Pembahagian faraid bermula bila suami meninggal dunia dengan meninggalkan harta-harta untuk isteri dan anak-anak teruskan kehidupan. Pembahagian mengikut hukum-hukum Islam yang telah ditetapkan.
Peliknya, ada juga yang mempertikaikan tentang pembahagian faraid buat perempuan atau isteri yang agak sedikit, sedangkan dialah yang akan menjaga anak-anak yang ditinggalkan itu.
Jangan salah faham, pembahagian faraid dan isteri dapat sedikit kerana itulah pemberian bersih untuk dirinya saja. Jangan difikirkan tentang nafkah anak sebab itu semua adalah tanggungjawab orang lain, walaupun isteri yang akan membesarkan anak-anak. Ikuti perkongsian daripada Puan Umi Yusof tentang perkara ini.
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurniaan yang telah Allah berikan kepada sebahagian dari kamu melebihi sebahagian yang lain. Kerana bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang diusahakan, dan perempuan pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan”.
Sebelum kedatangan Islam, perempuan dinafikan hak dari mewarisi harta pusaka. Perempuan tidak dapat mewarisi harta dari suaminya atau bapanya yang telah meninggal dunia.
Ini kerana mereka beranggapan perempuan merupakan kaum yang lemah dan tidak boleh memegang harta. Namun, kedatangan Islam mengangkat darjat seorang perempuan melalui pembahagian harta mengikut faraid.
Ads
Perempuan juga berhak mendapat pusaka dari bapa atau suaminya yang meninggal dunia.
Faraid sebenarnya cukup sempurna jika diamalkan dengan cara yang betul.
Malangnya pada zaman sekarang ramai yang datang mengambil hak faraid tetapi tidak memahami dengan jelas bahawa mereka juga perlu ambil dengan tanggungjawab. Mereka lupa faraid datang dengan tanggungjawab.
Contoh kes:
Encik Zulkifli meninggal dunia akibat demam denggi. Waris faraid Encik Zulkifli adalah isteri, ibu, bapa, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan yang masih di bawah umur.
Nilai harta yang ditinggalkan selepas ditolak hutang berjumlah RM500,000
Dari segi pembahagian faraid:
Ads
Isteri 9/72 = RM62,500
Ibu 12/72 = RM83,333.33
Bapa 12/72 = RM83,333.33
Anak Lelaki 26/72 = RM180,555.56
Anak Perempuan 13/72 = RM90,277.78
Kenapa isteri dapat bahagian paling kecil?
Ini kerana bahagian isteri merupakan bahagian yang “bersih” hanya untuk dirinya sahaja. Beliau tidak perlu untuk menggunakan bahagiannya untuk membesarkan anak-anaknya.
Tanggungjawab menjaga anak-anaknya dari segi nafkah jatuh kepada bapa mertuanya iaitu Datuk kepada anak-anaknya. Datuk ini yang perlu memastikan nafkah cucu-cucunya diberi dengan sempurna.
Jika Datuk tidak berkemampuan untuk menjalankan tanggungjawabnya, maka tugas tersebut akan diambil alih oleh bapa saudara iaitu adik beradik lelaki sebelah suami.
Kemudian apabila anak lelaki telah besar, maka tanggungjawab menjaga ibu dan saudara kandung perempuan jatuh dibahunya. Apabila saudara kandung perempuan menikah, tanggungjawab itu beralih kepada suaminya pula.
Tanggungjawab Di Bahu Lelaki
Hukum faraid selalu dikaitkan tidak adil bagi seorang perempuan. Kenapa lelaki dapat lebih? Seorang lelaki bertanggungjawab memberi mas kahwin, nafkah tempat tinggal, makanan, pakaian kepada isteri dan anak-anak, manakala perempuan tidak perlu memikul tanggungjawab yang sama.
Ads
Beban nafkah lelaki lebih banyak dan memerlukan kewangan yang lebih besar. Jadi tidak hairanlah jika lelaki mendapat hak pusaka yang lebih berbanding perempuan.
