Isi Kandungan
ToggleResepi kek span yang dikongsikan oleh Azizi Rais (Didie Rais) ini paling mudah dan basic sponge cake. Tapi kalau asas pun dah gagal, macam mana nak hasilkan kek span yang gebu dan lembut kan.
Jadinya mak-mak, perhatikan dan pelajari cara membuat kek span paling asas yang dikongsikan ini. Sebelum itu, apa itu ‘pukul adunan sampai bertanduk?’
Benda ini penting ya mak-mak, sebab inilah salah satu rahsia kek span jadi gebu dan lembut. Maksudnya, adunan kek yang dipukul akan mengembang 5x ganda dan sehingga ia jadi padar dan kelihatan berketul-ketul.
Boleh rujuk video untuk lihat proses yang dimaksudkan. Iaitu adunan sudah cukup kental, padat dan bertanduk.
“Satu lagi, tekniknya selepas dibakar dan disejukkan, kek span tak perlu ditelangkupkan. Insha Allah, tiada lagi masalah kek mengecut jika ikut step by stepnya”
“Resepi ini asas kepada kek span yang gebu dan lembut. Jika nak perasakan cuma tambahkan pewarna dan perisa.
Kek Span Perisa Pandan
Bahan-bahan
5 biji telur ayam gred A
120 gram gula
150 gram tepung naik sendiri
50 ml minyak masak
1 camca besar ovalette ( membukit penuh )
Pewarna hijau dan esen pandan. ( optional )
Loyang 9 inci
Ini Cara Buat Kek Span Mudah Dan Gebu
Masukkan semua bahan-bahan ke dalam mangkuk pengadun kecuali minyak masak. ( jika ingin kek berperisa pandan, oren atau sebagainya, boleh dimasukkan sekali time ni ).
Pastu mulakan dengan kelajuan perlahan , bila dah sebati gunakan top speed sampai adunan menjadi bertanduk.
Akhir sekali.. tuangkan minyak masak, kaup balikkan sehingga rata.
Masukkan dalam loyang 9″ yg telah dilapik dengan kertas minyak.
Bakar selama 40 minit dengan suhu 170’c atau golden brown atasnya.
Kena Tahu
√ Bila masak, sejukkan sebelum dikeluarkan. Tak payah nak terbalikkan.
Mudahkan.
√ Kek span ini juga boleh di deco menggunakan topping Buttercream dan Whip Cream.
Baca Sini : Rahsia Kek Span Tinggi Dan Tak Jatuh
Sumber/Foto/Video : Azizi Rais
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rawatan Estetik Teknologi Baharu, ‘Personalised Oxygen Delivery System’ Bakal Jadi Pilihan Wanita Kekal Awet Muda
Umum sedia maklum, rawatan estetik semakin mendapat tempat di kalangan wanita yang ingin mengekalkan ‘rahsia awet muda’, tampil anggun dan jelita. Tidak dinafikan, teknologi rawatan estetik memperlihatkan perkembangan teknologi yang semakin canggih dari semasa ke semasa selaras dengan permintaan dan perkembangan dunia kecantikan estetik di seluruh dunia.
Atas inisiatif tersebut, Klinic Nara, salah satu peneraju dalam industri estetik dan kecantikan baru-baru ini telah meraikan ulang tahun ke-14 penubuhannya dengan menganjurkan majlis rumah terbuka yang meriah bertempat di Bangsar Shopping Centre.
Menurut Dr. Nadzri Abdul Mokhtar, acara ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia yang telah menyokong pertumbuhan dan kejayaan Klinik Nara sepanjang penubuhannya. Sejak dari tahun 2010, Klinik Nara berpegang teguh pada falsafah bahawa ‘kecantikan bermula dari dalam’.
Melalui komitmen tersebut, Klinik Nara telah berjaya menyediakan pelbagai penyelesaian estetik revolusioner yang bertujuan untuk meningkatkan penampilan dan keyakinan diri setiap individu.
Baru-baru ini, Klinik Nara memperkenalkan beberapa inovasi terkini dari BTL Aesthetic Malaysia termasuk EMFACE, EXION, EMSELLA, dan EMSCULPT NEO.
Inovasi ini merupakan kemuncak kemajuan teknologi, yang tidak hanya memberikan hasil yang memukau tetapi juga didukung oleh tahun-tahun penyelidikan dan pembangunan.
