Ryzal mohon isu berpantang isteri tidak dijadikan isu “Berikan ruang kepada maryam, hormat budaya miliknya.
“Maryam pantang cara tradisional bertungku, mengurut, mandi herba dan makan makanan berpantang” begitulah luahan suami kepada selebriti media sosial, Maryam You Narae atau lebih dikenali sebagai Maryam Durian Kimchi, Ryzal Ibrahim.
Ryzal Mohon Isu Berpantang Isteri Tidak Dijadikan Isu
Maryam yang juga anak kelahiran Korea Selatan baru saja melahirkan anak sulungnya dan menamakan anaknya dengan nama Rina.
Namun Ryzal menerusi akaun Instagramnya, memohon agar cara Maryam berpantang tidak dijadikan isu.
Terdahulu Maryam telah menerima banyak komen kurang menyenangkan tentang caranya berpantang.
Malah dia juga meminta orang ramai tidak memaksa isterinya menerima budaya yang bukan miliknya.
Ryzal juga menjelaskan budaya dan warisan keluarga di Korea yang dimiliki isteri adalah miliknya.
“Assalamualaikum warahmatullah.
Ads
“Maryam atau nama sebenarnya You Narae, iaitu wanita warga Korea.
“Isteri saya bukan Melayu, bukan Cina, bukan India dan budaya negara lain tidak diwajibkan untuk dia ikuti.
Isteri Peluk Islam Bukan Tukar Budaya
“Isteri saya peluk Islam atau erti kata lain tukar agama bukan tukar budaya. Jadi, janganlah paksa orang menerima budaya bukan miliknya.
“Setakat ini, Maryam menjalani pantang cara tradisional dengan bertungku, mengurut, mandi herba dan makan makanan pantang dalam pantauan saya dan Confinement Lady dari @natalismothercare yang datang rumah kami. Itu sudah memadai bagi saya dia sanggup ikut walau bukan budaya dia.
“Kalau budaya pantang Melayu itu wajib utk semua kaum, adakah orang Islam di Korea, Jepun, Eropah akan kena ikut juga?
Budaya & Warisan Keluarga Di Korea Milik Maryam
“Maryam masuk Islam, bukan masuk kaum. Budaya dan warisan keluarga di Korea masih miliknya walaupun dia seorang Muslimah atau saudara baru.
“Saya minta Hajjah, Makcik, Akak serta semua disini supaya berikan ruang kepada Maryam dan hormat budaya miliknya,” tulis Ryzal.
Isteri yang bakal hidup bermadu, berusahalah untuk berdamai dengan takdir. Usah dilayan perasaan yang remuk redam kerana ‘diduakan’ oleh suami. Memang apabila menyebut tentang poligami semua wanita tidak menginginkannya.
Isteri Yang Bakal Hidup Bermadu
Tiada wanita yang sanggup berkongsi suami. Namun, kalau itu sudah ditakdirkan, kita tidak mampu untuk menolaknya. Bagi suami, mungkin ‘seronok’ tambah-tambah bila bercakap tentang poligami. Itu kelebihan lelaki yang memang tak boleh nak sangkal. Cumanya, kalau dah poligami, kenalah adil dalam memberi tanggungjawab pada isteri-isteri yang ada.
Begitu juga dengan isteri-isteri, kalau sudah ditakdirkan bermadu, terimalah dengan reda, DIA yang merancang sebaik-baiknya. Tak perlu merasakan diri kekurangan atau silap sampai suami cari yang lain tetapi percayalah semua ini ada rahmatNya.
Perkongsian daripada Khazatul Atiqah Abu Seman yang turut mempunyai ‘madu’ ini boleh dijadikan panduan terutamanya buat isteri-isteri yang bakal bermadu.
Ini Tip & Panduan Yang Perlu Dihadam
LIMA TIP UNTUK BAKAL BERMADU/BERPOLIGAMI
Berikut dikongsikan lima ringkas untuk yang bakal berpoligami. Tip ini untuk para isteri, tidak kiralah isteri nombor berapa mahupun bakal madu. Buat suami yang berhajat, buatlah dengan cara yang baik dan bantu isteri kalian juga ya. Tip ini diharap mampu memberi manfaat kepada isteri di luar sana. Bukan untuk sarankan suami berpoligami ye, tapi sekadar tip untuk bakal madu.
1. Cari ilmu yang betul
Poligami ada ilmunya. Kena fahami dan tak boleh sembarangan. Bukan seperti yang selalu kita nampak dalam drama sinetron. Memang banyak yang gagal, namun tak kurang banyak juga yang berjaya. Carilah pengamalnya yang berjaya mengamalkan dan tuntut ilmu dari mereka. Bukan ilmu yang pelik dan guna-guna, bukan juga untuk suka-suka. Besar padahnya jika tak betul caranya. Poligami yang baik adalah sepertimana yang Nabi ajar.
2. Berkawan dengan orang yang positif dan bukan anti poligami
Kebanyakan yang ini orang buat. Jika rasa tak kuat, kena kurang bergaul dengan orang yang anti. Bagi yang nak poligami tu, kita. Maka, kita jaga lingkungan kita untuk membantu diri kita lebih positif. Biasanya di peringkat awal, ujian perasaan jadi haru bila kita dengar pandangan yang negatif dari golongan sebegini. Lagi bila tersembang masalah, makin negatif jadinya.
3. Elakkan layan perasaan
Perasaan kalau dilayan makin menjadi. Pulak tu, tengok cerita romantik dan sebagainya, kita letakkan diri kita dalam cerita tu. Sedangkan dalam Islam, romantik adalah cinta sampai Syurga. Walau monogami, nanti kita juga berMadu dengan bidadari di sana. Maka, bantu diri dengan jaga perasaan dan jangan berperasaan yang bukan-bukan. Bila mana Suami tengah baik, malah cuba menjadi lebih baik dan bertanggungjawab, jangan hambur dan tuduh yang bukan-bukan pada suami. Perasaan perlu dipandu. Rujuk dan tanya, betul ke perasaan demikian dan demikian jika perlu. Kalau sekadar kita sorang berperasaan, jangan diikut sangat. Nanti kelaut jadinya.
4. Elak periksa telefon suami
Ini sangat crucial. Kata orang, jangan cari penyakit dan cari punca bergaduh. Kena belajar letak boundary. Tak kira pada isteri mana-mana isteri pun. Ia baik buat isteri terutamanya yang mudah beremosi dan berperasaan. Letakkan hormat pada barang suami, sekalipun isteri yang dah bertahun, apatah lagi isteri baru akad nikah. Buang prasangka bukan-bukan kerana suami berhubung dengan yang halal dan yang berhak. Bukanlah kepada yang bukan muhrim. Ia sebahagian dari tanggungjawab Suami untuk berhubung dengan yang berada di bawah tanggungannya.
5. Jangan saja meninggalkan kesan pada suami dengan sengaja
Ini untuk yang dah berkahwin. Bila mana suami mendatangi mana-mana isteri, kemudian sengaja meninggalkan Love Bite pada uami dan kemudiannya ditonton pada isteri lain.
Tips 4 dan 5 adalah tip yang saya dapat dari seorang sahabat sebulan sebelum saya berjumpa calon dan menginjak alam poligami.
5 tip ini adalah teknikal sahaja sebenarnya. Atau bahasa lainnya, fancy tip. Namun yang sebenarnya, poligami mengajar kita untuk bergantung lebih pada Allah. Dari poligami kita belajar kenal diri dan kenal Pencipta kita. Kalau dulu sandaran hati adalah suami, bila berpoligami, kita belajar tawakal yang lebih tinggi dari itu, namun tetap tidak menidakkan kedudukan suami selagi mana dalam syariat. Belajar taat pada suami walau kita tidak setuju pada beberapa perkara.
Maka ada tambahan LIMA tip Ektra ‘Special’ lagi iaitu:
1. Belajar bangun malam. Ia ubat buat hati. Keajaibannya sukar untuk digambarkan.
2. Belajar merintih dan mengadu pada Allah, bukan pada sembarangan orang. Nak menangis, masa itu jugalah.
3. Belajar perbaiki solat, perhalusi cara berdoa. Nak Allah bantu memang tiada cara lain melainkan kita betulkan solat kita. Ia adalah talian hayat utama kita.
4. Tiba-tiba timbul rasa sunyi dan keseorangan, kata pada diri, nanti aku mati juga seorang diri. Tetaplah suami juga tak masuk kubur sekali. Kalau sebelum ni suami boleh outstation atas dasar kerja duniawi, kenapa tidak atas sebab tanggungjawab yang membawa kepada akhirat, kita gundah gulana pula.
Perbanyakkanlah selawat dan zikir. Isi masa dengan perkara berfaedah. Kalau sebelum ini teringin nak ikut kelas mengaji, atau nak buat kerja sukarelawan, inilah masanya. Tengok youtube, banyakkan menonton video yang membangkitkan hati kepada ilmu Agama, perihal akhir zaman dan sebagainya. Perkara yang lagha boleh mematikan Hati. Maka, berhati-hatilah.
5. Sebelum persoal orang lain, persoal diri sendiri dulu. Ia membantu kita untuk kenal diri kita. Aku nak kahwin atas niat apa sebenarnya. Suami itu jambatan menuju akhirat. Suami juga pinjaman dari Allah. Apa jua kesenangan mahupun kesusahan, penghujungnya Allah mahu kita dekat dan ingat padaNya sebelum kita menghadapNya. Allah nak kita sedar, di sebalik semua ini, Allah jualah semuanya.
Maka, ujian dari suami atau madu, susah mahupun senang, jangan lepaskan Allah. Manusia takkan pernah sempurna, semua dari kita adalah hamba. Maka santuni satu persatu dengan penuh sabar dan berhikmah selagi ada umur Allah pinjamkan di dunia.
Perkahwinan itu satu ibadah dan satu bentuk kasih sayang. Ia adalah separuh kesempurnaan dalam beragama. Suburkan rasa kasih, cinta dan sayang. Jangan letakkan perasaan yang tidak sihat di dalamnya. Bagi yang nampak salah dan kurang suami, doakan kesalahannya.
Perkahwinan monogami juga boleh bertolak ansur dan berlebih kurang, maka poligami juga sama. Semoga bermanfaat buat yang memerlukan.
NOTA: Jika ditakdirkan oleh kita untuk hidup bermadu, boleh guna tip ini sebagai panduan.
Sumber: TiQa Ummimerahjambu (Khazatul Atiqah Abu Seman)
Bagi mak ayah yang bekerja, menghantar anak kepada pengasuh atau nurseri merupakan salah satu keperluan, lebih-lebih lagi jika tiada pembantu rumah.Adalah sangat penting bagi mak ayah untuk membina hubungan baik dengan pengasuh bagi anak-anak. Ini kerana ditempat ini lah, anak-anak lebih banyak meluangkan masa, serta salah satu ‘penghargaan’ terima kasih buat para pengasuh kerana sudi menjaga dan tengok-tengokkan anak kita sewaktu kita sedang bekerja.Sebelum menghantar anak pada pengasuh, mohon fahamkan dulu 7 perkara asas ini yang ramai mak ayah terlepas pandang.
Berikut antara tip-tip yang dikongsikan oleh Puan Nur Baizura Sulaiman, semoga menjadi panduan buat mak ayah semua.
Kita ni ibu bapa yang bekerja, hampir 10 jam atau lebih anak-anak kita tinggal dengan pengasuh atau di nurseri. Di sinilah tempat mereka dilindungi dan dikasihi. Mak saya sudah hampir 20 tahun mengasuh anak-anak sampai sekarang. Saya membesar dengan mereka, sampai saya tahu tukar lampin, bagi susu dan tidurkan bayi seawal usia saya 12 tahun.
