Semakin ramai pelajar sekolah layan sesawang lucah, maka banyaklah kerisauan dalam diri kita untuk mendidik anak-anak. Realitinya inilah salah satu cabaran mak ayah hari zaman teknologi, bukan senang nak kawal anak-anak walau mereka ada depan mata sebab semua benda boleh dapat di hujung jari. Apa yang mak ayah perlu sedar dan macam mana nak berdepan dengan masalah anak-anak yang suka layan pornografi, baca perkongsian cikgu Mohd Fadli Salleh ini…
Kajian ini menyeramkan. Sangat menyeramkan bilamana data menunjukkan pelajar sekolah paling ramai melayan sesawang lucah.
20.9 jam seminggu satu angka yang sangat mengejutkan. Bermakna hampir 3 jam sehari pelajar meluang masa buka laman web porno. 3 jam sehari tuan tuan. Solat 5 waktu pun tak sampai 5 jam sehari tahu tak?
Apa punca?
Punca utama adalah gadjet dan telefon pintar. Hampir semua pelajar dari usia 10 tahun hingga 17 tahun punyai telefon pintar sendiri.
Nak kawal penggunaan telefon pintar anak-anak ini adalah misi mustahil. Mustahil!
Budak-budak ini lebih hebat dari orang dewasa kalau bab teknologi. Ini zaman mereka beb. Zaman kita zaman public phone. Kita dulu curi line telefon guna public phone hebat lah. Tapi bab teknologi terkini, anak-anak kita lebih hebat.
Ads
Kau check setiap hari telefon anak kau pun belum pasti dapat jamin dia bebas dari terjebak dengan hal ini. Browsing history nampak cun, gallery pun begitu juga. Tiada gambar lucah, tiada video porno.
Rupanya mereka pandai sorok rahsia. Macam-macam apps mereka ada untuk sorok video dan gambar porno. Browsing web pun begitu juga. Ada banyak apps tidak dapat kita kesan apa laman yang anak kita layari.
Ah, tak payah cerita pasal apps yang mampu sorok history dan tidak dapat dikesanlah. Cukup mereka buka pakai incognito tab kat chrome. Dah kau tak boleh kesan dah.
Teknologi ini tidak boleh disekat. Tidak boleh!
Melainkan kau kurung anak dalam gua di dalam hutan yang tebal tanpa apa-apa akses.
Eh, orang asli dalam hutan pun pandai layan porno tahu tak? Asal ada line internet dan gadjet sahaja, tiada apa yang mampu menyekat teknologi.
Jadi bagaimana harus kita bendung hal ini?
Ads
Pada aku hanya ada satu cara yang paling berkesan. HUBUNGAN IBUBAPA DAN ANAK YANG ERAT.
Dekati anak-anak kau sebagaimana kawan dia. Ya, berkawanlah dengan anak remaja. Berborak dan bercerita apa sahaja sehingga dia tidak berahsia dengan kau.
Perlahan-lahan la kau masuk jarum. Terangkan bab nafsu yang tidak dapat dibendung. Cerita pula keburukan melayan laman porno. Bagi cara nak cegah dan keluar dari ketagihan jika mereka telah pun terjebak.
Ads
Dan bagi anak-anak yang masih dibangku sekolah rendah, tak payah beri telefon bimbit lah pada mereka. Belum sesuai dengan umur mereka.
Namun jika kau beri juga, pantaulah. Telefon itu kau pegang, bagi mereka masa untuk main telefon mereka. Contohnya setiap hari dari jam 4 petang hingga 9 malam sahaja. Lepas tu kau simpan. Jangan biarkan anak-anak kecil tidur bersama telefon mereka.
Kita tidak tahu laman apa yang mereka layani, kita tidak tahu dengan siapa mereka tengah berhubung. Entah-entah ditipu buaya yang sentiasa kelaparan ingin meratah daging muda.
Manjakan anak pun ada had. Jangan sampai mereka pulang dengan perut besar tanpa kenal siapa punya zuriat.
Jangan sampai tahap itu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tidak dinafikan anak merupakan rezeki dan satu anugerah bagi setiap pasangan. Ia menjadi tanggungjawab bersama setiap kelahiran anak itu dirancang sebaiknya.Pelbagai aspek perlu dilihat dari segi kemampuan kewangan, persediaan mental dan fizikal, emosi serta tahap kesihatan si ibu.
Agak mengejutkan kajian menunjukkan sekurang-kurangnya tiga daripada 10 wanita yang mengamalkan perancang keluarga di Amerika Syarikat didera pasangan masing-masing.
