Biasanya kalau anak masih kecil, mestilah malam-malam nak tidur dengan mak ayah. Belum lagi anak yang dah besar sikit mahunya mak ayah terpaksa kongsi bilik tidur. Sampaikan satu bilik penuh dengan mereka.
Begitulah, bila mak ayah terpaksa kongsi bilik tidur dengan sebab anak takut nak tidur sendirian. Tapi bagaimana pula kalau bilik tak cukup. Nak tak nak pun kena tidur sekali.
Walau bagaimanapun, tak bolehlah sampai anak besar panjang masih berkongsi bilik tidur. Mak ayah kena usaha untuk asingkan bilik tidur, nak kena jaga aurat dengan anak-anak juga.
Tapi, kalau dah terpaksa kongsi bilik tidur, mak ayah kenalah cuba panduan yang dikongsikan oleh Wan Nur Syakira ini. Moga ia memberi manfaat dan sekurangnya terjalah privasi mak ayah.
Ada ibu yang bertanya seandainya mereka suami isteri masih tak mampu asingkan tempat tidur anak kerana ada dua bilik. Satu bilik tidur, satu stor.
Apa yang beliau boleh buat ?
Jadi panduannya,
Ads
1. Asingkan tilam antara ibu bapa dan anak-anak. Bilik sama, tetapi compartment berbeza. Jika anak berbeza jantina, usahakan asingkan juga di dalam bilik yang sama.
2. Anak-anak pula, seorang satu selimut. Usah biasakan tidur satu selimut.
3. Jika anak ada di dalam bilik, janganlah tukar baju di hadapan mereka. Minta mereka keluar dahulu atau tukar baju di bilik air. Keluar dengan sudah berpakaian lengkap. Berhati-hati dengan aurat ibu ayah dengan anak-anak.
4. Berjaga-jaga dengan sentuhan suami isteri, jika anak ada, jangan dipaparkan sentuhan yang menjurus kepada keintiman seksual. Begitu juga perbuatan ibu ayah mandi bersama, jangan biar diketahui anak-anak. Jika anak tiada dalam bilik, boleh lah buat apa saja.
5. Ibu ayah dan anak-anak kena amalkan ketuk pintu sebelum masuk. Jangan terjah, kerana semua berkongsi bilik yang sama untuk segala urusan peribadi.
6. Jangan sesekali melakukan hubungan suami isteri di hadapan anak-anak meskipun mereka tidur dan sebenarnya tiada sesiapa boleh melihat atau mendengar hubungan kelamin suami isteri dilakukan, ianya aurat yang perlu disembunyikan rapi. Lakukanlah ketika mereka tiada. Sebenarnya, anak dah pandai pura-pura tidur seawal umur 4 tahun, apatah lagi yang berada di sekolah rendah.
Panduan ini terpakai selagi mana kita terpaksa berkongsi bilik tidur dengan anak.
Ads
7. Andai ada ruang untuk kosongkan stor untuk jadikan bilik, saya amat galakkan begitu. Jadi, anak boleh diasingkan bilik.
Saranan Terbaik!
Seorang sahabat Facebook saya pernah kongsikan dia lakukan begini untuk anak-anaknya. Beliau kosongkan stor dan dia dan suaminya tidur di stor dan anaknya di bilik satu lagi. Terpulang, boleh juga digunakan pendekatan beliau ini .
1. Disarankan paling kurang, setiap rumah ada 3 bilik. Satu bilik ibu bapa, satu bilik untuk adik beradik lelaki, satu bilik untuk adik beradik perempuan.
2. Andai ada 2 bilik, satu bilik untuk ibu ayah dan satu bilik lagi untuk adik beradik perempuan. Adik beradik lelaki mungkin tidur di ruang lain, ruang tamu sebagai contoh.
Saya titipkan doa agar diberikan ibu tadi rezeki untuk hidup berbahagia dan lebih terjaga di rumah sendiri.
Rasa tersentak dan terpempan saya bila Allah datangkan peringatan untuk bersyukur rumah saya ada lebih dari satu bilik.
Ads
Saya pun dalam proses latihan asingkan tempat tidur untuk anak sulung.
Memang bukan mudah proses ini, tetapi sesukar-sukar saya, anak saya punya bilik sendiri.
Tidak seperti mereka.
Moga Allah limpah rezeki pada mereka. Aamiin.
Mingguan Wanita : Rezeki masing-masing. Tapi sebolehnya kena asingkan walaupun anak hanya tidur di ruang tamu.
Suami memang sepatutnya membantu isteri dalam melakukan kerja-kerja rumah. Namun masih ramai yang tak mahu. Alasannya, itu tugas isteri. Lagi pula malu kalau orang tengok.
Kes 1: Amin membantu isterinya mengambil pakaian yang telah pun kering di jemuran. Tindakan Amin disedari oleh jirannya, Amran lalu ditegur: “Amin! Kau ni memang dah kena kontrol dengan bini kau ni!” Amin cuma tersengih.
Kes 2: Amran sedang berbual dengan Amin.Tiba-tiba isteri Amran menjerit: “Abang, cepatlah tengokkan anak tu. Nangis memekak je tu. Saya nak tengok tv pun tak senang.” Amran segera menyahut. “Ya, sayang!!” dan dijeling kepada Amin: “Aku sayang bini.” Amin tersengih lagi.
Saya akui, dua situasi kes di atas adalah kisah yang saya cipta sendiri tetapi adalah berdasarkan kisah benar yang pernah sampai ke pengetahuan saya. Malah saya yakin, anda juga pernah berdepan dengan kes-kes sebegini. Persoalannya; apa beza antara ‘queen control’ dengan ‘sayang bini’? Bolehkah wujud kes queen control dalam era teknologi serba canggih kini?
Ada Dua Kategori
Mudahnya, bila menyebut kalimah berhantu queen control, ramai yang membayangkan kes para suami melakukan kerja-kerja rumah, betul tak? Pengakuan daripada klien lelaki sendiri; “Bukan tak nak bantu isteri buat kerja rumah tapi tak nak nanti dikatakan di’control’ oleh isteri.” Ada juga ibu mentua yang melarang anak lelakinya membantu isteri melakukan kerja rumah sebab katanya: “Tak nak menantu kontrol anak lelakinya.”
Terdapat dua jenis wanita queen control iaitu queen control yang memberikan kebahagiaan kepada suami dan rumah tangga, atau queen control yang membebankan suami dan menimbulkan kekecohan di dalam rumah tangga. Kes pertama yang saya kongsikan ialah kategori queen control yang memberikan kebahagiaan kepada suami dan rumah tangga; sementara kes kedua pula queen control yang membebankan suami dan menimbulkan kekecohan di dalam rumah tangga.
Hakikat sebenarnya, kes pertama lebih kepada bukti suami sayang isteri malah suami jenis ini ialah yang melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w membantu isteri baginda dalam melakukan kerja di rumah. Diriwayatkan daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi s.a.w kerjakan di rumah?” Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang, bagindapun keluar untuk sembahyang (ke masjid).” – hadis riwayat Al-Bukhari.
Berusaha Jadi Suami Terbaik
Jelas sekali, suami yang membantu kerja rumah tangga bukanlah suami yang dikawal oleh isterinya sebaliknya mereka ialah suami yang benar-benar faham erti kasih sayang berumah tangga dan suami mithali yang berusaha menjadi suami terbaik seperti saranan Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” – hadis riwayat al-Tirmizi.
Namun, memang diakui masih ramai isteri yang bersikap queen control seperti kes kedua. Haa! Itu bukan kes sayang bini tapi takut bini! Kes-kes sebegini boleh wujud disebabkan beberapa sebab yang asasnya berpunca daripada lelaki:
1. Suami gagal berperanan sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri perlu mengambil alih peranan suami sepenuhnya.
2. Suami pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri bertindak mengawal segala tindak tanduk suami dengan harapan pengabaian tanggungjawab tidak berulang lagi.
3. Suami gagal mengawal isteri hingga membiarkan diri dikawal sepenuhnya oleh isterinya.
Daripada pemerhatian saya terhadap kes-kes queen control, sikap queen control di dalam rumah tangga kebanyakannya bermula sejak pra perkahwinan lagi. Bila masuk ke dunia perkahwinan, sikap ini terbawa-bawa hingga kadang-kadang si isteri sendiri merasa rimas sebenarnya.
Kes queen control juga sering berlaku di dalam perkahwinan yang melibatkan pasangan lelaki dengan wanita yang lebih berusia, lebih berharta atau lebih berpendidikan daripada si lelaki. Dengan kelebihan yang ada pada diri wanita, ada kalanya mereka akan lupa diri maka tugas si lelaki adalah untuk mengingatkan peranan wanita tadi dan untuk melakukan tugas tersebut, lelaki perlu tegas dan bijak menangani si wanita.
Perkara paling penting, perlu faham dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam rumah tangga. Jika masing-masing memahami dan menjalankan tanggungjawab masing-masing, tak kisahlah king control atau queen control, rumah tangga akan aman dan bahagia, insya-Allah.
Sumber: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis tetap ruangan Resipi Hidup dalam Majalah Mingguan Wanita.
Bila anak buat salah, terus kena marah. Bukan itu caranya. Tak salah pun untuk mak ayah berlembut dengan anak dahulu sebelum marah tanpa usul periksa.
Kadang-kadang anak nak perhatian dari mak ayah. Mungkin dalam fikiran mak ayah, kalau berlembut dengan anak, nanti dia akan naik ‘minyak’. Tapi ada juga yang tak tahu nak bersopan santun dengan anak sendiri.
Bila dengan orang lain atau luar, boleh pula bersopan santun, lemah lembut. Tapi dengan tidak untuk berlembut dengan anak. Sampaikan anak kecil pun diugut, kalau dia buat perangai di luar rumah.
Sebenarnya, cara kita sebagai mak ayah salah. Kalau anak buat perangai atau salah pun, jangan terus marah, lebih-lebih lagi berada di luar rumah. Ada caranya untuk berlembut dengan anak.
Selesai membeli di salah sebuah gedung membeli belah terkemuka, kami sekeluarga berhenti untuk membeli juadah dari peniaga di kaki lima gedung tersebut.
Sementara menunggu giliran, saya melihat sebuah keluarga yang terdiri dari ibu, ayah dan dua orang anak mereka dari arah kiri saya. Salah seorang anak mereka memegang belon berbentuk (e.g jenis belon yang berbentuk kapal, helicopter atau bola etc) pada talinya. Tali belon tersebut memang agak panjang apatah lagi untuk di pegang oleh anak yang saya yakin tidak lebih besar pun dari usia 6 tahun.
Dalam masa yang sama, dari arah kanan saya, kelihatan sepasang suami isteri muda (atau pasangan kekasih mungkin?) berjalan dengan yang perempuannya sambil ‘bermain’ telefon.
Oleh kerana lorong yang menempatkan kami semua ini agak sempit, dengan orang ramai yang bergerak dari kedua-dua arah, maka tak hairanlah bila belon yang di pegang oleh kanak-kanak tersebut tak sengaja terkena muka perempuan yang berjalan bersama pasangannya itu.
Terus si ayah kepada kanak-kanak tersebut berpaling mengucap ‘sorry’ berulang kali bagi pihak anaknya. Jelas nampak si ayah rasa bersalah.
Pasangan muda tersebut pula membalas dengan senyuman dan sebut ‘tak apa’ beberapa kali sebagai tanda ‘bukan masalah besar’.
Insiden kecil yang saya sangka berakhir di situ rupa-rupanya sekelip mata berubah menjadi drama bila si ayah yang tadinya nampak cukup rendah diri meminta maaf kepada pasangan muda tersebut berpaling kepada anaknya dan mula tinggi suara:
“I told you to wrap the string (tali belon) on your hand!. Tengok, kan dah kena orang? Abah dah cakap tadi pegang elok-elok. Sekarang saya terpaksa ambil sebab dah terkena orang lain.”
Si anak mula menangis bila belonnya ‘dirampas’ si ayah yang terus saja meneruskan perjalanan. Si anak kaku saja berdiri sambil menangis di tempat dia berdiri. Giliran ibu kepada kanak-kanak tersebut pula berpaling kepada anaknya, dan saya pun tak sangka mendengar ayat yang keluar dari mulut si ibu:
“Tak nak ikut sudah. Tinggal kat sini” dan mula berjalan menyusul si suami. Makin kuat jeritan si anak. Setelah beberapa tapak melangkah, si ibu menoleh ke belakang (untuk melihat jika anaknya menuruti langkah mereka) dan bila ternyata anaknya masih kaku menangis di tempatnya, si ibu dengan nada marah sebut, “You want us to leave you here??” (lebih kurang begitu ayatnya). Si anak akhirnya berlari-lari anak mengejar langkah ibu dan ayahnya dalam menangis.
Tiada Siapa Bersalah
Terpaku saya sebentar. Rasa geram tiba-tiba membuak dalam diri. Kerana apa?:
Kerana apa yang ibu dan ayah kepada kanak-kanak itu tidak tahu ialah pasangan lelaki kepada perempuan yang di langgar belon kanak-kanak itu sebenarnya telah pun menarik si perempuan untuk rapat berjalan ke tepi supaya dia yang kusyuk bermain telefon tidak terlanggar sesiapa. Namun kalau mata dah ‘melekat’ di skrin, tak nampak apa yang ada di depan, tentulah tak sempat nak elak cukup segera sebelum dilanggar.
Tambahan pula, kanak-kanak yang memegang belon tersebut tidak di pimpin oleh ibu atau ayahnya kerana si ayah memegang barang-barang dan si ibu pula memimpin si adik. Maka, faham-faham sajalah gaya anak kecil bila berjalan sendiri.
‘Macam ular’: sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan.
Maka atas dua sebab ini saya langsung tak rasa si anak kecil tersebut bersalah.
Andai dia benar bersalah pun, apakah sepadan untuk dia di marahi sedemikian rupa?
Senangnya untuk si ayah bermanis muka dan bersopan santun meminta maaf kepada ‘orang asing’ sedangkan sekelip mata berubah menjadi garang kepada anak sendiri tanpa usul periksa.
Apakah wajar untuk si ayah merampas belon anaknya serta-merta?
Adakah si ayah atau ibu ada memberi pilihan atau ingatan kepada anak tersebut
SEBELUM
membenarkan dia berjalan bersama belonnya ke khalayak ramai? . E.g:
“Tali belon ni panjang, abang pula belum cukup tinggi. Jadi, senang nak terlanggar orang ramai atau tiang. Mesti tak best kalau belon cantik ni pecah, kan? Abah atau mama akan tolong pegangkan belon abang ni supaya ia selamat. Abang boleh ambil belon ni semula masa kita dah sampai dalam kereta. Abang nak abah atau mama yang pegangkan belon abang ni?” Atau
“Abah faham abang nak pegang sendiri belon ni sebab belon abang ni memang cantik betul. Tapi ada ramai orang and its not OK kalau belon ni terkena muka orang. Abang boleh cuba pegang belon ni elok-elok. Tapi, kalau dah terkena orang, abah akan ambil belon ni dan tolong abang pegang supaya kita tak sakitkan orang”
…ada?
Jangan Mneggugut Anak
Paling saya tak gemar ialah bila mendengar mana-mana mak ayah mengugut untuk tinggalkan anak mereka bila si anak ada buat salah. Saya bukan pakar psikologi kanak-kanak dan tak arif nak bercakap panjang tentang hal ini. Tapi setakat yang saya sempat baca dan dengar, saya cukup yakin bahawa perbuatan mengugut atau acah-acah untuk meninggalkan anak sangat tak patut.
Sudahlah menipu anak (mana ada mak ayah yang ugut nak tinggal anak ini akan benar-benar tinggalkan anak mereka. Ramai yang setakat berani cakap saja ), perbuatan tersebut juga bakal kocak emosi anak lebih lagi, terutamanya bila selalu di sebut ketika anak membuat salah atau enggan turut kata ibu ayah.
Tentulah mereka ketakutan atau cemas kerana dah buat silap, perasaan itu kini di tambah pula dengan rasa takut bakal di tinggalkan. Maka tak hairan selalunya amukan atau drama anak jadi lebih besar dari sedia ada.
Ia sampaikan mesej bahawa anak hanya diingini ketika baik dan dia boleh di buang pada bila-bila masa ketika ibu ayah merasa tak gembira dengan mereka atau dengan mana-mana perbuatan mereka.
Sampaikan mesej kepada anak bahawa hubungan mesra dan penuh sayang itu berakhir ketika mereka buat salah. Bahawa mereka bersendirian dan hanya ada diri mereka saja bila keadaan elok bertukar rupa.
Ia buat anak takut untuk terbuat salah , takut nak mengaku salah, takut nak jujur dengan emosi sendiri, takut nak bercakap benar dan takut nak berkongsi masalah kerana takut ditinggalkan oleh orang-orang yang dia percaya dan sayang.
Pilih Untuk Berlembut
Tujuan saya menulis kisah ini walau telah berlalu adalah kerana saya masih tak dapat nak hilangkan imej kejadian tersebut dari dalam minda saya.
Ya kita semua termasuk saya ada dan pernah buat silap dengan anak-anak. Dan kita akan terus terbuat silap dalam langkah kita semasa menjadi ibu bapa mereka.
Namun yang pasti, kita tak mahu kehilangan mereka walau berapa banyak silap langkah yang kita buat dalam usaha menjadi ibubapa terbaik buat mereka.
Maka, pilihlah untuk mudah maafkan anak- anak.
Pilihlah untuk berlemah lembut dengan mereka sebelum memilih untuk berkeras.
Mereka buat silap, sama seperti kita ibubapanya dan orang di sekelilingnya. Maka, mereka layak dihormati walau ketika sedang membuat silap, sama seperti kita mengharap orang melayani kita walau ketika kita terbuat silap.
Mingguan Wanita : Selalu beginilah, mak ayah depan orang boleh berlembut tapi bila dengan anak terus bertukar jadi garang. Maafkan anak, dia masih kecil dan dalam proses pembelajaran.
Hanya cikgu-cikgu akan tahu realiti perangai anak-anak di sekolah, ya di rumah lain dan di sekolah lain! Apa yang sedih, anak orang yang jadi mangsa keadaan.
Inilah yang cikgu Mohd Fadli Salleh cuba dedahkan kepada kaum mak ayah, wujudnya sikap suka ambil hak orang sampai budak lain jadi mangsa. Nah, baca!
Perangai Anak-anak Di Sekolah
Aku nak dedahkan pada ibu bapa masalah yang sering anak kalian buat di sekolah dan ramai ibu bapa tak tahu hal ini.
1. Minta duit kawan.
Masalah ini berlaku saban hari di sekolah melibatkan murid tahun 1-6. Banyak aduan diterima setiap hari, dan sebenarnya lebih banyak aduan disembunyi.
Ibu bapa tolonglah. Tolong didik anak-anak di rumah agar tidak minta duit kawan meskipun duit dia dah habis. Suruh jumpa guru kelas atau guru bertugas.
Masalah ini paling sukar aku hadapi. Dah pesan banyak kali pada murid, jangan beri pinjam duit. Lapor pada cikgu jika ada murid lain minta duit.
Laporan tak ada. Tup-tup mak ayah mesej mengadu duit anak dia selalu kena minta.
Bila panggil anak dia tanya kenapa beri sedangkan cikgu dah pesan, jawab si anak selamba,
“Jika tak beri dia tak nak kawan.”
Letih main dengan isu budak minta duit ni. Ada yang terkumpul lebih RM30 pun ada. Sehari minta seringgit atau dua.
Akhirnya aku terpaksa hubungi ibu bapa maklumkan hal ini. Terkejut ibu bapa sikap anak sendiri suka minta duit kawan. Padahal mereka dah bagi belanja lebih dari cukup. Ada yang beri duit belanja RM5 sehari pun masih minta duit kawan.
Lebih seram, ibu bapa tak terima aduan guru. Kata kawan anaknya reka cerita dan anak dia baik sangat. Lepas tu twist cerita anak dia selalu kena ambil barang dengan orang lain. Kena tolak, kena pukul dan sebagainya. Aduh!
2. Selalu tinggal barang.
Cikgu-cikgu kelas terutama tahun satu sangat maklum hal ini. Setiap hari sebakul pensel dikutip. Setiap hari sebakul pemadam, pensel warna, pembaris di tinggalkan.
Kat kantin berpuluh botol air tidak dituntut.
Masalah tinggal barang sahaja tahan lagi. Pulang rumah dia cerita kawan dia yang curi. Kawan dia yang ambil. Padahal dia tak nak kena marah dengan ayah ibu. Hat ni masalah besar.
Maka ibu bapa hubungi guru bercerita barang anak dia selalu dicuri oleh Polan bin Polan.
Dah cikgu kena jadi penyiasat pula siasat dakwaan kes. Bila cikgu panggil murid yang dituduh itu, murid ini pulang cerita kat mak ayah dia cikgu tuduh dia mencuri.
Padahal baru siasat dan bertanya betul ke ada ambil barang kawan tu.
Padahnya mak ayah serang cikgu pula. Aduh lagi.
3. Suka ambil barang orang.
Hat ni memang ada. Barang orang suka sangat padahal barang dia lagi mahal dan banyak. Pantang kawan pusing belakang, barang atas meja terus hilang.
Pernah terjadi, seorang murid bawa pulang buku teks kawan dia. Bukan sebiji. 3 biji buku teks yang sama dia ambil. Nak buat apa entah. ?
Bekas pensel dia semua penuh dengan ‘harta rampasan perang’. ???
Jenis suka minum dan makan bekal kawan pun ada juga. Tanpa minta masalahnya. Tengok kawan bawa air sedap, kawan tu ke tandas, separuh dia balun. Kawan tu ralit buat kerja, separuh lagi dia minum.
Last-last tinggal tujuh titik je air Ribena kawan tu. Tu pun bercampur air liur tinggalan ‘pembalun’ lima titik. ???
Jadi ibu bapa, dengarlah nasihat aku guru tahun satu ini.
Walau kalian bagi duit belanja kat anak-anak, walau anak kalian baik yang at kat rumah, kena pesan hari-hari,
“Jangan minta duit kawan!”
Walau berkodi-kodi alat tulis kalian sediakan, kena selalu check beg anak-anak. Jumpa barang yang bukan milik dia, terus suruh dia pulangkan esok hari.
Walau dia kata kawan yang beri!
Kalau anak balik cerita barang dia kawan ambil, jangan terus percaya. Kemungkinan besar dia sendiri yang tinggal barang itu. Atau barang jatuh dia tak kutip.
Cukuplah tiga benda dulu aku kongsi malam ini. Kalau ikutkan banyak lagi ni. Lain kali la pula aku cerita.
#MFS
– Didikan pertama bermula di rumah –
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!