Saya lihat, bagaimana mak saya disantuni oleh ibu ayah yang menghantar anak-anak mereka dan saya cuba praktikkan sekarang kepada pengasuh anak-anak saya.
Di sini saya kongsikan 7 tips bina hubungan dengan pengasuh. Kalau ada yang boleh anda praktikkan pada guru-guru di nurseri, bolehlah anda cuba.
1. Kelengkapan
Sediakanlah kelengkapan sepenuhnya seperti pakaian, minyak angin, susu, botol susu dan lain-lain. Pakaian misalnya, asingkanlah untuk dipakai siang dan malam. Lipat pakaian berpasangan siap baju dan seluar supaya pengasuh tidak perlu ambil masa untuk suai padan. Suai padan ni sangat sakit kepala ya.
2. Makanan
Jika anak sudah mula makan, buatlah puree atau bubur untuk dibekalkan pada pengasuh supaya pengasuh tak perlu masak asing untuk anak kita. Kalau anak kita ada alahan pun, tak timbul masalah. Sebab kita sudah maklum dan pengasuh hanya perlu berikan makanan pada anak kita. Kalau pengasuh sedia masak untuk anak kita, moleklah kiranya kita belikan makanan mentah seperti ayam, ikan, sayur dan beras. Moga-moga dia masak dengan gembira dan doa untuk anak kita, kita pun tenang bekerja.
3. Pengendalian Susu Ibu
Nak bagi mudah, berikan susu ibu yang cair dan beku. Buat label supaya pengasuh boleh beri ikut turutan. Elok juga sediakan pemanas elektrik supaya pengasuh tak perlu panaskan guna air panas yang mungkin suhunya tak sesuai. Lebih baik jika bekalkan susu ibu dalam botol berbanding plastik. Ikut pengalaman saya, sudah banyak kali susu dalam plastik bocor, maka susu tak dapat diminum.
4. Rezeki Kita Kongsilah Bersama
Bagi saya, pengasuh sudah seperti ahli keluarga sendiri. Kadang-kadang saya pun tak perasan perkembangan anak-anak saya, sampailah pengasuh yang bercerita. Saya tahu, walau dengan apa pun tetap tak dapat balas jasa mereka. Jadi apa salahnya, pada hari lahir, hari raya, atau dapat bonus, kita kongsikan rezeki dengan mereka. Terpulanglah apa yang kita mampu, sedikit dikongsi, banyak dirai. Masa saya kecil dulu, kalau ada hari pasar malam, mak saya kadang-kadang dapat roti john. Kalian tahukah, kami adik beradik gembira bukan kepalang. Asyik betul dapat roti john RM3 tu. Lihatlah, harga bukan ukuran, tapi nilai kasih yang dibina lebih bermakna.
5. Beritahu Pengasuh Tentang Situasi Kita
Sama ada kita nak hantar anak awal atau lambat, beritahu pengasuh. Sama juga kalau kita terpaksa pulang lewat, beritahu pengasuh keadaan kita supaya mereka tidak tertunggu-tunggu. Kita manalah tahu kalau-kalau mereka perlu ke kedai atau mahu berjemaah Maghrib di surau. Kalau dah diberitahu, bolehlah mereka rancang jadual mereka. Iya, seperti kita, mereka juga perlukan ‘me time’.
6. Kebersihan Dan Kekemasan
Kalau kita hantar anak pukul 7 ke atas, lebih elok kita mandikan siap-siap. Kalau tak sempat, seeloknya tukarkan lampin. Aduh. Lampin yang bocor boleh mengganggu mood pengasuh ya. Sudah elok dia bersihkan diri nak sambut anak kita, kita pula tambah kotor pada dia.
Bab kekemasan ini lebih kepada rambut anak. Ada anak yang rambutnya sampai tutup mata. Kalau nak makan, kasihan betul saya lihat. Sekejap-sekejap ketepikan rambut. Nak menyisir rambutnya tu, asyik aja tersekat di skala 6. Alahai. Kalau jaga 6 orang dan kesemua 6 anak pun rambutnya tersekat di skala 6, entah bila boleh siap didandan ya.
