
Isi Kandungan
ToggleWaktu pagi adalah waktu yang cukup berkat. Waktu inilah dibuka pintu rezeki setiap orang. Sebab itu, orang tua cakap, bangun seawal pagi supaya rezeki masuk. Rugilah bagi yang kerap bangun lewat.
Ini antara bait-bait yang dikatakan oleh Khairul Syazwan. Moga ia menjadi panduan dan amalan untuk kita semua.
Pagi diciptakan Allah sangat indah.
Waktu satu jam sebelum subuh dan satu jam selepas subuh adalah sangat yang paling dekat manusia itu dengan Tuhannya.
Sebab itu, siapa yang mengusahakan segalanya di awal pagi, insyaAllah dia akan tenang melalui kehidupan ini walau banyaknya diuji.
Rahsia Yang Maha Esa
Maka, pagi-pagi ni ada rahsia Allah yang akan diberikan kepada kita. Yang mana, kalau kita lakukan, insyaAllah. Kita benar mendapat apa yang terbaik dalam hidup ini.
1. Pagi itu berkat.
Berkat ni maksudnya cukup. Siapa yang bangun awal, solat subuh awal waktu, tidak tidur selepas subuh, itulah kecukupan yang akan mencukupkan semuanya. Soal rezeki, soal rumahtangga, soal kerja dan segalanya. Itulah powernya waktu pagi. Waktu dimana Nabi kita sendiri mendoakan umatnya.
2. Pagi itu sihat.
Bangun pagi, buka tingkap dan angin yang masuk ke dalam rumah itu, menyegarkan dan menjadikan ahli rumah itu positif. Malah, kalau kita jogging ke, buat senaman di luar rumah pun, memang kita akan rasa segar dan sihat. Embun yang turun di waktu pagi itulah, yang paling segar.
3. Pagi itu kuat.
Kalau kita lihat orang yang kaya, orang yang berjaya, orang yang ada jutaan followers, hidup mereka memang dari awal pagi. Mereka orang yang tahu dari mana nak dapatkan kekuatan itu. Suami isteri yang kuat itu, walaupun semalam penat, tapi bila mereka positif di awal pagi, mereka lah pasangan yang paling kuat sepanjang hari.
Dari Abu Hurairah R.A,

Bahawa Nabi SAW bersabda:
“Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang dari kalian saat tidur dengan tiga ikatan ia akan membisikkan kepadamu bahawa malam masih panjang, jika ia terbangun lalu berzikir pada Allah lepaslah satu ikatan, jika ia berwuduk maka lepaslah dua ikatan, dan jika ia melanjutkan dengan solat, maka lepaslah seluruh ikatan itu, sehingga pada pagi harinya ia mulai dengan penuh semangat dan jiwanya pun sihat, namun jika tidak, maka dia akan memasuki waktu pagi dengan jiwa yang keji dan penuh kemalasan.” [HR Bukhari]
Berpagi itu berkat!
MW: Waktu pagi nie, ramai yang tarik selimut untuk tidur kembali. Kita tak tahu, inilah waktu pagi yang cukup berkat untuk kita.
Sumber: Khairi Syazwan
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
2 Tahun Covid Mengganas, Ashraf Sebak Pertama Kali Solat Bersama Jemaah Tanpa Penjarakan Sosial

Isi Kandungan
Toggle2 tahun Covid mengganas, Ashraf Muslim sebak pertama kali solat bersama jemaah tanpa penjarakan sosial. Begitulah luahan hati Ashraf yang begitu sebak dan terharu apabila dapat solat berjemaah di Mekah.
Sebelum ini pada 13 Oktober lalu, pelakon itu berasa sangat teruja apabila dirinya bersama jemaah lain merupakan grup pertama dari Malaysia berangkat ke tanah suci Mekah bagi menunaikan umrah.
2 Tahun Covid Mengganas
Sejak tiba di Mekah, Ashraf sentiasa berkongsi aktivitinya di sana. Malah dia juga bersyukur dan berasa bagaikan ada keajaiban yang berlaku pertama kali selepas dua tahun, merasakan momen bersama-sama jemaah untuk bersolat tanpa penjarakan sosial.
“Alhamdulillah.. sebelum berkumandang azan subuh di pagi ini.
“Satu lagi keajaiban berlaku dimana hari ni untuk pertama kalinya setelah 2 tahun covid mengganas di dunia ini, saya dapat merasakan “moment” bersama-sama jemaah disini utk solat yg tak perlu penjarakkan sosial lagi.
“Syukur pada Allah. Air mata ni asyik mengalir je dari tadi. Allah sayangkan kita.
Allah Sayang Supaya Kita Dekat Dengan Dia
“Allah marah tapi Dia sayang supaya kita dekat dengan Dia.
“Allahuakbar.! Oklah azan subuh dah dilaungkan.. semoga moment ini turut juga berlaku di Malaysia tak lama lagi. InsyaAllah,” tulis Ashraf.
Baca Disini Juga:
Ashraf Muslim Tunai Umrah Grup Pertama Ke Tanah Suci “Banyak Nak Dibetulkan Dalam Diri”
Sanggup Menempuh Perjalanan Jauh Dengan Berbasikal, Dua Lelaki Ini Nekad Teruskan Hasrat Ke Mekah
Sanggup Menempuh Perjalanan Jauh Dengan Berbasikal, Dua Lelaki Ini Nekad Teruskan Hasrat Ke Mekah
Amalan Bersedekah
Menerusi perkongsian terbaru, Ashraf juga berkongsi mengenai amalan bersedekah.
“Seronok bila buat aktiviti macam ni di tanah suci.

“Selain ibadah di masjid kita turut boleh bersedekah.
“Terima kasih kepada mereka yang bersedekah. Hanya Allah sahaja yang akan membalas dengan kebaikan anda semua.
“Sesungguhnya orang terbaik di antara kalian adalah orang yang memberi makan.” (HR. Thabrani). Seorang laki-lai bertanya kepada Nabi SAW, “Perbuatan apa yang terbaik di dalam Islam?” Nabi SAW menjawab, “Kamu memberi makan kepada orang lain.” (HR. Bukhari dan Muslim),” kongsi Ashraf.
Sumber / Sumber Foto : Instagram ashrafmuslim
YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita
Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Menangis Selepas Ucap Syahadah, Sumayyah Tinggalkan Pakaian Seksi & Hidup Sosial

Membesar di kawasan kejiranan kediaman yang dikelilingi masyarakat Melayu, sedari kecil pemilik nama sebenar Sandhyalini a/p Subramaniam atau kini nama Islamnya, Nur Sandhyalini Sumayyah binti Abdullah, 26 sudah terbiasa dengan aktiviti masyarakat Islam setempat. Anak bongsu dari dua orang adik beradik ini berasal dan membesar di Ampang.
“Saya membesar di kawasan perumahan yang dipenuhi dengan masyarakat Melayu dan Cina. Keluarga saya satu-satunya berbangsa India pada ketika itu. Jadi rakan-rakan sepermainan saya orang Melayu semuanya.
“Kami membesar bersama-sama dan masih berhubung sehingga kini. Jadi saya dah biasa dengan aktiviti harian mereka terutamanya keagamaan seperti contoh saya akan berdiam diri ketika azan, baca doa sebelum makan, baca ayat Al-Qursi kalau takut, berpuasa, bersahur, berbuka puasa, cara solat dan menyambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama-sama rakan yang beragama Islam,” bicara anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang berpangkat Lans Koperal ini.
Tidak Kekok Bergelar Mualaf
Wanita yang mesra di sapa dengan panggilan Sumayyah ini juga akui tidak berasa kekok selepas memeluk Islam.
“Pergaulan dengan orang Muslim sudah sebati dengan diri saya sejak dilahirkan dan tidak kekok untuk membawa diri sebagai seorang Islam. Saya fasih berbahasa Melayu membuatkan ramai orang ingatkan saya memang keturunan Melayu atau Mamak,” sambung Sumayyah.
Berkongsi kisah bagaimana dia tertarik untuk memeluk agama Allah ini, Sumayyah meneruskan perbualan bersama penulis.
“Saya tertarik memeluk Islam ketika menonton sebuah video banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, saya merasakan seperti mahu mengambil wudhu dan solat bagi mendoakan mangsa banjir iaitu seorang ayah yang tenggelam timbul demi menyelamatkan anaknya dan akhirnya lemas. Saya tidak tahu kenapa rasa demikian sedangkan saya tak pandai solat.
“Video seterusnya ialah video rakaman semula bagaimana Rasulullah SAW wafat, video dengan muzik yang sedih dengan ayat-ayat cinta. Selepas habis menonton video yang ditunjuk oleh rakan sebilik rumah sewa itu, saya terus menyatakan bahawa saya mahu ke pejabat agama untuk memeluk Islam.
“Sebenarnya sejak zaman sekolah lagi saya sudah pandai membaca surah al-Fatihah, doa belajar, doa makan, mengucap, istighfar, tasbih, takbir, selawat kerana sering terikut-ikut dengan perbuatan kawan-kawan Islam saya,” ujar Sumayyah.
Menangis Selepas Mengucap Dua Kalimah Syahadah
Memeluk Islam pada 29 Disember 2014 di Jabatan Agama Islam Wilayah, Sumayyah mendalami Islam melalui pelbagai buku yang dibeli. Selain itu dirinya juga sering mendengar ceramah-ceramah di youtube dan mendengar kisah-kisah para Nabi dan Rasul dari rakan-rakan.
“Perjalanan hidup saya sebelum Islam adalah sangat sosial dan berpakaian agak kurang sopan. Tetapi sejurus memeluk Islam, saya menangis selepas mengucap dua kalimah syahadah dan pada pagi sebelum ke JAWI saya sudah mulai bertudung. Saya menangis kerana merasakan aman,tenang dan selamat akhirnya. Ramai kawan-kawan yang marah dan tidak mahu berkawan dengan saya, tetapi ramai juga yang masih berkawan dengan saya kerana mereka memang sedia maklum dengan persekitaran saya membesar dahulu.
“Saya juga merasakan sangat tenang, tidur lena, aman, selamat, syukur, terharu, gembira dan bahagia. Ini kerana beberapa bulan sebelum memeluk Islam, saya mengalami jiwa kacau seperti sering bermimpi buruk, tidak boleh tidur lena, dan telah lama lupa pada cara sembahyang.
“Gaya hidup saya sebagai seorang muslimah dengan kehidupan lama jauh bezanya bagaikan langit dengan bumi, kalau dulu saya berpakaian ketat dan tidak sopan pakaian saya yang menutup aurat sekarang lebih membuatkan saya rasa selamat dan selesa untuk bergerak ke mana-mana dan tidak dipandang serong. Pergaulan lebih kepada menjaga batasan, adab dan tutur kata,” luah Sumayyah.

Di Sebalik Nama
Mahu berkongsi kisah di sebalik nama Sumayyah yang dipilih, wanita ini sebenarnya telah mencari agak lama nama Islam yang sesuai untuk dirinya.
“Pada malam sebelum saya ke JAWI untuk mengucap dua kalimah syahadah, saya telah mencari nama-nama Islam di carian internet tetapi tidak berkenan. Kemudiannya saya menutup data internet dan melelapkan mata, dalam mimpi saya ketika itu cukup gelap kedengaran satu suara lelaki yang memanggil Sumayyah lalu saya terjaga dari lena. Saya pun terus sambungkan semula data internet dan mencari maksud nama Sumayyah. Keesokkannya di JAWI apabila ustaz bertanyakan nama, lalu saya terus menyebut Nur Sandhyalini Sumayyah,” kongsi Sumayyah.

Aktif Belajar Agama
Selepas memeluk Islam, Sumayyah mula mendalami ilmu agama di PERKIM BAHAGIAN WILAYAH pada tahun 2015 tetapi tidak dapat memberi komitmen kerana terlalu sibuk dengan kerjaya.

