
Isi Kandungan
ToggleSetiap daripada kita inginkan rumah tangga yang bahagia dan diberkati. Namun tidak semua bernasib baik. Indahnya sesebuah rumah tangga pabila masing-masing tahu dan jalankan tanggungjawab masing-masing.
Jika sebaliknya, maka pincanglah rumah tangga yang dibina. Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan apa kesannya jika rumah tangga tidak lagi seindah yang diimpi:
Antara nikmat, ujian dan musibah dalam perkahwinan…
Perkahwinan adalah sesuatu yang indah… Indah bagi mereka yang menjalankan tanggungjawab masing-masing… Indah bagi mereka yang melaksanakan kewajipan masing-masing… Indah bagi mereka yang memahami tugas masing-masing…
Buat tiga perkara ini, iaitu tanggungjawab, kewajipan dan tugas masing-masing dalam perkahwinan tersebut, maka perkahwinan itu adalah sebuah nikmat untuk mereka syukuri…
Pincang salah satunya, maka perkahwinan mereka adalah sebuah ujian… Ujian kekuatan, ujian kesabaran, ujian ketabahan, ujian kesetiaan, ujian air mata dan sebagainya… Mereka diuji dengan pasangan yang tidak bertanggungjawab, tidak melaksanakan kewajipan dan tugas yang Allah SWT sudah amanahkan pada bahu mereka…
Baca Juga Di Sini:
Tak Bahagia Perkahwinan Diatur Keluarga, Isteri Berpaling Cinta Pada Duda!
Serasi Dan Sama-Sama Baik Tapi Belum Tentu Bahagia. Tiada Siapa Dapat Jangka
Nak Rumah Tangga Kekal, Kena Kental Lawan Ujian Dalam Perkahwinan, Jangan Ambil Mudah!
Allah Tegur Dengan BALA
Cara Allah SWT “menegur” pasangan sebegini ialah dengan memberikannya musibah yang berbentuk seperti bala…
Rezeki sempit, hutang keliling pinggang, gaji tidak naik, urusan harian menjadi sukar, hati tak tenteram, selalu jatuh sakit, harta benda asyik rosak, ada saja perkara yang berlaku dalam kehidupan hariannya yang membuatkan kehidupan tak bahagia dan tenang seperti orang lain…

Bala yang dihantar Allah SWT ini adalah satu bentuk teguran untuk menyedarkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan dalam alam perkahwinan itu yang mana ianya telah menyebabkan berlakunya penganiayaan atau kezaliman pada pasangan…
Buat baik dalam perkahwinan, kita dapat nikmat… Buat sebaliknya dalam perkahwinan, maka tunggulah “teguran” Allah SWT dalam bentuk musibah untuk diri kita…
Pilihan di tangan anda…
MW: Jika mak, ayah inginkan perkahwinan diberkati, berbuat baiklah pada pasangan dan tunaikan tanggungjawab sebaiknya. Barulah rumah tangga aman dan bahagia. Insyallah.
Sumber: Firdaus Shakirin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kenapa Lepas kahwin Timbul Rasa Menyesal? Disenaraikan 7 Alasan Untuk Anda Semak!

Isi Kandungan
ToggleSebaik ijab dan kabul, ternanti 1001 dugaan untuk diharungi suami isteri dalam rumah tangga. Jiwa kena kental! Iman kena kuat! Walau bagaimana, ada yang mengakui bahawa timbul penyesalan di hati selepas berkahwin. Eh, mengapa boleh timbul perasaan sebegitu sedangkan pasangannya itu adalah pilihan hatinya sendiri. Kalau menyesal, takkan hendak bercerai pula?
Berikut disenaraikan beberapa faktor yang mungkin jadi penyebabnya.
1. Tak Cinta Sepenuh Hati
Ramai yang berkahwin bukan sebab cinta semata-mata. Ada yang berkahwin atas pilihan keluarga. Tapi jangan salah faham, banyak pasangan pilihan keluarga yang mampu kekal bahagia hingga ke hujung nyawa.
Bila pasangan suami isteri itu berkahwin tanpa rasa cinta, mereka cenderung akan merasa menyesal kerana tidak mampu mencintai pasangan seperti yang sepatutnya. Mungkin ketika mengambil keputusan untuk berkahwin, otak mereka sedang bercelaru.
Misalnya baru dikecewakan, takut dianggap ‘tak laku’ oleh masyarakat, kerana simpati dan sebagainya. Ketika itu mereka anggap cinta itu boleh dipupuk selepas kahwin. Ya, memang boleh tapi kena ada usaha dan yang penting, kena bulatkan hati untuk menerima orang yang telah dipilih sebagai pasangan sehidup semati itu. Ingat, perkahwinan bukan perkara main-main ye.
2. Tak Seperti Yang Diharapkan
Ada suami atau isteri yang rasa menyesal selepas kahwin apabila mendapati sikap pasangannya berbeza sebelum berkahwin. Tak dinafikan, sepanjang tempoh bercinta, tidak ‘terkeluar’ lagi sikap dan karakter sebenar pasangan sehinggalah sudah duduk serumah. Ketika itu, mungkin banyak sikapnya yang anda tidak sukai dan membuatkan hati anda tawar dan seterusnya terbit rasa menyesal dengan perkahwinan tersebut. Seharusnya anda perlu terima segala keburukan pasangan sebagaimana dia perlu menerima keburukan anda juga. Anda pun tak sempurna kot!
3. Tiada Kemesraan
Mungkin pasangan suami isteri itu tidur sekatil, namun di hati, anda tidak dapat berasakan kemesraan dan keintiman dengannya. Apabila ini terjadi, anda akan timbul penyesalan.
4. Mencintai orang lain
Ia berkait dengan faktor pertama. Mungkin hati anda masih tidak dapat melupakan bekas kekasih jadi hati anda tidak sepenuhnya dapat menerima pasangan. Akhirnya akan timbul penyesalan kerana menyedari anda membuat keputusan terburu-buru untuk berkahwin kerana kecewa. Anda rasakan anda sudah membuat pilihan yang salah. Bahaya tu!
5. Tak Serasi
Ketika menikah, barulah anda sedar bahawa diri anda dan pasangan tidak memiliki keserasian. Anda tidak dapat menyesuaikan diri dan begitu juga pasangan. Ini boleh mewujudkan pertelingkahan di antara suami isteri yang akhirnya boleh mencetuskan rasa penyesalan.
6. Keluarga Pasangan
Banyak pasangan yang mengakui rumah tangga mereka bermasalah akibat mentua dan adik-beradik pasangan. Ia tidak mudah untuk diatasi dan bila semakin merebak, akan timbul penyesalan terhadap perkahwinan itu.

7. Pasangan Curang
Siapa saja pasti akan marah jika pasangan mereka curang dan diri mereka dikhianati. Ini membuat anda menyesali pernikahan tersebut. Kecurangan dalam perkahwinan boleh mewujudkan masalah yang lebih besar.
Walau apa pun, segala-galanya terpulang pada diri sendiri. Bahagia itu anda sendiri yang kena cari. Namun, jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan pada diri pasangan dan membandingkan dirinya dengan orang lain. Anda sendiri yang telah membuat pilihan kan? Jadi sila bertanggungjawab terhadap keputusan yang anda buat itu sebelum mencari alasan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Hakak Rasa Hati Tak Kental Tu, Janganlah Berangan Nak Jadi Bini Abam Askar

Menjadi isteri abam askar ni bukan sekadar angan-angan nanti bila besar nak kahwin dengan pegawai askarlah sebab nak lalu bawah pedang. Sebab nak pegi messnight pakai lawa-lawa. Bukan setakat itu sahaja yer, walaupun pada mulanya hakak pun memasang impian nak kahwin dengan pegawai askar sebab nak lalu bawah pedang.
Memang ko akan lalu bila awak dah sah bernikah dengan pegawai askar. Tetapi itu baru permulaan perjuangan seorang isteri askar. Perjuangan untuk bersedia ditinggalkan oleh suami dan bersedialah juga hakak untuk berkorban untuk kebahagian rumah tangga yang baru dibina. Jika suami hakak berkorban untuk negara, hakak pula bersedia untuk berkorban segalanya.
Ternyata suami hakak bukan milik hakak sorang tetapi milik negara, biar pun sekarang bukan macam zaman Jepun lagi. Tugas-tugas abam askar ni bukan terhad pada satu tugas semata-mata sebaliknya segalanya atas kepala dia. Pengalaman hakak sendiri, dari sebelum berkahwin, memanjang nak dating tak jadi sebab dia memanjang sibuk. Pernah juga dah set masa cantik punya di hari yang indah, dah pakai baju liplap nak jumpa boyfriend, at last si dia call, tak jadi yer jumpa ada baris.
Time tu hakak semua tak boleh emosi tau, tak boleh update status kat socmed melainkan istighfar panjang dengan suara yang paling dalam. Tu baru sikit, nama pun bercinta. Time bertunang tu, orang lain ada lah gambar candid-candid dengan pasangan dengan #donesarungcincin. Hakak sorang-sorang jer tau, dia masa tu tengah kursus. Paling penting nak bercinta dan berkahwin dengan abam askar, hati takleh jadi tisu. Kalau boleh sekeras batu, baru proceed couple dengan abam askar.
Akhirnya dalam kelam-kabut hubungan hakak dengan abam askar, kami nikah juga akhirnya. Masa hari bersanding tu memang dapatlah momen lalu bawah pedang yang hakak termimpi-mimpi selama ini. Sekejap jer pun happynya. Bila dah berkahwin, akak yang bekerja di Shah Alam ni tak nak kalah dengan suami untuk bertukar kerja. Jadi kami sepakat untuk PJJ. Seminggu sekali barulah dia balik jumpa hakak, itu kalau tak sibuk. Kalau operasi memang tak jumpalah. Memang ketika mengandung anak sulung, hakak seorang diri. Duduk rumah sewa sorang-sorang, check up sorang-sorang, nak makan cari sendiri. Memang suami pendek kata tak sempat nak care.

Kental Sangat Macam Takde Suami
Sampai suatu ketika ada kawan-kawan akak gelarkan hakak ibu terlanjur sebab memanjang ke sana, sini sorang diri dan kalau ada pun kawan-kawan yang teman. Bayangkan malam-malam kena check gula dalam darah kat klinik kesihatan, kawan-kawan yang temankan sebab suami jauh. Hakak pun tak pernah terlintas nak suruh dia balik dan bawak gi check up, sebab sedari awal akak memang ready untuk lalui semua ini seorang diri. Barulah adventure, barulah isteri abam askar.
Hinggalah di hari bersalin, dah warded ni, hakak boleh suruh suami balik kem selesaikan kerja dia dulu. Lastly hakak beranak sorang-sorang tanpa adegan pegang-pegang tangan suami dalam labour room. Walaupun nurse tanya hakak nak tunggu suami sampai ke baru akak nak meneran. Akak kata no, sebab hakak dah sakit sangat. Ampun ya suami.
Anak pertama rasa boleh handle lagi, tetapi selepas lapan tahun kami berumah tangga, hakak dan abam askar telah dikurniakan empat orang anak. Pertambahan anak membuatkan hakak semakin kelam kabut dan berupaya menjadi tangan sotong.
Bayangkan apabila sampai rumah, hakak akan masukkan adik-beradik tu dalam rumah. Sepantas kilat hakak akan keluarkan semua beg anak-anak dari nurseri dan juga bakul dengan dua tangan. Terror kan, bila dah terdesak, sis boleh berubah bentuk macam-macam. Kalau anak sakit tu, faham-fahamlah. Rasa macam nak demam sekali dengan anak. Huhuhu….

