Setiap daripada kita pasti akan dijemput pulang ke negara asal. Cuma tidak tahu, bila, di
mana dan masanya. Cepat atau lambat kita perlu bersedia, janganlah kita terleka dengan hal-hal duniawi, sebaliknya sentiasa berbuat baik dan beramal soleh.
Begitulah yang terjadi kepada Pak Samad (bukan nama sebenar). Kematian yang cukup
dicemburui. Apa tidaknya, dia diberi kelebihan kerana mengetahui saat-saat kematiannya.
Tinggal Seorang Diri
Kisahnya, Pak Samad tinggal sendirian di rumah pusaka. Dia telah kehilangan isteri tercinta sejak dua tahun yang lalu. Anak-anak pula sudah besar dan masing-masing mempunyai keluarga sendiri.
Biasanya pada hari biasa Pak Samad hanya bertemankan ayam itik dan kebun sejengkal tanah yang diusahanya untuk kegunaan harianya. Itulah yang dilakukan oleh Pak Samad setiap hari. Pada malamnya, Pak Samad banyak menghabiskan masa dengan membaca al Quran dan solat sunat.
Boleh dikatakan, hari-hari biasa rumah Pak Samad agak sunyi dan ada pun akan meriah dengan suara anak-anak dan cucu apabila cuti sekolah atau hujung minggu. Ini kerana waktu inilah mereka akan pulang untuk melawat Pak Samad
Tetamu Tak Diundang
Orang kata, seseorang yang akan meninggal dunia menunjukkan tanda-tanda kelainan pada dirinya. Mungkin sebulan, seminggu atau beberapa hari sebelum meninggal. Begitulah yang dialami oleh Pak Samad yang diakui oleh anaknya sendiri.
Seperti kebiasaan, apabila tiba hujung minggu, anak Pak Samad yang tinggal di bandar akan pulang ke rumahnya untuk menghabiskan masa bersama. Entah bagaimana, ketika anaknya memberi salam dan disambut oleh Pak Samad, tidak semena-mena Pak Samad minta anaknya menjemput tetamu yang memakai pakaian serba putih untuk naik ke atas rumah.
Keadaan ini menimbulkan kehairanan kerana anaknya hanya datang satu keluarga tanpa orang lain dan tidak ada seseorang pun di bawah rumah tersebut.
Begitulah keadaannya yang sama berlaku pada minggu berikutnya. Pak Samad hanya memberitahu supaya anaknya mempelawa seseorang yang menunggu di bawah untuk naik ke atas rumah.
Tanda Kematian
Hinggalah di hari-hari akhir, dia masih nampak tetamu yang berpakaian serba putih itu dan
kelihatan seakan-akan ingin naik ke atas rumah. Sebaik selepas maghrib, Pak Samad mula
merasakan sesak nafas dan dia meninggal dengan cukup tenang di pangkuan anak-anaknya. Malahan, majlis pengkebumian Pak Samad berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.
Selepas kematian Pak Samad, barulah anak-anaknya perasan yang selama apa yang Pak Samad katakan tentang tetamu yang berbaju putih itu adalah malaikat maut yang ingin menjemputnya.
Apa yang diberitahu juga, sepanjang hidup Pak Samad, semasa semua orang tidur pada waktu malam, dia langsung tidak tidur. Masanya banyak dihabiskan dengan membaca al Quran dan solat sunat. Dia hanya tidur seketika selepas waktu Subuh sahaja. Mungkin inilah kelebihan yang diperolehinya tatkala ajal menjemputnya. Wallahualam.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI