Sedih hanya Tuhan saja yang tahu bila suami sindir penampilan diri dah macam orang gaji. Ikuti luahan rasa seorang isteri kepada MW.
Saya berusia 32 tahun dan mempunyai empat orang anak yang berusia tujuh, lima, empat dan tiga tahun. Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Suami pula bekerja sebagai seorang akauntan.
Sebelum berkahwin, saya berkhidmat di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang agak lumayan. Namun selepas berkahwin, saya mengambil keputusan untuk melupakan dunia pekerjaan demi memberi fokus kepada keluarga. Alhamdulillah, suami seorang yang bertanggungjawab dan menyediakan segala keperluan keluarga. Malah, saya juga diberikan wang untuk perbelanjaan untuk diri sendiri.
Sibuk Dengan Anak-Anak
Saya dan suami memang sukakan budak-budak. Jadi kami sepakat untuk memiliki anak yang ramai walau pun tidak pernah menetapkan jumlah berapa orang. Syukur, kami dikurniakan empat cahaya mata lelaki yang comel.
Namun, kehidupan dengan empat orang anak kecil bukan mudah. Saya tidak mempunyai pembantu rumah dan segala urusan rumah tangga diuruskan saya sendiri. Saya terima semua itu sebagai satu tanggungjawab. Sehinggalah memiliki tiga cahaya mata lelaki.
Kesemua mereka sangat lasak dan memerlukan pemantauan yang rapi. Ini membuatkan saya semakin rasa terbeban. Suami pula seorang yang tidak suka makan di luar. Jadi, saya perlu masak setiap hari. Tapi dengan keadaan anak-anak, saya tidak cukup tangan. Ini membuatkan saya rasa tertekan.
Urus Anak Hingga Tak Ada Masa Urus Diri
Sehinggalah saya melahirkan anak saya yang keempat yang kini berusia tiga tahun, juga lelaki. Bayangkan, saya perlu menjaga dan mengawal empat budak lelaki yang lasak-lasak. Saya semakin tidak cukup rehat dan keadaan diri semakin tidak terurus. Sedangkan dahulu saya cukup menjaga penampilan saya.
Pernah saya sarankan pada suami untuk mengambil pembantu rumah, tetapi suami menolak. Katanya tak ‘privacy’. Saya cadangkan pula mengambil pembantu harian, datang pagi dan balik petang. Sekurang-kurangnya jika suami balik ke rumah, pembantu itu juga sudah tiada. Tetapi, suami juga tidak bersetuju. Saya sendiri tidak faham mengapa dia tidak bersetuju.
Ads
Sikap suami juga menambah tekanan saya. Ya, dia baik dan bertanggungjawab tapi dia tidak pernah membantu saya melakukan apa saja kerja rumah. Pinggan makannya sendiri pun tidak dicuci. Hendak tolong tengok dan jagakan anak-anak pun, pasti ada saja alasannya. Bila anak-anak bergaduh dan menangis, dia lari ke bilik dan kunci pintu. Saya juga yang kena menghadap kerenah anak-anak. Bagaimana saya tidak semakin tertekan?
Mula Komen Penampilan Isteri
Akhirnya kesabaran saya runtuh bila baru-baru ini suami mula menyindir saya yang kini sudah macam ‘bibik’ katanya! Saya rasa sedih, marah dan kecewa. Bagaimana saya nak uruskan diri jika urusan di rumah tak putus-putus? Dah bertahun tidak ke spa atau ke salon.
Kadangkala nak mandi pun tak boleh lama jika anak-anak sudah mula menjerit dan menangis. Dia juga komen, rumah semakin bersepah. Jalan sana sini terpijak mainan anak. Bukan saya tak kemas, tapi anak-anak akan sepahkan semula. Bila suami mula kritik itu dan ini, saya tambah tertekan.
Saya hanya memerlukan pemahaman suami untuk sama-sama memikul tanggungjawab di rumah. Jika dia penat bekerja di pejabat, saya juga penat di rumah. Dari pagi, berulang alik menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan ke tadika. Bila saya nak minta anak naik van sekolah, suami tak setuju. Katanya lebih Selamat jika saya yang hantar. Kadangkala saya terfikir, apakah suami memandang rendah pada saya kerana saya tidak bekerja?
Apakah saya ini dianggap seperti orang gaji? Apakah suami ingat saya hanya makan tidur saja di rumah dan tidak membuat kerja rumah? Saya dan suami sendiri sudah semakin jarang berbual mesra. Bagaimana saya nak luahkan perasaan saya ini padanya? Kalau saya tahu begini perubahan sikapnya, baik saya beranak ramai!
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Anak-anak adalah anugerah Allah untuk kedua ibu bapa. Mereka adalah penyambung generasi ummah. Ia adalah amanah yang Allah berikan untuk dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Amanah ini akan dipersoalkan di akhirat nanti apakah ibu dan bapa menjaga dan mendidik anak-anak itu untuk menjadi insan bertakwa.
Memelihara dan mendidik anak-anak untuk menjadi insan bertakwa bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, ketahanan yang tinggi dan kemahiran dalam mendidik mereka, apatah lagi dalam dunia serba mencabar ini. Bertambah mencabar jika hanya seorang sahaja berperanan dalam memelihara dan mendidik anak-anak. Pasangan yang kurang membantu menjadikan tugas mendidik semakin terbeban. Sebaliknya, ibu bapa yang tahu bahawa ini adalah amanah Allah, menganggap bahawa ini sebagai satu anugerah Allah yang tiada nilai.
Maka antara kemegahan ibu bapa apabila menceritakan anaknya yang ramai dan keletah anak-anak. Begitulah indahnya memiliki anak-anak. Anak-anak adalah satu rahmat, hingga antara perkara yang dapat menolong ibu bapa apabila meninggal adalah doa daripada anak-anak yang soleh. Allahuakbar….
Ads
Perlu Kemahiran Didik Anak
Bagi membantu meringankan bebanan puan, mungkin perkongsian ilmu boleh membantu masalah yang puan hadapi. Mendidik anak juga memerlukan kemahiran. Ibu ibarat sekolah kepada anak-anak. Anak-anak boleh dilatih sejak daripada kecil. Mendisiplinkan mereka memerlukan ketegasan, namun dalam kasih sayang.
Ibu perlu bijak menangani karenah mereka. Anak-anak perlu dididik kenapa perlu ada peraturan sehinggalah mereka mencapai tahap kematangan. Ketika itu maka kita sebagai ibu akan rasa puas hati didikan kita menjadikan mereka manusia yang berdisiplin. Pastikan anak solat pada waktunya kerana solat boleh membentuk peribadinya. Seminggu sekali atau dua kali bacakan buku cerita teladan agar anak terdidik dengan akhlak yang baik.
Ujian Untuk Dapat Pahala
Berbalik kepada masalah suami yang tidak membantu puan dalam kerja rumah dan mendidik anak-anak, anggap ini adalah ujian buat puan. Ujian untuk mendapat pahala yang akan Allah berikan kepada puan yang bersabar dan gigih dalam mendidik anak-anak. Ianya akan berlalu dalam satu tempoh hingga anak-anak membesar. Apabila suami menegur, bermaksud dia sayangkan puan dan mahu puan punya penampilan agar dia senang memandang puan. Puan sendiri mengatakan bahawa suami seorang yang baik dan bertanggung jawab terhadap keluarga. Alhamdulillah.
Dalam hal ini, puan perlu mencari ruang bagaimana untuk menjaga penampilan. Belajar melakukan kerja dengan cepat dan kemas. Tidak dinafikan menjadi suri rumah memang penat dengan tugas rumah yang tidak henti. Namun, kekemasan itu boleh dipelajari hingga puan boleh jadi mahir dengan kerja rumah. Sesekali jangan longgok baju kotor atau rumah bersepah dan jangan menangguhkan kerja kerana itu akan menjadikan puan akan lebih penat untuk menyimpannya. Ajak anak untuk melakukan bersama, walaupun sukar untuk meminta mereka lakukannya, namun terus disiplinkan mereka.
