. Menaruh hati kepada isteri orang ialah satu penyakit hati. Kemesraan dan keprihatinan perlu diberi kepada isteri sendiri.
Kepada kaum isteri, jagalah maruah mu. Di mana kau letak rasa malu mu? Hingga tergamak kau habiskan masa berceloteh, mengadu, bercanda akhirnya bermesra dengan membelakangkan suami mu yang halal?
Jangan berhujah yang engkau tidak tahu, tidak ada apa-apa, hanya saja-saja, sedangkan hati kecil mu telah pun membisikkan bahawa semua itu salah kerana menentang fitrah dan mengundang fitnah.
Ads
Sekali pasangan mu terluka, bukan mudah untuk disembuhkan apalagi dimaafkan serta dilupakan. Kau telah berlaku zalim kepadanya. Kau telah mengkhianati kepercayaannya.
Jangan sekali-kali beralasan, kesunyian, pasangan tidak pandai membelai, tidak empati, tidak cantik, hilang aura dan sebagainya. Itu semua madah syaitan.
Percayalah, kemanisan yang kau cicipi dalam sembunyi pasti terbongkar jika tidak di dunia, pasti di Padang Mahsyar. Di sana kau akan merangkak memohon belas kasihan pasangan mu…dengan penuh hina dan kasihan mohon keampunan.
Ada yang bertanya, mengapa saya begitu serius tentang isu selingkuh ini?
Re-union Sekolah
Saya pernah bertemu seorang lelaki separuh umur menangis teresak-esak selepas solat Dhuha di sebuah masjid. Bila saya dekati dan bertanya mengapa?
Dia menjawab, “Saya sangat sedih, isteri saya meninggalkannya kami anak beranak selepas kembali bercinta dengan kekasih lamanya zaman sekolah.” Puncanya, perbualan biasa selepas re-union sekolah.
2. Kekasih Lama (Cinta Terhalang)
Saya pernah bertemu seorang sahabat (ustaz) yang berada dalam dilema bila bekas kekasih lama muncul kembali menagih cinta lama yang masih membara(baca: old fire).
Cinta mereka terpisah kerana dihalang ibu-bapa. Dia berkata, “kami terlalu mencintai.”
Saya memujuknya dengan berkata, “dia ada suami. Ustaz ada isteri. Anak masing-masing pun berderet. Hendak diapakan cinta itu?”
Bila dia memberi pelbagai alasan, saya terus menegaskan, “cinta bukan Tuhan. Hingga segala kehendaknya perlu diturutkan.” Bagaimana bertemu kembali? Lewat FB.
Ads
3. Hubungan Lelaki Lain
Saya pernah menghadapi seorang suami yang begitu terluka apabila mengetahui isterinya yang begitu disayanginya punya hubungan dengan lelaki lain.
Bila saya bertanya, sejauh mana perhubungan itu, dia menjawab, “belum ada hubungan badan, dating dan sebagainya. Tetapi mereka saling meluahkan perasaan, bertukar-tukar gambar dan berkongsi cerita masa lalu dan kini.”
Bila saya katakan tidak mengapa, kerana belum serius. Suami itu menjawab, “tetapi saya tidak sangka sama sekali isteri saya sanggup melayan hingga begitu sekali. Saya bertungkus lumus mencari rezeki, dia bersuka-suka, bergurau dan bercanda dengan lelaki lain.”
Masih cinta? Tanya saya. Bila dia mengiyakan saya pun berkata, “maafkan, jangan berdendam. Jika boleh belajar melupakan. Jika melupakan terlalu sukar, tidak mengapa. Tetapi jangan sampai itu semua mempengaruhi perjalanan rumah tangga selepas ini. Move on!” Pertemuan, lewat aplikasi messenger.
4. Selingkuh Rakan Sekerja
Ketika menjalankan program-program latihan lebih 24 tahun pada organisasi swasta dan kerajaan, banyak sekali saya temui kes selingkuh sesama rakan sekerja yang melibatkan isteri dan suami orang.
Saya melihat sendiri justifikasi Rasulullah SAW berpesan tentang hal ini pada khutbah baginda yang terakhir. Pada hal ketika itu, Islam sudah sampai ke kemuncaknya dan bibit-bibit empayar Islam sudah kelihatan.
Ads
Namun pesan Rasululllah SAW kembali kepada basic – soal asas dan teras – soal rumah tangga. Suami diingatkan, tentang kewajiban memberi nafkah, memberi kasih sayang, berlembut dan melayan isteri dengan baik. Bertanggung jawab.
Manakala isteri, dipesan dua perkara: Jangan membawa masuk orang yang tidak disukai suaminya ke dalam rumah dan dilarang melakukan zina! Jaga ikhtilat.
Hancur rumah tangga, hancur ummah. Justeru, kamu yang terbaik ialah kamu yang terbaik kepada keluarganya, begitu wasiat Rasululllah SAW.
Ikhtilat Media Sosial
Semasa forum Maulidur Rasul di PPUM baru-baru ini, Dai Anas (yang menjadi moderator) juga meluahkan kebimbangannya tentang kes-kes selingkuh yang semakin meningkat.
Menurutnya, itu yang dinyatakan oleh seorang pakar kaunseling yabg tersohor Tanah Air – Haji Husyim yang banyak berdepan dengan kes-kes perceraian angkara orang ketiga. Puncanya, ikhtilat di dalam sosial media!
Marilah kita berdoa, yang terlanjur silap, kembali bertaubat. Yang masih degil, menyedari kesalahan dan terus istighfar. Ya Allah, kerana cinta ku katakan jua hakikat yang pahit ini. ‘Auzubillah.
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang cukup membimbangkan apabila kes curang melibatkan orang ketiga semakin meningkat. Bukan sahaja orang muda namun golongan berusia juga tidak terkecuali. Semoga kita mengambil pengajaran dan nasihat yang dikongsikan ni, jagalah batas perhubungan di media sosial yang boleh menjadi punca bibit selingkuh.
Jaga aurat bukan hanya bila berada di luar rumah tapi ia juga bila berada di rumah terutamanya ipar duai, sepupu lelaki dan sebagainya. Jangan ingat ia tidak penting sebab ia berkaitan dengan dosa dan pahala.
Begitu juga bila wanita berkahwin, mungkin suami selesa mengajak isteri tinggal bersama ibu bapanya. Dari sinilah boleh timbul konflik sebab isteri kena jaga aurat, di mana ada abang atau adik lelaki yang belum berkahwin dan tinggal bersama-sama.
Jadi, suami jangan pandang ringan dan terlepas pandang bab-bab isteri kena jaga aurat ini. Bukannya nak dikatakan warak sebab bertudung 24 jam tapi ia berkaitan dengan dosa pahala.
Inilah pendapat bagi Akhtar Syamir tentang apa yang dikatakan dengan jaga aurat oleh seorang isteri bioa tinggal dengan keluarga ipar. Ada betulnya.
Emosi dan tekanan isteri yang mungkin suami terlepas pandang.
Jika anda pasangan yang baru berkahwin, sediakanlah tempat tinggal yang sesuai untuk isteri anda. Sebaik mungkin cubalah untuk menyewa sendiri. Biar apa pun terjadi, biar susah macam mana pun, ini adalah pengalaman baru bersama.
Kenapa perlu tinggal sendiri? Tak bagus ke tinggal dengan ahli keluarga? Tak bagus ke tinggal dengan mak kita?
Bab tinggal dengan ibu sendiri akan saya ulas nanti. Hari ini kita akan fokus keadaan dan betapa tertekannya seorang isteri apabila suaminya tidak memahami kenapa isterinya yang sedang mengandung tertekan dengan hidupnya semenjak selepas berkahwin lagi. Ia dikongsikan sendiri oleh sahabat saya.
Isteri ini tiada masalah dengan suaminya, masalah utamanya ialah keadaan di rumah apabila mereka ini tinggal sekali bersama keluarga kakak kepada suaminya. Kita biasa dengar kan, 2 hingga 3 keluarga dalam satu rumah? Kita juga biasa dengar yang ianya tidak digalakkan.
Kenapa?
Kerana bila tinggal dengan keluarga ipar, akan ada anak buah. Tambahan pula, ada adik ipar yang lain tinggal sekali. Nampak seperti tiada masalah kan? Sebenarnya ada. Kerana anak kepada kakak iparnya seorang lelaki yang sudah habis SPM, seorang lagi lelaki tingkatan 4 dan adik iparnya juga seorang lelaki yang sudah bekerja.
Ape masalahnya tinggal dengan ipar ni? Masalah sangat. Masalah paling utamanya ialah AURAT. Adik ipar dan anak buah suaminya bukan mahram. Isteri ini perlu menjaga auratnya
Bukan Perkara Mudah
SETIAP MASA semasa berada di rumah. Keluar sahaja pintu bilik, isteri ini perlu berpakaian seperti mahu ke kedai.
Nampak macam mudah. Tetapi ianya menjadi satu perkara yang amat menyusahkan bila perlu dibuat setiap saat dan ketika tidak kira nak pergi masak ke, basuh pinggan ke, basuh baju dan semua perkara asas yang lain.
Ianya umpama tinggal di penjara. Setiap gerak geri perlu dijaga. Bayangkan berada di tempat isteri ini yang berpeluh-peluh dengan tudung dan baju lengan panjang setiap kali berada di rumah. Tambahan pula dengan cuaca yang panas sekarang waktu itu.
Akhirnya, si isteri akan menghabiskan banyak masa di dalam bilik sahaja. Tv pun tiada untuk aktiviti isteri apabila pulang dari kerja. Termenunglah si isteri di bilik dengan permainan telefon zaman dahulu sambil mengira waktu suaminya pulang dari kerja untuk dijadikan teman bercakap.
Takkan nak lepak di luar berbual-bual dengan ipar lelaki setiap masa pulak kan? Lagilah tak sesuai.
Si isteri telah berbuih meminta diusahakan tinggal di rumah sewa sendiri namun tidak diendahkan. Sehingga si isteri mengalah dan tidak lagi berharap untuk dapat tinggal di rumah sendiri dan keluar dari penjara yang didudukinya.
Emosi dan hormon wanita mengandung ini amat tidak stabil. Suami wajib ambil berat. Perlu sangat utamakan emosi yang stabil buat isteri. Sepatutnya pada waktu ini, suami perlu memainkan peranan yang lebih dalam menjaga keperluan isteri tetapi sebaliknya yang terjadi.
Isteri terus memendam rasa setiap hari.
Melayan suami dan adik beradik sendiri itu lain dan jauh berbeza dari melayan ipar dan anak buah kepada suami yang sudah dewasa. Perkara normal seperti mengemas rumah dan dapur pasti menjadi masalah.
Situasi di mana rumah dan dapur perlu dibersihkan disebabkan oleh orang lain pasti menjadi perkara yang perlu dihadapi setiap hari. Lepas makan, tinggal. Ini bakal menambahkan tekanan emosi buat si isteri terutamanya bila sedang hamil. Dalam tidak sedar, isteri menjadi seperti seorang pembantu rumah.
Bimbang ianya akan menjadi tidak baik, saya nasihatkan wanita ini supaya tidak berhenti menerangkan kenapa mereka perlu tinggal sendiri. Jika dibiarkan pasti akan menyumbang kepada depresi.
Tanggungjawab Suami
Ingatlah para suami. Menyediakan tempat tinggal sempurna adalah tanggungjawab suami dan tidak termasuk di dalam pemberian nafkah pun lagi. Ini adalah perkara asas. Jangan pandang rendah mengenai hal ini.
Dan janganlah pandang ringan bab AURAT isteri. Suami wajib jaga dan pelihara. Jangan diseksa isteri itu. Menjaga aurat ini bukanlah perkara yang mudah terutamanya apabila ia perlu dijaga setiap masa walaupun semasa di rumah.
Apa pendapat anda semua mengenai situasi ini? Boleh tak letakkan diri anda di tempat si isteri ini? Saya boleh dan saya faham kerana isteri saya pernah sedikit sebanyak melalui zaman ini hampir 2 tahun lamanya. Memang sangat mencabar.
Kepada keluarga mentua juga, janganlah ditahan-tahan anak yang sudah berkahwin, biarlah mereka hidup sendiri dan menjalani kehidupan keluarga baru mereka. Sudah sampai masanya mereka pula membina dan menulis serta melukis diari hidup mereka sendiri.
Jika ditahan, jangan pula bising bila menantu berkurung seharian di dalam bilik. Fahamilah situasi menantu. Jangan ditambah tekanan yang sedang mereka alami.
Semoga suami seperti ini sedar akan tekanan yang ditanggung isterinya. Kasihanilah isteri anda. Jagalah emosi mereka.
BroOhsem
Mingguan Wanita : Kadang-kadang, orang ambil mudah tentang bab jaga aurat ini.
Anak-anak seharusnya digalakkan untuk menunaikan solat di masjid sejak dari kecil, agar jiwa mereka subur dan dekat untuk mencintai rumah Allah ini. Mak ayah juga pastinya tahu dan bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak mereka, bersih daripada najis mahupun segala kekotoran sebelum datang ke masjid. Ini kerana kebersihan diri dan tempat solat merupakan salah satu syarat sah sembahyang.
Namun terkilannya, terdapat segelintir jemaah masjid mempunyai persepsi dan merasakan anak-anak tidak sesuai solat di masjid serta dianggap ‘kotor’ kerana tidak tahu menjaga kebersihan diri.
Situasi ini dialami dan dikongsikan oleh Puan Syahidah Mardhiah Azmisendiri, yang rasa cukup terkilan apabila anak-anaknya dihalau daripada menunaikan solat didalam masjid kerana dianggap ‘kotor’. Menurut wanita ini, beliau datang ke masjid bersama 4 orang anak angkat( yang merupakan anak jiran) selain 2 orang anak sendiri yang berumur 2 dan 5 tahun.
Berikut luahan yang wanita ini kongsikan;
“Semalam saya kena halau masa nak solat dengan anak-anak 5 orang di masjid. Sedih saya. Masa saya nak pilih telekung untuk anak-anak, ada makcik tak bagi ambil. Dia kata anak-anak saya tak bersih. Dia beri 2 helai je telekung yang dah memang kotor. Lepas saya ambil dia kata, “Haa, dah pergi solat luar. Budak-budak tak bersih.”
“Saya terkejut. Menggigil tangan nak marah. Lepas dia kata tu, saya keluar masjid. Saya duk luar 2 minit. Saja nak redakan emosi. Lepas tu saya masuk balik.”
“Saya pergi dekat makcik tu. Saya kata, “Makcik, anak-anak saya tak kotor. Sampai hati makcik cakap gitu dekat anak-anak saya. Yang saya bawak ni semua anak-anak pondok, makcik. Bersih hati mereka. Saya dari Pasir Puteh. Jauh saya datang. Saya singgah solat masjid ni kejap je.”
Makcik tu kata, “Budak-budak ni lepas main pastu datang masjid. Tu yang kotor. Pastu nak solat.”
“Allahuakbar. Anak-anak saya 6 orang ni baru je saya mandikan sebelum keluar rumah pukul 7.30 petang tadi. Sebelum masuk masjid, saya basuh kencing anak-anak 5 orang ni dengan tangan saya sendiri. Saya pantau diorang ambik wudhuk. Sedih saya orang kata anak saya macam ni.”
“Lepastu saya bukak tudung saya. Saya pakaikan dekat anak yang paling besar 8 tahun. Saya kata, “haa pakai ni. Tudung ciksya tak kotor pun. Boleh pakai solat. Awak pun tak kotor, sayang. Ok semua jom kita solat. Yang takde telekung pun ikut ciksya.”
“Saya imamkan 5 orang anak saya. Ada pakai seluar pendek, ada yang tudung pun tak pakai. Anak saya yang umur 8 tahun jawab bila ada orang tanya, “Takpe tak sempurna pun asalkan solat. Kan ciksya?”
“Dia ulang balik ayat saya kata pada dia masa solat Asar tadi. Saya sedang pindah rumah. Saya bawak semua anak-anak 6 orang. Semua barang duk dalam kotak lagi. Nak cari telekung pun tak tahu kotak mana satu. Saya solat dengan pakaian saya. Anak-anak saya pakaikan tudung saya. Kepala tutup kaki togel.Saya kata takpelah asalkan solat.”
Doa Allah Hilangkan Kesedihan
“Lepas solat, saya masih lagi sedih. Saya doa moga Allah hilangkan kesedihan saya. Moga Allah beri kefahaman pada makcik tersebut. Moga Allah berikan saya dan anak-anak kesabaran untuk menghadapi ujian ini.”
“Masa tu ada ustaz tengah mengajar. Sambil sangkut telekung, sambil dengar. Ustaz kata, kita yang asyik datang masjid ni, jangan duk rasa diri tu dah hebat ye. Allah tak jamin lagi orang datang masjid ni masuk syurga.”
“Hmm rugilah kamu, makcik. Tak dapat apa. Ustaz mengajar kat depan, makcik mengajar kat belakang.”
“Dalam perjalanan pulang, saya tanya suami saya, “apa ye perasaan orang yang baru nak berubah, dia baru nak dekat-dekat dengan masjid, lepas tu jumpa makcik bawang yang macam tadi tu?”
Suami saya kata, “orang macam ni lah sebenarnya yang buatkan orang muda taknak pergi masjid. Kita baru nak kenal masjid, kena pulak macam tu. Sudah tentulah orang tu makin jauh dan duk asyik rasa diri tak layak nak jadi baik. Lepastu selama-lamanya dia lalai. Berdosa orang macam ni”.
