Nazilatul Wahibah Ahmad Latfy; 39 merupakan salah seorang guru yang menabur bakti di SK Kampung Kenang, Sungai Siput (U), Perak. Tugasnya di sekolah tersebut bermula pada tahun 2009. Sekolah ini merupakan tempat anak-anak orang asli suku Temiar belajar menulis, mengira dan membaca serta mendapatkan pendidikan awal di peringkat sekolah rendah. Ketika menjejakkan kaki buat pertama kalinya ke sekolah ini, Nazilatul sedang hamil putera sulungnya. Peristiwa 11 tahun lalu itu cukup mahal nilainya, apabila beliau bersalin keesokan harinya, setelah mendaftar bertugas ke sekolah ini sehari sebelumnya.

“Sekolah ini terdiri daripada 100 peratus murid asli berketurunan asli Temiar dan menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantara utama. Tugas saya disini bermula sebagai guru pemulihan khas dan terlibat dalam usaha menangani masalah membaca, menulis dan mengira dikalangan para pelajar. Sebelum ditukarkan ke sekolah ini, saya terlebih dahulu berkhidmat di SK Sg Nipah, Bagan Datoh, Perak selama setahun.

“Mula-mula menjejakkan kaki ke sekolah ini yang jaraknya 20km dari rumah , saya sedang sarat mengandungkan anak sulung. Ketika itu usia kandungan 36 minggu. Sehari saya bersuai kenal dengan suasana baru, keesokan harinya saya dimasukkan ke wad kerana tekanan darah tinggi dan bersalin awal. Sememangnya ini pengalaman tak dijangka dan kekal menjadi kenangan manis terpahat dalam ingatan,”kisahnya mengenai kelahiran anak sulungnya Meor Ahmad Danial Rayyan kini 11 tahun. Selain Danial, Nazilatul juga dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Meor Ahmad Aryan Abraham 8, Meor Ahmad Noah Riyadh 5 dan Nour Zea Amberly Rania 8 bulan.

Pernah Diuji Vertigo & Bertongkat Hampir Sebulan Antara Pengalaman Termahal Cikgu Nazilatul
Suami dan anak-anak yang menjadi sumber inspirasinya

Cabaran Guru Pendidikan KhasKesabaran dan keikhlasan antara dua aspek utama yang perlu ada dalam sanubari seorang guru. Tahun 2020 merupakan tahun ketiga beliau bertugas sebagai Guru Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Melihat anak-anak dididiknya berjaya menguasai kemahiran membaca, sudah cukup membahagiakannya. Skala kepuasan mengajar anak-anak orang Asli ini cukup berbeza dan punya cabaran tersendiri. Bagi menarik minat mereka terhadap pelajaran, Nazilatul akui pengalaman membantunya dalam mendidik pelajar-pelajarnya.

“Sekarang sudah masuk tahun ketiga saya bergelar Guru Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) semenjak ia ditubuhkan pada tahun 2018. Saya cuba menimba pengalaman yang baru dan usaha berterusan itu membantu saya menggunakan pendekatan ideal untuk menyantuni mereka. Pengalaman untuk lebih rapat dengan anak-anak asli kerana Pendidikan Khas ini meletakkan seorang guru itu sebagai pemudah cara dan bukan seperti guru biasa.

“Hubungan dengan anak-anak istimewa ini sangat mengusik jiwa saya. Saya meletakkan diri sebagai ibu kepada mereka dan kita tahu, anak-anak ini mengharapkan perhatian daripada kita kerana setiap hari gurauan dan gelak ketawa mereka yang kita dengar.Kepuasan apabila melihat perubahan jati diri dalam diri anak-anak istimewa ini walaupun pelbagai dugaan dihadapi untuk mereka hadir ke sekolah setiap hari.

“Mengajar anak-anak asli ini kalau dikira dari kepuasan mengajar adalah berbeza. Jika mengajar hari ini dan mengharapkan anak murid kita terus ingat apa yang diajar pada esok harinya, sesungguhnya ia tidak semudah itu. Memang pada mulanya saya rasa putus asa. Tetapi, apabila setahun berlalu dan mereka telah naik darjah, rupa-rupanya ilmu yang diajar itu baru dapat mereka fahami.

Ads

“Walaupun perkembangan akademik mereka tidak sepantas yang diharapkan, perlahan-lahan mereka menunjukkan perkembangan positif. Melalui perkembangan mereka, mengajar saya untuk terus tekun membenihkan ilmu kepada mereka. Apabila tiba masanya, mereka akan mendapat hasil dan menikmati manfaatnya,”luah Nazilatul mengenai peranannya dalam mendidik pelajar-pelajarnya.

Pernah Diuji Vertigo & Bertongkat Hampir Sebulan Antara Pengalaman Termahal Cikgu Nazilatul
Cikgu Nazilatul ketika mengajar subjek Seni Visual bersama pelajar seliaannya

Belajar bertoleransi dengan budaya masyarakat orang Asli

Dalam Program Pendidikan Khas, peranan guru adalah membina hubungan yang kukuh dengan ibu bapa. Selain itu kami juga digalakkan kerap mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa pelajar, bagi memaklumkan perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Tambah Nazilatul lagi, sekiranya anak-anak mereka tidak hadir ke sekolah, guru-guru akan mengadakan lawatan sosial ke rumah pelajar, bagi mengetahui situasi sebenar pelajar tersebut.

“Kami sentiasa menitik beratkan kehadiran murid kerana itu adalah komitmen ibu bapa kepada anak-anak mereka. Masalah pengangkutan, cuaca dan faktor kesediaan murid adalah kekangan yang sukar dielak apabila melibatkan murid-murid asli. Tetapi, kesusahan mereka, adalah kekuatan untuk kita lebih mendidik mereka.

Ads

“Seperkara yang saya faham tentang anak-anak ini ialah mereka sangat sukakan muzik dan tarian. Hiburan itu adalah erti kehidupan bagi mereka tak kira tua atau muda. Begitu juga caranya saya mempraktikkan kaedah pembelajaran kepada mereka iaitu sebutan suku kata. Tak perlu lagi tunggu sehingga mereka kenal setiap huruf hanya teruskan kepada sebutan kerana mereka mudah menghafal apa yang mereka dengar seperti irama lagu. Lebih mudah penerimaan mereka maka berkurang jugalah tekanan kita sebagai guru untuk mengajar,”terang Nazilatul.

Bercerita mengenai guru dan sambutan hari guru yang lazimnya diraikan pada 16 Mei saban tahun, Nazilatul juga ada pengalaman unik, menarik untuk dikongsi bersama pembaca MW.

“Sebagai guru tanggal 16 Mei adalah tarikh keramat. Murid-murid memberikan penghargaan dalam pelbagai bentuk. Tapi hadiah yang paling bermakna untuk saya ialah sepucuk surat daripada murid yang tidak pandai membaca dan menulis sebelum ini walaupun hanya ucapan

“Terima kasih cikgu Ziela, Saya sayang cikgu”. Cukup mahal nilainya buat saya.

Ads

“Satu lagi pemberian yang punya nilai sentimental buat saya adalah bantal berlabuci yang dijahit sendiri oleh ibu pelajar saya di tengah malam. Terharu rasanya melihat usaha untuk memberi oleh mereka kerana dari latar belakang keluarga murid-murid ini kebanyakan mereka adalah bekerja sendiri mencari sumber hutan selain menoreh getah dan bekerja di ladang sawit.

“Kebanyakan ibu bapa juga tidak pandai membaca dan menulis. Jadi apabila ada hadiah yang berbalut cantik dan di buat sendiri, ianya sangat menyentuh hati kerana adalah sukar untuk mereka berbelanja berlebihan untuk orang lain, sedangkan mereka juga bukanlah berkemampuan.

Apabila ditanya apakah cabaran terbesar dan bagaimana beliau menguruskan masanya untuk keluarga dan karier. Berikut adalah komentar ibu kepada empat cahaya mata ini kepada MW.

“Cabaran sebenar saya ialah dalam menguruskan kehidupan seharian di samping menguruskan anak-anak istimewa saya di sekolah. Saya menguruskan sendiri anak-anak kerana suami saya bekerja di pelantar dan hanya balik sekitar dua minggu sekali.

“Seawal 4.30 pagi saya sudah pun bangun memulakan rutin harian untuk menguruskan tiga anak yang bersekolah dan si bongsu akan dihantar ke pengasuh. Kesibukan saya pernah menyebabkan tahap kesihatan saya menurun sehingga saya dimasukkan ke wad selama seminggu kerana jangkitan virus menyebabkan simptom vertigo.

“Sebulan lebih saya menggunakan tongkat untuk bergerak kerana gangguan dari segi keseimbangan pergerakan saya.Bukan mudah dengan anak-anak yang masih kecil. Saya bersyukur dikurniakan suami, ibu dan ibu mertua yang memahami dan menemani saya menguruskan anak-anak. Saya juga bersyukur dikelilingi kawan-kawan yang baik terutama sahabat saya Laila yang sentiasa membantu dan menemani saya,””cerita Nazilatul mengenai sisi suka duka hidupnya yang menjadikan dirinya teguh berdiri sebagai warga pendidik dalam komuniti masyarakat orang Asli.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI