‘Remaja hilang selepas solat subuh.’ Hilang di Cheras jumpa di Kedah. Alhamdulillah akhirnya remaja ini ditemui semula selepas kehilangan tular sejak beberapa hari lalu.
Muhammad Al Muizz Al Mawardi, 16, telah dilaporkan hilang selepas menunaikan solat subuh di Masjid Al Muqarrabin, Cheras pada Ahad lalu ditemui dalam keadaan selamat.
Remaja Hilang
Perkara itu disahkan oleh bapa remaja berkenaan, Almawardi Mohamad, 41, yang memaklumkan anaknya ditemui selamat oleh pihak polis pada pukul 12 tengah malam tadi di Pokok Sena, Kedah.
Almawardi turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menyiarkan kisah kehilangan anaknya di semua platform media sosial.
“Terima kasih kepada semua pihak yang dan bantu, anak saya sudah ditemui berkat doa dan bantuan semua orang, banyak media bantu menyiarkan kisah kami. Alhamdulillah,” katanya.
Almawardi bagaimanapun tidak dapat menceritakan kejadian tersebut dengan lebih terperinci kerana kes tersebut disiasat polis.
“Maklumat lain tidak boleh didedahkan sebab saya tak mahu mengganggu siasatan pihak polis ketika ini. Polis masih siasat bagaimana anak saya boleh berada di sana dan perincian yang lain,” jelasnya.
Ads
Hilang Di Cheras
Terdahulu, kehilangan Muhammad Al Muizz Al Mawardi, 16, sejak Ahad telah menjadi misteri dan mencetuskan kebimbangan ibu bapanya.
Difahamkan, jarak antara masjid lokasi mangsa menunaikan solat dan rumahnya di apartmen Tasik Height hanyalah kira-kira sejauh 20 meter.
Bapa remaja berkenaan, Almawardi Mohamad, 41, ketika dihubungi Kosmo! berkata, anaknya ada memaklumkan ingin keluar beraya selepas selesai menunaikan solat di masjid.
“Kejadian berlaku selepas kami sekeluarga baru pulang dari kampung saya di Jasin, Melaka pada Sabtu lalu, dia ada memaklumkan kami sekeluarga untuk pergi beraya bersama rakan-rakannya di sekitar kawasan rumah sebaik sahaja menunaikan solat subuh di masjid pada keesokan hari.
“Kami sepatutnya menghantar Muhammad Al Muizz pulang semula ke asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya pada petang Ahad lalu untuk memulakan sesi persekolahan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.
“Saya juga ada bertanya kepada rakan sepejabat yang kebetulan menunaikan solat di masjid sama.
Ads
“Dia memberitahu anak saya bersolat disebelahnya sebelum tidak mengetahui keberadaannya selepas keluar dari masjid,” kata bapa kepada tiga anak berkenaan.
Katanya, kehilangan anaknya itu merupakan kejadian pertama berlaku dan Muhammad Al Muizz juga tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik atau memberontak sebelum kejadian.
“Dia anak yang sangat baik sentiasa patuh dan tidak pernah melawan atau mempunyai musuh dengan sesiapa. Hati saya sangat berat dan bersedih dengan kejadian ini.
“Saya juga cuba untuk menghubunginya sejak Ahad lalu namun masih tidak terjawab sedangkan sebelum ini setiap kali dihubungi, dia pasti akan menjawab atau sekurang-kurangnya membalas menerusi WhatsApp,” jelasnya.
Sebelum itu, berita kehilangan Muhammad Al Muizz tular di media sosial sejak beberapa hari lalu dan orang ramai juga mendoakan agar remaja berkenaan ditemui dengan selamat.
Ads
Mingguan Wanita : Hanya rasa syukur dapat dizahirkan bila anak ini ditemui selamat. Pasti kehilangannya membuatkan mak ayahnya hilang arah dan risau akan keselamatannya anaknya.
Elyana bebas & pulih kanser limfoma tahap empat, 11 tahun perjuangan melawan kesakitan berakhir. Allahu Akhbar khabar gembira daripada Elyana membuatkan ramai yang terharu. Malah penulis sendiri mengalirkan air mata.
Secara peribadi penulis pernah menemubual Elyana dan suami sewaktu berkunjung ke kediaman mereka beberapa tahun lalu bagi menjayakan sesi fotografi kulit muka depan majalah Mingguan Wanita.
Tatkala itu walaupun tahu derita yang ditangung namun Elyana tetap menerima kehadiran kami dengan senyuman. Begitu kuat semangat Elyana dan penyanyi itu juga tidak pernah berhenti berharap, jauh sekali menyerah kalah berjuang melawan kesakitan yang dihadapi.
Elyana Bebas & Pulih Kanser Limfoma Tahap Empat
Berkongsi berita itu menerusi satu hantaran di Instagram awal pagi ini, penyanyi Elyana memaklumkan dirinya kini bebas dan pulih daripada kanser limfoma yang dihidapi sejak 11 tahun lalu.
Malah ibu kepada dua orang anak ini juga turut bersyukur apabila perjuangan dan penantiannya melawan penyakit ini membuahkan hasil.
“Assalamualaikum rakan dan keluarga di Instagram.
“Hari ini saya ingin berkongsi rasa gembira dan rasa syukur saya dengan anda semua..
“Perjuangan dan penantian saya selama 11 tahun kini sudah berhasil!!!!! Kanser saya hilang!!!!!” luah Elyana.
“Terima Kasih Ya Allah”
Pemilik nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal ini juga sangat bersyukur, doanya selama ini dimakbulkan Allah.
“Alhamdulillah Ya Allah…. Terima kasih Ya Allah,kau telah mendengar doa kami..
“Tak dapat saya gambarkan perasaan gembira saya .
“Terlalu lama tak dapat rasa gembira ada tubuh yang sihat..Saya pernah putus asa untuk berjuang.Kadang cemburu dengan kesihatan orang..
“Tapi saya sangat yakin suatu hari akan ada keajaiban dari sang pencipta ku. Allah Maha Baik!!!
Ada cara yang praktikal bagi memudahkan menyiapkan kerja-kerja rumah yang tak pernah habis. Ini kerana seringkali mak-mak rasa terkejar-kejar dan tak cukup masa menguruskan pelbagai kerja dirumah. Lebih-lebih lagi jika anak-anak masih kecil, tiada pembantu dan segalanya perlu diuruskan sendiri.Ia mampu menyebabkan tekanan akibat rasa keletihan yang melampau.
Perkongsian tip daripada Puan Normaliza Mahadi ini, yang juga merupakan seorang kaunselor ini mungkin dapat membantu mak-mak dalam mengatasi keadaan ini.
Berikut antara perkongsian beliau;
Puan,
Saya surirumah. Saya ada 4 orang anak. Paling besar darjah 2 dan yang kecik 1 tahun. Saya penat. Tolonglah saya.
Saya bangun pukul 5.00 pagi. Saya rasa macam saya tak dapat duduk sampailah pukul 11 mlm.
Saya sangat penat dan ada masanya saya sampai fikir yang bukan-bukan. Macam nak larilah. Macam nak matilah. Macam nak tinggalkan anaklah. Dan macam-macam lagi.
Jawapan saya
1. Beli Penyangkut
Beli penyangkut baju banyak-banyak. Semua baju basuh, sangkut, sidai di luar dan bila kering, sangkut pada tempat penyangkut baju. Jimat masa untuk lipat baju.
2. Beli Bakul & Tulis Nama
Beli bakul ikut jumlah penghuni rumah. Benda kecik yang tak boleh guna penyangkut, letakkan dalam bakul ini. Tulis nama setiap orang. Jimat masa menyelenggara pakaian dalam dan kecil.
3. Masak Seminggu Sekali
Masak seminggu sekali dalam jumlah yang banyak. Simpan dalam bekas kecil di freezer. Setiap pagi keluarkan bekas yang akan dipanaskan untuk lunch dan dinner. Jimat masa masak.
4. Buang Barang Yang Tidak Dipakai
Derma dan buang barang dalam rumah yang tidak dipakai. Dalam rumah mesti hanya terdapat barang yang diperlukan sahaja. Barang yang menyemak, sila keluarkan dari rumah.
5. Hadkan Mainan Satu Bakul
Hadkan mainan anak kepada satu bakul sahaja. Lepas main mesti simpan. Jika tidak simpan, mainan akan disimpan selama beberapa hari sebagai hukuman. Jika simpan, anak-anak akan dipeluk 2 minit sebagai rasa gembira mak. Barang yang kurang menjimatkan masa mengemas dan tak perlu mengendali benda yang tak guna.
6. Latih Anak Tidur Siang
Latih anak kecil ikut masa tidur waktu siang. Selepas beberapa hari, mereka akan mula tido secara teratur. Ada masa nak rehat sikit bila anak tidur.
7. Tetapkan Waktu Tidur Malam Anak
Latih anak tidur pada waktu malam pada jam yang tertentu. Tutup semua lampu. Mula agak sukar tapi lama-lama anak akan tidur pada jam yang tetap.
8. Bagi Anak Susu Waktu Nak Tidur
Latih anak yang berusia setahun ke atas supaya tidak minum susu ketika malam. Bagi susu waktu nak tidur. Malam jika bangun, bagi air kosong. Anak akan mengamuk dan melalak. Dalam masa seminggu, anak akan tahu tiada susu di waktu malam dan akan tidur sehingga pagi. Mak akan ada waktu tidur yang lebih panjang.
Jadi mak kena kreatif dan profesional. Mesti ada rancangan atas kertas. Jika tiada bantuan daripada suami, doakan Allah ganti balik semua penat di syurga nanti.
Selamat mencuba. Ambil yang sesuai sahaja.
Semoga perkongsian tip ini bermanfaat buat mak-mak yang sering keletihan dan rasa tak cukup masa seharian menguruskan rumahtangga.
Sudah tentu, jurururawat ini tidak mahu perkara seumpama ini berlaku. Apatah lagi kepulangannya ke kampung menjadi punca kepada ahli keluarganya dijangkiti Covid-19.
Namun sudah suratan takdir, jururawat yang pulang ke kampung Oktober lalu menjadi punca empat orang positif Covid-19 termasuklah bayi berusia 22 hari.
Kepulangan Jururawat Ke Kampung Punca 4 Positif
Kepulangan seorang jururawat dari Selangor ke kampung halaman baru-baru ini mengakibatkan empat jangkitan baru kes Covid-19 di Kelantan termasuk bayi perempuan berusia 22 hari.
Selain bayi yang juga anak saudara jururawat dari hospital swasta berkenaan, tiga mangsa lain adalah neneknya berusia 75 tahun, ibu serta adik kepada jururawat berkenaan.
Difahamkan, jururawat wanita itu pulang ke kampung di Kuala Balah, Jeli bersama seorang rakannya pada Oktober lalu sebelum kembali ke Selangor sebelum disahkan positif Covid-19.
Sepanjang di kampung, jururawat berkenaan sempat bertemu neneknya sebelum pulang ke Selangor.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin berkata, susulan kes berkenaan, pihaknya melakukan 70 ujian saringan Covid-19 terhadap kontak rapat empat mangsa berkenaan di Kuala Balah, Jeli, sejak Isnin lalu.
Katanya, kesemua mereka adalah kontak rapat kes sah dari Selangor yang pulang ke negeri ini dan menjangkiti ahli keluarga.
Ujian Saringan Kontak Rapat Telah Dilakukan
“Kita sudah lakukan ujian saringan kontak rapat di kalangan ahli keluarga selain turut memantau pergerakan ahli keluarga yang dijangkiti.
“Sehingga kini pihak kami sudah melakukan sebanyak 70 saringan terhadap kontak rapat terhadap kes ini dan kita berharap keputusan yang akan keluar dalam tempoh terdekat ini adalah negatif,” katanya.
MW: Semoga semua keputusan kontak rapat jururawat ini negatif dan urusan mereka dipermudahkan. Harapnya bayi yang berusia 22 hari itu cepat sembuh dan sihat.