Dr. Nadzri Abdul Mokhtar yang juga merupakan pakar perubatan anti-penuaan terkemuka turut memperkatakan mengenai perjalanan klinik yang mengagumkan.
“Saya amat bersyukur dan menghargai dukungan pelanggan kami sepanjang 14 tahun ini. Kami selalu berusaha untuk menyediakan rawatan terbaik yang sesuai dengan keperluan individu,” jelas Dr. Nadzri.
Pengalaman Lebih 20 Tahun
Berbekalkan pengalaman lebih dari 20 tahun dalam bidang kecantikan, Dr. Nadzri berkata dia memulakan karier di Nara Medispa pada tahun 2006, sebelum membangunkan Klinik Nara di Bangsar.
Fokus utama klinik adalah pada rawatan anti-penuaan dan integratif, menawarkan pendekatan holistik terhadap kecantikan yang mengintegrasikan penggunaan bahan-bahan semulajadi dan memperhatikan faktor-faktor seperti hormon, toksin, dan virus.
Di samping itu, Dr. Nadzri turut menekankan tentang keberhasilan teknologi baru mereka, Personalised Oxygenation Delivery System (PODS), yang kini membolehkan oksigen diserap secara semulajadi melalui kulit.
Teknologi ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara, dan sudah terkenal di Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.
Acara rumah terbuka tersebut turut dihadiri oleh beberapa VVIP termasuk bekas Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin, dan Dato’ Seri Utama Haji Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir, menandakan pengakuan dan sokongan terhadap pencapaian Klinik Nara.
Untuk lebih lanjut tentang Klinik Nara dan rangkaian rawatan yang mereka tawarkan, silakan kunjungi laman web mereka di www.clinicnara.com atau hubungi mereka di +603 2282 9299.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cuaca Panas Seluruh Negeri Utara Hingga Mac, Kurangkan Aktiviti Luar Elak Strok Haba
Kebelakangan ini memang terasa cuaca terasa sangat panas. Kadang-kadang tidur malam pun tak selesa, apatah lagi mahu melakukan aktiviti luar. Keadaan bertambah buruk di Kedah dan neger-negeri utara di tanahair kerana di sana ketika ini berhadapan dengan cuaca panas yang tidak berpenghujung.
Oleh itu, rakyat Kedah dinasihatkan agar menjimatkan penggunaan air, berhati-hati melakukan aktiviti luar, tidak melakukan pembakaran terbuka dan minum air secukupnya semasa tempoh cuaca panas dan kering.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata berdasarkan pemantauan terkini, keadaan kurang hujan sudah bermula di utara Kedah dan Perlis dengan beberapa kawasan sudah tidak menerima hujan sejak beberapa minggu.
Katanya, jumlah paras air di empangan tertentu agak kurang berbanding biasa kerana negara sedang berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac.
“Secara klimatologi, tempoh akhir Monsun Timur Laut ini adalah tempoh kurang taburan hujan di seluruh negara kecuali di barat Sarawak dan Sabah.
“Dalam tempoh ini, ketiadaan hujan atau taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan keadaan cuaca yang agak kering terutama di negeri-negeri utara Semenanjung (Kedah, Perlis, dan utara Perak) serta utara Kelantan dan utara Terengganu di pantai timur,” katanya lagi.
Kurang Menerima Taburan Hujan
Di samping itu tambah Jailan, dalam tempoh itu, Kedah dan Perlis dijangka menerima defisit hujan antara 20 peratus hingga 40 peratus berbanding jumlah biasa dan keadaan ini dijangka berterusan hingga akhir Mac.
Jailan berkata pada Februari, Pulau Pinang, utara Perak, utara Kelantan dan utara Terengganu serta di timur Sabah dijangka mengalami defisit hujan antara 20 peratus hingga 40 peratus berbanding jumlah biasa.
“Semasa akhir Monsun Timur Laut dan semasa tempoh awal peralihan monsun iaitu antara bulan Februari dan pertengahan April, kebiasaannya negara juga akan mengalami cuaca yang agak panas terutama di utara Semenanjung (Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak) serta di pedalaman Pahang dan Kelantan.
