Selalunya, orang dulu-dulu memang banyak tanah dan kebanyakannya pemilik tanah ramai. Sementelah kalau ada tanah pertanian, sawah padi atau kebun getah, masing-masing ada bahagiannya.
Bila pemilik tanah ramai, dah tentulah geran tanah atas semua nama. Bagaimana kalau berlaku persengketaan dan ingin pecah tanah bahagian masing-masing. Kalau semua sepakat setuju, mudah saja caranya. Tapi bagaimana ada yang tdiak setuju? Apakah yang petut di buat.
Inilah yang dikongsikan oleh Salkukhairi Abd Sukor, Pengerusi Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR), tentang cara yang patut dilakukan bila ada salah seorang ingin pecah bahagian tanahnya walaupun ada yang tidak setuju.
Pemilik Tanah Ramai, Ini Cara Pecah Bahagian Tanah
NAK PECAH BAHAGIAN TANAH TAPI PEMILIK BERSAMA TAK SETUJU, MACAM MANA NAK BUAT?
Antara masalah yang biasa timbul apabila seseorang pemilik bersama tanah pertanian geran kongsi ingin membuat pecah bahagian tanah tersebut adalah tiadanya persetujuan daripada kesemua pemilik bersama yang lain.
Ads
Sekiranya ini berlaku, apakah yang patut dilakukan?
1. Sebenarnya S.141A Kanun Tanah Negara membenarkan mana-mana pemilik bersama sesuatu tanah pertanian geran kongsi memohon untuk kelulusan pecah bahagian, walaupun pemilik-pemilik bersama yang lain tidak bersetuju untuk buat pecah bahagaian atau terdapat pemilik bersama yang tidak dapat dikesan atau sebagainya.
2. Sebaik sahaja menerima permohonan pecah bahagian tadi, pentadbir tanah akan menghantar notis kepada kesemua pemilik bersama yang lain ke alamat terakhir yang diketahui untuk memaklumkan tentang cadangan pecah bahagian oleh salah seorang pemilik bersama tersebut.
3. Pemilik bersama yang lain dikehendaki mengemukakan apa-apa bantahan secara bertulis dalam tempoh 28 hari daripada tarikh penyampaian notis tersebut sekiranya tidak bersetuju dengan permohonan pecah bahagian salah seorang pemilik bersama tadi.
4. Setelah habis tempoh 28 hari tersebut, sekiranya terdapat bantahan daripada pemilik-pemilik bersama yang lain, Pentadbir Tanah boleh membuat keputusan untuk menolak permohonan pecah bahagian tersebut sekiranya beliau berpuas hati dengan alasan-alsan bantahan yang dikemukakan.
Ads
5. Tetapi sekiranya tiada bantahan, Pentadbir Tanah boleh meluluskan permohonan pecah bahagian tersebut.
Kos Ditanggung Oleh Pemohon
6. Sekiranya permohonan tersebut diluluskan, segala kos untuk urusan pecah bahagian hendaklah ditanggung oleh pemohon itu sendiri.
7. Sekiranya pemohon tersebut tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Pentadbir Tanah, mereka boleh memfailkan permohonan di Mahkamah untuk mengarahkan permohonan pecah bahagian tersebut diluluskan.
8. Mahkamah juga boleh mengarahkan bahagian yang tidak dipecah bahagi tersebut di pindah milik kepada pemilik bersama atau mengarahkannya dijual.
9. Apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah akan mengikat Prntadbir Tanah untuk melaksanakannya di bawah Seksyen 417 Kanun Tanah Negara.
Ads
Jadi kesimpulannya, jangan risau sekiranya pemilik bersama yang lain tidak bersetuju untuk buat pecah bahagian kerana anda masih boleh melakukannya walaupun tanpa persetujuan mereka.
Mingguan Wanita : Mungkin ambil masa sedikit untuk turun naik ke pejabat tanah atau mahkamah dalam proses uruskan permohonan.
Terhina juga bila ada yang melabelkan bau badan kita macam longkang. Aduhai sedih! Memang bunyinya kasar tapi moh kita berfikiran positif. Kebenaran memang menyakitkan. Itu hakikat yang kita mesti terima.
Orang perempuan ni memang kena ‘perfect’ dari hujung rambut hingga hujung kaki. Bukanlah nak suruh korang buat pembedahan plastik tapi mestilah jaga kecantikan, kesihatan dan penampilan.
Ramai yang berhabis duit nak jaga kulit muka, nak tubuh langsing tapi ramai juga yang terlupa nak servis badan. Akhirnya muka yang cun, body yang macam gitar semuanya tak berguna. Orang di sekeliling tak berani dekat dek kerana bau badan yang tengit.
Dulu masa jadi reporter, aku pernah pergi satu assignment ni. Berkenalan dengan seorang pegawai berpangkat tinggi. Orangnya cantik, bentuk badan pun boleh tahan. Tapi bila dekat, memang aku rasa nak pitam. Walaupun dia menyembur minyak wangi tapi bau badannya boleh buat aku migrain. Memang dia berpengaruh dan mempunyai ramai contact tapi dek kerana bau badannya yang ‘harum’ sangat tu. Tekak aku dah loya giler.
Aku cepat-cepat akhiri pertemuan petang itu. Memang tidak tahan menanggung pencemaran bau. Aku ni jenis yang migrain teruk, deria bau aku sangat sensitif. Dalam situasi ini memang serba salah nak tegur dia. Ditegur takut dia malu. So aku diamkan sajalah. Pengajaran yang aku dapat, orang perempuan kena jaga bau badan. Biar kita tampil rapi dan berbau harum.
Bayangkan kalau bau kita boleh meloyakan tekak. Korang fikir suami kita boleh tahan ke? Orang di sekeliling akan mengata kita. Nak ke orang labelkan kita, minah yang bau badannya macam lori sampah! Aduhai! Jangan biar bau badan menjatuhkan saham kita! Minggu ini aku kongsikan petua hilangkan bau badan. Jom kita wangi-wangikan badan.
5 Petua Hilangkan Bau Badan
1. Gosok Dengan Belakang Tangan
Ini petua orang tua-tua tapi memang aku amalkan. Masa korang mandi, gosokkan ketiak dengan belakang tangan. Gunakan tangan kanan gosok ketiak kiri, jika tangan kiri gosok ketiak kanan. Konsep silang gitew! Amalkan setiap kali mandi. Lakukan sambil berselawat dan niatkan agar badan kita bersih dunia akhirat.
2. Wangikan Badan Dengan Limau Purut & Limau Nipis
Ketika kita period, amalkan mandi dengan air limau nipis. Caranya mudah, potong limau nipis dan campurkan dengan air. Kemudian mandi seperti biasa. Jika korang rajin, gunakan limau purut ( potong kepada dua bahagian) untuk menggosok badan terutama bahagian ketiak.
3. Kurangkan Makanan Berempah & Pedas
Jika masalah bau badan sangat serius, kurangkan makanan berempah dan pedas. Ingat kita adalah apa yang kita makan. Makanan berempah dan pedas juga mempengaruhi bau badan kita. Minum air putih banyak-banyak ye untuk bersihkan dalaman kita.
4. Guna Deodorant Bebas Pewangi/ Tawar
Sebenarnya deodorant yang wangi tidak digalakkan untuk orang yang mempunyai bau badan. Pewangi tidak dapat menutup bau badan sebaliknya akan membuatkan bau bertambah kuat. Pilih deodorant yang bebas pewangi atau korang boleh gunakan tawas.