Hidup Di Dunia Tak Terlepas Dari Ujian
Begitulah kita hidup di dunia ini tak terlepas dari ujian. Orang yang hidupnya rajin beribadah, dia diuji dengan penyakit hati. Merasakan diri sudah dijamin syurga. Manakala kita yang masih lalai ini, diuji pula dengan rasa tak layak nak jadi baik. Duk rasa diri dah pun dijamin neraka.
Kita ni kalau tak mampu nak tarik orang dekat dengan agama, jangan pulak kita jadi penyebab orang makin jauh dari agama. Cukuplah berdiam diri kalau tiada apa yang baik untuk diperkata, dan tunjukkan akhlak yang mulia walaupun kita ni penuh aib dan dosa.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Anak-anak seharusnya digalakkan mendekati rumah allah ini dan rajin solat di masjid. Ubah persepsi bahawa masjid selayaknya hanya untuk orang dewasa.
Seharian mak buat kerja rumah, penatnya membawa ke malam. Mak yang ada anak kecil lagilah penatnya berganda. Kena pula berjaga malam, menyusukan anaknya dengan susu badan. Kadang tak sedar, mak boleh terlelap sama.
Rupanya dalam pada mak terlelap sekejap, macam-macam boleh berlaku. Dan inilah yang dialami oleh ibu ini, Cik Puan Ammy yang alami pengalaman anak tersedak susu. Mujurlah ibunya tersedar awal dan anaknya dapat diselamatkan.
Beliau berkongsi ingatan untuk dirinya agar kelak tiada lagi kejadian yang sama berlaku kepada dirinya lagi. Kejadian menakutkan ini juga mungkin pernah mak-mak alami. Lagi-lagi bila tubuh penat seharian bekerja, dalam masa sama tuntutan menyusukan anak perlu dilunaskan. Moga diberi kekuatan untuk ibu-ibu yang berhadapan situasi ini.
Tengok-tengok Anak Terbatuk-batuk Dan Bernafas Laju
Jam 3 pagi, Ammy dikejutkan dengan bunyi seperti sudu terjatuh di atas simen. Mungkin ianya satu mimpi kerana dapur jauh berada di belakang dan pintu bilik tertutup rapat.
Tidak mungkin kedengarannya jelas seolah-olah berada di hujung telinga. Seperti biasa bila terkejut daripada tidur, perkara pertama yang Ammy perhatikan adalah Mahsuri. Allahu rabbi…
Kelihatan Mahsuri seperti terbatuk-batuk dan nafasnya laju. Tangan dan kakinya sejuk. Tiba-tiba Ammy teringat yang dia baru lepas menyusu (brestfeeding) dan mungkin Ammy tertidur sehingga tidak tahu bila masa dia berhenti.
Ammy segera mengangkat Mahsuri dan memangkunya di bahu, suami Ammy pun turut sama membantu menepuk-nepuk dan mengosok-gosok belakang Mahsuri. Tiba-tiba…. Burppp!
Mahsuri sendawa diikuti dengan muntah susu yang berketul-ketul. Tersedak susu rupanya anak Ammy. Bila sahaja muntah itu keluar, suhu badan Mahsuri mendadak naik. Tidak lagi sejuk seperti sebelumnya. Sebelum ini Ammy selalu dengar tentang bayi tersedak susu serta risikonya. Allahu Akbar..
Terima kasih Ya Allah kerana lindungi anak Ammy dan mengejutkan Ammy dari tidur.
4 Tip Hati-hati Semasa Menyusukan Anak
Satu pengajaran buat Ammy. Selepas ini Ammy akan berhati-hati dan pastikan:
1. Temani anak menyusu walau bagaimana penatnya seharian bekerja.
2. Jangan tidur sebelum anak habis menyusu.
3. Pastikan anak dalam keadaan selesa, susu yang diminum atau makanan yang dimakan telah dihadam sebelum mereka tidur.
4. Pastikan situasi anak nyaman sebelum kita melelapkan mata, tidak kiralah anak kita masih bayi ataupun telah dewasa.
Ini Pengajaran Yang Ammy Dapat
Sesungguhnya bagi kita sebagai seorang ibu, walaupun anak kita sudah punyai keluarga sendiri dan pandai jaga diri, namun mereka masih anak-anak kecil dimata kita. Masih perlukan kasih sayang kita, perhatian kita dan yang lebih penting doa restu daripada kita.
Semoga Allah SWT sentiasa melindungi anak-anak kita. Amin.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...