7. Doa
Mohon pada Allah agar anak-anak kita sentiasa dalam peliharaanNya. Anak-anak saya dihantar kepada pengasuh sebaik sahaja cuti bersalin saya habis. Ya, mereka masih bayi tapi saya setiap hari pesan supaya elok-elok dan dengar cakap pengasuh. Saya beritahu, kalau kita baik, semua orang sayangkan kita. Saya juga bacakan surah al Insyirah pada mereka, bagi mereka dengar, dengan niat hati mereka lembut dan mudah untuk pengasuh jaga mereka. Selebihnya, kita berserah pada Allah sebab Dialah yang Maha Berkuasa atas tiap sesuatu.
Mama Aisyah dan Ahmad.
Yang masih banyak perlu dibaiki.
Semoga bermanfaat! Kongsikan buat mak ayah yang lain.
Luluh hati mak ayah Adam Rayqal Mohd Sufi pagi ini, sebaik tiba di perkarangan Institut perubatan Forensik Negara (IPFN) untuk mengecam mayat bayi mereka. Tak dapat dibendung air mata yang sudah tumpah sejak berita kehilangan anaknya itu dikhabarkan pengasuh yang mendiami rumah sewa di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves.
Satu negara menangisi pemergian adik Adam Rayqal. Kerana ia bukan saja bersifat kejam malah melangkaui batas perikemanusian seorang insan.
Tindakan kejam meletakkan bayi 5 bulan itu berbalut kain lampin dan disumbat dalam beg berwarna hijau di dalam peti sejuk beku sungguh tidak dapat diterima dek akal manusia yang waras.
Dan sekali lagi, masyarakat menangis selepas baru saja kita membaca kisah ibu murung yang menyembelih anak sendiri. Tragedi menyayat hati ini menjentik hati kita agar lebih banyak bermuhasabah dan memanjangkan rasa sabar menghadapi ujianNya.
Wahai ibu dan ayah Adam Rayqal, anda adalah insan terpilih yang Allah berikan ujian cukup hebat ini. Bagi meninggalkan sedikit kekuatan emosi di lubuk hati yang sedang terluka itu, Mufti Wilayah Persekutuan. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakrimenyampaikan sebuah hadis di laman instagramnya untuk kedua ibu bapa yang diuji ini.
KEPADA IBU & AYAH ADAM RAYQAL
Mendengar khabar yang amat mendukacitakan hati ini. Kami sampaikan hadis ini kepada kedua ibu bapa Adam Rayqal. Semoga keduanya sabar dan tabah menghadapi ujian ini dan ditempatkan anak kecil ini di dalam syurga Allah SWT bersama-sama dengan mereka yang beruntung di sisi-Nya.
Daripada Abu Hassan, beliau berkata: Aku bertanya kepada Abu Hurairah RA: “Sesungguhnya dua anak lelaki aku telah meninggal dunia. Bolehkah engkau sampaikan apa-apa hadis daripada Rasulullah SAW yang akan melegakan diri kami atas kematian dua anak kami?”
Abu Hurairah menjawab: “Ya. Kanak-kanak itu akan menjadi anak-anak di syurga. Apabila salah seorang mereka berjumpa dengan ayahnya atau kedua ibu bapanya, dia akan memegang pakaian atau tangan ibu bapanya sebagaimana aku memegang hujung baju kalian. Dia tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ayahnya ke dalam syurga.” (Riwayat Muslim, no: 2635)
Akhukum fillah,
Indahnya ingatan tuhan untuk ibu bapa yang sedang diujiNya dengan kehilangan insan paling dekat di hati mereka. Siapapun yang sedang diuji olehNya, dengan pemergian permata hati kecil yang engkau sangat kasihi peganglah kemas-kemas hadis ini. Semoga ia mampu memberi kekuatan hati dan emosi untuk ibu ayah terus melangkah menjadi khalifahNya yang taat dan redha.