Apa juga cabaran dalam rumah tangga jangan kongsikan di sosial media, cari kawan atau keluarga untuk anda luahkan perasaan tertekan anda. Jangan simpan perasaan stres sorang-sorang, takut gila nanti. Hahaha. Sebagaimana anda respek suami anda, respek juga kerjayanya. Tolak ansur paling penting, time dia takde kat rumah memang hakak ibarat robot ada 10 tangan, tetapi bila nampak muka suami depan pintu terus hakak jadi selembik-lembiknya sebab nak pass segala tugasan rumah pada dia.
Sebagai isteri abam askar, kita perlu ikhlas dalam setiap pengorbanan yang kita lakukan. Insyallah bila kita ikhlas, syurga balasannya. Semoga hakak terus istiqomah dan mampu menepis dugaan dalam perkahwinan. Amin.

MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Penganggur Dan Panas Baran, Isteri Tanggung Semua Belanja Keluarga!

Isi Kandungan
ToggleSuami panas baran memang menakutkan. Salah sikit saja dah melenting dan mengamuk. Lebih buruk lagi kalau sampai sanggup pukul isteri! Ikuti luahan hati seorang isteri yang bersuamikan lelaki panas baran.
Kahwin Suami Atas Dasar Cinta
Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Saya bertugas sebagai seorang di sebuah hospital manakala suami pula bekerja swasta. Perkahwinan kami atas dasar cinta setelah setahun berkenalan.
Selepas kahwin, suami mula tunjuk perangai sebenar. Segala perbelanjaan rumah terletak di bahu saya. Walau pun bergaji, dia habiskan untuk hobinya saja iaitu motosikal berkuasa tinggi dan memancing. Bahkan kadangkala minta duit daripada saya pula.
Terbeban
Memasuki usia perkahwinan lapan tahun, saya makin terbeban kerana pinjaman perumahan juga atas nama saya dan bayaran secara potong gaji. Malah saya juga terpaksa membayar pinjaman suami yang dibuat atas nama saya. Katanya saya bekerja kerajaan, lagi mudah dapat pinjaman.
Akhirnya, saya yang terbeban kerana perlu bayar itu dan ini. Nasib baik anak hanya dua orang. Segala perbelanjaan anak saya yang tanggung. Jika ada pun, dia akan belikan mainan anak sesekali. Hadiah untuk saya? Seingat saya, dia pernah belikan saya sehelai kain pasang ketika kami baru beberapa bulan berkahwin. Sejak itu, memang tak pernah. Inikan hadiah, duit nafkah bulanan pun tak pernah beri.
Sebagai isteri, lama-kelamaan akan rasa sakit hati juga. Terbit rasa tidak ikhlas dengan pertolongan yang diberikan selama ini. Mengapa saya yang perlu tanggung semua sedangkan dia juga bekerja? Saya tak kisah berapa dia nak bagi tapi sekurang-kurangnya biarlah dia turut menyumbang pada perbelanjaan rumah. Sering kali saya memujuk diri sendiri, sekurangnya dia membenarkan saya bekerja untuk mencari rezeki. Jadi, saya tetap perlu berterima kasih padanya. Saya juga sudah penat membebel dan menasihatinya tapi tidak dipedulikan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk redha saja untuk menggelakkan pergaduhan.
Suami Tak Bekerja
Akhir tahun lepas, suami saya berhenti kerja. Katanya dia tidak sekepala dengan bos barunya di tempat kerja. Tapi bila saya risik pada kawan-kawannya, sebenarnya dia diberhentikan kerja kerana asyik ‘hilang’ pada waktu bekerja. Saya hairan, selama ini dia tak pernah pula tidak pergi kerja kecuali memang pada hari dia ambil cuti dan MC. Tapi saya tak berani nak tanya.
Sejak itu, dia hanya makan tidur di rumah. Bila saya perlu bekerja syif malam, anak-anak akan tidur di rumah pengasuh kami kerana katanya dia tak tahu nak jaga anak sedangkan anak-anak kami sudah besar. Bukannya perlu berjaga malam. Memang itu perangainya sejak anak-anak kecil. Apabila dia tidak bekerja, saya minta dia uruskan hal sekolah anak-anak, hantar dan jemput anak dari sekolah. Nasib baik dia sanggup.
Suami Mula ‘Naik Tangan’
Sebenarnya kami kerap bergaduh besar dan setiap kali itu juga pasti ada barang rumah rosak dihempaskan. Dia panas baran orangnya. Dua bulan lepas, dia semakin ganas dan telah memukul saya. Ketika itu kami bergaduh soal duit. Dia meminta duit daripada saya sedangkan ketika itu duit saya hanya tinggal cukup-cukup untuk belanja sebelum tiba hari gaji beberapa hari lagi. Duit itu hendak digunakan membeli umpan pancing.
Bila saya ungkit mengapa dia tidak bekerja, dia naik angin, saya ditampar dan dipukulnya. Walau pun tidaklah sampai berdarah dan patah, tapi cukup menyakitkan diri saya. Terpaksa saya berikan dan keesokan hari saya tebalkan muka meminjam duit daripada rakan kerana saya langsung tiada duit.
Ikut Rentak Takut Dipukul Lagi
Sejak itu, saya serik dan akan turuti segala kehendaknya kerana takut dipukul lagi. Saya tak dapat bayangkan kalau dia memukul saya dengan teruk kerana tubuhnya jauh lebih besar daripada saya. Jika tidak ada duit, saya rela meminjam daripada rakan. Mujur ada beberapa orang rakan rapat yang tahu kisah saya selama ini dan akan membantu saya.
Puan, apa yang patut saya lakukan? Kesabaran saya makin menipis. Walau pun baru sekali dia ‘naik tangan’ tapi saya risau kalau dia akan mengulanginya lagi. Setakat ini saya masih boleh mengikut kehendaknya untuk menggelakkan dia bertindak ganas. Tapi sampai bila?
Rasa sayang saya juga semakin menghilang. Saya takut untuk terus hidup dengannya dan kehidupan saya makin tersepit kerana dia enggan bekerja. Saya sudah tidak berani hendak menyuruhnya bekerja kerana takut dipukul lagi. Keluarga kami tidak tahu akan perihal ini dan saya malu hendak memberitahu mereka.
Isteri risau, Melaka.
JAWAPAN:
Wanita yang bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ibu kepada seorang atau beberapa anak punya peranan dan tanggungjawab yang cukup besar. Ianya menuntut kepada pengorbanan dan kesabaran untuk membina keluarga seperti yang diharapkan.
Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga berperanan dalam mendidik keluarga, bukan sahaja untuk anak-anak, malah mendidik diri sendiri, mendidik suami, juga mendidik seluruh ahli keluarga dalam kemampuan yang ada bagi menjamin agar setiap ahli keluarga tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya.
Suami Kena Faham Tanggungjawab Isteri
Tugas dan tanggungjawab isteri seperti yang telah kita sedia maklum. Jika isteri itu bekerja, maka dia membantu menampung belanja dalam pengurusan keluarga. Tanggungjawab menyedia keperluan makanan, pakaian dan rumah adalah tanggungjawab suami. Isteri membantu sahaja, bukan mengambilalih atau menyediakan semua keperluan keluarga, apatah lagi memenuhkan duit poket suami.
Jika puan sebagai isteri mengambil alih semua tanggungjawab itu di mana tanggung jawab dia sebagai suami? Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga adalah lelaki yang tidak matang. Justeru, siapakah yang perlu memainkan peranan untuk “mematangkan” suami? Nak harapkan keluarganya atau nak harapkan rakannya?
Isteri Yang Kena Main Peranan Didik Suami
Jawapannya puan sendiri tahukan. Puan lah yang perlu memainkan peranan utama dalam mendidik suami untuk menjadi matang dan bertanggungjawab. Sebelum mendidik dan cuba mengubah suami, puan perlu mengubah minda dan tindakan puan terlebih dahulu apabila berhadapan dengan suami. Sedarkah puan cara puan ini memberi satu “peneguhan” tingkah laku suami yang negatif?
Dalam hal ini, puan perlu belajar dan mendidik diri puan agar bertegas dengan suami jika dia tidak memberi nafkah, tidak bekerja, apa tah lagi jika meminta wang dari puan. Jangan takut pada baran suami.
Jangan Takut!
Tahukah puan, kerana takut kepada baran suamilah maka dia menjadi semakin berani untuk tidak bekerja, meminta wang dari puan dan bertindak kasar terhadap puan. Puan perlu ada ketegasan dan jangan malu tidak bertempat.
Beritahu suami jika dia bertindak kasar puan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pejabat agama dan laporan polis. Beritahu keluarga agar dia tidak keterlaluan terhadap puan. Sekali lagi saya nyatakan, sebagai isteri, ada hak perlindungan, jangan biarkan diri diperalat dan disiksa emosi dan fizikal oleh suami.

Belajar Urus Emosi Berdepan Situasi Ini
Puan perlu belajar bagaimana urus diri puan untuk berhadapan dengan sikapnya. Jangan sesekali beri wang bila diminta. Kalau dia tidak mahu bekerja, maka makannya tunggu sehingga dia membeli beras dan ikan. Puan perlu berani, kerana jika puan takut maka selagi itulah dia akan jadi semakin berani memperalatkan puan untuk memenuhi kehendaknya.
Saya ada mengendalikan beberapa kes suami baran ini. Tidak baran sebanyak mana pun jika isteri tahu dan bijak mengendalikan suami, sama ada ada secara lembut tetapi tegas atau cara lain yang difikirkan sesuai untuk mengubah tingkah lakunya.
Jangan Tunjuk Lemah Di Depan Suami
Orang yang baran ni akan menang jika dia tahu orang yang dia berhadapan itu lemah. Maka puan jangan tunjukkan kelemahan seperti takut, mengalaah tidak bertempat. Selagi mana puan mengikut kemahuannya, bermakna puan tidak berusaha mendidik dirinya agar berubah. Untuk berubah bukan perkara yang mudah.
Puan perlu dapatkan panduan mengendalikan orang yang baran dan malas tidak mahu bekerja ini. Dia juga sukar berubah jika kehendaknya puan sering turuti. Selain daripada itu, gunakan orang ketiga yang suami agak hormati jika puan tidak mampu mengendalikannya secara berseorangan.
Campur tangan keluarga adalah perlu, tetapi kepada yang boleh diperoleh pandangan dan nasihat, bukan mengapi-apikan lagi keadaan. Jika puan bijak mengurus, permulaannya mungkin sukar, namun jika sekali buat berani memberi amaran kepada suami agar jangan jatuh tangan atau meminta wang dari puan, maka suami akan lebih berhati-hati. Jika dia bertindak kasar, jangan takut untuk ke pejabat agama. Atau jika lebih serius, jangan takut untuk fail kes ke mahkamah.
Ketahui Hak
Setiap insan ada hak dan perlindungan yang perlu dipertahankan. Buang sifat malu tidak bertempat. Jika puan berani melaporkan kepada pihak berkenaan, insya Allah suami tidak berani berkasar terhadap puan.
Nasihati suami agar berubah. Hidup perlu bekerja untuk menyara keluarga, dan yang paling penting menjalankan tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan yang harus dipenuhi. Banyakkan solat malam, zikir dan mohon agar Allah beri petunjuk kepada suami dan kekuatan kepada puan berhadapan dengan sikapnya itu. Wallahualam.
Sumber: Permasalahan ini telah dijawab oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis bebas, juga penulis jemputan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI