Susahnya mendengar kata penghargaan apatah lagi pujian daripada suami. Mungkin juga sesetengah suami ‘berat mulut’ untuk memberi kata-kata pujian. Cukup dengan tindak tanduk sahaja.
“Sayang masak apa tu? Sedapnya bau semerbak sampai ke luar ni”
Bagaimana agaknya hati si suami ini tatkala meluahkan rasa penuh penghargaan ini kepada isterinya? Mungkin berbunga-bunga menghargai nilai pengorbanan isterinya yang berkesempatan meluangkan waktu masak hidangan kegemaran biarpun dalam kekangan waktu sibuk.
Bagaimana pula perasaan si isteri yang sedang memasak di dapur tatkala mendengar pujian penuh pengharapan si suaminya. Ini jawapan daripada Mohd Shariman Che Deris, Professional Learning Fasilitator (mastery) @ Ketua Pembelajaran Excite Learning Consultancy tentang kupasan ini.
Seorang isteri yang bekerjaya, mungkin bangun seawal jam 5.30 pagi, menyiapkan tidak hanya dirinya malah juga anak-anaknya, setelah selesai dan siap semuanya isteri akan mula ke pejabat sambil mungkin singgah dulu di sekolah, hantar anak-anaknya. Bagaimana dengan si suami? Berkemungkinan akan buat perkara yang sama atau mungkin juga hanya bersiap untuk dirinya.
Berpenatan di pejabat dengan segala macam karenah manusia dan dokumen yang bersusun di pejabat, si isteri akan kembali ke rumah. Mungkin juga ambil anak-anak di rumah pengasuh, mungkin juga singgah ambil di sekolah. Usai sampai di rumah, rehat seketika melepaskan penat seharian bekerja kemudian akan menari berirama di dapur menyiapkan hidangan kegemaran keluarga, mungkin juga perlu bersingsing lengan mengemas rumah sekadarnya sahaja beriringan dengan membasuh baju.
Ads
Membacanya sahaja sudah membuatkan kita terasa penat apatah lagi apabila benar-benar mengalaminya. Di kala hampir maghrib, mungkin akan kedengaran enjin kereta atau motosikal si suami, masuk dengan tenangnya menegur dan bertanya khabar isteri dan anak-anak langsung terus ke bilik berehat kepenatan. Apa tidaknya seharian di pejabat dan bekerja tentu saja penat dengan segala macam ragam renyah kerjanya.
Si isteri? Tidakkah dia juga bekerja seharian? Tidakkah sama saja nilai penatnya tu?
Ini yang kadang-kadang suami lupa dan terabai tanpa sedar.
Jawapan:
Seringkali dek kerana tiada rungutan dan keluhan daripada isteri, suami akan semudahnya menganggap bahawa isterinya dengan rela hati melakukan kerana Allah S.W.T kerana berkorban dan cintakan suami serta keluarganya.
Isteri berkorban hati bermakna dia melakukan atas rasa tanggungjawab, atas sebab dia adalah seorang isteri maka inilah rutin kerja sebagai seorang isteri yang mesti dilakukannya. Tidak salah nilai ini namun yang perlu ditimbang oleh suami adalah di mana cinta dalam pengorbanan ini? Apakah boleh ditranformasikan istilah isteri berkorban hati ini kepada seikhlas hati?
5 Pengorbanan Isteri Yang Perlu Suami Tahu
1.Isteri yang kepenatan akibat sentiasa perlu berkorban untuk keluarga hingga dirasakan tidak ada waktu privasi untuk dirinya.
Ads
2.Isteri yang merasakan hanya dirinya yang lebih berkorban untuk keluarga, hingga dia tidak nampak peranan suami.
3.Isteri yang waktunya hanya terikat dalam lingkungan kerja rutin suri rumah dan menikmati suasana luar hanya di medsos.
4.Isteri yang berkerjaya apatah lagi jika berpendapatan lebih daripada suami dan perlu berkorban lagi menguruskan keluarga.
5.Isteri yang tidak hanya perlu menguruskan suami dan anak-anak malah juga perlu menguruskan mertua dan ipar duai tinggal serumah.
Ads
6 Tip Hargai Isteri
1.Hadirkan rasa empati dalam setiap pengorbanan isteri melalui kata pujian dan penghargaan, bantu ringankan kerja isteri. Bila isteri lipat baju, datang dan bantulah melipat baju sama.
2.Berikan penghormatan kepada isteri. Bawa berjalan, cuti sekeluarga, bawa keluar makan, adakan hari cuti isteri dan seumpamanya. ebut kepada isteri depan anak-anak kenapa penghormatan ini diberikan kepada isteri. Isteri akan rasa terharu.
3.Berikan kejutan hadiah daripada masa ke semasa untuk isteri sebagai tanda menghargai pengorbanannya. Tentu saja berbunga setaman harum semerbak hati isteri jadinya.
4.Senyum, berbicara dan berikan masa serta ruang sebanyaknya kepada isteri untuk bermanja dengan anda, suaminya.
5.Penuhkan hati dengan perasaan cinta kepada isteri dan tentu sahaja setiap pengorbanan isteri walau sekecil mana sekali pun akan sentiasa dipandang tinggi.
6.Bertanya khabar isteri. Sudah tentu, isteri akan rasa suami sangat concern dan ambil tahu kesusahan dirinya.
Ini adalah nilai pengorbanan yang priceless dan perlu jadi sandaran untuk setiap suami dan isteri dalam rumah tangga. Isteri tidak berkorban hati sebaliknya berkorban kerana cinta dan keikhlasan. Bila suami faham nilai pengorbanan isterinya, dia akan lebih tahu dan faham bagaimana untuk menghargainya kerana cinta.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Seronoknya bila aura Raya Aidilfitri dan balik kampung dah muncul, siap lagu-lagu raya pun dah berkumandang di corong radio. Pastinya perasaan tak sabar nak jumpa mak ayah dan adik beradik di kampung makin ‘gemuk’. Inilah masanya nak rapatkan hubungan dengan saudara jauh.
Namun dalam sibuk menghitung hari, jangan lupa baca nota ini untuk mudahkan urusan ketika balik raya di rumah mak ayah di kampung. Jom semak apa 15 perkara penting itu…
1. Bawa balik seterika sendiri supaya tak berebut. Kalau muat bonet, angkut iron board sekali.
2. Rumah di kampung kadang tak ada aircond, kipas terhad, bawa balik 1 kipas sendiri. Kalau boleh elakkan tidur hotel atau homestay melainkan wujud keperluan mendesak.
3. Bawa balik extention cable sekali. Taklah berebut nak cas telefon, nak iron, nak blender dan lain-lain.
4. Kalau perlu, tilam atau toto pun bawa sekali.
5. Boleh tidur lewat malam raya, tapi jangan sampai terlepas solat di pagi raya. Ramai buat macam tu.
6. Ajar isteri dan anak perempuan untuk tolong mak basuh pinggan dan kemas meja lepas makan. Anak laki tolong atuk kemas rumah sapu laman, bakar lemang, ligan ayam dan lain-lain.
7. Untuk elakkan anak-anak 24 jam dengan telefon, mak ayah pun kena elakkan dari 24 jam tengok hp. Kepimpinan melalui tauladan.
8. Untuk suasana harmoni, elakkan orang lelaki buka baju atau merokok ketika ramai-ramai di ruang tamu, atau di meja makan. Ia terkait dengan aurat, keselesaan dan ‘respect’.
9. Santuni adik beradik yang sedikit ‘kurang’ berada dari kita. Jangan sembang bab kereta, telefon baru, beli rumah, pergi Korea dll. Kalau ditanya, boleh dijawab ringkas. Fokus pada silaturrahim.
10. Bagi duit raya pada mak ayah ikut kemampuan. Sikit atau banyak, kena bagi. Duit memang penting, namun ‘keberadaan’ kita bersama mereka lebih disyukuri.
11. Jangan selalu terperap dalam bilik. Ini biasa hobi menantu perempuan. Ringan-ringankan tulang bantu di dapur. Dan 1 lagi, time raya inilah nak kenal saudara mara. Kalau terperap dalam bilik, mana nak kenal siapa yang datang.
12. Kalau ada lebihan rezeki, tolonglah beli barang-barang dapur. Beras pulut, daun palas, daging 3-4 kg. Kuih raya 3-4 balang dan lain-lain. Paling koman ‘kordial sunquick’ pun kira dah soleh tu.
13. Jangan mudah terasa dengan tutur kata adik beradik ipar duai. Belajar berlapang dada. Jangan cemari kemaafan syawal dengan kemarahan kita.
Kalau rasa diri memang tak boleh nak berlebih kurang dengan orang lain, jangan harap orang lain berlebih kurang dengan kita. Kena belajar erti menghormati yang tua yang muda. Jangan rasa kita hebat.
14. Bagi yang beraya di rumah mertua, cuba enjoy dan menerima seadanya. Mungkin tak sama dengan raya kat rumah sendiri. Tapi nasiblah, sapa suruh kahwin!
15. Kita balik kampung bukan kerana budaya. Tetapi kerana mak ayah kita. Tanggungjawab kita. Kalau mereka sudah tiada, memori masih terpahat di sana. Nikmati masa tersebut. Hargai dan syukuri sebelum ia pergi.
Mudahnya, bukan? Moga kita dapat eratkan silaturrahim dan menikmati Hari Raya Aidilfitri dengan sempurna.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kepayahan Ibu Jadi Aspirasi, Anak Pencuci Bangunan Raih Keputusan Cemerlang Dalam STPM.
Seorang anak pencuci bangunan membuktikan kepayahan hidup bukanlah alasan untuk tidak berjaya dalam pelajaran. Bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Amsyar Muawiyah Mohd. Sofi,20 merupakan antara 70 pelajar cemerlang Pulau Pinang yang berjaya memperolehi 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023, yang diumumkan semalam.
Bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Amsyar Muawiyah Mohd. Sofi melihat sendiri kegigihan ibunya, Mardiah Ismail, 47, yang memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan menjadi perangsang untuknya mengubah nasib keluarga.
Bergelar anak yatim pada usia 16 tahun selepas ayahnya, Mohd. Sofi Salleh, 48 meninggal dunia secara mengejut empat tahun lalu.
“Selepas ayah meninggal dunia (tahun 2020) barulah mak saya bekerja sebagai pencuci bangunan di Mahkamah Pulau Pinang dan saya melihat mak bekerja keras untuk menyara saya dan adik berusia 18 tahun.
“Mak juga selalu pesan yang saya adalah harapan keluarga, jadi saya perlu berusaha membaiki nasib keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh.
Amsyar Muawiyah nekad menghadiahkan keputusan cemerlang STPM kepada ibu tersayang yang banyak memberi dorongan dan tidak putus berdoa untuk kejayaanya. Selain Amsyar, tujuh lagi pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan STPM 2023.
Hadir menyerahkan keputusan cemerlang mereka ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Roland @ Rozaidi Abu Hassan.
Tiada Tuisyen, Hanya Tumpukan Perhatian Dalam Kelas
Menurut Amsyar yang mahu menjadi seorang guru, dia tidak mengikuti mana-mana kelas tuisyen dan hanya menumpukan perhatian di dalam kelas.
“Saya meluangkan masa setiap dua atau tiga jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran dan sering mengingati pesanan mak bahawa pelajaran mampu mengubah nasib kami,” katanya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ipar adalah adik-beradik kepada pasangan kita. Berbanding lelaki, biasanya wanita yang sering kali menghadapi masalah dengan ipar-duai. Tak semua, TAPI ADA! Banyak penyebabnya hingga hubungan antara ipar-duai itu dingin.
Bukan Sekadar Penyatuan Dua Hati
Perkahwinan bukan saja penyatuan dua jiwa antara kita dengan pasangan saja, malah ia membawa kepada maksud lebih meluas terutama berkaitan keluarga kedua-dua pihak.
Membina hubungan yang baik dengan keluarga mentua itu tidak hanya tertumpu kepada mak dan bapa mentua saja malah ia perlu dilakukan bersama ipar-duai, biras, sepupu dan ahli keluarga yang lain.
Jangan Remehkan Hubungan Dengan Ipar-Duai
Menjalinkan hubungan baik dengan ipar-duai tidak boleh dianggap perkara remeh kerana tanpa sedar pelbagai masalah boleh terjadi sekiranya hubungan dengan ipar-duai tidak dilakukan seikhlas hati.
Tak dinafikan, mungkin akan sering kali terjadi kita bercanggah pendapat dengan ipar-duai kita namun ia perlu ditangani dengan baik. Jangan hingga berbalah sehingga saling tak bertegur sapa. Itu hanya akan memburukkan perhubungan.
Sebagai orang yang baru masuk ke dalam sesebuah keluarga, sebenarnya kita sendiri kena main peranan untuk ambil hati keluarga pasangan. Bukan saja mak ayah tapi juga ipar-duai.
Berbanding ipar-duai lelaki, biasanya jarang mengalami masalah ini, berbanding wanita. Entah kenapa, mungkin wanita ni kaya dengan emosi kot. Apa pun, buang rasa malu atau ego dan cuba wujudkan kemesraan dengan ikhlas.
Walau pun sudah lama berkahwin, jangan berhenti untuk memberikan imej baik kepada ipar-duai. Sebenarnya banyak faedah bila baik dengan ipar-duai yang merupakan adik-beradik suami.
Jadi Pendamai
Tak nafikan, ada wanita yang kurang rapat dengan mentua atas macam-macam sebab. Namun, kehadiran ipar-duai (anaknya) boleh membantu mengharmonikan hubungan itu.
Jika kita baik dengan mereka, sudah pastinya mereka akan sentiasa menyebut hal-hal yang baik saja tentang diri kita di hadapan mak dan ayahnya. Bahkan, ada masanya akan ‘backing’ kita juga kalau ada masalah dengan abang/adiknya yang merupakan suami kita. Mereka ini boleh dijadikan ‘team’ kita bila ada masalah dengan pasangan. Betul kan?
Ambil Hati Ipar-Duai
Banyak cara nak ambil hati ipar-duai, bukan sekadar belikan hadiah mahal-mahal saja ye. Tanya khabar pun dah cukup menunjukkan kita menganggap mereka itu antara orang penting dalam hidup kita.
Kalau mampu, hadiah boleh dijadikan sebagai ‘pemanis’ hubungan. Sesekali, mungkin ketika hari jadinya, boleh belikan hadiah untuknya.
Atau boleh masak hidangan yang disukainya bila dia datang ke rumah kita. Itu bermakna kita prihatin pada dirinya. Ada masanya kalau lapang, boleh juga keluar bersama. Ia boleh bantu eratkan hubungan.
Kalau mereka ada masalah, jangan lokek hulurkan bantuan. Tak boleh bagi duit, pendapat dan sokongan pun dah memadai…
Jangan jadi kaki sibuk
Ini paling penting. Sebagai ipar, jangan sesekali mencampuri urusan rumah tangga ipar-duai. Jangan juga mencuba untuk memberi nasihat jika tidak diminta kerana ia mungkin boleh memburukkan keadaan. Langkah terbaik ialah hindarkan diri daripada masalah.
Jangan Terlalu Percaya
Berhati-hati bukanlah bermaksud langsung tidak boleh percaya tetapi dalam apa juga perkara perlu ada batasnya terutama sekiranya ia membabitkan soal peribadi kita suami isteri. Jaga rahsia keluarga anda sebaiknya khususnya yang membabitkan soal maruah diri. Kadangkala kita kena ‘simpan’ sikit kisah rumah tangga kita kerana kita kena sedar hati manusia boleh berubah. Tengah baik okay, tapi kalau satu hari nanti hubungan tak berapa baik, macam mana?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.