Sebelum kahwin, baik suami mahupun isteri tak tahu perangai sebenar pasangan. Bila dah lama berumah tangga barulah semua terserlah. Masa itulah, ada perangai pasangan yang tak berkenan.
Lama-lama menyimpan perasaan, itu yang akhirnya jadi tak terluah. Lagi-lagi bila dah berbuih menasihati, perangai pasangan tetap juga tidak berubah.
Sebenarnya, ada cara nak meredakan hati yang amarah itu. Ustaz Khairul Anuar Basri berkongsi tip untuk mendidik hati agar menerima pasangan seadanya.
Kita Tak Tahu Perangai Sebenar Pasangan..
Saya pernah terfikir macam ni tau.
Masa kita belum kahwin dengan pasangan kita, kita tak tahu perangai sebenar pasangan kita. Apa yang ditunjuk kepada kita hanya yang baik-baik.
Alaaa… kita pun sama jugak la kan. Yang tak baik semuanya selagi boleh sorok, kita akan sorok.
Tambah pulak masa bercinta, memang semua benda pun nampak lawa. Bak kata orang, kentut pun wangi. Cinta itu selain daripada buta, ia juga membutakan. Sikit sebanyak tak suka tu kira halal la.
Bila dah kahwin, baru kita betul-betul kenal warna sebenar pasangan kita. Nampak segala yang kita tak berkenan. Terserlah segala yang kita tak suka.
Benda kecik pun boleh jadi besar. Benda remeh pun tak boleh nak tolak ansur.
Mustahil la ada sebuah keluarga yang aman damai sehingga ke akhirnya. Mesti ada juga perselisihan faham dan gaduh-gaduh manja. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Kan?
Bahkan kadang-kadang, ada saling terasa hati. Ada yang bermasam muka. Ada yang sampai ke peringkat terpikir nak berpisah walaupun tak bercerai.
Si suami atau si isteri, masing-masing ada kekurangan dan kelemahan. Masing-masing ada sisi negatif dan perangai hodoh. Masing-masing ada dosa terhadap pasangan masing-masing.
Jadinya macamana tu?
Tak Mudah Nak Ubah Perangai Sebenar Pasangan
Nak diubah perangai, itu bukan kerja mudah. Dah bertahun-tahun perangainya macam tu. Dah takde harapan dah kalau nak ubah pun. Sebab masing-masing pun dah semakin hari semakin tua.
Kerak nasi kalau awal-awal, senang je nak dibersihkan. Tapi kalau dah lama, melekat kat periuk dan terpaksa disental dengan berus besi baru hilang.
Belum dicampur dengan ego masing-masing lagi. Belum dikira kalau masing-masing buat senyap dan bisu lagi.
Buka mulut je bergaduh. Bunyi suara je bertekak. Lepas tu macamana nak mula bercakap dan berkomunikasi dengan baik?
Last-last semua diam membisu. Bertahun-tahun tak bercakap. Masing-masing buat hal masing-masing.
Anak-anak yang tengok pun kadang-kadang serba salah. Almaklumlah anak-anak pun dah makin dewasa. Mesti perasan mak dan ayah tak berapa nak mesra.
Kalau mak dengan ayah ringan mulut, diorang akan cerita perasaan yang dipendam sekian lama kat anak-anak. Kalau mak dengan ayah yang jenis berahsia, sampai bila-bila la suasana muram ni akan berlarutan.
Nak ditegur, dikatakan nak mengajar mak ayah. Silap-silap cara tegur, dikatakan sebelahkan mak atau ayah. Serba salah jugak anak-anak bila berhadapan situasi ni kan?
Redhai Dan Maafkan Pasangan
Kawan-kawan…
Kita hidup di dunia ni sekejap je. Tak berapa tahun lagi kita pasti akan mati. Lepas tu duduk dalam kubur sekejap sementara dibangkitkan semula di hari akhirat.
Dan lepas dah kira semua amalan, pergi pula ke titian sirat. Lepas tu akan ditentukan kita ni masuk syurga atau neraka.
Malang sungguh la kalau kita masuk syurga sedangkan pasangan kita masuk neraka. Atau sebaliknya, malang sungguh la kalau pasangan kita masuk syurga sedangkan kita tercampak ke dalam neraka.
Semuanya gara-gara dosa dan kesalahan yang kita lakukan terhadap pasangan masing-masing. Dosa dan kesalahan yang tak sempat kita nak minta maaf semasa hayat kita di dunia.
Nak keluar dari masalah ini senang saja. Suami tolong redha dan maafkan segala salah dan dosa isteri. Isteri tolong redha dan maafkan segala salah dan dosa suami.
Jika suami dan isteri saling maaf memaafkan dan redha meredhai, dengan sendirinya dosa masing-masing terhadap pasangan akan terhapus. Then, dua-dua sekali akan berkumpul di syurga bersama anak-anak yang tercinta.
Dalam syurga nanti, dah takde permusuhan dan sengketa. Dah takde masam muka atau berduka lara. Semua yang happy-happy saja. Selama-lamanya.
Baca : Pasangan Buat Perangai Adalah Ujian, Suami Itu Jalan Buat Isteri Dapat Kebaikan
Ada Ketika Kecil Hati Dengan Isteri
Saya sendiri ada kadang-kadang kecil hati dengan isteri saya. Tak semua benda yang saya nasihat dia dengar. Tapi saya abaikan dan maafkan saja. Sebab saya nak kami sama-sama masuk syurga dengan aman nanti.
Saya harap isteri saya pun sama. Kalau ada kelakuan buruk dan dosa yang pernah saya lakukan terhadapnya, maafkanlah saya walaupun saya tak minta maaf.
Sampai bila dan ke mana nak dibawa rasa marah? Sudah-sudah la tu. Berdamai sajalah dengan diri sendiri.
Memaafkan ini bukan saja sifat yang mulia. Tapi ia ubat penenang jiwa di kala lara. Tidur malam pun tenang bila kita sentiasa maafkan kesalahan orang lain. Taknak panjang-panjang dan lama-lama dalam keadaan marah dan sakit hati.
Semoga dengan kemaafan yang saya berikan kepada isteri saya, Allah akan ampunkan segala dosa saya terhadapNya. Tak kira la yang sengaja atau pun yang tak sengaja.
Amin ya Allah.
#KAB
Sumber/Foto : Khairul Anuar Basri
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bahagianya ada suami yang benar-benar kasih setulus hati. Biar pun isteri tak lagi cantik seperti masa bercinta. Malah fizikalnya berubah selepas melahirkan anak-anak, beruntunglah jika suami tak mempersoalkan.
Perkongsian daripada Cik Puan Intan Dzulkefli (Nurul Intan safinah Dzulkefli) ini cukup besar ertinya buat pasangan suami isteri. Kalaulah suami-suami di luar sana dapat menjadi setia dan sentiasa memberi kejutan istimewa kepada isterinya alangkah indahnya hidup ini.
Muka Isteri Kusam, Rambut Gugur, Ini Kejutan Suami
Sejak bersalin anak ketiga mukanya memang kusam teruk. Lepas habis pantang perut buncit ya robbi. Rambut banyak gugur macam orang lepas kimo. Bila balik kampung semua tegur mukanya nampak tua. Umur baru 20-an dah nampak macam hujung 30-an. Berdiri dengan suami nampak macam dia kakak suami. Komen orang sekeliling betul-betul buat dia rasa rendah diri di hadapan suami.
Saya tanya, “Suaminya ada komplen ke?”
Dia jawab, “tak pernah.”
“Tiada apa yang berkurang malah kadangkala tengah malam selalu terasa suami mencium wajah saya sambil ucapkan terima kasih sebab jadi isterinya & didik anak-anak sementara dia kerja, bacakan doa pada ubun-ubun.”
“MasyaAllah… beruntungnya akak.” Kata saya.
Baru-baru ini dia bercerita lagi.
“Haritu masa balik cuti beraya, ada ahli keluarga perli saya nampak macam dah beranak 10 orang. Perut buncit macam mengandung 5 bulan. Mereka suruh saya makan jamu. Takut nanti suami cari lain sebab tak selera dengan saya. Suruh saya pergi spa sebab muka kusam.”
“Saya menangis masuk bilik. Suami ikut saya masuk apabila lihat saya lain macam. Saya marah-marah suami & mula menuduh suami. Saya rasa memang betul apa mereka cakap. Mungkin suami hanya simpati dengan saya sebab saya bersusah payah beranakkan anak-anaknya. Mungkin dia pun dah hilang nafsu pada saya. Saya dah buruk. Saya dah gemuk. Saya dah hodoh. Muka tua. Saya betul-betul rasa kecewa dengan diri sendiri. Kenapa wanita lain lagi ramai anak dari saya tapi tetap cantik. Kenapa saya buruk sangat.”
“Dan akhirnya suami saya peluk saya sambil menangis. Dia kata dia tak pernah pun fikir apa yang saya cakap. Tak pernah terlintas di hatinya. Suami kata sayalah satu-satunya yang paling cantik dalam hatinya.”
“Intan… Saya takkan lupakan apa yang suami katakan.”
“Setiap kali abang nampak sayang, abang hanya nampak wanita yang bersusah payah untuk abang. Bila nampak rambut sayang gugur banyak kat lantai, bentuk badan dah berubah.. abang rasa.. abanglah yang bersalah sebab sayang jadi macam tu lepas beranakkan anak-anak abang, susukan anak-anak, jaga anak-anak.. abang masih ingat betapa cantiknya sayang masa kali pertama abang tengok saya masa kita solat jemaah sama-sama lepas nikah.
“Abang minta maaf.. abang salah.. abang cuba tolong apa patut tapi kadang anak-anak nak melekat dengan sayang jugak. Apa yang mampu abang buat… abang hanya mampu doakan sayang hari-hari & cuba gembirakan hati sayang. Abang minta maaf kalau abang tak cukup tunjukkan kasih sayang abang selama ni. Abang minta maaf tapi percayalah abang sayang sangat kat sayang. Hari-hari abang doa moga sayang satu-satunya isteri abang dunia akhirat.”
Demi Allah…
Saya yang membaca. Saya menangis. MasyaAllah. Mulianya hati suami ini.
Suaminya hantarkan juga isteri ke treatment atas permintaan si isteri, tapi niatnya lebih kepada mahu menghargai kesetiaan suaminya itu, selain untuk sihat beribadah kepada Allah. Subhanallah. Suami isteri yang berlumba-lumba mahu menggembirakan hati pasangan masing-masing insyaAllah Allah akan berikan sakinah, mawaddah & rahmah dalam rumahtangga merekakan. Moga rumahtangga kita juga begitu. Amiin.
Jangan Jatuhkan Air Muka Isteri
Cerita teman ini memberi pengajaran yang besar buat diri ini. Janganlah kita sesekali mengatakan sesuatu yang boleh menjatuhkan air muka seorang isteri, apatah lagi di hadapan suami & anak-anaknya. Kita tidak tahu natijah perkataan demi perkataan yang kita lemparkan itu mungkin menyebabkan seorang suami memandang rendah kepada isterinya.
Kadangkala, selain dari mulut orang sekeliling yang sangat suka memberi komen menyakitkan hati, ayat-ayat promosi produk di media sosial juga terlalu memprovok hingga menimbulkan syak wasangka isteri pada suaminya sendiri. Maaf saya cakap, terutamanya produk kewanitaan & kecantikan, terlalu banyak yang condemn hingga isteri jadi hilang yakin diri. Selalu sangat mengugut kaum isteri;
“Nanti suami lari dengan janda meletop sebelah rumah”
“Nanti suami cari orang lain sebab bau kepam awak tu”
“Nanti orang fikir uolls mak sedara suami sebab muka nampak tua”
Maaf cakap…
Mungkin yang gelojoh nafsu itu hanya suami awak, bukan suami orang lain. Saya percaya, masih ramai suami yang hanya memandang isterinya sahaja yang cantik dalam dunia ini. Bukan hanya pura-pura nak jaga hati isteri, atau hanya baik di depan tapi di belakang suka cuci mata lihat wanita lain. Tapi cinta & belas ehsan yang ikhlas dari hati. Betul-betul isterinya seorang itu yang dia mahu menemankannya di syurga, jadi penghulu bidadari.
MasyaAllah… inilah bezanya lelaki beriman, baik & soleh dengan lelaki jahat. Maka janganlah disamakan antara keduanya. Sebagaimana ada wanita baik & wanita jahat, begitu jugalah para lelaki.
Semua orang punya nafsu.. namun, orang beriman mengawal nafsunya dengan mujahadah & melunaskannya dengan cara yang dibolehkan, yang halal baginya. Takkan sama seperti orang fasik, munafik & tidak beriman..
Allahuakbar.
Sesungguhnya tiadalah dapat dinafikan lagi… nikmat kebahagiaan terbesar seorang isteri setelah iman & islam adalah dipinjamkan seorang suami yang soleh, yang mencintai, mengasihi & menyantuninya kerana Allah, menjadi sahabatnya di dunia hingga akhirat.
Alhamdulillah ‘ala kulli nikmah
Sumber/Foto: Intan Dzulkefli (Nurul Intan Safinah Dzulkefli) via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ada banyak kes anak lelaki buat perangai bila sudah berumah tangga, siap ada yang cuma tahu mengarah isteri dan lagi teruk tak hormat mak ayah, apa lagi menjaga hati mentua.
Sebab itu nak besarkan anak lelaki mak-mak kena tahu cara supaya bila dah besar nanti dia tak jadi besar kepala dan mungkin boleh buat isterinya merana.
Nak tahu lebih jauh soal kesilapan mak ayah dalam mendidik anak lelaki, jemput baca perkongsian Puan Nurul Ilyani ini…
1) Tak ajar cinta Allah, Quran dan cara hidup Nabi Muhammad S.A.W
Sama ada kita sangat sibuk dengan tanggungjawab kita mencari nafkah.
Mungkin kita sangat sibuk memenuhi keperluan material hidup di dunia, penuh hawa nafsu dan keinginan.
Atau sama ada kita sangat sibuk memenuhi keperluan hobi dan minat sendiri.
Hingga kita lalai tanggungjawab mendidik anak faham ajaran Al Quran dan Sunnah, cara hidup Nabi sallallahu alaihi wasallam.
Saya selalu mendapat nasihat ini dan saya selalu menyebut pada diri sendiri, “ambil dunia sekadarnya saja”.
2) Kita tidak mendekati dan merasai jiwa anak lelaki.
Kita selalu pesan, “abang kuat, anak lelaki mana boleh nangis”❌ Ini perlu dibetulkan.
Kata-kata ini membuatkan anak lelaki selalu memendam rasa, sedangkan mereka perlu juga meluahkan rasa sedih, kecewa supaya mereka dapat lebih belajar tentang hidup.
Ada satu kisah yang direkod dalam Sahih Bukhari, Nabi sallahu alaihi wasallam selalu approach seorang kanak-kanak, Abu Umayr dan tanya pasal burung yang dia bela. Satu hari burung Abu Umayr itu mati, dia datang dengan keadaan sedih. Nabi sallallhualaihi wasallam pun pujuk.
Kalau ikut kisah ini, it is okay to be sad eventhough you are a boy or a guy. Tugas kita, pastikan anak lelaki tidak abaikan emosi negatif dengan cuba jadi kuat dan control macho.
3) Abaikan asas keadilan
Anak lelaki selalu respon lebih baik pada sesuatu yang adil.
Ada satu cerita yang direkod oleh Imam Abu Daud, ibu Abu Amru panggil anaknya kemudian janji nak bagi sesuatu. Nabi sallallahualaihi wasallam beritahu kapada ibu itu, kalau kamu tidak beri apa yang dijanji, ia dikira berbohong.
Ini biasakan kita baca? Jangan bohong anak. Jangan bohong anak. Malah anak lelaki, jika kita bohong, maka hilang kepercayaan pada kita, jadi proses mendidik dan mendisiplinkan lebih sukar, mereka tidak mahu respon lagi pada arahan dan kata-kata kita.
Allah. Allah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sakit yang paling sakit selain sakit gigi adalah sakit hati. Kalau luka boleh dirawat dengan ubat, tapi luka di hati apa penawarnya. Salah satu yang buat kita geram tentu-tentulah suami, kawan-kawan atau adik-beradik jenis yang tak reti nak angkat phone cepat-cepat. Paling parah bila time tulah kita nak buat panggilan penting.
Geramnya sampai rasa macam nak sumpah seranah suruh ‘campak phone dalam longkang!’ “buang kat tingkaplah!, ”’baik tak payah pakai phone’. Semua kata-kata tu mesti pernah anda ungkapkan masa tengah membara.
Ha.. ini tip buat anda tangani orang-orang jenis yang tak reti angkat phone ni. Tak adalah seratus peratus tepat, tapi boleh dipraktikkan demi ketenangan sebuah hati.
Cuba 5 Cara Redakan Rasa Sakit Hati, Moga Berkesan
1. Jangan Salah Waktu
Memanglah kalau waktu emergency tu dia tak ada waktu tertentu. Tapi kalau saja-saja nak tanya khabar atau stoking letak dekat mana, sebaiknya cubalah pilih waktu yang sesuai.
Jangan telefon waktu maghrib, menjelang tengah malam, waktu tahajud jauh sekali. Anda pun tak sukakan bila privacy waktu dicerobohi. Waktu paling baik adalah jam 10 pagi dan sebelum masuk tengah hari. Petang selepas jam 2 dan malam antara jam 8 ke 10 malam.
2. Gunakan Telefon Rumah/Pejabat
Rata-rata daripada pengguna telefon bimbit, mereka tak akan angkat telefon kalau panggilan itu dari nombor yang mereka tak kenali (terutama no. telefon bimbit).
Bagaimanapun, ada kajian yang dijalankan pengguna phone akan mengangkat nombor sekiranya panggilan itu dari nombor rumah atau pejabat. Barangkali mereka tahu itu panggilan yang penting.
3. Tak Perlu Takut Guna Voicemail
Kadang kala voice mail membantu anda mendapatkan kembali suami, adik-beradik atau kawan-kawan yang mahu anda hubungi dalam masa terdekat.
Tak perlu panjang berjela, cukuplah berikan nama anda dan tujuan anda buat panggilan sebelum minta dia hubungi anda semula.
4. Guna Saja Apa Jenis Komunikasi Yang Anda Tahu
Sekarang ini dah canggihkan, kita ada WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram, E-mel malah Telegram. Gunakan semua kemudahan itu. Bunyinya macam kelakar, tetapi ia berkesan.
Pernah juga berlaku musibah pada seseorang dan dia tak dapat menghubungi waris terdekat (kerana kegagalan mengangkat phone), dia gunakan Facebook untuk mencari orang itu dan dalam masa yang singkat maklumat itu sampai kepada individu yang dicarinya.
Tapi pastikan, maklumat itu benar-benar penting. Janganlah kerana anda tak dapat mencari suami yang mana anda hanya mahu memesan membelikan setin sardin… membuatkan anda memaklumkannya di Facebook. Oh, itu bunyinya cukup kelakar. Anda juga nanti yang kena troll dengan netizen. Jadi berhati-hati semasa menggunakan teknologi yang terlalu canggih ini ya!
5. Tahu Dengan Siapa Si Dia Keluar
Katakan ketika itu suami anda ada kerja luar. Tanyakan padanya dia pergi dengan siapa dan minta nombor telefonnya. Suami barangkali akan mentafsir anda sebagai jealous, cemburu tak kena tempat dan busy body. Tapi terangkan sejelas-jelasnya alasan anda.
Katakan anda bimbang jika berlaku sesuatu di rumah dan anda gagal menghubunginya. Teman itu boleh menjadi orang tengah yang membantu. Katakan juga kebimbangan anda tentang keselamatannya. Soal cemburu dia perlu letak ke tepi. Hairan juga ya, kenapa suami selalu bersangka isteri yang menghubunginya ketika mereka keluar sebagai tindakan ‘spy’ ke atas dirinya.
Isteri yang sayangkan anda yang bertanyakan perihal anda di luar bukanlah jenis yang cemburu, tetapi dia cuma mahu memastikan anda selamat dalam menjalani urusan anda. Tak lebih dari itu. Titik!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI