Moga syurga tempat remaja lelaki ini. Meskipun baru berusia 15 tahun, namun di anggap ‘wira negara’ kerana sanggup bertarung nyawa demi menyelamatkan dua orang jirannya. Sungguh murni sikap remaja ini yang sanggup berkorban nyawa dan melecur teruk untuk menyelamatkan orang lain wajar dijadikan inspirasi buat remaja lain.
2 Minggu Bertarung Nyawa
Dalam kejadian berlaku di Iran ini, pihak kerajaan telah memberikan penghormatan atas kematian seorang remaja yang meninggal dunia kerana melecur teruk selepas menyelamatkan dua wanita jirannya yang terperangkap dalam kediaman mereka yang terbakar.
Ali Landi, 15, meninggal dunia semalam selepas dua minggu bertarung nyawa.
Media Iran melaporkan, Ali membantu kedua-dua wanita berkenaan menyelamatkan diri dan cuba mencampak silinder gas ke luar tingkap bagi menghalang api daripada terus marak.
Remaja berkenaan meninggal dunia kerana melecur 90 peratus, kata jurucakap hospital Emam Kazem di Isfahan di mana dia dipindahkan dari kampung halamannya di Izeh. Dua jiran yang diselamatkan adalah wanita berusia 80-an dan anak perempuannya, hanya mengalami luka luaran dalam kejadian yang berlaku 9 September lalu.
Ads
Bahan Pembelajaran Sekolah
Warga Iran mengagumi keberanian remaja berkenaan dan menggesa Kementerian Pendidikan memasukkan kisah Ali dalam bahan pembelajaran di sekolah.
Kisah pengorbanan beliau juga menurut Presiden IRAN akan dimasukkan dalam bahan pembelajaran di sekolah supaya memberi inspirasi kepada generasi lain.
“Kematian tragis anak muda Ali Landi, seorang remaja yang bersemangat, sangat menyedihkan dan memilukan. Nama remaja yang berani dan bersemangat untuk menyelamatkan dua nyawa akan didaftarkan di kalangan wira negara ini,”
Presiden Iran, Ebrahim Raisi
Hari ini, gambar Ali yang sedang tersenyum menghiasi muka depan hampir kesemua akhbar utama Iran.
Ads
Sebuah video dikongsi di media sosial menyaksikan keranda yang membawa Ali dari hospital Isfahan diberi penghormatan oleh orang awam dengan iringan pancaragam tentera sebelum dikebumikan di kampung halamannya. – AFP
Mingguan Wanita:Selayaknya diberi penghormatan atas nilai murni dan sikap keberanian remaja ini. Semoga ditempatkan di syurga, atas asbab sanggup bertarung nyawa dan mengorbankan diri demi menyelamatkan orang lain.
Dengan keadaan ekonomi sekarang, macam-macam cara perlu dilakukan untuk menambah sumber pendapatan demi kelangsungan hidup. Salah satunya dengan berniaga kecil-kecilan.
Masih ingat dengan penyanyi era 90an, Shima atau pemilik nama sebenar Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman,49 yang cukup popular dengan lagu Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki. Malah, dia juga pernah menerima pengiktirafan besar dalam kerjaya seninya sebagai penyanyi, namun semakin dilupakan pada awal tahun 2000 kerana tidak lagi aktif menyanyi.
Berpenampilan manis bertudung labuh, Shima kini telah membuka warung menjual nasi campur berhampiran rumahnya demi mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.
Anggap Tiada Rezeki Dalam Bidang Seni
Namanya kembali menjadi sebutan selepas menyertai Gegar Vaganza musim pertama (GV1) pada 2014.Sayang seribu kali sayang, mengharapkan kerjaya kembali bersinar, namun ia tidak pernah berlaku.Malah, penyanyi yang juga pernah bersama band The Boys ini mengakui tidak banyak menerima undangan nyanyian usai program tersebut.
“Pelik juga sebenarnya. Nasib saya tidak sama seperti rakan lain yang menyertai GV. Selepas program tersebut saya tidak banyak menerima undangan nyanyian.
“Malah, tidak ada mana-mana pihak yang cuba mencari saya untuk memberi tawaran sebagai artis rakaman atau merakamkan single. Ibaratnya kerjaya saya tertutup selepas menyertai GV.
“Memanglah ada rasa sedikit kecewa, namun saya anggap tiada rezeki untuk terus bersaing dalam dunia seni. Mungkin juga disebabkan saya tidak keluar dengan lagu baharu, peminat zaman sekarang tidak sedar tentang kewujudan saya,” ujar Shima perlahan.
Meskipun pahit apa yang dihadapi, itu adalah hakikat yang harus ditelan. Shima akur dengan putaran dunia yang kini tidak lagi berpihak kepadanya.Dia sendiri menganggap dunia glamor yang pernah dikecapi dahulu sudah bertemu titik penamat.
“Sepanjang 30 tahun menjadi penyanyi sudah pelbagai cabaran yang dilalui. Sudah menjadi adat sebagai anak seni, perjalanan kerjaya ada naik dan turunnya. Saya terima hakikat yang dihadapi sekarang.
“Saya sudah merasai dunia glamor pada awal kerjaya dahulu. Pernah menang Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Juara Lagu (AJL). Jadi, rasanya apa yang pernah saya capai sebelum ini adalah satu kebanggaan buat diri sendiri.
“Sejak mula menyanyi saya sudah tanamkan dalam hati bahawa perkara sebegini akan berlaku. Janganlah terlalu kecewa sehingga tidak boleh meneruskan kehidupan harian. Saya perlu jalan ke hadapan.
“Malah, saya tidak pernah rasa dengki melihat rakan-rakan artis lain yang masih atau kembali mencipta nama dalam industri. Semua itu rezeki mereka. Tuhan telah tetapkan apa yang dilalui sekarang adalah rezeki untuk saya,” luah Shima dengan reda.
Derita Sakit Slip Disc
Di sebalik wajah ceria bercerita dan mengenang kembali kisah silam, ada sesuatu yang disorokkan oleh penyanyi ini. Ramai yang tidak tahu Shima kini bergantung kepada bekalan ubat hospital kerana menghidap sakit belakang atau slip disc.
“Rasanya sudah lima tahun saya menghidap sakit ini. Sekarang memang bergantung kepada ubat dan akan berulang-alik ke hospital setiap bulan untuk rawatan lanjut.
“Ketika zaman muda saya terlalu aktif dan di bangku sekolah pernah menyertai sukan peringkat kebangsaan. Saya juga pernah dua kali terjatuh di rumah. Sekarang barulah menanggung akibatnya.
“Doktor pernah memberi cadangan untuk melakukan pembedahan. Namun, risikonya amat tinggi kerana sakit ini sudah terlalu lama sehingga memberi kesan pada urat saraf. Jika buat pembedahan harapan untuk hidup hanya 50 peratus,” katanya.
Apabila ditanya tentang survival kehidupan, Shima tidak mahu kisahnya mengundang simpati orang lain. Malah, dia juga tidak terlalu mengharap mana-mana persatuan seni datang menghulurkan bantuan.
“Kalau boleh saya tidak mahu sentiasa bercerita tantang sakit. Syukur masih mampu meneruskan kehidupan harian. Biarlah keluarga dan teman rapat sahaja yang tahu penderitaan yang saya alami.
“Biasanya persatuan seni akan datang berjumpa apabila seseorang artis itu sudah terlantar sakit di hospital. Jadi saya tidak mahu terlalu mengharap diberi bantuan.
“Saya menjalani kehidupan seperti biasa. Sebab itu jika ada tawaran persembahan saya akan sentiasa beringat. Duit yang diterima harus disimpan sedikit untuk tujuan perubatan. Apa lagi saya tidak punya insurans perubatan untuk menanggung segala kos rawatan dan ubat,” ceritanya lagi.
Berniaga Warung Teringin
Penyanyi ini yang pernah melahirkan sebuah album Inggeris berjudul More Than Your Girl pada 1993 memberitahu kini bahagia dengan perkahwinan kelima bersama Abdullah Rusli, 49, yang dinikahi dua tahun lalu.
Selain sibuk menguruskan rumah tangga, Shima dan suami turut memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi campur.
“Sebenarnya idea untuk memulakan perniagaan sudah lama difikirkan. Dahulu saya sering masak untuk rakan-rakan dan mereka memberi sokongan untuk saya memulakan perniagaan. Tetapi, dek kerana kekangan waktu niat tersebut tidak pernah menjadi.
“Malah, rencana untuk membuka restoran juga tidak berlaku. Banyak proses yang perlu dilakukan dan saya tidak jumpa rakan niaga yang sesuai.
“Sekarang rasanya masa yang tepat untuk memulakan perniagaan. Saya hanya berniaga secara kecil-kecilan. Jika usaha ini menjadi, siapa tahu satu hari nanti impian untuk membuka sebuah restoran akan tercapai,” katanya.
Sekalipun akur kerjaya seni semakin perlahan, tidak bermakna Shima mahu terus berhenti. Dia juga tidak pernah kisah jika ada beranggapan memulakan perniagaan di tepi jalan dek kerana sudah `sendu’ dan tidak laku.
“Biarlah apa orang nak kata sekali pun. Mereka tidak tahu untuk memulakan perniagaan ini juga memerlukan modal. Jadi tidak perlulah saya kongsikan jika ada masalah kewangan sekali pun.
“Rindu untuk menyanyi sememangnya ada. Sebagai anak seni, saya mahu terus menyanyi. Jika diberi kesempatan saya mahu merakamkan lagu baharu,” jelas Shima yang memulakan perniagaan Warung Teringin di hadapan Pangsapuri Lestari, Damansara Damai, Selangor.
MW: Semoga warung nasi campur yang diusahakan penyanyi ini, mendapat sambutan yang menggalakkan.Pedulikan apa orang kata, yang penting mencari rezeki yang halal untuk kelangsungan hidup tanpa perlu mengharapkan belas ihsan orang lain itu adalah lebih mulia.
Niatnya cukup murni iaitu mahu menjadi seorang pendidik yang cemerlang satu hari nanti. Begitulah cita-cita murni personaliti yang juga pemilik empunya nama Nur Eliyani Ismail, 24 tahun yang berasal dari Selangor. Gadis yang kini masih menuntut menerusi program Ijazah Sarjana Muda TESL di UiTM Puncak Alam ini sebenarnya sejak dari dulu sentiasa memandang tinggi tugas seorang pendidik.
Anak kedua daripada empat beradik yang kini menetap di Puchong bersama keluarga tekad untuk menyambung Ijazah dalam jurusan pendidikan selepas tamat pengajian Diploma Perakaunan di UiTM Seri Iskandar.
“Alhamdulillah, saya ditawarkan jurusan yang saya inginkan. Sepanjang dua tahun setengah belajar dalam jurusan ini, saya sedar menjadi pendidik bukan suatu perkara mudah, malah sangat mencabar. Saya yakin salah satu penyumbang kepada setiap kejayaan yang terukir adalah daripada usaha dan titik peluh guru yang mengajar. Dari situ, saya berazam untuk menjadi guru yang mungkin satu hari nanti mampu membentuk generasi yang cemerlang bukan saja dari segi akademik tetapi juga dari segi akhlak dan peribadi.
“Inspirasi dalam bidang pendidikan sudah tentu datang daripada guru-guru yang pernah mengajar saya di sekolah dulu. Mereka adalah insan-insan yang banyak membantu dalam perjalanan akademik saya, yang saya kira sebab untuk saya teguh dalam jurusan ini. Selain itu, pencapaian kakak saya dalam akademik yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Ekonomi dari UUM, menjadikan tanda aras dan sebab untuk saya menyambung pelajaran. Kini, seorang daripada adik saya juga mengikut jejak langkah kakak menyambung pelajaran di peringkata Ijazah Sarjana Muda di Uitm Jasin. Saya percaya ilmu adalah sangat penting dalam kehidupan, dan itu yang akan saya terapkan pada setiap bakal anak murid saya nanti,” ujar Nur Eliyani membuka bicara.
Perlu Bijak Bahagikan Masa
Ditanya sebagai seorang pelajar antara cabaran yang perlu ditempuhi, Nur Eliyani yang sememangnya bijak dalam menutur bicara menyambung;
“Menjadi seorang pelajar sepenuh masa, cabaran utamanya sudah tentu dari segi pengurusan masa. Bagi saya, untuk menjadi pelajar yang produktif dan proaktif, kita perlu tahu bahagikan masa untuk mngulang kaji pelajaran, beriadah dan berhibur. Prinsip saya mudah, work hard play hard. Buat sesuatu tu biar bersungguh dan jangan separuh jalan.”
Nur Eliyani juga merancang selepas tamat belajar dia merancang untuk menyertai aktiviti sukarelawan,
“Selepas tamat belajar, saya merancang untuk menyertai aktiviti sukarelawan secara aktif terutamanya melibatkan pendidikan untuk generasi muda mungkin sperti kelas untuk anak-anak gelandangan secara percuma. Dah lama saya teringin untuk mnyumbang kepada masyarakat, insyaAllah, bila tamat belajar. Kalau ikut perancangan, saya ingin bekerja selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda. Apa pun, saya percaya pada rezeki Allah,” terang Nur Eliyani yang juga minat dalam penulisan.
Selalu Ingat Pesan Ibu & Ayah
Nur Eliyani juga sering teringat pesanan ibu dan ayah yang mahu dia bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu.
“Ayah dan ibu selalu pesan untuk saya sentiasa tetap pendirian dan bersungguh-sungguh dalam apa yang saya lakukan. Yang penting, sentiasa ingat Allah dalam apa keadaan sekalipun. Pada kebiasaanya juga saya akan buat jadual dan letakkan sasaran masa untuk siapkan tugasan. Jadi, saya akan jadi lebih berhati-hati dan siapkan kerja lebih awal. Selain itu, setiap kali cuti semester, saya akan bekerja sebagai guru tuisyen dan private tutor. Selain boleh tambah pendapatan, saya ambil peluang ni sebagai persediaan mental dan fizikal untuk saya jadi guru di sekolah satu hari nanti.
“Bagi saya bekerjasa sambilan ketika belajar bukanlah satu masalah satu masalah. Bla saya bekerja saya belajar banyak perkara yang saya takkan dapat dalam kelas. Proses pembelajaran tu sentiasa berjalan sama ada dalam atau luar kelas. Terpulang pada kita macam mana kita nak manfaatkan peluang baru tu. Yang penting, jadikan pelajaran yang paling utama dan yang lain sebagai medium untuk pertingkatkan kemahiran diri,” ujarnya.
Seorang Yang Aktif
Nur Eliyani juga begitu rajin, selain bekerja sambilan dia juga aktif menyandang beberapa jawatan di universiti.
“Sepanjang belajar di universiti, saya pernah menyandang beberapa jawatan. Ketika menuntut di peringkat Diploma, saya merupakan Seketariat Kolej. Dan kemudian, di peringkat Ijazah pula saya memegang jawatan sebagai Jawatankuasa Perwakilan Blok, di Kolej. Pernah terlibat dalam beberapa penganjuran aktiviti aktiviti penting di kolej dan saya belajar banyak perkara termasuk la dari segi pembawakan diri, kerjasama dalam pasukan, dan ketahanan emosi,” akhiri Nur Eliyani.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mulanya dia sendiri takut untuk sertai Muay Thai, tetapi atas saranan ibunya, Shamien Adriana Shamsul Bahri, 12 tahun akur. Bayangkan tidak sekadar mampu mempertahankan diri dari segala ancaman, Adriana juga mampu kurus apabila terikat dengan sesi latihan selama 10 jam selama seminggu. Jadi bagi mak-mak yang nak kurus, anda boleh mencuba untuk bermuaythai.
Perkara ini menjadi sesuatu yang begitu menyeronokkan apabila dua daripada abangnya terlebih dahulu menyertai seni bela diri ini. Malahan merekalah yang memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi padanya untuk turut serta.
Kini ramai juga golongan wanita menyertai sukan Muay Thai.
‘Walaupun ada yang memandang serong apabila saya mula sertai Muay Thai. Tetapi ianya tidak mematahkan semangat saya. Bagi saya, zaman sekarang apa yang lelaki buat, tiada salahnya perempuan pun lakukan, semuanya bergantung pada kemahuan. Saya langsung tak berasa janggal menjadi fighter Muay Thai.
“Kelebihan yang dapat saya rasakan apabila sertai Muay Thai adalah berkeyakinan apabila berhadapan dengan orang sekeliling yang mempunyai macam-macam cara untuk membuli.
“Malah kelebihan Muay Thai adalah mempunyai badan yang sihat yang secara tidak langsung saya dapat kuruskan badan. Saya juga teruja kerana sukan ini adalah lain dari yang kebiasaan ada di sekolah. Setakat ini, sayalah orang pertama yang mewakili sekolah dalam sukan ini,” ujar Adriana panjang lebar.
Selain Adriana, dua abangnay turut menyertai seni bela diri Muay Thai.
Teruja Bila Dah Kurus & Dapat Pingat
Setakat menyertai seni bela diri Muay Thai, Adriana cukup teruja apabila menempa kejayaan demi kejayaan menumbangkan lawannnya dalam setiap pertandingan yang dianjurkan pihak persatuannya. Selain dapat membuktikan kemampuan diri, Adriana juga berbangga dapat mengharumkan nama sekolahnya.
Biar pun sering mengalami luka-luka dan lebam, ianya langsung tidak mematahkan semangat seorang pejuang. Baginya perkara ini menjadi asam, garam dalam seni mempertahankan diri. Akibat sering terjadi, Adriana jadi tidak gentar.
Muay Thai yang dianggap sebagai seni mempertahankan diri yang mengancam dan paling digeruni di dunia membuatkan gadis ini tertarik dengan seni bela diri ini.
“Diam tak diam, saya telah terlibat selama lapan bulan terlibat dalam Muay Thai dan telah berjaya memungut pingat emas di peringkat kebangsaan. Doakan saya berjaya mewakili Malaysia pada peringkat antarabangsa kelak.
‘Selain diri sendiri, mamalah yang jadi pendorong utama untuk saya terus kekal bersemangat untuk berjuang dalam mendapatkan pingat. Terima kasih mama atas segala pengorbanan selama ini,” ungkap Adriana terharu, seraya menutup bicara.
INFO:
Seni mempertahankan diri Muay Thai yang berasal dari negara Thai bukan lagi asing di kalangan masyarakat Malaysia. Jika selama ini seni mempertahankan diri ini sinonim dengan lelaki tapi siapa sangka golongan gadis juga tidak terkecuali.
Sebenarnya seni mempertahan diri yang berasal dari negara jiran, Thailand telah berusia beratus tahun lamanya. Amalan seni bela diri Muay Thai sebagai salah satu teknik membela diri dipercayai mengalami evolusi ketika Thailand menerima pengaruh daripada negara-negara jiran sewaktu proses pembentukan pemerintahannya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kali ini team Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise ke Pasir Puteh, Kelantan. Pertemuan berlaku di hadapan Markas Jejak Jalanan dengan bantuan Abe Hae. Dengan...