Kajian oleh jurnal Kesihatan Reproduktif & Seksual BMJ mendapati, golongan terbabit mengalami penderaan kerana ditekan secara emosi, menerima ugutan untuk mensabotaj kaedah perancang keluarga diamalkan dan keganasan jika tidak mematuhi kehendak pasangan masing-masing.
Ketua Pengarah Profesor Sam Rowlands berkata, ia adalah satu perkara yang masih tidak boleh diterima secara meluas.
“Kaedah perancangan keluarga tidak seharusnya dicemari keganasan tetapi nampaknya ia tetap berlaku khususnya membabitkan pasangan intim masing-masing,” katanya.
Hak Asasi Manusia, Bendung Kelahiran Tidak Diingini
Kawalan ke atas perancangan keluarga sekian lama sudah diiktiraf sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia dan pakar berkata, kemampuan membendung kelahiran tidak diingini memberi peluang kepada golongan wanita untuk mendapat lebih akses dalam pendidikan dan pekerjaan, sekali gus memecahkan rantaian kemiskinan.
Kajian itu bagaimanapun mendapati, kekerasan terhadap wanita, lazimnya oleh pasangan lelaki masih satu perkara yang berlaku dengan meluas.
Menurut jurnal terbabit, kekerasan susulan penggunaan perancang keluarga ditakrifkan sebagai pelbagai tindakan yang memberi kesan terhadap keupayaan dan hak wanita ke atas diri mereka dan pilihan perancangan keluarga masing-masing.
Ia mencakupi penderaan emosi dan ugutan untuk membocorkan kondom, membuang pil perancang atau menggunakan teknik dikenali sebagai ‘stealthing’ iaitu pasangan lelaki menanggalkan kondom secara rahsia ketika melakukan hubungan kelamin tanpa kerelaan pasangan.
MW: Isu perancangan keluarga seeloknya dibincangkan secara bersama pasangan suami isteri. Perlu ada kesepakatan demi memastikan anak yang dilahirkan benar-benar dinanti-nantikan serta tidak diabaikan.
Kalau tengok orang dulu kahwin, memang rasa kagum. Bergaduh macam mana pun, dapur rumah tetap berasap. Tetap tidur sekatil.
Tak macam anak muda zaman sekarang, merajuk sikit pun terus bawa diri tidur rumah kawan. Agaknya apa rahsia datuk nenek moyang kita dulu ya?
Dan apa beza perkahwinan dulu-dulu dan sekarang? Dari sudut kasih sayang antara suami isteri dari pasangan dulu dan pasangan sekarang, apa yang mereka tekankan?
Haaa… ini rahsia rumah tangga orang lama daripada ibu kepada saudara Sujimy Mohamad sendiri. Jemput renungkan seminit.
Rahsia Rumah Tangga Orang Dulu-dulu
“Perkahwinan orang dulu-dulu boleh bertahan lama walaupun tidak bercinta. Ibu saya mendedahkan rahsia orang dulu-dulu membahagiakan rumahtangga”
Menurut ibu beliau, meskipun perkahwinan dulu-dulu tiada percintaan atau berkasih-kasihan, tetapi perkahwinan itu boleh sampai hingga ke akhir hayat. Mengapa?
Ini antara sebab yang dikongsikan:
1. Orang dulu-dulu bila habis nikah atau majlis, pasangan akan dibawa berjumpa dengan saudara mara kedua belah pihak untuk suai kenal dan beramah mesra
Tidak seperti pasangan sekarang yang mengikut trend lebih memikirkan untuk pergi berbulan madu.
Biasalah, kadang kala berlaku selisih faham dan sebagainya kerana tidak betul betul mengenali keluarga dan saudara mara pasangan. Hanya sekadar kenal ‘gitu-gitu’ je. Kadang-kadang tak ingat pun nama saudara atau hanya ingat rupa tanpa tahu nama. Ada juga kes tidak kenal langsung!
2. Pasangan muda yang belum dinikahkan sudah bercuti bersama-sama atau mengambil gambar (pre wedding). Ibu beliau berkata, itu sememangnya tidak dibolehkan.
Secara logiknya, situasi ini mungkin akan menimbulkan fitnah atau tanggapan buruk orang lain terutamanya keluarga dan rakan-rakan.Mengikut agama pula, ia adalah sesuatu yang mendekati maksiat dan kemungkaran.
Mengikut pengalamannya, suami kenalah:
1. Mendahulukan isteri
2. Hargai pengorbanan dan kepayahan seorang isteri melahirkan seorang anak
3. Membantu isteri dalam kerja-kerja di rumah termasuk hal anak-anak
4. Bersama-sama (membantu) isteri ketika membesarkan anak
Beliau juga menggalakkan supaya ibu bapa sering menasihati anak mereka tetapi jangan lah sampai mencampuri urusan rumah tangga anak-anak kerana mungkin boleh memburukkan keadaan (pergaduhan suami isteri).
Ibu lelaki ini juga sempat memberi pesanan penting dalam membentuk keluarga bahagia. Menurutnya, elemen terpenting untuk keamanan dalam sesebuah keluarga itu haruslah ada:
Paling penting, andai diuji dengan perselisihan faham atau pergaduhan, jangan lah cerita keburukan suami/isteri pada orang lain terutamanya orang yang tidak boleh memberi nasihat (lebih memburukkan keadaan).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Adatlah hubungan menantu mentua, ada pasang surutnya. Cuma janganlah terlalu tenggelam dalam kebencian sehingga tak nampak baiknya mentua. Begitulah sebaliknya mentua memandang menantu.
Apa pun, suami mahupun anak lelaki itu sendiri kenalah memainkan peranan yang bijak menyelesaikan konflik antara isteri dan juga ibu sendiri. Bak menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.
Perkongsian Puan Ezatul Marini tentang ibu mentuanya ini ‘sweet’ sungguh. Ada pelajaran yang boleh diambil teladan oleh pasangan anak-anak muda yang baru mendirikan rumahtangga.
2 NOVEMBER 1996
Selepas Asar, 22 tahun lepas, kami tinggalkan emak di tempat istirehat abadi. Dengan esak tangis dan rasa sayu sebak kami tinggalkan emak di kawasan lapang itu. Terhentilah hingga di situ segala bakti dan kebaikan yang dapat kami sumbangkan untuk emak dan tamatlah sudah episod menagih doa yang baik-baik dari emak buat kakak-kakak ipar dan suami saya.
ALMARHUMAH HADIJAH BT MOHD NAAM.
Semasa dijemput pulang, emak berusia 67 tahun. Bertubuh besar (125Kg) dan bersosok tinggi, saya tidak pernah mampu memegang emak dengan kuat setiap kali emak selesai mandi.
Rutinnya, selesai mandi, emak akan laungkan nama encik K kerana hanya beliau yang cukup gagah untuk memimpin emak berjalan dari bilik mandi ke ruang tengah rumah.
Saya pernah mencuba tunjuk kuat dan akhirnya kami sama-sama terjelepok di pertengahan jalan. Emak hanya ketawa bila saya minta maaf.
Emak rajin memasak dan memang airtangan emak sedap selalu. Dek kerana keadaan kesihatannya, emak tidak mampu berdiri untuk memasak. Jadi dapur memasak diletakkan di lantai, emak akan duduk di depannya dan kita bertugas membantu emak ambilkan apa sahaja yang emak minta.
“Mimi, ambikkan pinggan.”
“Mimi, letak pelengat ni kat situ.”
“Mimi… hihihi marah awak ye Mak panggil banyak kali,” itu pengakhiran skrip setiap kali emak panggil saya lebih dari 3 kali dan emak dah nampak saya mula rimas duduk bangun berkali-kali.
Tapi sampai kah hati kita hendak simpan rasa marah bila emak cukup bijak memujuk. Ada saja kata- kata lucu yang akhirnya buat kita tergelak sendiri.
Memandu Dari PJ Ke Keramat, Demi Sebekas Kuih
Emak sangat sayangkan cucu-cucunya. Semasa emak tutup usia, cucunya ada 6 orang – Amirul, Hasrul, Ainil, Salwa, Hadi dan si kecil Aida. Yang berlima itu tinggal di Keramat, di kuarters TNB Keramat dan si kecil Aida yang pada waktu itu berumur lingkungan 8 bulan, sekali- sekala emak yang mengasuhnya.
Punya emak sayang pada cucu-cucunya, bila dia menggoreng jemput-jemput pun kalau terkenang, kami akan disuruh hantarkan ke rumah kakak ipar. Memandu dari Petaling Jaya ke Keramat demi menghantar sebekas kuih? Kami OK aje, dapat juga jumpa mereka yang keletah dan manja.
Emak sangat “resourceful”. Dek kerana emak tak mampu berjalan dan berdiri, “walker” si kecil diikatkan tali yang dipegangnya. Kalau dah jauh cepat- cepat ditarik dekat dengannya. Waktu senggang emak gunakan untuk mengajar mengaji dan berzanji.
Saya yang waktu itu baru sangat menjadi menantunya sesekali diminta gantikan beliau mengajar mengaji. Untuk kanak- kanak saya OK aje tapi kalau untuk makcik-makcik biasanya saya angkat tangan.
Emak juga selalu minta saya belajar berzanji yang akhirnya hanya sempat saya tuntut ilmunya sekejap sangat sebelum emak semakin uzur.
Bila Suami Anak Manja Emak Mentua ku
Rutin waktu makan pula, setiap hari emak akan minum segelas susu Anlene, jadi tugas saya membancuh susu tersebut dan letakkan di meja sementara tunggu emak habis mengajar mengaji.
Lepas makan biasanya emak akan duduk di ruang depan, menonton TV. Banyak kali kita akan tergelak sendiri bila tertangkap emak yang sudah tertidur sambil duduk. Biasanya cepat- cepat saya hulurkan kusyen.
“Hihihi…emak tak tidor pun. Mata emak memang macam ni,” tu memang jawapan standard. Waktu petang, terutamanya kalau cuti emak suka minum-minum di depan anjung. Setiap yang lalu-lalang semua ditegurnya, kadang-kadang diajak singgah minum. Bila kita tegur atau tanya siapa, jawapannya mudah, “Entah, mak pun tak konal…sajalah tegur.”
Encik K anak manja emak. Kadangkala sebelum tidur emak akan panggil anak lelakinya itu mintak tolong urutkan atau garu belakangnya dengan sikat bulat dan saya tidak terkejut langsung bila terpandang encik K mencium tapak kaki emaknya. “Syurgakan?” itulah selalunya jawapan encik K
Suamilah Penyelesai Konfrontasi Menantu, Mentua
Hubungan saya dengan emak tidaklah sentiasa harmoni. Ada juga sesekali berlaku kecil hati dan pergeseran. Pernah juga kedua-dua kami konfrontasi, tetapi untungnya, encik K bertindak sebagai orang tengah yang bijaksana. Cepat- cepat saya mohon maaf dengan emak dan kami berbaik semula.
Aduhai, dalam rumah itu ada 4 orang sahaja. Ayah, sentiasa dalam biliknya dan ayah memang pendiam. Encik K, kalau angin berlian dalam mulutnya sampai memang tak akan bercakap langsung. Jadi saya hanya ada emak yang selalu memujuk dan menjadi kawan saya bercerita.
Saya bernasib baik dikurniakan kakak-kakak ipar dan biras yang menolak “sengketa”. Ada apa pun perasaan kecil hati atau terkilan, kakak-kakak selalu gunakan pendekatan memaafkan dan “move on”.
Dah lama sangat kami berkumpul dalam keluarga yang sama jadi sebolehnya kami raikan apa sahaja yang berbeza.
Saya rindukan nikmat beremak mertua. Sebagaimana, Farida Jalal dalam Kuch Kuch Hota Hai sebutkan pada Shah Rukh Khan (Rahul Khanna), dia rindu nak mengumpat menantu dek kerana menantunya meninggal awal, saya juga rindukan perasaan beremak mertua.
Bukanlah pula bermaksud untuk mengata dan mengumpat atau bermusuh dengannya tapi rindukan suasana berkumpul dan belajar banyak perkara dari emak mertua yang baik dan sporting sepertinya.
Kenangan gambar lama bersama ibu mentua.
Penting Letak Allah Dan Suami Diawalnya..
Saya tidak mahu kongsi tips bagaimana sepatutnya melayan dan menyantuni emak mertua kerana saya pun tak sempat mengecap perasaan itu lama. Cukuplah sekadar saya katakan dalam menangani dan menyantuni keluarga mertua, selalu letakkan Allah dan suami diawalnya.
Kalau kita mampu bina hubungan yang harmoni dengan keluarga suami, adakah suami kita akan bahagia atau sebaliknya? Kalau suami kita gembira agaknya ada tak doa baik- baik yang akan beliau khususkan untuk kita?
Benar, memang wujud keadaan bilamana mentua dan ipar duai memberi cabaran, itu saya tidak akan nafikan. Doalah sebanyak-banyaknya agar semuanya jadi baik-baik belaka.
Carilah titik tengah yang mampu leraikan sedikit kekusutan atau perasaan kurang enak yang kita atau mungkin mereka simpan.
Al fatihah buat emak. 22 tahun tanpa emak, kami sunyi dari gurau senda dan lagu-lagu yang emak nyanyikan untuk dodoikan cucu-cucu. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah selalu memayungi emak.
MW : Al fatihah untuk mentua Puan Ezatul, ALMARHUMAH HADIJAH BT MOHD NAAM.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...