5. Mandian Herba/ Sauna
Boleh juga amalkan mandi herba. Potong daun serai wangi dan limau purut, campurkan bersama air suam. Amalkan petua ini seminggu sekali, bau badan akan berkurangan dan beransur hilang. Bau badan juga terjadi kerana banyak toksin. Untuk membuang toksin dalam tubuh, korang cuba sauna herba di spa. Ia antara cara terbaik untuk nyahkan bau yang kurang enak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Mud-mud ini baik untuk kurus. Letak dalam air teh tanpa gula. Minum setiap hari, nanti boleh kurus. Kalau nak biakkan, letak saja dalam air teh, nanti dia akan hidup sendiri,” pesan Ustaz Azmi, orang yang saya temuramah di Kuala Selangor.
Balik ke pejabat, dengan rasa teruja, saya syerkan cerita kebaikan mud-mud ini dengan kak Nuri yang ketika itu bertindak sebagai Penolong Editor Bacaria, akhbar pertama saya ketika mula bergelar wartawan kira-kira 20 tahun lalu. Biasalah orang perempuan, dengar bab kurus, cepat beri respon. Dengan rasa teruja, saya menaip kisah mud-mud dan hantar ke editor, Encik Jalil Yusop yang kini sudah arwah.
“Stori apa ko buat ni? Mud-mud ini apa? Apa nama saintifik dia? Ko cari nama saintifik dia, kalau tak buang ajer stori ini,’ kata Encik Jalil marah-marah.
“Orang tu cakap nama dia mud-mud Cik Jalil. Mana ada nama lain,” saya masih cuba menerangkan kepadanya.
“Aku nak nama saintifik dia,’ jerkah Encik Jalil berkali-kali. Puas saya mencari, penat balik assignment, penat kena marah semua bercampur baur. Akhirnya saya menangis kerana dimarah bertalu-talu dan pada bahu kak Nuri saya sandar segala kesedihan.
“Sabarlah, cuba cari dulu. Mana tahu ada lagi,”kata Kak Nuri menasihati saya.
Akhirnya, sampai ke sudah nama saintifik Mud-mud ini tidak saya ketahui sehinggalah saya menemuramah Dato Dr Suriyakhaton, pakar perubatan dan pakar homoepati awal Mei lalu. Saat dia memberitahu saya Simbiotic Combination Of Bacteria and Yeast atau disebut sebagai Teh Kombucha atau dipanggil Mud-Mud oleh sesetengah orang, saya terus tergelak.
Kerana Mud-mud, tiga kali surat permohonan berhenti kerja saya dikoyak oleh arwah Encik Jalil. Dia mencabar saya menjadi seorang yang tahan lasak, boleh lakukan apa saja. Dan ketika dimarahi, Kak Nuri, bos saya sekarang di Mingguan Wanita adalah tempat sandaran saya.
Coretan diari wartawan kali ini khusus saya dedikasikan untuk orang yang banyak mengajar saya erti kehidupan. Orang yang sering menadahkan telinganya untuk mendengar cerita-cerita saya termasuk kenakalan saya dahulu. Orang yang akan menyiram hati saya dengan nasihatnya seperti saya mendengar kakak atau emak saya nasihati.
Orang yang sama-sama susah dan senang ketika menggubah keseluruhan Mingguan Wanita seperti apa yang anda baca hari ini. Kerana beberapa hari lagi, Kak Nuri akan meninggalkan saya dan ramai lagi karyawan-karyawan yang sangat menyayanginya selepas 34 tahun mencurah idea tanpa lelah dengan untuk MW yang selalu berada di hatinya. Sedihnya hati ini hanya Allah yang mengetahuiNya.
20 tahun di Kumpulan Media Karangkraf, saya membesar di bawah tangannya. Saya masuk kerja kala usia anak sulung saya tiga bulan. Ketika itu Kak Nuri, penolong editor di Bacaria. Hampir dua tahun lebih kemudian, akibat selalu dijadikan”sasaran” yang tak masuk akal dari arwah Encik Jalil, saya diberi pilihan oleh pihak HRD untuk memilih mana-mana majalah di bawah Karangkraf dan saya memilih MW.
Tiga bulan di bawah Sri Diah, kak Nuri dinaikkan pangkat sebagai Editor MW. Dan sejak itu, saya terus membesar bersamanya. Saya masih ingat karenah sesetengah staff tetapi Kak Nuri sering berpesan, biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Tak rugi mengalah, katanya.
Bila bab gaji pula, saat saya merungut kerana gaji kecil ketika itu, dirinya sering menasihati saya biar gaji sikit tapi berkat. Keberkatan itu sangat penting kerana ia menjadi darah daging. Bila kerja terlampau banyak, nasihatnya lagi, biar masih ada kerja berbanding orang lain yang tidak ada kerja. Itulah dirinya sentiasa bersikap positif dalam semua aspek dan tindakan.
Di MW juga saya pernah disaman oleh seorang individu, Bahali (bila marah saya sebut nama, lol..lol belakangnya). Dan akibatnya, saya bersama Kak Nuri jadi stres bila gaji tidak dinaikkan untuk tempoh setahun lebih. Sehingga pihak HRD menyuruh kami membuat surat rayuan agar diberikan kenaikan gaji kerana kasihan. Biar gaji tidak dinaikkan tetapi Kak Nuri dan saya tetap cool dan sesekali bila diingatkan balik nama kontroversi itu, kami jadi tergelak.
Antara paling saya ingat, ketika Kak Nuri mahu merombak keseluruhan majalah dan dirinya sentiasa mendengar segala pendapat biar kami hanya anak buahnya tetapi katanya ini adalah kerja berpasukan dan dengan sikap keterbukaannya itu, MW masih kekal sebagai majalah kewanitaan yang mendapat permintaan tinggi dari pembaca suatu ketika dahulu dan diangkat sebagai majalah nombor satu.
Hasilnya dari jualan MW 80,000 naskhah ketika di zaman Sri Diah tetapi kemudian turun kepada 30,000 naskhah, tetapi selepas dirombak isi kandungannya, MW pernah mencecah jualan 160,000 seminggu dengan nilaian iklan sebanyak RM14 juta. Bukan satu nilai kecil. Biar ditempa kejayaan, Kak Nuri tetap maintain bahkan dirinya pernah ditawarkan oleh sebuah penerbitan dari Singapura yang mahu menanam modal dan mengangkat dirinya sebagai Pengarah Urusan dengan gaji terlampau berbaloi kerana mereka mahukan konsep yang sama seperti dalam MW untuk dibuat majalah baru terbitan syarikat dari Singapura itu.
Kalau pada orang, saya pasti sudah pasti pergi kerana wang dan pangkat tetapi Kak Nuri tetap dengan kesetiaannya sehingga beliau punya idea lebih super untuk menubuhkan sebuah kios atas nama MW satu ketika dahulu (impian ini tidak kesampaian).
Tidak hairanlah ramai yang dalam kesedihan bila mana dia ingin meninggalkan kami semua!Sebutlah majalah kecil warna merah, itu sinonim dengan majalah ini dan orang yang mencoraknya adalah Kak Nuri bersama team-team MW yang sangat komited.
Dahulu, apa saja masalah mendatang, Kak Nuri yang akan menjadi tukang siram untuk melegakan hati saya kembali. Ceritalah apa saja masalah, penyelesaiannya cukup terbaik sehingga saya begitu menghormatinya. Sebab itulah bila dia meminta kami semua menjadikan MW sebagai majalah terbaik, itulah kami lakukan.
Bila pejabat memberikannya sebuah kereta untuk kegunaan hariannya, tiada rasa cemburu langsung di hati kami sebagai anak-anak buahnya kerana kami tahu Kak Nuri memang patut dan layak diberikan penghormatan sebegini bahkan harus dijulang dengan lebih lagi kerana jasa diberinya.