Berbual Dan Luahkan Pada suami
Puan yang dirahmati Allah. Masih ada ruang dan peluang untuk berbual dengan suami. Jika tidak dapat berbual secara bersemuka, gunakan telefon bimbit untuk menyatakan. Walaupun suami tidak membalas, jangan kecewa. Terus berusaha. Baca buku wanita berjaya dan yang diuji dengan pelbagai cabaran. Lazimnya mereka akan jadi kuat dengan ujian yang menimpa. Puan perlu berusaha mencari ruang untuk diri sendiri dengan melakukan apa yang puan minati tanpa mengharapkan suami membantu puan untuk mengurangkan tekanan itu.
Minta izin pada suami jika puan benar-benar tertekan untuk pulang sendirian ke rumah ibu bagi mencari ketenangan. Atau ke tempat yang puan rasa boleh mengurangkan stres. Dengan anak-anak pula, gunakan dendaan seperti puan akan bawa diri jika mereka degil atau tidak mahu melakukan tugas rumah. Percayalah mereka akan tercari-cari jika puan tiada. Teringat saya akan cerita “Batu Belah Batu Bertangkup”….. boleh gunakan ini jika anak tidak mendengar kata…..
Akhir sekali banyakkan solat, khususnya solat malam, membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat agar puan dapat mengharungi kehidupan ini dengan tabah. Di samping itu, mendoakan agar suami mahu membantu puan melakukan kerja-kerja rumah. Jiwa akan jadi tenang jika banyak ingat Allah SWT.
Artikel: Puan Maimunah Muhamad, Kaunselor, juga penulis di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dapat jadi tetamu Allah pun salah satu rezeki juga, nak-nak pula pergi dalam waktu usia yang muda bersama orang tersayang.
Syukur alhamdulillah dan bagi anda yang teringin sangat nak ke sana, boleh praktikkan tip Puan Hajjah Rohana Saad ini.
Nak Dapat Peluang Jadi Tetamu Allah
Petua seorang sahabat katanya kalau nak sangat pi Tanah Suci selalu lah bertalbiah “Labbaika Allahumma labbaika, labbaika la syarikalaka labbaika, innal hamda wan nikmata laka wal mulka la syarika lak.”
Dia ikut petua kawan dia tu selalulah dia bertalbiah dan tak sampai setahun dia jadi Tetamu Allah. Ramai juga yang maklumkan mereka ikut petua ini dan dijemput menjadi tetamu Allah.
Seorang lagi sahabat bagi petua, katanya kalau nak sgt pergi haji, pergi je kursus haji walaupun waktu giliran tu jauh lagi.. Allah akan tenguk usaha dan semangat kita, insyaaAllah cepat sikit Allah jemput.. Aamiin.
Selain di atas ada sahabat lain memberi petua ialah selalu lah kita mendoakan orang lain untuk jadi Tetamu Allah, kita jangan kedekut untuk mendoakan untuk orang lain. InsyaaAllah malaikat akan mendoakan untuk kita pula.
Petua akhir, kita hendaklah selalu meraikan saudara mara atau sahabat handai yang akan ke Tanah Suci samada pergi untuk melaksanakan ibadah umrah atau haji dengan memberi sedikit sumbangan dengan seikhlasnya tanpa mengharap cenderahati dari Tanah Suci.
Boleh di beri sumbangan kewangan atau telekung dan sebagainya keperluan ke Tanah Suci. InsyaaAllah penerima sumbangan kita yang menjadi tetamu Allah tersebut dengan seikhlasnya akan mendoakan buat kita menjadi tetamu Allah pula.
Tak salah kita ikut petua-petua ni sebagai salah satu usaha kita selain berdoa. Allah tidak menjemput orang yang mampu tetapi memampukan sesiapa yang mahu dan rindu. Semoga Allah menjemput kita semua menjadi tetamuNya.. Aamiin.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Umur 17 tahun tak pernah kena pukul. “Mak kamu memang tak sayang anak.’ Dalam usia 17 tahun, macam-macam anak pernah lalui, menipulah mak-mak langsung tak pernah marah atau tegur anak untuk kebaikan.
Pukul anak dengan tujuan untuk mendidik sudah tentu lain caranya, daripada memukul membuta tuli mengikut emosi. Sehari dua ini, tular video seorang ibu yang kurang puas hati dengan tindakan seorang guru memukul anaknya.
Ikuti perkongsian Cikgu Nurul Safinah dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan:
Umur 17 Tahun
Saya marah.
Tak boleh sabar dah. Masuk kelas sudah lewat. Itu pun masuk sebab kena hambat dengan cikgu disiplin.
Masuk-masuk dia buat lawak bodoh. Kacau kawan yang tengah belajar. Berlari-lari macam budak tak cukup umur dalam kelas. Kena tegur baik-baik pun lagi mahu tunjuk mengada.
Saya capai fail. Saya cepuk belakang badan dia. Sedebuk kena.
Tak Pernah Kena Pukul
“Cikgu! Mak saya tak pernah pukul saya!”
Dia herdik saya. Mata dia sengaja dibulat-bulatkan. Tak padan kecik. Tak padan pendek. Dia ingat saya takut.
“Umur kamu berapa tahun?”
“17. Kenapa?!”
“Dah 17 tahun, mak kamu tak pernah pukul kamu? Tak pernah rotan kamu? Huh! Mak kamu memang tak sayang kamu!
Kamu tahu tak, dalam Islam, kalau umur 10 tahun tak solat, sudah boleh rotan. Kalau 17 tahun kamu tak pernah kena dengan mak kamu, mak kamu rugi! Sebab tak guna hak dia sebagai mak untuk didik kamu jadi baik!
Mak, kalau dia sayang anak dia.. dia tak nak anak dia berdosa masuk neraka. Dia tak akan bagi anak dia jadi kurang ajar, kurang asam.
Dia tidak akan bagi anak dia jadi jahat. Kalau kamu tak pernah kena pukul dengan mak kamu, confirm kamu anak yang tak disayangi!”
Panjang saya ceramah. Saya peduli apa. Suara saya agaknya dah sampai bangunan sebelah. Nak sangat main dengan nama mak kan? Hambek!
Dia diam. Saya tunjuk kerusi, suruh dia duduk. Dia duduk. Lepas itu, dia diam. Saya sambung mengajar.
Pergi satu-satu meja tanya sorang-sorang faham ke tidak. Sampai ke meja dia, saya suruh dia salin contoh di depan.
Tak marah. Lembut saja saya suruh. Saya bukakan buku tulis dia. Suruh dia salin lagi. Masih bekukan diri.
Memang Tak Sayang Anak
Saya pergi meja murid lain. Buat benda yang sama. Tanya lagi, faham ke tidak. Tengok buku tulis mereka sama ada sudah salin ke belum. Yang tak ada pensel, saya bagi pensel saya.
Esoknya, masuk kelas dia lagi. Dia sudah ada dalam kelas. Duduk diam. Tapi buat-buat tidur.
Esoknya lagi, jumpa lagi. Dah mula buka buku tulis. Tapi tak nak bercakap dengan saya.
Lama dah kisah ni.
Lama sudah simpan.
Hari ini baru nak kongsi.
Buat Salah Kena Minta Maaf
Mak-mak sekalian.. Anak-anak kita ini bukan degil. Malah, anak-anak kita ni bukan kurang ajar. Apatah lagi, diorang bukan bodoh.
Yang degil, yang kurang ajar, yang jadi bodoh sebab kita mak-mak ini kurang berdoa untuk mereka. Kurang minta pertolongan dengan Allah supaya jaga anak-anak kita ni. Kita lupa power of doa seorang emak.
Malah, kita tahu syurga mereka di bawah tapak kaki kita tapi kita lupa tangan kita dekat atas ini pegang kunci syurga untuk mereka.
Kita yang salah. Sebab kita tak tunjuk kasih sayang kita dengan betul. Dan juga kita tak tunjukkan pada mereka benda salah kena betulkan.
Bila buat salah kena minta maaf. Kalau hendak sesuatu kena minta izin. Nak bercakap dengan sesiapa kena beradab.
Kita yang salah. Sebab kita perempuan. Perempuan kan selalu rasa betul. Mana pernah salah!
Mingguan Wanita : Semoga kisah ini menjadi iktibar buat mak-mak dalam mendidik anak. Memukul anak dengan niat mendidik tidak bermakna kita seorang ibu yang kejam.
Hidup zaman sekarang, laki bini sama-sama penat keluar mencari rezeki. Jadi jangan kedekut nak bagi ‘me time’ pada si dia, sama ada suami atau isteri masing-masing perlukan masa untuk dia menyendiri dengan Allah.
Kadang balik rumah pun stress di tempat kerja masih tak hilang, maka dengan sedikit ‘me time’ si dia akan dapat kekuatan luar biasa nak teruskan tanggungjawab.
Agaknya kalau diberi ‘me time’ buat kaum suami apa yang mereka boleh buat? Patut tak kaum mak-mak bagi masa itu? Haaa… nak tahu nikmat ‘me time’ buat kaum suami, jemput baca perkongsian Puan Nurul Ilyani ini.
Galak suami ‘me time’ masa solat jemaah di hari cuti, kemudian isteri pula..
Hari cuti, isteri pun nak rehat. Suami pun nak rehat. Kerja penat seminggu. Rumah mesti sepah. Baru nak layan kain baju. Mesti nak masak juga. Anak nak layan juga. Tapi, nak buat yang mana dulu?
Dapatkan rehat dan ‘me time’ dulu.
Kawan,
Saat kita kahwin, kalau kita ada blue print dan perancangan, mesti boleh berbincang. Yang selalu jadi isu, kita suami isteri tidak tahu hala tuju perkahwinan, ‘just let it goes with the flow’, kata omputih.
Komunikasi adalah basic untuk ada hubungan yang tenang. Dengan suami, dengan isteri, dengan anak.
1. Solat jemaah sebagai ‘me time’
Sekurang-kurangnya dapatkan 3 kali ‘me time’ untuk suami, lebih kurang 20 minit setiap sesi.
Boleh pilih. Lepas maghrib, jangan tunggu lama. Terus balik, kadang-kadang isteri tertunggu-tunggu suami tolong jaga anak, dia nak solat. Maghrib masa pendek.
2. Galak bukan paksa
Kawan,
Dengan suami tak boleh paksa-paksa. Yang boleh kita buat galak. Nak galakkan pun ada cara. Kenapa saya suka beri idea ‘me time’ masa solat jemaah di masjid?
Sebab, suami saya buat benda yang sama, saya nampak suami lebih gembira walaupun waktu lain dia jaga anak dan kemas rumah masa cuti.
3. Jangan ambil kesempatan
Kalau suami baik hati yang sanggup beri ‘me time’ sepanjang hari, malah isteri masak saja, isteri jangan pula ambil kesempatan. Beri juga ‘me time’ pada suami. Jadi, suami saya selalu pilih masa solat jemaah.
4. Waktu ‘me time’ isteri
Isteri boleh request ‘me time’ waktu lain. Masuk bilik, baca buku. Chatting dengan kawan, atau keluar minum-minum. Suami saya selalu suruh saya keluar minum waktu dia cuti, tapi tiada kawan pula nak minum.
Jadi selalunya waktu ‘me time’ saya menulis.
Apapun, kena banyakkan komunikasi. Banyak jampi-jampi sikit dengan suami, biar lembut hati.
InshaAllah, hidup pun tenang.
Kahwin dan beranak pinak satu projek kerjasama dua orang. Perlu banyak pengorbanan, bertolak ansur, memahami, empati dan saling menyokong.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...