Hukum faraid sangat adil dan indah jika kita betul-betul mengikuti apa yang disarankan di dalam Islam. Ingat faraid datang dengan tanggungjawab. Bukan hanya hendakkan faraid tetapi tanggungjawab diabaikan. Berdosa kita nanti.
Bagaimana kita hendak berdepan dengan Allah di akhirat nanti?
Mingguan Wanita : Mungkin isteri tak kisah tapi keluarga dari pihak suami yang meninggal jangan lepas tangan untuk beri tanggungjawab nafkah pada anak-anak buahnya.
Genap 6 tahun Stacy peluk Islam akui Akim jentik hati dan bercerita mengenai keindahan Islam dengan cukup santai dan tidak terlalu berat.
Tanggal 24 Ogos lalu, genaplah enam tahun usia penyanyi Stacy memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Johor Bahru, Johor.
Genap 6 Tahun Stacy Peluk Islam Akui Akim Jentik Hati
Pemilik nama Islam Ummu Shaikhah Stacy Anam ini mengakui suami tercinta, Akim Ahmad antara insan yang banyak menjentik hatinya untuk mendekati agama Islam.
“Dulu sebelum memeluk agama Islam, saya seperti tiada agama sebenarnya. Hidup lebih berpaksikan cara membesar, apa yang dilihat dan didengari.
“Namun selepas enam tahun berkawan dengan Akim, banyak gerak hati untuk tahu apa itu Islam banyak didoronginya. Cara dia bercerita hal agama Islam nampak ringan dan tidak terlalu ‘direct’. Pendek kata apa yang terpacul dari mulutnya membawa ke satu siri penceritaan menarik.
“Siapa sangka keakraban kami, termasuk cara saya jadi dekat dengan Islam menerusinya terus menguatkan jodoh kami. Pandai adik (merujuk kepada Akim) ambil hati kakak (Stacy). Pada 26 September 2015, kami bertunang. Seterusnya 5 Februari 2016 kami bernikah di sebuah hotel di Sabah,” ungkap Stacy.
Imbas Detik Penghijrahan & Pernikahan
Ibu kepada dua cahaya mata kepada Bella De Luna Valentina, 8, dan Eshaal Afiq Hakim, 4, menerusi program bual bicara dalam talian, Bersama Tya akui detik paling bermakna dikenang hingga saat ini ialah ibu bapanya juga hadir ketika dia memeluk Islam.
“Saya rasa momen pengislaman jadi sangat sempurna apabila ibu bapa ada di sisi merestui keputusan paling besar dilakukan anak mereka.
“Awalnya hanya ibu bapa saya saja tahu keputusan memeluk Islam ini. Tapi adik beradik lain dan saudara mara belum diberitahu lagi. Apabila viral gambar dan video itu, jadi kecoh.
“Tapi Akim suruh saya bersabar dan relaks dengan apa yang terjadi,” katanya.
Stacy akui sebenarnya, dia melalui satu episod yang cukup dasyat sebelum melafazkan dua kalimah syahadah.
“Jujur ketika itu, hati saya jadi takut sangat dengan keputusan berkenaan. Hingga saya mempersoalkan dalam diri, apakah betul keputusan yang dibuat itu.
“Saya macam berperang dengan diri sendiri. Hingga terpacul rasa apakah sampai tahap perlu meninggalkan keluarga sendiri untuk agama Islam.
“Tapi akhirnya, takdir hidup saya memilih Islam sebagai agama yang satu. Saat selesai melafazkan kalimah itu, kelihatan ibu bapa saya tersenyum dan gembira. Ketika itu saya sedar, perasaan bukan bukan itu hanya mainan emosi,” jawab Stacy yang masih belajar untuk menjadi insan yang terbaik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hidup wanita selepas berkahwin lebih sukar memandangkan mereka mempunyai kadar tekanan yang lebih tinggi berbanding wanita bujang. Ada yang mengatakan tekanan lebih besar dirasai wanita berkerjaya kerana terpaksa menguruskan kerja di pejabat dan komitmen keluarga dalam satu masa.
Tidak kurang juga yang memperjuangkan susah payah suri rumah menguruskan anak, mengemas, memasak, melayan kerenah anak dan kehendak suami serta pelbagai cabaran lain.
Indahnya jadi seorang wanita dan isteri kerana sentiasa diangkat dan dihormati statusnya. Tapi mungkin ramai yang tidak tahu selepas berkahwin, kehidupan seorang isteri itu lebih sukar kongsi Ustazah Noor Laila Aniza ini.
Hidup Wanita Lepas Berkahwin Lebih Sukar
WANITA DAN TEKANAN
Selepas kahwin, lebih sukar kehidupan?
Jika ini sculpture yang dibuat,maka benarlah begini hidup wanita seluruh dunia digambarkan selepas berkahwin.
Kerana itu, disebutkan dalam pelbagai riwayat tentang mulianya akhlak Nabi sehingga Nabi uruskan dirinya sendiri, jahit baju,jahit kasutnya,siapkan makan keluarganya, Nabi buat kerja-kerja rumah, Nabi belai isteri-isteri baginda, Nabi bersihkan bekas haid isterinya, Nabi potong kuku isterinya, Nabi bantu ketika isteri Nabi naik unta sehingga Nabi letakkan pahanya ke tanah untuk dipijak isteri, Nabi paling banyak tersenyum, Nabi didik isteri dengan akhlak yang terbaik dengan perintah-perintah Allah, Nabi berlemah-lembut pada isteri baginda, Nabi tak pernah tinggi suara pada isterinya bahkan Nabi tak pernah menjerit-jerit atau memaki hamun.vIsteri Nabi juga diberikan pembantu untuk memudahkan segala urusan.
Bahkan Nabi orang yang paling banyak ibadah kepada Allah, paling sempurna imannya, paling rajin bekerja dan sangat jujur tidak pernah mengambil harta isterinya untuk tujuan peribadi. Allahu Akbar!
Jika sebegini high class akhlak Nabi dan layanan suami kepada isteri, selayaknya disebutkan Nabi, “Jika dibolehkan manusia sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suami”‘..
Dengan kata lain, selayaknya suami sebegini mendapat penghormatan dari isteri bukan sekadar kerana suami itu menafkahi isterinya, dan bukan sekadar kedudukan suami lebih tinggi dari isteri, tetapi disebabkan suami itu sendiri memuliakan isterinya.
Namun hadis ini disalah guna pakai untuk mengatakan kedudukan lelaki sebagai suami terlalu tinggi sehingga isteri perlu taat tanpa sempadan dan korban sehingga mati!
Satu kezaliman yang membunuh sifat kemanusiaan dalam rumah tangga itu sendiri.
Dan kesannya emosi wanita bercelaru dan sakit. Sehingga tekanan-tekanan itu membawa kegilaan dan anak tidak berdosa menjadi mangsa dibunuh, dicampak luar flat, ditikam, dikelar. Nauzubillahi minzalik.
Banyak Tekanan, Ini Faktanya
Belum lagi beban emosi wanita itu dihenyak lagi dengan suami yang mengambil duit isteri, mencuri harta isteri, menyuruh isteri berhutang, berjanji akan bayar balik, bila diminta dikata mengungkit, tak bersyukur, tak boleh sabar, menetapkan pula itu ini isteri kena bayar dengan alasan isteri bekerja kenalah bersusah bantu suami, kaki lepak, keluar masuk rumah ikut suka, curang disebabkan isteri tak pandai melayan dan macam-macam rencah kerenah kerana suami tidak diberi tanggungjawab sebagai lelaki yang perlu bersusah-payah bukan sekadar mencari nafkah untuk isteri tetapi juga mengurus tadbir keperluan keluarganya dengan baik dan sabar.
Jika benar, seorang lelaki faham agama, pasti dan pasti akhlaknya seperti Nabi dan tiada seorang wanita akan terkoyak emosinya sebegini teruk. Dan tekanan-tekanan dari keluarga mertua, ipar duai sepupu sepapat, saudara mara, kawan-kawan, jiran tetangga dengan pelbagai rencah hentaman, pandai cakap, tukang mengajar, kecaman, suruhan, perintah, teguran kononnya mana boleh lelaki buat kerja rumah, mana boleh jaga anak, semua benda suami yang buat, habis isteri buat apa…? Soalan yg tidak masuk akal, suami takut bini, suami kena guna-guna…isteri macam ini tak layak jadi ibu sebab tengok suami yang uruskan anak-anak..Allah…beban sangat tengok suami tu…derita sungguh suami perkasa kena buat semua kerja rumah…isteri tak tahu tanggungjawab….Isteri tak bersusah payah dengan suami. Desakan-desakan ini juga yang menambah sakit mental wanita.
Belum cerita tentang isteri ceaser belah perut yang kadang-kadang terkoyak balik jahitan dan bernanah dalamnya akibat gerakan yang banyak dan angkat benda berat, bahkan bertahun pun tak hilang lagi sakit ceaser itu. Punya bertarung nyawa untuk suami. Belum lagi cerita perut berparut seribu dan perut lembik macam kain buruk akibat mengandungkan zuriat-zuriat suami, longgar sana longgar sini dan suami hanya pandai komplen.
Belum juga kisah terkuburnya cita-cita selepas kahwin dengan ‘hukum buatan manusia’ lepas kahwin, isteri kena ikut suami. Tanpa kompromi, tanpa berbincang, ikut sahaja.
Seharusnya sebelum kahwin sudah jelas perancangan ke depan, dan kesediaan kedua-dua pihak supaya tiada sesiapa ditekan emosi. Jelas dan jujur.Jika tak sedia, janagn teruskan perkahwinan.
Nak sambung belajar, mak mertua kata tak perlu sebab perempuan lebih baik duduk rumah, mengasuh anak. Terkubur satu lagi hasrat dan cita-cita yang ditanam dgn semangat membara dari kecil hasil didikan ibu ayahnya…Anak perempuan siapa yang diperlakukan sebegini? Kezaliman apa sehingga dinafikan hak wanita untuk memperoleh apa yang dihajati dari kecilnya? Dunia apa yang dicorak untuk para isteri ini? Tekanan!
MULIA SUNGGUH MENJADI SURI RUMAH, TETAPI PASTIKAN SURI RUMAH YANG MERASA NIKMAT BAHAGIA, BUKAN DERITA STRES TEKANAN SEHINGGA SAKIT MENTAL DIBUATNYA! ALLAH…
Lalu dia diajar untuk reda, sabar, taat sedangkan tak cukup duit, ibu ayah perempuan pula yang kena tanggung bagi duit sebab suami tak cukup duit. Isteri yang tiada pemilikan apa-apa, terkulat-kulat lihat apa orang lain ada sedangkan dia juga punya angan-angan dan impian. Nak bagi duit pada mak ayah yang membelanya dari kecil juga tak mampu. Pemilikan isteri yang membunuh emosinya! Semua harap suami sedang suami tidak pula tak mampu memberi secukupnya bahkan berkira-kira pula! Ya Allah!
Ditambah suara-suara yang mengatakan isteri habiskan duit suami. Bahaya betul perkataan-perkataan jahat ini.
Sewajarnya selepas kahwin, lebih mudah hidupnya kerana lelaki meminangnya dengan janji untuk menjaganya, mengangkat martabatnya, melindunginya, meneruskan semangatnya untuk memperoleh cita-citanya dan perjuangannya.
Sama-sama bina cita-cita, sama-sama membangunkan antara satu sama lain, sama-sama bina keluarga, sama-sama didik anak…MashaAllah.
Sekalipun suami itu sangat baik, dibelanjakan hartanya untuk keluarganya,disiapkan tempat tinggal, makan pakai, dicebok anak-anak,dimandikan anak-anak, disuap makan, dibasuh baju anak isterinya, dia juga yang memasak, belum lagi dia dapat membalas jasa isterinya bertarung nyawa ketika melahirkan zuriat-zuriat untuknya bahkan zuriat-zuriat itu pula dengan rahmat Allah akan menjadi penolongnya ke syurga.
Suami juga tak pernah sekali pun gadaikan nyawa untuk melahirkan, antara hidup dan mati, tak pernah hilang kecantikannya akibat tidur yang tak cukup, bentuk badan yang dah tak sama, lelah yang tak habis menyusu dan fikirkan sakit anak dan pelbagai ragam anak siang malam yang tak pernah habis.
Bagaimana selepas selesai bersalin, isteri juga yang dukung anak bahkan isteri juga basuh baju anak dan suami. Ya Tuhan…
Bila isteri dah sihat sikit, berjalan bersama, isteri juga yang dukung anak…alasan anak nak pada ibunya..ke sana ke mari isteri gendong anak,suami jalan pegang hp di tangan.Ya Allah. Berat bawa perut pun tak pernah habis rasanya. Suami hanya bawa diri…Relak je suami. Sakit pinggang membawa perut mengandung pun tak pernah habis lagi!
Inilah realiti, apabila kita tidak menyediakan anak-anak lelaki kita sebagai hero dan penyelamat, sebagai pelindung dan sanggup bersusah payah bekorban untuk anak isterinya tapi kita cerita pada anak lelaki kita, lepas kahwin ada orang jaga dia…lepas kahwin lebih terurus hidupnya…
Berapa ramai yang bercerita lepas kahwin, kena jaga isteri dengan sempurna, isteri ini amanah, bantu isteri, buat kerja-kerja rumah, uruskan anak, jangan harap duit isteri, usaha sungguh-sungguh,jaga mak ayahnya, jadi laki-laki bermaruah, jaga solat di masjid/ surau/tempat azan dilaungkan, jaga Al-Quran setiap hari, jaga rumahtangga dan jangan khianat. Tidak ramai bukan?
Berapa ramai ambil tahu tentang impian isteri dan sama-sama usaha mendapatkannya atau setidaknya memberikan dia jalan lebih selesa untuk kehidupan rumahtangganya?
Malangnya, lelaki diajar menjadi raja, dan wanita diajar berkorban tanpa jemu. Sehingga semua pakaian suami perlu dicuci, digosok, disediakan sehingga di mana letaknya stoking pun, kalau tak jumpa, isteri juga kena marah.
Lelaki diajar makanan tersedia untuk dijamah, pinggan tak perlu cuci, rumah tak payah sapu, mop lagilah tidak, cadar katil tak payah tukar, masak tak payah, semuanya kerja orang perempuan…
Akhirnya isteri tarik muka, penat letih, tiada lembut lembut, hanya jerit pekik, marah tak tentu pasal, lalu dikatakan…oh isteri tak macam dulu, isteri derhaka, isteri tak memahami, isteri tak layak jadi ibu….
Takutlah pada Allah. Berlebih-lebihlah suami dalam membuat tugasan rumah. Berilah kerehatan dan belaian kepada isteri, penghargaan dan kasih sayang, urutan dan sentuhan, doa dan semangat, kerja keraslah untuk isteri anak-anak, bukan banayk komplen banyak marah, banyak tegur.
Takutlah kerana para suami akan menghadap Allah. Ikhlaslah dalam setiap khidmat pada keluarga. Nescaya,isteri akan jadi ibu ysng penyayang,isteri penyejuk mata ,manis wajahnya,dan lunak kata-katanya serta pasti dia menghormati suaminya. Anak-anak penuh kasih sayang dan ceria, tidak murung dan memberontak. Ajarilah isteri dengan didikan agama untuk memperbaiki Al-Quran dan solatnya.
Begitulah jika agama dipelajari, difahami, diamalkan. Tidaklah kita memandai-mandai menzalimi wanita. Jadilah wanita yang bersyukur. Sayangi suamimu dan berlemah-lembutlah, rendahkan suaramu dan janganlah dikeluarkan kata-kata yang tajam. Tetaplah dalam kesabaran, doa, solat dan peliharalah auratmu, labuhkan tudungmu, longgarkan pakaianmu dan pakailah baju berlengan panjang. Nikmat mana lagi yang mahu engkau dustakan wahai wanita?
Berdoalah supaya bahagia sampai syurga paling tinggi dan bertaubatlah bagi yang menyakiti tanpa sedar. Berbincang dan berdoalah.
Buat para isteri, tetaplah membantu suamimu untuk apa juga urusan kerja rumah dgn ikhlas dan bersyukurlah atas pemberiannya. Jangan jadikan suamimu tempat untuk ditengking jerkah, disuruh itu ini tetapi mohonlah pertolongannya dengan kata yang lunak dan baik. Bertolak ansurlah dalam urusan-urusan rumah tangga dan maafkan kekhilafan suamimu. Bertolak ansur dan belas kasihan adalah kunci untuk tidak mencari salah pasangan. Tetapi sama-sama sepakat, sama-sama membantu segala urusan rumahtangga.
Pastikan tulisan ini dibaca dengan ilmu bahawa kisah ini berkaitan wanita dan tekanan. Janganlah dengan post ini, menghilangkan hormat isteri kepada suami tetapi bawalah berbincang. Tidak ada suami yang mahu isteri yang dinikahi tertekan. Cuma mungkin si suami terlepas pandang.
Tahniah untuk isteri yang ikhlas membuat kerja-kerja rumah kerana mencari redaAllah.
Tahniah buat suami-suami yang telah menjaga para isteri tuan-tuan dengan sempurna, Allah berkati hidup tuan-tuan.
Terima kasih suamiku kerana menjadi hadiah terbaik dari Allah buat diriku dan anak-anak. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa engkau suami dan ayah yang mulia.
Sebelum kahwin, masa dating cantik bukan main lagi. Maklumlah akan berjumpa dengan buah hati. Tup-tup, selepas kahwin, segalanya berubah. Tidak sempat untuk berhias, kononnya sibuk uruskan anak dan hanya sempat berhias untuk pergi ke tempat kerja sahaja.
Jangan pandang sebelah mata, cantik atau tidak bukan persoalan kerana semuanya datang dari hati. Jika cantik semata-mata untuk pikat orang lain atau untuk orang lain menilai kecantikan, semua itu sudah salah.
Malah, lebih teruk lagi bila isteri mula main kayu tiga. Biasa kita hanya dengar suami yang ada skandal lain. Tapi, lain pula jadinya bila isteri sanggup menduakan suami. Bukan untuk niat bercerai berai tetapi untuk keseronokan sahaja.
Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) turut memberi pencerahan tentang perkara ini.
Beza Dan Tujuan
Fitrah manusia, tidak pernah cukup dengan apa yang ada dan selalu impikan sesuatu yang baru. Tapi, antara suami dan isteri, sebab dan tujuan ‘main kayu tiga’ ada perbezaan.
Biasanya, suami mudah curang atau bermain kayu tiga apabila isteri mulai tidak hormat, suka mengungkit dan memberontak dengan pelbagai cara, tidak mengendahkan kecantikan di rumah, tidak lagi bergantung kepadanya. Sebaliknya, lebih banyak bercerita tentang kekagumannya kepada bos contohnya, pudar ‘keseksian’ dan sebagainya.
Bagi isteri pula berbeza, biasanya timbul untuk mencari orang ketiga apabila suami tidak lagi romantik, ambil berat, tiada masa untuk bersama bercakap atau bergurau senda tentang kasih sayang, tidak lagi memujinya atau sebagainya yang menepati fitrah kewanitaan seorang isteri.
Apabila terjumpa seseorang yang sudi bersama mendengar, ambil berat dan bercakap bahasa yang manis, barangkali mudah hati seorang isteri terbuka dan berbunga menagih perhatian dan menghilangkan kesunyiannya.
Hanya Suka-suka
Semuanya tentu sekali untuk memecah kesunyian, mengisi kekosongan tuntutan naluri atau sekadar untuk berseronok. Bila hubungan yang dimulai hanya untuk berseronok dan menghilangkan kesunyian, kita akan terperangkap Jangan kita lupa, pasangan ‘curang’ kita mungkin serius dan bukannya menghadapi masalah yang sama dengan kita.
Suami Ketahuan
Hubungan dengan pasangan anda adalah bergantung pada anda. Tidak dinafikan, ia perlu bersama saling membahagiakan, tetapi mulakan dengan diri anda.
Sebagai suami,
Elakkan komunikasi menggunakan logik, sebaliknya ketepikan ego anda dan bercakap dengan emosi kasih sayang yang menyentuh hati isteri. Agak sukar, tetapi kesannya lebih efektif.
Memujuk, sweet talk, memuji atau mengingati nostalgia indah bersamanya lebih mudah untuk membantu isteri kita ketepikan stres dan kembali menghormati kita.
Kita perlu bersaing memenuhi kehendak fitrah isteri kita agar orang ketiga yang hadir dalam hidupnya tidak lagi diperlukan.
Romantik, banyakkan masa untuknya, bercakap tentang kasih sayang dan tumpukan masa khas untuknya akan menjadikannya rasa istimewa dan dihargai.
Cara ini, keperluan kepada ‘kayu tiga’ dengan sendirinya hilang disinari oleh kebahagiaan hidup bersama.
Buat Isteri…
Cuba muhasabah beberapa perkara dalam perhubungan anda. Fitrah suami anda yang perlukan penghormatan, sukakan anda cantik, lebih dominan kepada tarikan seksual dan kebiasaannya suami anda agak rasional dan logik.
Mana-mana lelaki sekalipun, jika bertemu dengan wanita yang menghormatinya apalagi mengaguminya, cantik, seksi dan mudah memahami maksud kata-katanya, pasti akan cair dan mudah jatuh cinta.
Sebagai isteri, elakkan bercakap dengan emosi dan mengharapkan suami faham, sebaliknya dengar betul-betul apa yang suami perkatakan dan ikut. Walaupun kadang kala agak remeh dan kurang sesuai, tetapi ia lebih menunjukkan anda hormat pada suami.
Cantiklah di rumah bersama suami, seksilah untuk suami kerana itu fitrah ciptaaNya. Cara ini membuatkan suami akan lebih tenang dan bahagia dengan anda, tidak ada ruang untuk diganti dengan yang kedua mahupun ketiga.
Kukuhkan Hubungan Suami Isteri
Kita tidak boleh mengharapkan pasangan kita berubah untuk kita. Sebaliknya, kita yang perlu berubah dengan memahami fitrah dan penuhi keperluannya, selagi tidak bercanggah dengan hukum agama.
Ketepikan ego, elakkan sikap untuk menangkan diri sendiri tetapi utamakan untuk memenangi hubungan.
Cuba sedaya upaya memenuhi keperluannya agar tidak terbuka ruang untuk menggantikan kekosongan dalam hidupnya.
Kita tidak akan sempurna, tetapi dengan kesungguhan yang kita tunjukkan untuk mengetepikan ego dan meraikan kehendaknya juga mampu membahagiakan.
Pasangan kita juga akan mudah berkorban membahagiakan kita pula.
Usah salahkan orang ketiga andainya kita yang tidak bijak mengurus serta membahagiakan pasangan kita.
Baik suami atau isteri, maafkanlah kesilapan pasangan yang lalu dan sentiasa perbaiki diri untuk membahagiakan pasangan kita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!