Suami isteri berkahwin tentulah matlamatnya mahu mencari redha Allah. Caranya, suami kena faham tanggungjawabnya, isteri kena akur kedudukannya di sisi suami.
Bila dapat cahaya mata, anak dididik dengan panduan yang betul. Terutama anak lelaki, supaya menjadi pemimpin bukan saja untuk keluarganya, malah masyarakat.
Sayangnya bukan sebegitu yang jadi dalam masyarakat kita hari ini. Ramai yang salah faham, sudahnya isterilah yang merana hati dan perasaan.
Perkongsian Puan Rohamiah Muda, banyak benarnya tentang banyak kesilapan dan salah faham dalam rumah tangga berlaku kerana kurangnya ilmu.
4 Salah Faham Inilah Sebabkan Hubungan Suami Isteri Renggang
Pertama : Anak Lelaki Disuruh Berkahwin Agar Ada Isteri Untuk Menjaganya, Salah Tu..
Hari ini, sama ada suami, isteri, mak ayah atau mentua memandang perkahwinan dari segi dunia, bukan pada pandangan agama.
Contohnya, anak lelaki disuruh berkahwin supaya anak lelakinya dijaga oleh isteri. Padahal dalam agama, seorang lelaki berkahwin untuk menjaga dan melindungi seorang wanita, iaitu isterinya.
Kata ibu kepada anak lelaki, “Carilah bini, ada yang menjaga kamu.”
Faktor inilah yang menyebabkan ramai suami yang tidak bertanggungjawab kerana perkahwinan dibina bukan kerana agama. Tetapi, lelaki berkahwin dengan niat ada seorang isteri yang menjaga dirinya. Sedih!
Kedua : Isteri Kena Bekerja, Bimbang Duit Belanja Rumah Tak Cukup
Lagi? Antara salah faham dalam perkahwinan adalah, isteri seolah-olah diwajibkan bekerja untuk membantu kewangan suami.
Padahal, dalam agama, suami wajib bekerja untuk menyara isteri dan anak-anak. Suami wajib mencari nafkah dengan bersungguh-sungguh supaya anak isteri tidak kebulur.
Ads
“Kak, suami tak bagi saya berhenti kerja. Nanti duit belanja rumah tak cukup,” adu seorang isteri kepada saya. Allahu.
Suami sekarang agaknya sudah hilang rasa malu kerana makan duit hasil titik peluh isteri. Dunia sudah terbalik.
Ketiga : Suami Anggap Duit Isteri Bekerja Seperti Duitnya Sendiri
Salah faham yang lain adalah jika isteri bekerja, suami melepaskan terus tanggungjawab dalam urusan nafkah dan kewangan keluarga. Bahkan, duit isteri dianggap seperti duit sendiri.
Paling geram rasa di hati jika suami bersifat kedekut. Apabila isteri minta sesuatu, suami berkira-kira. Padahal suami lupa isteri banyak membantu dalam urusan keluarga. Macam mana rezeki mahu masuk jika dengan keluarga sendiri bersifat kedekut?
Keempat : Isteri Tak Bekerja, Keluarga Suami Mulalah Bersangka-sangka
Satu lagi isu yang paling menyedihkan adalah isteri yang tidak bekerja dipandang rendah oleh keluarga suami. Allahu.
Isteri yang tidak bekerja sebenarnya banyak memberi sumbangan kepada rumah tangga dan keluarga. Anak-anak lebih terurus dan rumah tangga pun lebih terjaga.
Inilah kesilapan jika kita hanya memandang dunia semata. Niat berumah tangga bukan kerana Yang Maha Esa.
Ads
Betulkan niat berkahwin kerana Allah. Insya-Allah, Allah pasti bantu jika kita ada masalah.
Hidup pasti bahagia jika kita ikut agama.
Sila Betulkan Salah Faham Ini Wahai Mentua!
Sedih rasa hati mendengar rintihan seorang menantu perempuan yang mengadu kepada saya bahawa dia selalu disindir oleh ibu mentua kerana tidak bekerja.
Lagi sedih apabila dia dikatakan menghabiskan duit suami kerana tiada pendapatan sendiri.
Ads
Allahu. Inilah salah faham dalam keluarga. Isteri yang tidak bekerja dipandang dengan sebelah mata.
Isteri memang tidak wajib bekerja kerana tugas memberi nafkah adalah di bawah tanggungan suami. Memberi makan, pakaian, menyediakan tempat tinggal dan nafkah bulanan adalah wajib ditanggung oleh seorang suami seratus peratus.
Bahkan, seorang suami wajib selesaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak sebelum mengasingkan nafkah untuk ibu ayah.
Kemuliaan Seorang Menantu..
Sebagai ibu mentua, tidak sepatutnya berkata begitu kerana dia merendahkan seorang wanita yang sanggup berkhidmat untuk anak lelakinya. Doakan kehidupan yang terbaik buat anak dan menantu.
Kemuliaan seorang menantu bukan terletak kepada kerjaya yang hebat. Tetapi ia bergantung kepada akhlak dan sikap. Apa guna berkedudukan tinggi jika adab diletak di kaki.
Suami yang tidak kedekut dengan isteri, Allah akan luaskan rezekinya. Niat bekerja kerana Allah untuk memberi nafkah kepada anak isteri di rumah.
Insya-Allah, pasti ada lebihan rezeki buat mak dan ayah.
Orang yang bahagia gembira melihat orang lain bahagia.
Sumber/Foto : Rohamiah Muda, Sentiasa mencari redha-Nya
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramai menantu yang mungkin tak sebulu dengan mentua atas alasan kerana suami jenis anak mak atau disebabkan mentua terlalu cerewet. Sebenarnya ada banyak cara yang lebih manis untuk anda dekat dengan hati mentua, malah sekelip mata akan disenangi di kalangan ipar-duai.
Kenapa perlu pilih jalan negatif kalau cara positif dan hasilnya semua bahagia dalam hubungan kekeluargaan. Jom ikut cara ini…
1. Elak Tanggapan Buruk
Wanita selalu bersangka buruk dengan ibu mertua kerana perasaan takut tidak dapat menjadi isteri yang baik kepada anaknya. Sebab pemikiran inilah yang membawa kepada aura negatif. Cuba anda bersangka baik dengan ibu mertua anda, pasti semua akan baik-baik sahaja.
2. Belajar Kenal Ibu Mertua
Di awal perkahwinan, belajarlah untuk lebih mengenali sikap ibu mertua. Tanya kepada pasangan, apa yang disukai dan dibenci oleh ibunya. Ketahui bagaimana mertua anda sebenarnya dan kemudian barulah anda mengikut rentaknya. Namun anda juga harus lebih sopan dan tertib kala bersama dengannya.
3. Samakan Dengan Ibu Sendiri
Jalan paling mudah, letak status hormat di depan. Mesti semua perkara jadi senang. Kalau saat berdepan dengan bebelan ibu kandung sendiri, anda mampu. Pasti kes melibatkan teguran daripada mentua dapat ditelan dengan baik. Layanlah dia dengan sempurna dan hormatilah dia dengan sebaiknya. Allah sudah menjanjikan pahala dan rahmat jika kita ikhlas dalam memberikan yang terbaik untuk orang tua.
4. Bertolak Ansur
Hubungan kekeluargaan perlu dilengkapkan dengan sifat tolak ansur yang bukan sedikit. Biarpun dihimpit waktu dan kerja yang padat, cubalah memberikan ruang untuk bersama mereka. Bertolak ansur dalam apa jua permasalahan pasti buat hubungan lebih harmonis.
5. Ambil Hati Ibu
Berusahalah untuk mengambil hati mentua walau payah. Lebih senang, pulang untuk menjenguk ibu di kampung. Semakin kerap anda meluangkan masa semakin baik hubungan yang cuba dijalinkan. Mendekatkan ibu mertua dengan cucu-cucunya sudah pasti buat ibu lebih gembira.
6. Hadiah Sampingan
Tidak hanya ambil hati, anda juga harus bijak mencuri hati kecilnya. Biarkan hatinya tersentuh dengan pemberian ikhlas anda. Hadiah berupa barangan kesayangan dan kegemaran ibu mertua pasti buat hatinya gembira dan lembut. Namun ingat, hati perlu ikhlas. Jangan pula sudah memberi, anda mengungkit!
7. Pekakkan Telinga
Hati orang tua banyak ragamnya. Ada sahaja perkara yang tidak kena pada matanya. Sebagai menantu, pekakkan sahaja telinga dan usahlah disimpan dalam hati akan apa jua patah perkataan yang keluar daripadanya. Anggap sahaja segala hal positif dan anda sendiri perlu tenang saat terima arahan atau mungkin secebis nasihat. Tak perlu berdalih, sekali pun rasa salah lebih baik belajar menerima.
8. Kurangkan Lawatan
Jika anda dapat kesan emosi mentua kurang baik atau keadaan anda dan ibu mertua kurang baik, ada baiknya kurangkan sesi lawatan ke rumahnya. Cukup hanya sebulan atau dua bulan sekali. Itu pastinya lebih selamat dan pasti lebih menjaga hubungan.
9. Jadikan Kawan
Ibu mertua yang cerewet tidak kena pada gayanya memang buat sakit hati. Ubah angin dan rentak hubungan anda dengan menjadikan ibu mertua seperti kawan. Berkongsilah apa sahaja dengannya asalkan tidak melampaui batas. Cubalah berinteraksi secara baik. Ajak ibu mentua keluar membeli belah atau makan bersama tanpa suami. It’s girl time! Hebat, bukan?
10. Bercuti Bersama
Sesekali ajaklah ibu mertua untuk turut bercuti bersama anda sekeluarga. Tidak salah rasanya menggembirakan hatinya. Ada kalanya dia juga perlukan rehat sambil melihat dunia luar. Hatinya yang keras pasti mampu dilembutkan jika anda selalu bersamanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Cuba fikir, betul ke silap mak ayah bila anak buat perangai di sekolah? Ya, memang tak mudah nak disiplinkan seorang anak di rumah tetapi nak tak nak mak ayah patut mulakan dari peringkat awal untuk elak daripada berlaku drama pelik-pelik di sekolah.
Jadi untuk buang sikap buruk dalam diri mak ayah, jemput baca perkongsian Puan Siti Saleha Jaffar ini, apa yang ditulis di status Facebook miliknya tular dan mendapat perhatian ramai…
Realiti Di Sekolah
Selama 4 hari follow rayqal, mengajar dan memantau cara membeli, mengajar menunggu mamy/abah ambil, mengajar naik turun van, inilah realiti yang terjadi di depan mata…
1. Mak Ayah Tak Ikut Arahan
Cikgu mengarahkan supaya ibubapa beredar dari tapak perhimpunan untuk meneruskan kelancaran aktiviti, tindakan sesetengah ibu bapa mengabaikan arahan itu malah berwefie dan memaksa anak-anak pose.
Hakikat : Ibubapa sendiri mengajar anak degil dan mengingkari arahan, jadi anda mengharapkan cikgu untuk didik anak anda tidak degil dan mengikut arahan??
2. Duduk Tempat Makan Anak Murid
Waktu anak rehat, ibubapa mengambil tempat duduk murid lain untuk temankan anaknya sahaja makan. Maka murid tersebut terpinga-pinga sambil memegang pinggan dan air sambil mata meliar mencari tempat duduk..kawan terlanggar habis mee dan air tumpah, bayangkan itu yang terjadi pada anak kita sendiri.
Hakikat : Ibubapa sendiri mengajar anak menjadi seorang yang mementingkan diri dan mengambil hak orang lain
3. Ambil Gambar Waktu Sesi Belajar
Cikgu mengarahkan supaya ibubapa beredar di hadapan kelas untuk memulakan sesi pembelajaran tapi arahan diingkari malah keluarkan smartphone sambil snap gambar.
Hakikat : Ibubapa mengajar anak untuk tidak yakin dan tidak mempercayai seseorang yang menjalankan amanah, mengajar anak tidak menghormati hak orang lain.
4. Cakap Menipu
Sambil beratur membeli buku dan bayar yuran, seorang bapa sambil memimpin anak berusia 4-5 tahun memotong barisan.
“cikgu, berapa lama nak beratur nie, saya kejap lagi nak masuk kerja.”
Maka si anak kecil petah berkata-kata, “Papa kata cuti hari nie nak bawak adik pergi tengok cerita jumanji”. Dan si kecil itu dijerkah bapanya di khalayak ramai.
Hakikat : Ibubapa sendiri mengajar anak bercakap bohong, menipu, tidak sabar dan menjatuhkan maruah orang di hadapan orang adalah tidak salah
5. Ambil Hak Orang
Ibubapa beratur bersesak-sesak dengan murid lain membeli makanan untuk anaknya seorang dengan tujuan mengajar cara membeli di kantin. Maka drama berlangsung lebih kurang 5-7 minit di situ. Murid-murid lain dibelakang masih ramai lagi. Apabila masing-masing dapat makanan, baru menyuapkan makanan sesuap dua, loceng berbunyi tanda waktu rehat berakhir. Maka si polos, bangun sambil menoleh makanan yang tak sempat dihabiskan dan berlalu mencuci tangan.
Hakikat : Ibubapa mengajar anaknya cara mementingkan diri sendiri, mengambil hak orang lain dan tiada rasa belas pada orang lain. Apa salahnya buat role play jual beli di rumah??
6. Parking Kereta Sesuka Hati
Parking kenderaan dan van sekolah dipenuhi oleh kereta-kereta ibubapa yang mahu mengambil anaknya. Dikejauhan terlihat murid yang masih belum biasa menangis keseorangan mencari van yang terselindung disebalik kenderaan ibubapa lain.
Hakikat : Ibubapa mengajar anaknya mementingkan diri, tidak peduli orang lain dan mengambil hak orang lain itu tidak menjadi satu kesalahan.
Begitulah drama realiti serba sedikit yang terjadi di hadapan mata.
Sedih memang cukup sedih melihat betapa masyarakat sekarang semakin tenat adab, akhlak dan tingkah laku.
Lagi sedih, bila memikirkan sikap generasi akan datang 10-20 tahun lagi bagaimana hasil corakannya.
Sedarlah wahai ibubapa, dikala kita galak menyalahkan guru-guru atas tingkah laku anak kita yang tidak seperti diharapkan, sebenarnya anak itu sendiri belajar dari ibubapanya.
Dikala kita galak memarahi guru-guru yang menghukum anak-anak kita atas kesalahannya, sebenarnya kita sendiri mencorakkan corakan hitam pada sisi hidup anak kita sendiri.
Sebelum kita meletakkan sesuatu kesalahan anak kita pada orang lain, refleks diri dulu… tanya pada diri sendiri sudah cukup sempurnakah didikan kita pada anak kita.
Guru yang sebenar-benar guru adalah ibubapanya sendiri dan guru disekolah bertanggungjawab menggilap lagi potensi anak yang kadangkala ibubapa terlepas pandang.
Ingat hakikat ini walau pahit untuk diterima.
Ibubapa adalah cerminan anak-anak.
Mak Ayah lah sebenar-benar guru pada anaknya.
Jadi bertanggungjawablah usah dilepaskan amanah itu di bahu orang lain.
Kelak disana terkaku kelu lidah untuk menjawab dihadapan pencipta.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
‘Nampak tenang umum kematian isteri.’ Rezeki cik non berjodoh dengan suami cukup penyabar. Di saat arwah dikecam, suaminya sentiasa dan kekal utuh di sisi Cik Non.
Pemergian Cik Non atau nama sebenarnya Nor Shahada Aisyah mengejutkan semua orang, namun beruntungnya dia memiliki suami yang cukup sabar melayan karenahnya dan menerima buruk, baik sikapnya. Begitulah suami yang terbaik.
Al-Fatihah buat founder Cik Non, semoga suami dan keluarganya tabah berdepan dengan ujian berat ini.
Nampak Tenang Umum Kematian Isteri
Lelaki ini tertonton video perkhabaran tentang kematian founder yang dikenali dengan panggilan Cik Non. Suaminya tampak tenang umumkan berita sedih tu.
Jujur cakap, kita hanya nampak yang tak elok berkenaan arwah. Namun itu semua hanya sebahagian sahaja. Kita tak tahu pun kisah hidup sebenar dia. Jadi saya tak nak sentuh pasal tu. Yang saya nampak suaminya sangat sabar.
Sabar layan kerenah dia. Malah sabar ketika orang ramai kecam isteri dia. Sabar urus dan atur rumah tangga dia.
Dan sekarang, dia sabar hadapi kematian isteri dia. Boleh jadi dengan kesabaran si suami, Allah buka pintu hati si isteri. Allah hantar hidayah asbab sabarnya suami.
Rezeki Cik Non
Suami yang sabar ini,
Isteri dia merajuk sebab tak beli apa-apa lepas balik lepak dengan kawan, dia sabar dan pujuk isteri. Dia tak cakap isteri mengada-ngada atau buat perangai macam budak-budak. Esok-esok dia keluar, dia ingat nak bawa balik sesuatu.
Isteri dia membebel sebab stres jaga anak urus rumah, dia sabar dan diam je. Lepas isteri reda, dia datang kat isteri dan peluk dan picit-picit. Dia tahu isteri dia penat dan letih, serta perlukan belaian dan perhatian.
Isteri dia diam, muka masam dan tak bercakap satu hari, dia sabar dan bagi isteri dia ruang bersendiri. Dia terus take over kerja rumah, dia urus anak-anak, dia biarkan isteri dia uruskan emosi.
Nanti dia, tanya je isteri, “awak ok?”. Isteri bercerita, dia dengar je tanpa judge apa-apa.
Isteri dia buat silap atau terbuat sesuatu yang tak patut, dia sabar dan tak terus kondem. Dia tunggu dan cari masa sesuai. Kemudian dia tegur dengan lemah lembut dan hikmah, bukan sampai jatuhkan maruah isteri.
Dia tegur sebagai tanda kasih sayang. Sebab dia tahu, berkeras untuk betulkan tulang bengkok, pasti patah.
Cukup Penyabar
Suami yang sabar ini,
Dia tak fikir nak isteri yang sempurna.
Dan dia tak harapkan isteri sebaik para isteri Nabi.
Dia tak inginkan isteri bagai bidadari.
Dan dia tak mahukan isteri kaya-raya.
Yang dia dambakan,
Isteri yang jadi pendamping, kawan baik dan peneman setia.
Agar sama-sama boleh bina syurga di dunia.
Sebelum ke syurga abadi….
Di sana nanti.
Mingguan Wanita : Jangan diungkit kisah-kisah silam orang lain kerana kita juga tidak tahu pengakhiran kita bagaimana. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa Cik Non dan tempatkan dia di kalangan orang beriman.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.