Paling saya senangi sifat dan sikapnya, saat MW dijulang sebagai majalah terlaris dan diiktiraf ABC, Kak Nuri tidak pernah menonjolkan diri mengata itulah ideanya. Dirinya sentiasa tunduk memandang bumi dan tidak pernah sekali mendongak ke langit.
Sayang saya kepadanya selama berbelas tahun bekerja di bawahnya, membuatkan saya sendiri tidak pernah berkira masa dan tenaga dan sering cuba memenuhi permintaannya kerana katanya, biarlah apa kita lakukan di dunia ini dinilai lebih tinggi oleh Allah taala di akhirat kelak.
Dia banyak mengajar saya sifat-sifat positif, sifat berbelas ikhsan kepada orang lain, sifat merendah diri, sikap tidak mendongak langit dan banyak lagi. Bayangkan, hari Isnin depan, dirinya akan pergi meninggalkan kami semua selepas 34 tahun bersama Karangkraf.
Saya sentiasa sematkan di dalam hati, terima kasih tidak terhingga di atas budi baik kak Nuri mengajar saya selama ini. Sehinggakan, bila kak Nuri ingin bersara dengan cara baik sebagaimana beliau datang dengan cara baik seperti katanya, ramai antara kami yang seakan mahu mengikut jejak langkahnya.
Buat Kak Nuri, halalkan segala ilmu yang akak berikan kepada saya, ampunkan segala salah silap saya kerana saya bukan insan sempurna. Saya sayangkan kak Nuri ketat-ketat dan mendoakan agar kak Nuri terus sukses biarpun tidak “menjaga” kami-kami yang sudah tua ini.
Hari Isnin depan, mungkin “payung” yang memayungi kami sudah tiada lagi. Tiada lagi orang lama dalam bidang editorial ini dan tiada lagi orang yang sangat disenangi dan dikasihi ramai orang. Biar ramai editor silih berganti tetapi Kak Nuri tetap satu, sentiasa merendah diri. Saya pegang kata akak,
Paling utama, biar gaji sikit asal berkat untuk diberi kepada anak-anak dan mak ayah kita.
ALMASWA HAJI CHE ROS
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Assalamualaikum, kali ini saya terpanggil untuk bercerita tentang sesekali ajar anak masak di dapur. Mungkin ramai yang tahu bukannya mudah untuk ibu yang bekerjaya seperti saya dapat meluangkan masa bersama anak-anak. Sebelum pergi kerja anak-anak akan sibuk bersiap ke sekolah, bila saya pulang kadang kala sudah malam dan mereka sedang menyiapkan kerja sekolah dan kemudian masuk tidur.
Pada hujung minggu dan hari cuti umum saja masa untuk saya dan anak-anak dapat luangkan masa lebih lama. Bukannya mudah untuk mengisi masa berkualiti bersama anak-anak. Apatah lagi anak saya yang sulung merupakan kembar perempuan jadi kedua-dua mereka sememangnya sangat rapat dengan saya. Bak kata orang ada ketika mereka mahu saya membawa mereka berjalan-jalan dan melakukan aktiviti bersama. Cuma ada masanya memang sempatlah kami lakukan aktiviti outdoor seperti berjogging, shopping dan menonton wayang. Tapi ada ketikanya dek kerana terlalu penat saya lebih suka berehat di rumah.
Masa di rumah mereka suka berborak-borak, tanya pelbagai soalan. Dan paling penting mereka suka bertanya tentang keseronokan saya bekerja sebagai seorang wartawan. Malah saya lihat ada ciri-ciri seorang wartawan pada anak kembar saya kerana mereka ni jenis yang banyak tanya. Dan kadangkala saya pula pening sebab banyak soalan yang dilontarkan kepada saya.
Ajar Anak Masak
Baru-baru ini mereka ke rumah kakak saya dan belajar memasak. Sejak dari itu, mereka cukup teruja setiap kali saya ke dapur. Mereka mahu tolong lakukan kerja-kerja dapur. Memandangkan anak saya baru masuk usia 10 tahun, jadi saya agak takut untuk suruh mereka ke dapur. Banyak perkara yang tidak elok saya bayangkan akan berlaku. Tapi disebabkan mereka cukup teruja saya pun bagilah seorang potong bawang dan sorang lagi gunting sayur kacang panjang. Punyalah mereka teruja dan masing-masing buat kerja dengan tekun. Dalam hati saya tuhan saja yang tahu, janganlah benda yang tak elok berlaku.
Lega hati saya, cantik saja si kakak potong bawang dan adik dengan sayur kacang panjang. Si kakak pula sempat beritahu “mama nanti nak tolong gorerng ayam ya”, saya cakap perlahan-lahan kakak nanti mama ajar ya. Pada hari minggu lalu jadi siaplah Nasi Tomato, Ayam Masak Merah, Kari Dal Ayam dan juga Acar Nenas sebagai menu tengahari kami sekeluarga.
Sambil makan sempat lagi si kakak dan adik beritahu pada papa dan adik lelaki mereka yang mereka pun membantu mama di dapur. Pengajaran yang dapat saya pelajari pada hari tersebut, dek kerana terlalu risau, sebenarnya anak-anak perempuan saya sudah boleh diharap dan saya sebagai ibu perlu mengajar mereka ke dapur. Mungkin disebabkan perasaan yang risau saya tidak pernah terlintas menyuruh anak-anak membantu saya terutama di dapur.
Bila difikirkan semula, saya sendiri sejak usia 8 tahun saya sudah membantu ibu di dapur, malah sudah pandai menggoreng telur. Selepas ini saya mahu buang rasa sangsi dan perlu mengajar anak-anak perempuan di usia muda cara-cara mereka berkemas rumah dan memasak. Bila anak kembar perempuan sibuk membuat kerja, adik lelaki mereka pun terikut-ikut sama suka berkemas. Bila masing-masing dalam rumah sudah tahu peranan dan tugas mereka, alhamdulillah mudah kerja saya. Sekarang ni lepas pulang ke rumah, sinki bersih, pinggan dan mangkuk semua sudah dicuci. Malah rumah juga sangat kemas. Syukur kerana anak-anak perempuan saya banyak menolong saya.
Jadi kepada golongan ibu di luar sana jangan risau untuk menyuruh anak membantu di rumah, dengan cara ini membantu mereka menguruskan kebersihan dan juga membentuk peribadi mereka yang lebih ke arah seorang yang pembersih. Di sini saya ingin kongsikan resipi Nasi Tomato dan Ayam Masak Merah kami.
Nasi Tomato Mama Yatt
1 cawan beras basmathi
1 cawan air
2 helai daun pandan
4 sudu besar susu cair
1 biji tomato
4 sudu besar sos tomato
Garam
2 sudu besar minyak sapi untuk menumis
Bahan Tumis
5 biji bawang merah kecil
1 ulas bawang putih
1 inci halia
Kayu manis, buah pelaga, bunga lawang
Cara-Cara Memasak:
Mula-mua tumiskan bahan-bahan untuk menumis, masukkan tomato, sos tomato, susu cair, daun pandan dan garam. Bila sudah didih masukkan beras kacau rata. Pindahkan ke periuk nasi dan masukkan air dan biarkan hingga masak. Hidangkan.
Ayam Masak Merah
Bahan-bahan:
Setengah ekor ayam (basuh, kunyitkan dan kemudian goreng)
Cili kisar
Bawang merah (kisar)
Hali (kisar)
Bawang putih (kisar)
Sos cili
Sos tomato
Cara-Cara Memasak:
1. Tumiskan cili kisar, kemudian masukkan bahan-bahan kisar tumis hingga garing.
2. Masukkan sos cili, sos tomato dan biarkan sebati kemudian masukkan ayam goreng.
3. Sedia untuk dihidangkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!