Tak pelik pun kalau ada golongan anak manja di sekolah yang jenis kuat mendesak, tak boleh ditegur, pentingkan diri, dan tidak mahu bertolak ansur dengan pelajar lain.
Malah semua mak-mak sering meletakkan anak sebagai keutamaan dalam segala perkara. Tetapi jangan sampai anak buat perangai hingga tak boleh dididik ya, sebab sebenarnya ada beberapa tabiat yang selalu kita lakukan (kebanyakan masa tanpa disedari) membawa kesan buruk kepada si anak.
Jadi untuk masukkan ke sekolah, mak ayah kena faham beberapa konsep bila anak masuk sekolah, jemput baca perkongsian daripada cikgu Mohd Fadli Salleh ini…
Buat ibu bapa yang ada anak manja dan kali pertama hantar anak ke sekolah.
Ini pesanku buat mak ayah yang ada anak manja…
1. Anak sulung/tunggal kadang-kadang manja lain macam. Kat rumah bukan main seronok. Sampai ke sekolah bertempek peluk pinggang ibu / ayah tak nak lepas.
2. Jika dia menangis tak nak pergi beratur bersama kawan, panggil cikgu untuk ambil anak kalian.
3. Sebaik anak ditangan guru, lepaskan tangan dan teruslah berlalu pergi. Jangan ditoleh lagi. Jangan rasa tak sampai hati walau anak meraung-raung memanggil kalian. Pandai la guru uruskan.
4. Jika ditunggu, tangisan makin menggila dan makin tidak terkawal. Sebaik ibu bapa hilang dari pandangan, murid mula reda dari tangisan itu. Usah risau, guru-guru berpengalaman. Mereka takkan cubit la anak kalian nak bagi diam. So, serah saja dengan kepercayaan penuh.
5. Sekiranya anak kalian memang tidak dapat dikawal guru (sangat-sangat jarang berlaku), jangan risau, guru pasti call kalian. Yang penting, tinggalkan no phone pada guru kelas. In case memang menangis meraung berjam-jam dan semua guru gagal pujuk. Kami akan call tuan puan untuk tenangkan anak. So, sekali lagi, jangan bimbang!
6. Jangan mengintai dari tingkap kelas. This is the big NO!
Cikgu dah rasa macam ikan dalam akuarium je. Diperhati oleh mata-mata kalian ikut tingkap. Nak kawal kelas pun jadi payah bila ramai mata memandang, rasa seram semacam!
Jangan risau. Jangan risau. Jangan risau, kami takkan rotan anak kalian walau dia buat hal. Gigit jauh sekali. Ini tahun satu, kali pertama pula jejak kaki. Kami tahulah.
7. Buka spek hitam kalian bila berurusan dengan guru. Tahulah spek tu spek pasar malam je pun, bukalah. Nampak biadab dan berlagak.
Senyumlah pada guru-guru walau kadangkala guru tak sempat nak membalas senyuman kalian sebab terlampau sibuk urus itu ini. Maafkan kekurangan kami.
8. Satu rahsia aku bagitahu kau orang. Ibu bapa yang sangat bekerjasama dan mesra dengan guru pasti jadi buah mulut para guru. Ramai guru nak kenal anak kalian dan pasti anak kalian digemari oleh guru-guru.
Okey, cukup dulu 8 point malam ini. Lain kali aku share lagi. Babai.
#MFS
– Suka kawan dengan ibu bapa.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Tak Pandai Membaca Seawal 7 Tahun? Wanita Ini Kongsi Pentingnya Biarkan ‘Si Dia’ Seronok Bermain
Dalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya anaknya. Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak, sama perkembangan pembelajarannya.
Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya…
SETUJUKAH ANDA, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca?
Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.
Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?
Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak. Dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.
Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.
Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.
Apa Yang Saya buat? Antaranya
- Saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat
- Adakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini
- Adakan kelas tambahan membaca
- Saya beri latih tubi membaca setiap hari
Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR.
Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik. Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.
Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.
Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh baca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi. Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.
Saya juga perasan, anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.
Saya Mula Tertanya Mengapa?
Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.
Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.
Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.
Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah.
Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu mengilap potensi tersebut.
Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat beri galakan,sokongan dan dorongan untuk anak.
Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?
- Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
- Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
- Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
- Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
- Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
- Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.
Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.
Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah.
Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja.
Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak bermain.
- Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
- Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
- Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
- Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
- Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
- Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.
Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan anda marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah? Mengapa pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri pula kerja rumah yang banyak.
Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh baca dengan baik sebelum masuk tahun 1.
Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1. Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.
Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.
Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun
Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ni, saya baca ‘whatapp group’ dari guru TADIKAnya. Cikgu post jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah.
Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin. Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.
Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.
Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.
Pendidikan Awal Anak Di Jepun
Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.
Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila nak masuk tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.
Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukahkah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan.
Lain orang mungkin lain pandangan. Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.
Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun), dia merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya. Bakal menduduki STPM tahun ini dan dia akan membuktikan dia bakal pelajar terbaik STPM di sekolahnya juga. Satu ketika dulu, ketika di sekolah rendah dia tidak pernah dapat nombor 1 dalam kelasnya.
Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka. Tugas kita beri dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat anak-anak.
Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.
Sumber: Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner – Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak-Anak Amanah Akan DIAUDIT Akhirat, Mak Ayah Jangan Ambil Mudah!
Anak-anak adalah permata hati mak ayah. Kehadiran insan-insan kecil itu pasti menggembirakan hati pasangan suami isteri. Anak pengikat kasih antara mak dan ayah. Namun mak aya kena ingat, anak-anak adalah amanah Allah SWT, disertai dengan tanggungjawab.
Dunia hari ini memberi memberi tamparan hebat kepada institusi pendidikan dan kekeluargaan. Dalam tidak sedar generasi yang kita lahirkan semakin tenat. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap soal pendidikan anak-anak terutamanya soal agama dan akhlak sudah tiba masanya untuk kita merenung sejenak adakah kita sudah berjaya melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik?Jika tidak, ini masanya untuk melakukan anjakan paradigma.
Anak-Anak Hadir Dengan Tanggungjawab
Rakan penjaga yang dihormati, tanggungjawab dan amanah ini hakikatnya amat berat dan harus dipandang serius dalam kehidupan. Ini kerana, amanah ini akan diaudit di akhirat kelak. Ini kerana, kehidupan yang kita lalui tidak berhenti di sini sahaja malah kita akan lalui yang kekal abadi di sana nanti. Oleh yang demikian, sebagai muslim, tasawur kehidupan kita harus benar-benar jelas agar kita tidak tersasar dalam meletakkan prioriti.
Dalam soal mendidik anak yang paling penting adalah memastikan wujud rasa percaya dalam perhubungan kekeluargaan yang sedang kita bina. Unsur ini amat penting bagi memastikan kelestarian perhubungan yang positif sesama ahli keluarga. Usah silap dalam meletakkan percaturan.
Baca artikel lain di sini:
Mak Ayah Nak Anak Cemerlang, INGATKAN Mereka PESANAN Ini
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Raih Kepercayaan Anak-Anak
Kita mungkin percaya bahawa apabila sudah menjadi keluarga jadi rasa percaya akan wujud secara semula jadi. Perkara ini mungkin betul dari satu segi namun masih banyak harus dilihat kembali. Rasa percaya tidak hadir dengan sendiri tanpa dibenihkan dengan kasih sayang yang dapat dirasakan.
Bukti kepercayaan menebal dalam perhubungan adalah rasa kebersamaan yang kuat sesama ahli keluarga. Sewaktu anak-anak kita masih kecil, mereka amat bergantung kepada kita selaku orang dewasa kerana pada waktu itu mereka masih belum boleh berdikari.
Namun setelah semakin dewasa mereka semakin boleh berdikari secara fizikal dan pada waktu ini ikatan kasih sayang dan kepercayaan yang mengikat mereka untuk kembali dan sentiasa wujud bersama ibu bapa dan keluarga.
Kukuhkan Kepercayaan Dengan Kasih Sayang
Rasa kepercayaan boleh diwujudkan atau diperkukuhkan dengan kasih sayang yang boleh dirasai oleh anak-anak. Mereka harus dapat merasakan bahawa ibu dan ayah amat menyayangi mereka sama ada dengan ucapan atau pun perbuatan. Tanda sayang bukan sahaja terhad dengan material namun lebih lagi dengan sokongan emosi dan dukungan spiritual yang kita berikan kepada anak-anak. Mereka harus dapat melihat prioriti yang jelas dalam kehidupan sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya.
Kefahaman ini membantu mereka untuk menghayati kehidupan dan tanggungjawab dalam keluarga. Selain daripada itu, masa yang diperuntukkan untuk bersama dengan anak-anak juga merupakan kunci kepercayaan. Apabila ibu dan ayah ada masa untuk mendengar keluhan dan kegembiraan anak-anak maka mereka akan mengiktiraf kita sebagai sahabat mereka yang akrab.
Mak Ayah Kepercayaan Anak-Anak
Kita juga akan menjadi orang kepercayaan mereka dalam menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan mereka kelak. Amatlah beruntung ibu ayah yang mendapat kepercayaan ini daripada anak-anak mereka. Mengapa? Ini kerana apabila kepercayaan ini sudah diperoleh, mudah bagi kita untuk memberikan panduan yang baik kepada anak-anak. Saya pasti tiada ibu ayah yang menginginkan yang tidak baik untuk anak mereka.
Ini berbeza jika, anak-anak lebih percaya kepada rakan-rakan atau orang luar sebagai penasihat peribadi. Sudah tentu cakap kita, nasihat kita menjadi secondary untuk diri mereka. Malah kita mungkin kita dapat mendengar keluhan dan masalah mereka langsung kerana rasa ingin bercerita itu tertutup untuk kita. Nauzubillah. Inilah kegagalan kita dalam mendidik.
Oleh yang demikian, biarkan anak bercakap sewaktu kecilnya dan layanlah mereka dengan baik kerana waktu itu, mereka sedang membina persepsi dan kepercayaan tentang perhubungannya dengan kita. Insya-Allah sewaktu kita perlu mendengar daripada mereka kelak, mereka akan datang tanpa menunggu arahan kita kerana kita pada waktu itu telah pun menjadi orang kepercayaan mereka. Wallahualam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad (USIM)
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kemiskinan Bukan Alasan Rumah Bersepah, Tanpa Hiasan Mewah Boleh Saja Bersih Berkemas
Jika di Jepun ada Marie Kondo, di Malaysia juga ada ‘guru’ susun atur profesional. Dr Hani Mynis atau nama sebenarnya, Norhanisah Abdullah, 35 tahun punyai puluhan ribu pengikut yang gemar dengan perkongsiannya berkaitan pengurusan rumah. Motivasinya, ‘kemiskinan itu bukan alasan rumah bersepah..’
Ikon Aura Inspirasi Wanita Mingguan Wanita ini merupakan seorang penulis, jurulatih pengurusan rumah dan perunding susun atur (penyusun atur professional.
Beliau juga mengendalikan grup #kemasrumahwithhani dengan jumlah ahli 135, 000 pengikut. Malah, Dr Hani juga sudah menghasilkan dua buah buku iaiti Buku Urus Rumah With Hani dan Susun Atur 30 Hari by Hani Mynis.
Buku Urus Rumah With Hani merupakan antara buku best seller sepanjang 2019.
Daripada penulisan buku mengenai kekemasan dan susun ataur rumah dan hidup. Beliau kini mempunyai sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan susun atur ruang rumah dan pejabat secara professional.
Kemiskinan Bukan Alasan Tak Memastikan Rumah Kemas Tersusun
Dr Hani juga pernah melalui zaman hidup susah. “Saya dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang keluar bekerja seorang diri.
Mempunyai bilangan adik beradik yang ramai. Enam orang kesemuanya. Seawal usia 7 tahun, saya dah biasa menggalas tanggungjawab mengurus rumah.”
Oleh itu, setiap urusan mengurus rumah termasuk memasak dan menjaga adik-adik
sememangnya kemahiran yang perlu untuk keluarga.
Ibunya akan memastikan setiap anak-anak menjalankan tugasaan di rumah. Dalam masa yang sama saling menolong mengurus kediaman baik anak lelaki mahupun perempuan.
“Pengalaman membesar sebagai keluarga asnaf menyebabkan saya bersemangat untuk keluar dari kepompong kemiskinan keluarga.”
“Saya selalu memberi motivasi pada diri sendiri bahawa kemiskinan bukan alasan daripada memastikan rumah kemas tersusun. Tak perlu benda yang mewah-mewah dijadikan hiasan rumah, cukup sahaja rumah itu kemas dan bersih.”
Melihat kesukaran ibu keluar bekerja sendirian demi menyara dan membesarkan anak-anak menjadi motivasi terbesar dalam hidupnya.
“Jika terasa down saya akan imbas betapa susahnya kehidupan kami semasa kecil-kecil dahulu. Maka, terus bersemangat untuk belajar rajin-rajin sekaligus mengubah nasib keluarga.”
Impian mahu membalas segala jasa dan pengorbanan emas tersimpan kemas dalam diri.
“Selalunya jika saya akan down, saya mula fikirkan nasib orang yang ‘susah’ daripada keadaan sendiri. Oleh itu, saya menjadi seorang yang lebih bersyukur dan kembali kuat.”
Baca : Pesan ibu agar ‘jaga simpanan’ buat Nur Aliah survive sepanjang pandemik
Kendalikan Grup Kemas Rumah Dengan Ratusan Pengikut
Akui Dr Hani tidak mudah sebenarnya. Lagi-lagi untuk mengekalkan kepositifan grup. Justeru, sebagai admin merangkap pengasas grup, beliau perlu memberi contoh tauladan yang baik.
“Saya akan pastikan setiap posting saya sama ada di dalam FB personal atau di dalam grup tiada unsur-unsur negatif. Selain itu, saya sendiri mengelakkan untuk menulis post yang boleh menyebabkan perbalahan pendapat sesama ahli ataupun di kalangan pembaca.
“Saya sentiasa mengingatkan ahli grup untuk berlapang dada dengan perkongsian pendapat individu lain terlebih dahulu sebelum mengecam.”
Formula yang diguna pakai ini ternyata berjaya. Malah, grup yang dikendalikan sentiasa memberi inspirasi kepada wanita lain dalam bab pengurusan dan penyusunan serta kekemasan rumah.
Ramai suri rumah tangga yang berjaya dibantu dan mendapat ilmu baru dalam hal-hal menyusun atur barangan di dapur, dalam bilik, pejabat malah ruangan yang ada dalam kediaman.
Ketika berkongsi input harapan Dr Hani perkongsiannya itu akan menjadi panduan dan inspirasi mengenai cara pengurusan rumah yang sistematik dan praktikal.
“Apa yang saya kongsi kebanyakannya cara yang paling mudah dan ringkas yang boleh diguna pakai oleh semua orang.
Maka, setiap orang boleh menguruskan rumah dengan mudah sama ada beliau seorang wanita bekerjaya atau pun tidak.” Jelasnya yang memegang falsafah hidup ‘hanya diri sendiri mampu mengubah nasib diri sendiri. Anda buat anda dapat’.
Wanita Perlu Ada Pendapatan Sendiri
Melihat senario semasa, Dr Hani percaya bahawa wanita perlu ada pendapatan sendiri.
“Jika situasi keluarga tidak mengizinkan beliau untuk keluar bekerja, wanita boleh ambil inisiatif dengan melakukan perniagaan secara dalam talian seperti menjadi dropship dan
sebagainya.
Walaupun pendapatan yang dapat mungkin tidak banyak mana, namun nilai wang itu sendiri dapat memberi self-satisfaction kepada wanita. Dia boleh membeli sesuatu tanpa berharap pada orang lain. Ini juga boleh dijadikan semangat dan memberi yakin diri kepada wanita.”
Jika mempunyai semangat dan sokongan dari keluarga terdekat. Tentunya tidak sukar untuk memulakan sesuatu perniagaan.
Kadang-kadang ianya boleh bermula secara kecil-kecilan tanpa modal yang banyak. Namun
begitu ianya memerlukan kerajinan dan semangat yang kental.
“WANITA perlu menjadi inspirasi wanita lain kerana wanita sahaja yang memahami
wanita. Kita boleh letakkan diri kita dalam kasut wanita lain untuk memahami dan
berlapang dada dengan cara hidup dan pilihan wanita lain.
Contohnya ada sesetengah wanita yang melahirkan anak secara normal namun ada juga yang melahirkan secara Cser. Atau contoh ada yang memilih berpantang secara
tradisional ada juga yang berpantang secara moden.
Ada wanita yang memilih breastfeed anak secara ekslusif selama 2 tahun , ada yang lebih kepada memberi susu formula. Ini semua pilihan. Sebagai seorang wanita, tidak perlu mengecam pilihan wanita lain.
Jadilah wanita yang menghormati wanita lain. Jika kita sebagai wanita tidak menyokong wanita, siapa lagi yang perlu diharapkan? Dengan cara ini kita harapkan kita dapat melahirkan generasi depan yang menghormati wanita, menghormati ibu, kakak dan adik kita, dan isteri kita.
InsyaAllah penindasan terhadap wanita akan berkurang jika ini berlaku. Semuanya bermula dari WANITA. WANITA sokong wanita.” ujarnya menutup bicara.
Daftar Webinar AURA di sini :
Klik link ini untuk daftar webinar bagi mendapatkan nasihat para pakar https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-aura-wanita-pantang-dicabar/ atau whatsapp : http://www.wasap.my/60196328758/DaftarAura
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI