Pembentukan Kendiri Dan Keimanan Anak-Anak, Tanamkan Dari Kecil

Pembentukan kendiri anak bermula daripada kecil lagi. Cita-cita dan impian ibu ayah kepada anak-anak ini harus ditanam sejak daripada itu. Hal ini kerana, pemikirannya, tasawur kehidupan dan persepsi tentang diri, semuanya adalah bermula awal dan tidak menanti dewasa.

Sering kita tanyakan kepada anak-anak tentang cita-citanya apabila dewasa. Persoalan dan pertanyaan ini hakikatnya telah memberikan cetusan idea kepada anak-anak tentang kehidupan dan masa hadapannya. Penumpuan terhadap cita-cita terfokus pekerjaan adalah salah satu daripada cabang yang perlu difikirkan. Malah yang lebih penting lagi tentang makna yang ingin diberikan tentang dirinya dan kehidupan.

Kehidupan Kerana Allah

Bagi meneliti makna itu, sebagai ibu bapa kita haruslah terlebih dahulu faham akan makna dan hakikat sebenar kehidupan ini. Jika kita sekarang dalam satu konteks kehidupan yang kita maknakan sebagai bahagia maka konteks yang sama malah lebih baik lagi hasrat kita untuk kehidupan anak-anak kita.

Namun, pandangan itu harus dilihat dalam konteks hakikat sebenar kehidupan yang diberikan oleh Allah. Mengapakah ia begitu penting? Ini kerana, tujuan asal kehidupan kita ini adalah kerana-Nya dan untuk-Nya sebagai khalifah dan hamba-Nya. Jadi tujuan kehidupan dan hakikatnya harus dapat diberikan makna yang sedemikian.

Daripada pemahaman itu, barulah kita sampaikan hasrat dan impian yang harus wujud dalam pemikiran anak tentang dirinya dan kehidupannya. Bantulah anak-anak kita untuk melihat kehidupan dan dirinya dalam penglihatan yang sebenar agar kehidupannya benar-benar menuju keredaan Allah.

Ikuti lebih banyak artikel di sini:

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

IKLAN

Pembentukan Kendiri Dan Keimanan Anak-Anak, Tanamkan Dari Kecil

Ibu Bapa Sebagai Contoh

 Ia boleh dilakukan menerusi persekitaran kehidupan yang kita tonjolkan dalam kehidupannya. Jadikan diri kita contoh yang terbaik untuk diikuti dan persekitaran yang kita bina di sekitarnya adalah persekitaran yang terbaik untuk pembentukan jati diri dan keperibadiannya.

Rakan penjaga yang dihormati, anak-anak kita dianugerahkan Allah dalam keadaan fitrah yang amat bersih. Tulus hatinya dan kecenderungannya. Berusahalah untuk mengekalkan ketulusan itu menerusi persekitaran yang membantu pembentukan dirinya ke arah yang baik. Mereka tidak menolak kebaikan kerana itu adalah fitrah dirinya. Mereka tidak menolak kecantikan kerana itu adalah kecenderungannya.

Maka tunjukkan akhlak yang baik untuk dicontohi, persekitaran yang baik untuk didiami. Potensi kendirinya amat besar untuk dibangunkan ke arah kebaikan. Usah patahkan semangat fitrahnya dengan perkara-perkara yang memudarkannya. Benamkanlah perilaku negatif kita demi pembentukan generasi yang lebih baik. Ini adalah pengorbanan berbaloi yang harus dan mesti kita lakukan.

IKLAN

Berakhlak

Rakan penjaga yang dihormati, jika direnungkan Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik”; menunjukkan bahawa matlamat asas kehidupan seorang insan adalah menjadi orang yang berakhlak dan mempunyai adab kerana perkara ini amat dianjurkan oleh Islam.

 Jadi di sini, kita dapat memahami pekerti yang baik adalah keutamaan melebihi pekerjaan dan pangkat yang tinggi. Hal ini kerana, jika mempunyai kedudukan yang tinggi sekalipun namun pekerti kurang baik maka tiada maknanya yang tepat di sisi Allah SWT.

Maka inilah antara perkara utama yang harus dipasakkan dalam pemikiran anak agar cara pandangnya tentang kehidupan dan dirinya berada pada landasan yang sebenar iaitu dengan meletakkan keutamaan yang betul dalam kehidupannya.

Pekerti budiman harus bermula dengan ilmu yang tepat mengenai diri dan tanggungjawab kehidupan. Memahami dengan penghayatan yang sebenar akan memberikan persepsi yang tepat tentang diri dan kehidupan seterusnya mempengaruhi pembentukan nilai dan ciri budiman dalam diri anak.

IKLAN

Inilah kehidupan yang kita harapkan terbentuk menjadi peribadi dan dijelmakan menjadi akhlak dirinya. Ilmu ini boleh dititipkan melalui pemahaman terhadap ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis malah turut juga dapat difahami menerusi perenungan alam dan kehidupan.

Oleh yang demikian, selaku ibu ayah yang amat mengambil berat tentang diri anak, keperluan memenuhi dan mendukung fitrah diri anak ini harus diberikan. Caranya dengan melengkapkan anak dengan ilmu terutama ilmu agama dan kehidupan. Ia harus didatangkan secara beriringan dengan meletakkan keutamaan terhadap ilmu fardu ain berbantukan ilmu fardu kifayah. Insya-Allah generasi budiman dapat kita lahirkan. Wallahualam..

Artikel: Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad  (USIM)

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI