Kematian itu pasti, cuma dimana tempatnya dan bagaimana caranya semuanya rahsia Allah. Perbanyakkanlah berdoa semoga cara kematian kita dalam keadaan ‘Khusnul Khotimah’ dan yang terbaik.
Bagi orang Islam, kesempatan mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir adalah peluang yang sangat indah dan sangat diharapkan. Apatah lagi nyawa diambil saat menyeru orang lain mendirikan solat iaitu melaungkan kalimah azan.
Innalillahi wainnailaihirajiun.Sungguh kematian yang dicemburui apabila lelaki ini yang merupakan AJK Surau dijemput sang pencipta dalam keadaan yang paling mulia, iaitu ketika sedang melaungkan azan Subuh.
Menerusi perkongsian daripada Ahli Jawatankuasa Surau Ar-Rayan, seluruh penghuni apartment Sri Ixora Seksyen 27 Shah Alam berasa pelik kerana azan subuh dari Surau Ar-Rayyan pagi ni cuma kedengaran dua rangkap dari kalimah yang mulia (Allahu Akbar dan Ashadu alla illaha illa Allah) dan kemudian terhenti. Kemudian bersambung di corong pembesar suara keadaan cemas.
Selang kemudian terdengar AJK lain membuat pengumuman menyeru ahli keluarga En Man dari blok 45 turun ke surau dengan kadar segera dan kelihatan ambulan tiba di kawasan surau.
Meninggal Ketika Laungkan Azan
Setibanya di ruang solat surau, kelihatan sekujur tubuh kaku terbaring di ruang azan.
Abang Rosliman atau lebih mesra dengan panggilan Abang Man, telah kembali bertemu PenciptaNya dalam keadaan semua orang beriman impikan. Arwah meninggal dunia ketika melaungkan azan pada kalimah Allahu Akbar dan Shahadah.
Hari Ketiga Azan Subuh
Sebak dan bergenang air mata ini para jemaah sahabat rapat.
“Malam tadi baru dia yang beriya-iya mahu menjayakan majlis kenduri kesyukuran Ustaz Sahari yang baru keluar hospital yang akan diadakan di surau. Dia yang nampak sangat gembira dengan menu yang dicadangkan. Dia yang menawarkan diri untuk menyediakan kopi o kaw. Rupanya dia Allah panggil dalam keadaaan sangat-sangat kami cemburu.” ujar salah seorang jemaah.
Paling kami terkejut hari ini adalah hari ketiga arwah memberanikan diri dan juga sangat teruja untuk azan subuh walaupun beliau bukan bilal surau. Beliau merupakan AJK Pemeriksa Kira-kira surau.
Allah sayang Abang Man lebih dari kami semua bang. Abang Man pernah berseloroh :
“Kita jaga amanah surau ni bukan untuk kita sekarang, tapi gunanya bila kita kat sana nanti”.
Moga Allah pilih Abang Man menjadi penghuni Al-Firdaus. Allah Maha Mengetahui.
Baca Lagi Di Sini: Anak-Anak Kecil Meninggal Dunia, Beri SYAFAAT Pada Mak Ayah Masuk Ke Syurga
MW: Salam takziah buat seluruh keluarga arwah. Bertuahnya ‘dijemput’ ilahi dalam keadaan paling mulia.Semoga beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
Sumber:AJK Surau Ar-Rayan
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI