Sudah tiba ajalnya. Belum sempat ahli keluarga lain menatap wajah bayi yang baru berusia 22 hari ini, dia terlebih dahulu dijemput Ilahi.
Menurut perancangan, penyerang JDT, Muhammad Syafiq Ahmad ingin membawa keluarga pulang ke rumah mentuanya di Pendang, Kedah.
Pemain JDT kemalangan, ibu mentua dan anaknya yang baru berusia 22 hari turut meninggal dunia dalam tragedi ini.
Penyerang JDT Kemalangan
Penyerang pasukan bola sepak JDT, Muhammad Syafiq Ahmad, terbabit kemalangan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya terbabas di Kilometer 163 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.
Ia menyebabkan bayi lelakinya berusia 22 hari dan dua wanita, Zainab Wahab, 45 tahun, dipercayai ibu mentuanya, dan Titik Sukamti, 30-an yang juga pembantu rumahnya, meninggal dunia.
Bagaimanapun, Muhammad Syafiq, 25; isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25; bersama anak perempuan sulung mereka, Aaira Nur Saffiyya, 2, hanya cedera ringan.
Anak Baru Berusia 22 Hari & Ibu Mentua Meninggal
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.36 pagi.
“Ketika tiba, didapati kenderaan MPV itu berada dalam keadaan remuk teruk dan terdapat tiga daripada enam mangsa yang tersepit.
“Anggota kemudian membuat kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya.
Jelasnya, mangsa diserahkan kepada polis untuk urusan selanjutnya sebelum bomba menamatkan operasi jam 6.12 pagi.
Kredit foto: myMetro
Bapa Belum Sempat Cucu
Manakala bapa penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) ini belum sempat menemui cucunya yang maut dalam kemalangan. Menurut Ahmad Ibrahim, 56, keluarganya sudah merancang untuk mengunjungi Syafiq di Johor selepas dikurniakan anak keduanya pada 14 November lalu.
Ads
Menurutnya, keluarganya rancang untuk ke Johor pada 11 Disember ini tetapi terpaksa menangguhkan rancangan itu selepas tempat tinggalnya di Bayan Baru dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Terkilan Dengan Kejadian Menimpa
“Seluruh ahli keluarga terkilan kerana tidak sempat berbuat demikian selepas mereka terbabit dalam kemalangan ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap.
Ahmad berkata, dia menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 4 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, pada awalnya dia menganggap orang yang menghubunginya itu tersilap orang dan menjelaskan bahawa semua anaknya ada di rumah.
“Pada masa itu, saya tidak menyangka bahawa Syafiq yang terbabit dalam kemalangan kerana tidak tahu dia dalam perjalanan ke rumah mentuanya di Pendang, Kedah.
“Dia mungkin ada beritahu ibunya kerana selalu berkongsi apa saja dengan ibunya,” katanya.
Menurut Ahmad, dia yang ke tempat kejadian selepas yakin Syafiq terbabit dalam kemalangan itu mendapati kesemua mangsa sudah dihantar ke hospital.
Katanya, Syafiq beritahu dia cuba mengelak sesuatu sebelum kenderaannya hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan.
“Dia masih dalam trauma,” katanya.
Ahmad berkata, isteri Syafiq, Nur Amalina Nur Ain, 25, dan anak sulung pasangan itu, Aaira Nur Saffiyya, 2, kini berada dalam keadaan stabil.
Tak Sangka Isteri Cucu Pulang Sebagai Jenazah
“Arwah isteri, Zainab Wahab, 46, ada hubungi saya dua hari lalu dan minta kemaskan rumah sebab nak bawa balik cucu baru. “Tapi tak sangka pula dia dan cucu pulang sebagai jenazah,” kata Norain Shahadan, 50, bapa mentua kepada Syafiq.
Ads
Menurut Norain, dia menerima berita sedih itu melalui besannya, Ahmad Ibrahim, 56, yang menghubunginya sekitar 6 pagi tadi.
Katanya, dia ketika itu antara percaya atau tidak apabila dimaklumkan isterinya dan cucu mereka, Muhammad Aisy Saqeef, 22 hari, meninggal dunia dalam kemalangan.
Redha Hilang Isteri & Cucu
“Saya tidak menyangka, namun reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan isteri dan cucu kedua kami.
“Namun, saya bersyukur anak sulung, Nur Amalina, 25, menantu, Muhamad Syafiq Ahmad, 25, serta cucu sulung, Aaira Nur Saffiyya, 2, selamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Padang Pusing, di sini, hari ini.
Menurut Norain, dia terkilan kerana tak sempat menatap wajah cucu barunya yang dilahirkan pada 14 November lalu dan hanya melihat melalui WhatsApp kumpulan keluarga di telefon bimbit.
Katanya, dia memang teruja mahu berjumpa cucu sulung lelaki, namun tidak kesampaian.
“Saya sempat berbual dengan isteri pun sekejap saja dan dia hanya beritahu nak balik apabila pergerakan rentas negeri dibenarkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat, hari ini.
“Sedih memang sedih, tapi apa nak buat, saya terima ketentuan Allah,” katanya.
Katanya, isterinya pergi ke rumah anak dan menantu mereka di Johor sejak perayaan Deepavali lalu.
MW: Semoga Syafiq dan isteri kuat menghadapi ujian ini. Ternyata bukan mudah untuk menerima apa yang berlaku. Apatah lagi kehilangan dua nyawa sekaligus. Al-fatihah.
Rupanya guna air tapisan dan bawang putih merupakan rahsia cili yang dikisar tahan lama berbulan-bulan, tak masam mahupun berkulat. Cili kisar boleh dikatakan bahan asas yang mesti ada setiap dalam masakan, bagi mak-mak sukakan pedas. Tapi nak buat cili kisar ni agak renyah, perlu dibuang biji, direbus dan dikisar. Jadi sebagai penyelesaiannya, ramai mak-mak yang suka kisar cili banyak-banyak untuk kegunaan harian bagi mempercepatkan waktu memasak.Tapi masalah yang timbul bila, cili kisar tersebut tak tahan lama, cepat rosak, masam dan berkulat.
Perkongsian petua cili kisar tahan lama ini dikongsikan oleh Puan Mim Nazihah sebagai rujukan mak-mak.
“Kak mim nak share cara buat cili kisar yang tahan berbulan tak berkulat…Mesti ramai yang dah tau kan…Tapi takpe, nak share jugaklah, mungkin ada sorang dua yang masih tak tau kan. Selalu kalau kita blend cili kering, simpan dalam peti ais, tak sampai seminggu ia dah masam dan naik kulat putih kan.Inshaa Allah buat camni tahan lama, sebulan dua tak berkulat.
Bahan-Bahannya :
400 gram Cili Kering (Dipotong, buang bijinya kemudian cuci bersih).
3 Labu Bawang putih
Air tapis
Cara Membuat:
1.Potong cili kering dan kupas bawang putih, cuci bersih-bersih.
2.Rebus cili kering bersama bawang putih sampai lembut cili tu.
3.Kemudian toskan (tak perlu basuh lagi ye, cuma tos saja, sebab tadi kita dah cuci bersih, kalau basuh balik guna air paip nanti cili kisar tak tahan lama.
4.Biarkan sekejap agak-agak sejuk sikit, kemudian kisar dengan menggunakan air tapis.Jangan guna air paip ye…guna air tapis dan satu lagi bawang putih bertindak sebagai anti kulat.
Inshaa Allah cili akan tahan lama dan tak berkulat.
Wanita lawat kubur suami ditemani kucing putih, “Waktu saya baca doa, Uteh pasti duduk di tepi.” Kucing adalah antara haiwan peliharaan yang paling popular di seluruh dunia. Dengan kecomelan rupa paras, perangai yang manja, dan personaliti yang unik, kucing telah mencuri hati ramai pencinta haiwan.
Wanita Lawat Kubur Suami Ditemani Kucing Putih
Bagi Norhamimah, wanita berusia 46 tahun ini, memiliki seekor kucing berwarna putih yang diberi nama Uteh bukan hanya menceriakan hidup malah menjadi peneman setia setiap kali Norhamimah Khalid ke tanah perkuburan.
Menurut Norhamimah, Uteh mula manja dengannya sejak kerap menziarahi pusara Allahyarham suaminya, Azharuddin Said yang meninggal dunia dua tahun lalu akibat serangan jantung.
IBU LIMA ANAK ITU BERKATA, UTEH ASALNYA KUCING BUANGAN YANG TIDAK TERURUS NAMUN MENJADI GEBU SELEPAS NORHAMIMAH MEMBERI MAKAN SERTA MENYEDIAKAN TEMPAT TIDUR BUAT HAIWAN ITU DEKAT PONDOK DI LUAR TANAH PERKUBURAN.
“Saya jumpa Uteh beberapa bulan selepas suami meninggal dunia dan ia nampak kurus, selain badan berkurap.
“Disebabkan kasihan dan sayangkan kucing, saya mandikan Uteh dan memberinya makan serta minum hingga jadi comel seperti sekarang.
“Waktu Saya Baca Doa, Uteh Pasti Duduk Di Tepi”
“Saya sediakan juga kotak dekat pondok untuk Uteh tidur dan setiap kali datang, Uteh akan sambut saya kemudian saya berinya makan.
“Waktu saya baca doa, Uteh pasti duduk di tepi saya sebagai peneman seolah-olah tak nak saya sedih,” katanya.
Norhamimah berkata, sejak pemergian suaminya pada 15 November 2022, hampir setiap hari dia akan ke tanah perkuburan untuk menziarah pusara.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak membawa Uteh pulang ke rumah kerana haiwan itu dilihat lebih selesa tinggal di situ.
“Saya memang sayang Uteh namun biarkannya hidup bebas kerana nampak Uteh sihat di situ (sekitar tanah perkuburan).
“Ikutkan saya tak risau sangat dengannya cuma pernah tak keruan selepas ke tanah perkuburan baru-baru ini dan tak nampak kelibatnya.
“Lima hari juga Uteh hilang… cari pun tak jumpa sampai saya nekad cari dengan muat naik hantaran dalam kumpulan WhatsApp kawasan perumahan.
“Tapi saya lega kerana tak lama selepas itu, Uteh muncul semula,” katanya.
Norhamimah berkata, sejak berkongsi kisah Uteh di TikTok, ada yang menghantar kiriman mesej kepadanya dan menyatakan hasrat memelihara kucing kesayangannya itu.
“Mulanya nak bagi kemudian tak jadi lepaskan kerana berat hati.
“Jika Uteh tiada nanti, sunyilah saya kerana tiada peneman bila menziarahi kubur suami.
“Lagipun, Uteh mengingatkan saya dengan suami yang sayangkan kucing dan gemar membawa balik haiwan itu ke rumah,” katanya.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Qari Oku Malaysia dinobat juara tilawah Al-Quran antarabangsa, pecah rekod 47 tahun sejak mula diperkenalkan 1947. Matanya tertutup namun hatinya sangat terang. Inilah kelebihan Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, yang malam tadi dinobatkan sebagai johan tilawah kategori masing-masing pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63, semalam dengan markah 94.96 peratus.
Johan qariah disandang oleh peserta dari Maghribi iaitu Sara Belmamoun yang memperoleh 93.05 peratus, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai, hadiah iringan serta sijil.
Qari OKU Malaysia Dinobat Juara Tilawah Al-Quran Antarabangsa
Menariknya tentang johan qari antarabangsa ini, sejak kecil ibu dan ayahnya sering memperdengarkan kepadanya cakera padat alunan ayat al-Quran hingga hatinya menjadi terang dengan kalimah ini.
”Sejak kecil, Muhammad Qayyim Nizar memiliki minat yang sangat mendalam terhadap Al-Quran sejak kecil bermula dengan mendengar kaset dan cakera padat (CD) yang dibelikan oleh ibunya, Rozan Mohamed dan ayahnya, Sarimi Yusoff.
Bahkan dirinya merupakan Johan Qari Peringkat Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan pada tahun 2017, 2019 dan 2020 tiga tahun lamanya.
Lebih menarik, Qayyim turut memiliki anugerah luar biasa apabila menguasai 7 jenis tarannum iaitu Bayati, Soba, Hijjaz, Nahawand, Rast, Sikah dan Jiharkah.
Pecah Rekod 47 Tahun
Memiliki ijazah Sarjana Muda Tahfiz dengan Pengurusan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa sultan Ismail Petra (KIAS), anak muda berusia 25 tahun berasal dari Ketereh Kelantan ini menjadikan beliau OKU pertama yang dinobatkan Johan sejak Majlis Tilawah diperkenalkan pada tahun 1947.
Majlis tilawah yang berakhir malam tadi disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyampaikan hadiah kategori qari, manakala Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, bagi kategori qariah.
turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar; dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
MTHQA Ke-63 yang bertema ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’, membariskan seramai 20 hakim dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Indonesia.
Sementara bagi kategori hafazan, ia dimenangi oleh Omar Toure yang mewakili Guinea menjuarai kategori hafazan lelaki dengan markah 98.63 peratus, dan Tebani Cheyma Enfal mewakili Algeria pula memenangi kategori hafazan wanita dengan markah 96.32 peratus. Mereka turut menerima hadiah wang tunai, hadiah iringan dan sijil.
Wah enaknya, Ayam Rendang Terangkat, Rasa Melekat. Beberapa hari saja umat Islam akan menyambut Syawal. Istimewa hari ini, Mak Empal Masak Apa Hari Ini?...