“Keadaan cuaca panas yang dialami di kebanyakan kawasan dalam tempoh ini dijangka beransur reda bermula akhir April dengan bermulanya fasa peralihan monsun yang membawa lebih banyak taburan hujan ke seluruh negara,” katanya.
Gelombang Haba Dipantau Setiap Hari
Jailan memaklumkan pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan mengemukakan laporan kepada agensi-agensi berkaitan.
MetMalaysia turut mengemas kini status gelombang haba setiap hari dan petanya boleh diperoleh di laman web jabatan itu.
Dalam masa yang sama, Jailan mengingatkan orang ramai agar peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.
Tips Jaga Kesihatan Saat Musim Panas
[SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia]
1. Hadkan aktiviti luar.
2. Lebihkan masa berada di dalam bangunan atau rumah.
3. Perbanyakkan minum air kosong.
4. Mengambil minuman isotonik untuk menggantikan garam yang hilang akibat berpeluh
5. Pakai pakaian yang longgar dan berwarna terang
6. Pakai payung atau topi untuk lindungi daripada pancaran haba.
Sumber: BERNAMA
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tolong Mak Ayah! Bila Anak Dijangkiti HFMD Jangan Bawa Keluar Rumah, Doktor Ini Terang Risikonya
Isi Kandungan
ToggleWalau ruam pada anak yang dijangkiti virus HFMD sudah kering, tak bermakna mak ayah boleh bawa anak keluar rumah berjalan-jalan. Belum lagi! Anak anda masih perlu dikuarantinkan. Kerana risiko untuk virus HFMD menular ke orang lain boleh berlaku.
Sebagaimana yang diterangkan oleh Dr Erna Nadia ini, penularan penyakit HFMD ini disebabkan sesetengah mak ayah masih bawa anaknya yang tak sihat jalan-jalan di tempat awam. Ditambah pula dengan kebersihan tempat awam yang tak terjaga.
Selebihnya mak ayah kena hadamkan artikel PENTING ini. Agar mak ayah tahu virus HFMD ini sudah melepasi paras BAHAYA sekarang ini.
HFMD Sudah Mencapai Tahap ‘Alert Threshold’
Semalam terdapat satu kes di mana seorang kanak kanak di Sarawak meninggal akibat penyakit kaki,tangan dan mulut aka HFMD ini.
Minggu lepas, Ketua Pengarah Kesihatan telah mengumumkan bahawa HFMD sudah mencapai tahap ‘ alert threshold’ (melebihi paras bahaya) kerana kes semakin hari semakin meningkat. Saya difahamkan terdapat sebuah sekolah di Pulau Pinang dan di Pahang telah ditutup akibat penularan penyakit ini.
Ok, rasanya sudah ramai yang berkongsi tentang HFMD dan saya telah ringkaskan di dalam gambar di bawah.
Penyakit ini bukanlah seperti yang terjadi kepada haiwan.
Penyakit ini adalah disebabkan oleh virus.
Virus ini disebarkan melalui cecair cecair yang tersebar di udara dan di mana mana sahaja cecair ini ‘mendapat’.
Contoh paling mudah difahami adalah begini :
Polan menghidap jangkitan (batuk, selsema)yang dijangkiti virus Coxsackie A16. Polan batuk batuk tanpa menutup mulut. Cecair dari hasil batuk Polan telah tersebar kepada Amat semasa mereka sedang bermain bersama dan cecair tersebut juga melekat kepada mainan yang mereka main serta lantai yang mereka pijak. Akibatnya, Amat tersentuh mainan dan terpijak lantai tersebut menyebabkan Amat juga turut mendapat virus ini secara tidak langsung.Amat dan Polan mula ditumbuhi ruam dengan lepuh (rashes with blisters) dan Siti datang bermain sekali. Cecair di tangan Amat terkena kepada Siti menyebabkan Siti juga terjangkit sama.
Bahayanya : 1 Pesakit HFMD, Boleh Jangkiti 5 Bakal Pesakit
√ Satu pesakit HFMD boleh mengjangkiti sekurang kurangnya 5 orang pesakit lain.
√ HFMD biasa berlaku kepada kanak kanak yang berusia 5 tahun ke bawah.
√ Orang dewasa juga boleh mendapat penyakit ini namun jarang berlaku.
√ Jika berlaku kepada wanita mengandung, insha Allah ianya tidak menjangkiti janin di dalam kandungan. Namun, dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.
√ Penyakit ini akan pulih sendiri.
Badan kita akan membentuk antibodi untuk melawan virus ini. Biasanya penyakiti ini mengambil masa 7-10 hari untuk pulih sepenuhnya.
Ini Alasan Paling Kukuh Kenapa Mak Ayah Tak Boleh Bawa Anak Tak Sihat Keluar Rumah
Macam mana nak tahu bila dah sembuh?
Bila sudah tiada ruam baru yang tumbuh dan ruam yang sedia ada sudah kering kesemuanya.
Namun,ini bukanlah bermakna anda boleh membawa anak untuk keluar berjalan jalan. Pastikan ruam sudah hilang, demam sudah tiada, batuk selsema juga sudah pulih, barulah bawa anak keluar ke tempat awam.
Penularan penyakit ini disebabkan sesetengah ibubapa yang masih membawa anak anak yang tidak sihat ke tempat awam dan tahap kebersihan di beberapa tempat awam serta sekolah/taska/rumah pengasuh/rumah sendiri yang tidak terjaga.
Virus ini tidak akan mati hanya dengan sanitizer menggunakan ethanol atau sabun biasa (tak kiralah jenama apa). Seeloknya basmi kuman tersebut dengan campuran air suam panas dengan kloroks
1. Untuk lantai/tandas/permukaan alatan, boleh larutkan 200ml klorok dengan 20liter air. Kekuatan campuran adalah 0.05%.
2. Untuk baju/mainan/pinggan mangkuk, larutkan 20 liter air suam panas dengan 40ml klorok. Kekuatan campuran adalah 0.01%.
Macam Mana Nak Rawat Pesakit HFMD
Ada yang bagi petua suruh makan itu ini begitu begini dan ada yang suruh sapu macam macam supaya ruam cepat sembuh.
Tolonglah jangan mudah terikut.
Beri apa sahaja yang anak anda mahu/boleh makan.
Jika anak anda ada alahan pada telur/seafoods atau apa sahaja, janganlah beri.
Elok berikan makanan yang lembut kerana mereka masih dalam keadaan sukar untuk mengunyah akibat ulser di dalam mulut.
Pastikan mereka mendapat cukup air.
Jika terdapat tanda tanda dehidrasi/kurang air ( bibir kering/kulit kering/air kencing berkurangan/ pucat/lemah / tidak aktif), bawalah berjumpa doktor untuk diperiksa. Jangan dibiarkan di rumah.
HFMD boleh membawa komplikasi seperti jangkitan kuman kepada paru paru, jantung, mata dan otak. Jadi berhati hatilah.
Ada juga yang mendapat jangkitan bakteria bersama sama HFMD. Hal ini akan diperiksa oleh doktor dan jika sah bakteria terlibat sama, barulah antibiotik akan diberi.
Ingat penyakit ini disebabkam oleh virus yang biasa.
Jadi, tidak perlu antibiotik atau antivirus dan tidak ada vaksin lagi untuk penyakit ini.
Tidak perlu membazir membeli spray atau apa apa krim sapu untuk ruam atau lepuh. Ruam dan lepuh ini akan baik dengan sendirinya. Ruam ini tidak menyebabkan kegatalan.
Pastikan kebersihan dijaga dengan betul.
Cuci tangan dengan air dan sabun selepas ke tandas, sebelum dan selepas makan, selepas menukar lampin/cuci najis.
Sekali Lagi Diingatkan, Jangan Bawa Anak Sakit Keluar Rumah!
HFMD boleh dikurangkan penularannya.
Hanya perlukan ibu bapa yang bertanggungjawab untuk tidak membawa anak anak yang tidak sihat ke sekolah/taska/rumah pengasuh atau ke tempat awam(kedai makan, shopping mall, taman permainan, pasar malam).
Ingat, penyakit ini boleh pulih sendiri cuma perlu memastikan anak anak tidak dehidrasi dan aktif.
Penyakit ini boleh berulang kembali kepada mereka yang pernah dijangkiti.
Jaga kesihatan.
Jaga kebersihan.
Dan jadilah manusia yang bertanggungjawab
Nota kaki : Tolonglah jangan bertanya atau meminta petua petua yang tidak betul di media sosial
Sumber/Foto : Dr. Erna Nadia, Semakin risau melihat bilangan pesakit yang makin meningkat.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI