Tidak dinafikan ramai yang membeli emas sebagai perhiasan diri serta pelaburan pada masa akan datang kerana ia boleh digadaikan mahupun dijual ketika waktu susah. Bahkan nilai emas yang semakin meningkat saban tahun, memang boleh menjadi pelaburan yang menguntungkan kelak.
Susulan pengeluaran khas wang KWSP bermula 18 April baru-baru ini, menyebabkan pusat komersial dan beli belah di bandar raya ini menjadi sesak dan tumpuan orang ramai berbelanja.
Tinjauan di Pusat Komersial UDA, Tampoi mendapati kedai emas dan butik menjual pakaian raya antara premis yang menjadi tumpuan.Deretan kedai emas di pusat komersial di situ, dilihat dipenuhi orang ramai yang sanggup menunggu giliran di luar premis sejak ia dibuka jam 10 pagi tadi.
Mesti Baca: Perempuan Beli Emas Bukan MENUNJUK Tapi CAGARAN Dan Jaminan Waktu ‘Terdesak’
Wang Tambahan Persediaan Aidilfitri
Bekas pekerja swasta, Emelda Bachok, 46, berkata beliau bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang meluluskan pengeluaran khas KWSP bermula kelmarin.
Beliau sekeluarga lega apabila mendapat wang tambahan bagi menyediakan persiapan Aidilfitri.
“Sebelum ini memang agak mencabar kerana saya mempunyai tanggungan besar, suami pula baru kehilangan kerja.
“Dengan pengeluaran khas KWSP ini dapatlah bernafas sikit beli apa yang patut. Separuh wang ini akan disimpan dan digunakan ketika kecemasan sahaja dan separuh lagi buat persiapan Aidilfitri.
“Saya memang dah berniat nak belikan dua anak perempuan berusia 15 dan 12 tahun barang kemas, sama ada gelang atau cincin emas dengan duit pengeluaran ini. Alhamdulillah niat ini tercapai hari ini,” katanya.
Mesti Baca: Besi Dalam Rekaan ‘BANGLE’ Emas, Wanita Perlu Ambil Tahu Sebelum Beli!
Beli Emas Pelaburan Waktu Susah
Juruteknik, Mohd Ashraf A Safar, 27, pula berkata beliau juga sangat bersyukur dan lega kerana permohonan mengeluarkan wang KWSP diluluskan.
“Alhamdulillah, saya hanya mengeluarkan separuh daripada jumlah had dibenarkan tetapi memang sangat lega dan bersyukur.
“Ada juga wang lebih selepas bayar hutang, bil dan keperluan lain. Hari ini saya bawa isteri, Nurul Nur Syafiqah Zuraimi, 26, beli barang kemas emas kerana banyak membantu saya ketika susah senang.
“Ini juga sebagai pelaburan juga ketika waktu susah kerana emas yang dibeli sama ada boleh dijual semula atau digadaikan ketika kami memerlukan wang nanti,” katanya.
Pertambahan Pelanggan Mendadak
Dalam pada itu, pemilik kedai emas De Aurora, Dayana Haironi, mengakui pelanggan ke kedainya bertambah secara mendadak bermula semalam.
“Sebelum ini, pelanggan ramai juga tetapi tidak seramai semalam dan hari ini. Rasanya pengeluaran khas KWSP memang mempengaruhi pertambahan pelanggan yang agak luar biasa.
“Saya jangkakan pelanggan akan terus bertambah dan memuncak pada hujung minggu ini berikutan pengeluaran khas akan mula dibelanjakan orang ramai dan kami sudah bersedia menambah stok barang kemas baharu selain menggunakan kakitangan sepenuhnya iaitu 30 pekerja pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini,” katanya.
Baca Lagi Di Sini: Waktu Beli Emas, Bawa Kalkulator Atau Pinjam, Kira Sendiri Harga Emas
Artikel Menarik: Untungnya Beli Emas, Jual Bila Terdesak, Pakai ‘Lasak’ Pun Nilai Ikut Harga Semasa
Mingguan Wanita: Selain persiapan Aidilfitri, ramai rupanya yang membelanjakan pengeluaran khas KWSP untuk pembelian emas bagi tujuan pelaburan pada waktu terdesak. Apapun berbelanjakan dengan berhemah, utamakan keperluan dan manfaatkan sebaiknya pengeluaran khas KWSP ini.
Sumber: Bharian
Macam ni caranya cuci barang kemas berkilat macam baru beli.
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI