Dalam situasi pandemik wabak COVID-19, kita telah dimaklumkan agar mengambil langkah-langkah tertentu. Ini untuk memastikan bahawa risiko dijangkiti wabak ini dapat dikurangkan. Apa yang boleh dan tak boleh dilakukan semasa hamil untuk mengelakkan dijangkiti COVID-19.
Dr Ida Lilywaty Md Latar, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan dari Pantai Hospital Cheras berkongsi pandangan beliau mengenai isu ini.
Ketahui kesan COVID-19 pada kehamilan dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mengurangkan risiko jangkitan.
Bagaimana Anda Melindungi Atau Menguruskan Kehamilan Semasa COVID-19?
Penularan wabak COVID-19 memberikan kesan teruk kepada seluruh negara termasuk Malaysia. Jumlah pesakit positif coronavirus itu makin meningkat dari hari ke hari.
Selain golongan tua yang paling banyak terkesan jangkitan itu, antara golongan dikelaskan sebagai berisiko tinggi sudah pasti ialah wanita hamil dan kanak-kanak.
Kebanyakan kes COVID-19 di peringkat global mempunyai bukti dari manusia ke manusia melalui sentuhan, cecair dan fomites (objek seperti pakaian, peralatan dan perabot).
Dalam kes kehamilan, adalah penting bagi ibu-ibu untuk ambil tahu dan peka kepada keadaan fizikal mereka. Ini kerana, wanita hamil boleh menjadi asimptomatik atau mempunyai tanda-tanda yang sangat kecil tanpa membawa virus.
Umumnya, wanita hamil tidak mengalami gejala lebih teruk berbanding orang dewasa lain.Majoriti mereka hanya mengalami gejala flu ringan atau sederhana.
Gejala lebih teruk seperti radang paru-paru lebih biasa dilihat pada orang tua atau mereka yang mempunyai sistem imun rendah.
Walau bagaimanapun, jika mereka dikenal pasti mengalami gejala seperti batuk, demam dan sesak nafas, mereka perlu dirawat dengan segera.
Wanita hamil yang mengalami gejala yang lebih teruk dan lewat mendapatkan rawatan mungkin ia adalah tanda jangkitan paru-paru yang lebih serius dan dinasihatkan agar mendapatkan penjagaan yang teliti.
Ibu hamil yang mempunyai simptom coronavirus perlu menghubungi unit bersalin mereka dan unit bersalin akan menguruskan tempat dan masa yang tepat untuk sesi pemeriksaan.
Mereka tidak perlu menghadiri rutin klinik antenatal kerana bimbang hal ini akan menyebarkan virus tersebut jika dia bertukar menjadi positif COVID-19.
Adakah Anda Dan Bayi Anda Berisiko?
Kehamilan itu sendiri mengubah sistem imun badan dan tindak balas kepada jangkitan virus yang kadang-kadang boleh dikaitkan dengan gejala yang lebih teruk dan hal ini akan menjadi sama untuk COVID-19. Ini terutamanya kes yang berlaku pada akhir kehamilan.
Laporan dari China membuat kesimpulan bahawa tiada bukti untuk penyebaran terus COVID-19 (transmisi dari ibu ke bayi semasa antenatal atau intrapartum) dan juga, janin tidak mungkin akan terdedah semasa mengandung.
Juga, tiada data yang menunjukkan peningkatan risiko keguguran atau keguguran awal berkaitan dengan COVID-19 dan tiada bukti tentang kaitan jangkitan janin dalam kandungan.
Oleh itu, untuk situasi wabak ini, tiada kesan kongenital virus pada perkembangan janin dan tiada bukti yang melaporkan bahawa virus itu teratogenik.
Perkara Yang Boleh Dan Tidak Boleh Dilakukan Semasa Hamil Untuk Mengelakkan Dijangkiti COVID-19!
PERLU AMALKAN:
1-Perkara utama perlu diamalkan adalah seperti kerap mencuci tangan dengan langkah betul sama ada menggunakan air dan sabun atau sanitasi. Wanita hamil perlu memberi perhatian untuk menjauhkan diri daripada orang tidak sihat, jauhi sesiapa yang mempunyai simptom jangkitan covid dan sebaik-baiknya kurangkan kontak dengan orang ramai.
2-Adalah dinasihatkan agar anda memberitahu pihak klinik sekiranya anda mempunyai gejala seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak supaya pemeriksaan dapat ditangguhkan sehingga tempoh pengasingan tamat.
3-Dalam tempoh PKP ini, wanita hamil harus lebih prihatin dalam mengamalkan penjarakan sosial dan mengurangkan kontak dengan orang lain. Ia adalah penting untuk wanita hamil tidak merantau atau pulang ke kampung untuk bersalin supaya risiko jangkitan Covid-19 dapat dikurangkan atau kontak yang rapat dengan pesakit COVID-19.
Ia perlu dimaklumkan dengan jelas kepada pasukan pemeriksaan biasanya diletakkan di pintu masuk hospital dan juga pakar obstetrik anda.
Tetaplah berada di tempat tinggal anda dan bersalin di hospital yang berdekatan. Wanita hamil yang mempunyai sejarah perjalanan perlu dikuarantinkan selama 14 hari dan temujanji pemeriksaan mereka perlu ditangguhkan sepanjang tempoh itu.
PERLU ATURKAN:
1-Menghadiri klinik antenatal dan postnatal adalah amat penting demi memastikan kesihatan ibu dan bayi. Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ibu hamil yang mempunyai rutin temujanji untuk imbasan atau antenatal perlu menghubungi unit bersalin mereka untuk mendapatkan nasihat dan merancang jadual pemeriksaan.
Mereka mungkin masih perlu menjalani sesi pemeriksaan bersama doktor tetapi jadual pemeriksaan mungkin berubah mengikut bilangan staf yang bekerja.
2-Ibu-ibu hamil juga boleh mengurangkan sesi pemeriksaan antenatal dan hal ini perlu berbincang terlebih dahulu dengan doktor. Tetapi, tidak perlu mengurangkan sesi pemeriksaan tanpa persetujuan dari pakar obstetrik mereka.
Semasa lawatan antenatal atau kemasukan, ibu hamil akan diminta untuk memaklumkan bilangan ahli keluarga yang akan berada bersama-samanya pada tahap minimum.
Juga dinasihatkan, anda meminimumkan orang yang menemankan anda semasa menghadiri klinik termasuk tidak membawa anak-anak lain bersama.
Apakah Implikasi Semasa Mengandung Jika Ada COVID-19
Dalam lain-lain jenis jangkitan coronavirus (SARS, MERS), risiko kepada ibu lebih ketara meningkat semasa trimester terakhir kehamilan. Oleh itu, kesan yang sama mungkin berlaku untuk COVID-19.
Terdapat laporan kes kelahiran pramatang di kalangan wanita yang mengalami wabak COVID-19, tetapi ia tidak jelas sama ada kelahiran pramatang adalah iatrogenic (perubatan yang berkaitan) atau spontan. Mujurlah pada ketika ini, tiada kematian dilaporkan di kalangan ibu hamil.
Kebanyakan pesakit COVID-19 di Malaysia akan diuruskan di hospital COVID-19 ditetapkan. Ini juga termasuk ibu hamil yang positif yang akan diterima sehingga pemulihan dicapai.
Wanita yang hamil akan diuruskan oleh Pakar Obstetrik untuk urusan dengan pasukan penyakit berjangkit.
Sehingga hari ini, cara melahirkan yang disyorkan untuk pesakit positif COVID-19 di Malaysia adalah melalui kaedah pembedahan caesarean. Ia turut dilakukan dengan langkah berjaga-jaga umum yang ketat.
Lakukan Persediaan Awal Untuk Bersalin
Penyusuan susu ibu adalah masih kontrainidikasi. Ini bermaksud, penyusuan boleh disarankan seperti biasa sehingga bukti kukuh disediakan. Dan bayi yang baru lahir akan diletakkan di bawah pemantauan rapi dan ujian untuk COVID-19 akan dilakukan sebelum pelepasan.
Adalah dinasihatkan supaya anda sentiasa bertenang dan fokus untuk memulihkan kesihatan anda selepas bersalin dan menyusukan bayi anda.
Juga, persediaan untuk bersalin harus dilakukan awal supaya tidak terburu-buru apabila sampai masanya. Barang-barang keperluan lebih baik disimpan di dalam kereta yang akan menghantar anda ke hospital sewaktu hendak bersalin nanti.
Adalah penting untuk anda memastikan anda membawa pembersih tangan untuk kegunaan anda di hospital kelak.
Kesimpulannya, COVID-19 adalah ancaman menimbulkan kebimbangan semua pihak. Pencegahan awal dapat mengurangkan penularan wabak ini kepada orang lain.
Dengan itu, kita seharusnya mengikuti semua saranan dari kerajaan terutamanya dari Kementerian Kesihatan agar wabak ini dapat dihentikan.
Baca ini juga:
rahim-terbalik-adalah-variasi-kejadian-normal-bukanlah-penyebab-kesukaran-untuk-hamil
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI