Hormati rumahtangga masing-masing. Jika kita memilih untuk berbahagi tugas di rumah dengan suami sejak terlafaznya akad nikah, jangan dihina atau dikecam isteri yang menghambakan diri untuk suami 24 jam. Rumah tangga kita, ikut cara kita… Asalkan tak salah di sisi agama.
Mungkin itu cara mereka dan sang isteri anggap setiap pengorbanan yang dia lakukan setiap waktu mendapat ganjaran pahala di akhirat kelak. Ikuti perkongsian Intan Dzulkefli ini dan hadam baik-baik.
Setiap Pasangan Berbeza
Jika suami kita jenis balik rumah, apabila buka pintu lihat meja masih kosong tanpa lauk-pauk, rumah seperti tongkang pecah, isteri muka seperti hantu mak limah, anak-anak masih masam tak mandi – tetapi dia masih senyum gembira lihat isteri dan anak-anak, alhamdulillah.
Namun, kita kena ingat, bukan semua isteri direzekikan suami yang bertimbang rasa sebegitu. Ada yang boleh naik angin jika buka pintu rumah dan lihat situasi begitu.
Banyak faktor penyebab. Mungkin juga sebab sudah terbiasa dididik dari kecil, ibunya serba serbi sempurna.
Hakikat Kita Berbeza
Kita boleh kata, ‘suami saya okay je kalau pergi kerja tanpa saya siapkan sarapan. Malahan dia yang selalu siapkan atau beli sarapan.’
Namun, ada suami orang lain, kepantangannya jika dia melangkah keluar tanpa ada sarapan di atas meja atau secawan kopi untuk diminum.
Adakah kita boleh kata, “Minta cerailah! Suami kau tu bukan manusia, tetapi lembu.” Tentunya tidak kan? Kasut kita tak sama. Toleransi kita tak sama. Latar belakang setiap orang tidak sama. Prinsip, penerimaan dan kepantangan tidak sama.
Terimalah hakikat itu.
Kalau Kita Redha, Apa Salahnya
Saya pernah lihat, seorang suami, hanya untuk membasuh tangan pun menunggu isteri. Walhal bekas air itu bukannya jauh dari tangannya. Itu pun masih mahu disuruh si isteri menghulurkan padanya.
Ads
Istighfar juga saya melihat kelakuannya.
Ya, si isteri perlu menyiapkan segala-galanya. Namun, si isteri jujur berkata sendiri dengan anak-anak lelakinya.
“Jangan buat macam ni dengan isteri kalian. Buatlah semuanya bersama-sama. Mak ni kes lain. Anggap je mak ni kes special.”
Maksudnya dia memang redha dan gembira melayan suaminya begitu. Namun tidak pula dia mahu budaya sedemikian dinormalisasikan dalam kalangan anak menantunya. Mungkin sebab dia sedar, ketahanan mental, emosi dan fizikal setiap wanita bukannya sama yang mana mungkin dapat menjejaskan sebuah keikhlasan.
Ada pasangan suami isteri yang saya jumpa memang semua hal dalam rumahtangga suami yang buat. Penat balik kerja dari kebun, dialah juga yang masak, angkat baju di ampaian, melipat baju, kemas rumah.
Isterinya bekerja sebagai guru. Tetapi (insyallah) rumah tangganya bahagia sahaja. Si suami okay dengan isterinya dan meredhai isterinya, dia memang tak suka lihat isterinya bersusah payah, katanya.
Bagi isteri, keredhaan suami. Itu point paling penting. Suami ikhlas dan redha. Mereka okay dengan cara rumahtangga mereka. Walhal orang luar selalu mengutuk isterinya sebagai pemalas dan sebagainya.
Tetapi apa yang pasangan ini buat? Mereka buat tak endah komen orang lain. Rumah tangga kami, cara kami. Asalkan tak salah di sisi agama, kita proceed.
Ikut Acuan Sendiri
Ada pasangan pula seperti yang saya ceritakan di atas tadi. Serba serbi semua isteri yang buat. Kuku pun isteri yang potongkan. Sudahlah alatan rumah semuanya tradisional, hinggakan mahu menggulai pun perlu kait sendiri buah kelapa sampailah mesin, memerah santan semuanya secara manual.
Tetapi tidak pula isteri ini merungut. Memang semuanya dilakukan dengan rela dan ikhlas, walau mungkin ada wanita yang komen, ‘dah macam hamba abdi!’
Ada pula yang sejak sah ikatan nikah, semua hal berkongsi bersama. Baik kerja rumahtangga mahupun hingga menguruskan anak-anak, semuanya dilakukan bersama-sama. Sangat kontra kan?
Ads
Bahagiakan Antara Satu Sama Lain
Jadi, rumah tangga yang mana yang paling bagus antara semua ini?
Jawapannya? Rumahtangga yang saling meredhai dan diredhai, saling membahagiakan kedua pihak suami isteri. Sebab rumahtangga ini didasari atas dua jiwa.
Jika cara sedemikian dipersetujui, diredhai bagi keduanya, siapalah kita sebagai orang luar mahu komen itu ini. Kita ada cara masing-masing.
Jika rumahtangga kita begini, itu rumahtangga kita, bukannya rumahtangga mereka. Cukuplah kita faham itu serta belajar hormat cara dan prinsip orang lain.
Jalani Hidup Dengan Cara Tersendiri
Dulu, saya juga sejenis yang cepat juga melenting andai terbaca bab-bab merajakan orang lelaki ni. Namun, sekarang sudah slow sikit. Mungkin atas faktor melihat dari sudut pandang berbeza.
Jika semuanya okay, then ‘go on’ dengan cara kita walau orang lain kritik begitu begini. Hal ini kerana, keikhlasan dan rasa bahagia yang lahir di dalam hati bukanlah boleh dibuat-buat.
Jalani hidup kita dengan cara kita sendiri, asalkan masih berpaksikan matlamat mengejar redha Ilahi. Sesungguhnya Allah Lebih Mengetahui apa di dalam hati, setiap dari kita. . #intandzulkefli #randomthoughts Pendapat peribadi. Tak setuju tak apa.
MW: Tak perlu hakimi rumah tangga orang lain, masing-masing ada acuan sendiri yang mereka selesa. Paling penting isteri bahagia dan suami pun bahagia, pandangan orang luar letak tepi. Tapi jangan sampai ketepikan agama pula.
Bukan mudah bagi seorang lelaki untuk jadi suami dan ayah, apatah lagi nak jadi ketua keluarga yang boleh memimpin keluarga dan dihormati isteri serta anak-anak.Besar tanggungjawab yang perlu digalas.
Fenomena dalam kekeluargaan hari ini, ramai isteri dan anak-anak semakin hilang rasa hormat dan pandang rendah pada insan bergelar suami dan ayah ini. Ini kerana ia bergantung pada sikap suami sendiri serta gagal memenuhi 6 elemen yang dijelaskankan oleh Encik Hishamnamatini.
Berikut merupakan perkongsian daripada beliau;
“Bertanggungjawab adalah tanggungjawab semua, tidak kira yang berpoligami mahupun monogami. Cuma kenapa elemen bertanggungjawab ini perlu diperincikan lagi kepada suami yang beristeri lebih dari seorang adalah kerana beban yang dipikul itu berlebihan dan dalam banyak keadaan ianya memerlukan kebijaksanaan untuk melaksanakannya.
Saya tidak mahu menumpukan huraian ini pada tanggungjawab yang lazimnya kita semua sudah ketahui seperti tanggungjawab zahir dan batin, tanggungjawab tempat perlindungan dan makan pakai, tanggungjawab membimbing isteri untuk melaksanakan ibadah khusus dan sebagainya. Itu adalah syarahan atau silibus yang terdapat di peringkat sekolah mahu pun universiti.
Sikap Suami
Apa yang ingin saya ketengahkan sekarang adalah membawa anda menilai tanggungjawab dari sudut perlaksanaan dan sikap suami terhadap sesuatu amal perbuatan. Ini kerana isteri mahupun anak-anak sendiri akan ‘memberikan markah’ kepada suami atau ayah mereka sebenarnya.
Dalam erti kata lain mereka sedang memerhatikan setiap tindak tanduk anda untuk menilai bagaimanakah sikap seorang yang dikatakan sebagai pelindung kepada mereka.
Adakah mereka berpaut pada dahan yang betul; malah itulah harapan mereka sebenar-benarnya. Apabila ‘markahnya’ tinggi maka lagi mudahlah untuk mereka patuh dan menuruti ‘kemahuan’ anda kerana sejauhmana tinggi atau resiko pun ‘kemahuan’ tersebut, mereka akan tetap yakin yang anda akan melaksanakannya dengan penuh rasa amanah dan bertanggungjawab.
Sekira ‘markahnya’ rendah maka disitulah timbulnya rasa jelek seorang suami, apabila setiap tindak tanduknya sering sahaja dipertikaikan oleh isteri malah anak-anak yang juga sudah boleh berfikir.
Di sinilah timbulnya si suami asyik mempertikaikan ketaatan dan sikap memberontak si isteri tanpa mereka sedari bahawa sikap ‘protes’ itu datang dari rasa kurang hormatnya kepada suami yang dilihat culas mengalas segala amanah dan tanggungjawab.
Pemerhatian
Keculasan memikul amanah dan tanggungjawab ini tidak semestinya sesuatu yang berkait secara langsung dalam amalan rumahtangga sahaja. Isteri dan anak-anak juga sentiasa memerhatikan tindak tanduk suami di luar dari persekitaran rumah.
Mereka memerhati bagaimana suaminya bermuamalat, menunaikan janji kepada saudara dan sahabat handai, melaksanakan tugas di pejabat, mentaati dan menghargai masa dan pelbagai lagi situasi yang boleh mereka nilaikan.
Sekiranya perkara-perkara yang di luar lingkaran rumahtangga ini pun berada di dalam radar pemerhatian mereka, apatah lagi perkara-perkara yang berkaitan secara langsung dengan amalan rumahtangga. Sudah tentulah ianya lebih lagi tinggi nilaiannya.
Antara elemen-elemen lazim yang sering dituntut pertanggungjawabannya oleh isteri adalah:
1. Tahap menunaikan janji 2. Membantu ringankan beban kerja rumah beliau 3. Bersikap perihatin tentang keperluan anak-anak 4. Meluangkan masa untuk keluarga 5. Ketegasan suami menangani isu rumahtangga 6. Hubungan jiwa suami pada Allah S.W.T.
Saya tidak perlu menghurai secara panjang lebar ke enam-enam perkara di atas kerana ianya sangat jelas tuntutannya dan boleh difahami dengan mudah akan kesan yang bakal berlaku sekiranya suami gagal berperanan secara efektif terhadap perkara yang tinggi tuntutannya itu.
Secara dasarnya enam elemen tersebut (mungkin ada lebih; anda boleh fikirkan sendiri) merupakan faktor-faktor penting yang seharusnya menjadi amalan kehidupan bagi seorang suami mithali sekiranya anda ingin menjadi dambaan isteri.
Jika berlakunya pengabaian, maka weight of loosing trust and respect itu akan lebih tinggi bebannya berbanding dengan kesan pengabaian tanggungjawab suami di luar lingkungan rumahtangga tadi. Ini suatu perkara yang pihak suami benar-benar kena fahami.
Surirumah jangan rendah diri sebab rasa macam tak kerja, untungnya dapat uruskan keluarga dan rumah tangga sepenuh masa. Abaikan kata-kata orang bila mak-mak mengambil keputusan berhenti kerja demi anak dan keluarga.
Sudah pasti setiap keputusan yang mak-mak pasti adalah pilihan terbaik dan ada hikmah yang menanti. Ada di kalangan mak-mak yang terpaksa bekerja untuk membantu keluarg.
Malah ada di kalangan mak-mak di luar sana, perlu berkorban cita-cita dan impian demi keluarga. Tidak kiralah mak-mak adalah ibu bekerjaya atau surirumah sepenuh masa, mak-mak adalah wanita yang paling hebat.
Surirumah Jangan Rendah Diri
Ikuti perkongsian Mohd Yazid Ismail ini dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan:
Dulu isteri saya Widyana Ali bekerja sebagai pensyarah Bahasa Arab. Pada tahun 2016 dia berhenti kerja ketika anak ke-4 kami, Nisreen, berumur 10 bulan.
Bertukar menjadi surirumah sepenuh masa bukanlah sesuatu yang mudah baginya. Minatnya pada mengajar di universiti masih tinggi, ada cita-cita nak jadi professor.
Tapi selepas membuat pertimbangan dia pilih untuk resign. Banyak faktor diambilkira. Boleh fokus pada keluarga.
Antara faktornya ialah bonding dia dengan baby Nisreen ketika itu sangat kuat. Bayangkan baru saja hantar Nisreen ke nurseri, terus rasa sedih, rindu nak pergi tengok Nisreen.
Dekat office Mama menangis sebab rindu Nisreen. Macam mengada-ngada tapi itulah jiwa seorang perempuan, sukar difahami. Setiap kali lunch hour mesti pergi jumpa Nisreen.
Yang peliknya masa anak pertama, kedua dan ketiga masuk nurseri dulu tak macam ini kuat bondingnya.
Katanya kasihan dekat Nisreen setiap hari kena tinggal di nurseri. Dua-dua Mama dan baby menangis. Bila ditambah pula dengan faktor-faktor lain, dia tekad hendak berhenti kerja pensyarah.
Sebab Rasa Macam Tak Kerja
Saya support keputusannya, kuatkan semangat supaya tak rasa rendah diri dengan status kerja sebagai surirumah. Saya bagitahu bila orang tanya kerja apa jangan jawab “saya surirumah je”. Kena buang perkataan “je” tu. “Je” akan merendahkan nilai pekerjaan surirumah.
Jawablah dengan bangga “Alhamdulillah saya surirumah sepenuh masa”.
Setiap orang mesti bangga dengan pekerjaannya. Doktor, pensyarah, polis, kerani, semua kena bangga.
Sekarang sudah 5 tahun berstatus surirumah, sambil buat bisnes secara sambilan. Dia sangat gembira dengan pilihannya.
Untungnya Uruskan Keluarga Sepenuh Masa
Alhamdulillah walaupun buat bísnes secara part tíme, íncome dia sebulan melebihi gajinya setahun ketika bekerja sebagai pensyarah. Allah Maha Kaya.
Dengan íncome part tíme ini dia berjaya beli sebuah banglo 2.2 juta di Bangi walaupun dia baru berusia 35 tahun. Insyaallah akan dapat kunci bulan depan.
Ini gambar dia berbisnes, buat FB live cooking show. Terpaksa buat dekat luar rumah sebab kalau dekat dalam bunyi bising anak-anak ramai. Maklumlah anak tengah aktif baru nak membesar.
Walaupun banyak kekangan dalam berbisnes, guna apa yang ada sahaja, jangan banyak merungut. Jalan terus.
Moral of the story, kepada para surirumah jangan rasa rendah diri sebab rasa macam tak kerja. Surirumah adalah pekerjaan, bukan tak kerja. Dan boleh buat macam-macam bisnes sambil uruskan rumah tangga.
Mingguan Wanita : Paling penting hidup dalam rumahtangga, bertolak ansurlah dengan pasangan. Jika pasangan memilih untuk bergelar surirumah, hormatilah keputusannya dan sokong sebaik mungkin agar dirinya terasa dihargai serta membuat keputusan yang tepat.
Mungkin setelah beberapa tahun berkahwin, anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena. ‘Cinta buta’ di awal perkahwinan itu tidak kunjung celiknya. Perasaan sayang kepada suami kian pudar dan timbul pula benci!
Ya, entah kenapa pandai pula anda mengadu perasaan itu kepada rakan baik di pejabat.
“Iyalah, Senah… aku tau aku kena sayang suami aku tapi kasih sayang itu tidak boleh dipaksa.”
“Eiii..kau tak boleh buat macam tu Kiah. Berdosa tau!”
Mungkin Tiada Jawapannya…
Senah pun memberi ceramah percuma tentang tanggungjawab seorang isteri sayang dan taat kepada suami. Semua yang Senah ceramahkan itu sudah anda tahu. Yang Senah tidak beritahu ialah jawapan kenapa anda merasa begitu!
Minda Sedar Dan Minda Bawah Sedar
Untuk faham kenapa anda boleh secara tidak sedar mula membenci suami kita kena tahu bahawa minda manusia ada dua komponen. Minda sedar dan minda bawah sedar.
Minda sedar ini mudah mengawalnya tetapi minda bawah sedar ini memproses maklumat dan membuat keputusan sendiri tanpa disedari. Seperti anda berhujah ‘Cinta Itu Buta’ maka begitu juga perasaan benci yang datang tanpa diundang ini.
Ianya adalah keputusan minda bawah sedar yang memproses maklumat yang tidak kita sedari. Satu-satunya cara untuk mengelak keadaan ini ialah dengan menyedari apakah maklumat masuk yang tidak anda sedari itu?
Mungkin Isteri Nak Perhatian Jer
Anda sudah sedia? Mari kita mulakan. Pertama, isteri perlukan perhatian. Anda menjadi buta kerana cintanya dahulu kerana dia begitu ‘caring’ dan ‘loving’. Namun sejak anak berderet ini semua itu sudah masuk longkang.
Anda pergi salon, menitik peluh berzumba, diet sampai nak pengsan tapi dia tidak perasan pun. Tidak ada lagi dating di panggung wayang sebab bila lapang sahaja dia sibuk keluar memancing dengan kawan. Bila dia begitu, anda senyum kelat dalam hati yang tidak reda.
Dulu anda pilih dia pada waktu dia tidak ada satu benda dan bukan siapa-siapa pun. Namun selepas berkahwin dia buat anda macam tidak tahu apa-apa. Semua yang anda buat, tidak kena di matanya. Apabila dengar dia selalu merungut begitu, secara tidak tidak sedar anda mula terfikir tidak adakah perkara betul yang anda lakukan?
Suka Puji Wanita Lain, Bini Sendiri Tak Pernah Puji!
Dari perspektif lain, anda akui suami lelaki kacak. Sejak dulu memang ramai perempuan mengejarnya. Ketika itu dia memang sedikit nakal dan selalu memuji perempuan lain di depan anda.
Namun sekarang dia masih begitu dan telinga anda seperti disiram timah cair apabila dia memuji perempuan lain di depan muka anda. Bukan sekali. Bukan dua kali. Entah kenapa semakin dia buat begitu, hati anda semakin meluat terhadapnya.
Senarai ini boleh menjadi sangat panjang. Sekarang bagaimana untuk mengelak perkara ini menjadi lebih kronik? Anda isteri yang baik dan tidak mahu terus dimainkan syaitan membenci suami sendiri.
Dulu Janji Terima Seadanya
Ada beberapa ikhtiar yang boleh dilakukan. Pertama, kita hanya lihat apa yang kita mahu lihat. Dulu anda janji menerima dia sama ada dalam keadaan buruk atau keadaan baik. Sudah memang perangainya begitu tetapi tentu ada yang baik pada dirinya.
Apa yang baik pada dirinya? Adakah dia sayang kepada anak-anak? Adakah dia kaki surau? Mungkin dia pandai masak atau apa sahaja yang baik pada dirinya. Cari dan lihatlah kebaikannya itu.
Mungkin Suami Tak Tahu
Kadangkala suami tidak tahu perangainya itu menyakiti hati isteri. Dia sangkakan anda boleh menerima sikapnya begitu. Belajarlah teknik bercakap-cakap dan kongsilah rasa gelisah anda itu dengan dia. Niat yang baik dan dilaksanakan dengan cara yang betul pasti membawa hasil yang dimahukan.
Perkahwinan adalah perjalanan hidup yang panjang. Ada berjuta lelaki yang disangka baik rupanya tidak begitu dan begtu juga yang sebaliknya. Sedangkan pantai lagikan berubah, inikan pula hati manusia.
Jalan isteri ke syurga adalah sangat mudah. Ikhlaskan niat bersabar dan berkhidmat kepada suami kerana Allah SWT. Saya bukan ustaz tetapi percayalah tidak ada lelaki yang tidak kalah dengan isteri ahli syurga yang begitu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!