“Bermula pada bulan Ogos 2018, saya tertanya pada diri sendiri “sampai bila aku nak terkontang-kanting tanpa ilmu agama ni, cemburu tengok budak kecil yang sudah pandai mengaji al-Quran sedangkan aku belum”.
“Selepas itu saya mula aktif semula memberi komitmen sepenuhnya dalam pelajaran agama suci ini. Selain itu, bermula pada bulan Januari 2019 saya telah mendaftar dan mula belajar di Kompleks Darul Hidayah yang terletak di Jalan Sentul Pasar pada waktu pagi dan masih belajar di Perkim pada waktu petang. Selain itu,saya juga banyak melibatkan diri dengan menghadiri program-program agama seperti yang terbaru Ceramah Ustaz Abdul Somad dari Indonesia di Masjid Wilayah dan pada menyertai Bengkel Belia : Generasi Pelapis Pendakwah siri 1 oleh Penceramah Profesional iaitu Ustaz Mohd Fadli Yusof.
“Setelah lima tahun memeluk agama Islam dan tidak komited dalam pelajaran agama akhirnya dibuka hati untuk mula belajar dengan serius Iqra. Banyak hikmah kehidupan saya sekarang di mana jauh lebih tenang dari sebelumnya. Ini kerana saya banyak menghadirkan diri ke majlis ilmu agama, saya juga berharap dapat menjadi seorang pendakwah atau ustazah suatu hari nanti,” akurnya.
Baiki Diri
Sebagai insan biasa Sumayyah akui tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Dan kini dia masih dalam proses memperbaiki diri sebagai seorang muslimah sejati.
“Saya juga tidak tercicir dari melalukan kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang lain dan masih lagi dalam proses untuk membaiki diri bagi menjadi seorang muslimah yang solehah. Dugaan datang dari pelbagai bentuk dan cara, soalnya tinggi mana keimanan dalam diri kita, bagaimana menjaga akhlak agar akidah tidak terpesong, semuanya atas pada diri kita sendiri. Bagi saya setiap agama ada larangan dan suruhan, cuma dalam agama Islam ni saya rasa lebih ketat peraturan yang kita perlu ikut. Contohnya dulu jika tidak sembahyang sehingga terlupa bagaimana caranya dan tiada apa-apa perasaan, kini saya akan berasa tidak tenteram dan serba salah jika meninggalkan solat disebabkan kelalaian sendiri atau kerja.
“Saya juga sangat bersyukur dengan bantuan dari buku panduan solat yang dihadiahkan oleh sahabat yang saya kenal selama 26 tahun iaitu Fitri Suraya. Alhamdulillah sy telah menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan pernah juga mengimamkan solat bersama kawan-kawan saya beberapa kali,” akhiri Sumayyah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Maulid Nabi Lambang Cinta Warisan Sunnah, Jangan Ekploitasikannya! Dengar Penjelasan Doktor Ini

Isi Kandungan
ToggleSetiap tahun, tanggal 12 Rabiul Awwal merupakan satu tarikh yang istimewa khususnya bagi umat Islam. Ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW atau dinamakan sebagai Maulid Nabi disambut secara besar-besaran dengan pelbagai pengisisan.
Antaranya adalah perarakan, bacaan selawat beramai-ramai juga majlis kenduri dan ceramah agama berkaitan Baginda SAW.
Ikuti perkongsian Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Anuar Ramli berkaitan timbulnya pelbagai penyalahgunaan terhadap sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Dari segi pensejarahan, sambutan maulid Nabi dikaitkan dengan tradisi pemerintah Islam pada zaman Fatimiyyah. Ia menjadi titik polemik antara golongan yang mengharuskan sambutan maulid dan yang melarang.
Larangan ini timbul kerana sambutan hari kelahiran tidak pernah dilakukan oleh Nabi dan juga khulafa’ al-rasyidin, sebaliknya hanya dilakukan oleh umat Islam terkemudian.
Akibat jahil dan tidak mengenal Nabi dan mendalami Sunnah Nabi SAW, mereka telah mengekploitasikan Sunnah Nabi atas nama “mengamalkan Sunnah”. Natijahnya lahir produk, perkhidmatan, amalan atau gaya yang dinisbahkan kepada Nabi SAW.
Strategi Pemasaran
Terdapat kalangan pengusaha yang menggunakan pelabelan Sunnah dalam produk dan perkhidmatan sebagai strategi pemasaran. Justeru mereka menghasilkan produk makanan Sunnah dan minuman Sunnah dengan berbagai jenama dan kandungan bahan Sunnah.
Sedangkan produk yang dihasilkan bukan berasaskan penelitian dan penyelidikan yang mendalam sama ada mengikut tatacara pengambilan oleh Nabi SAW dalam bentuk sukatan kuantiti dan kualiti makanan terbabit, juga amalan pengambilan makanan dalam latar belakang budaya Arab di samping latar belakang iklim setempat di Mekah atau Madinah.
Penelitian terhadap cara pengambilan dan latar belakang budaya masyarakat adalah signifikan bagi melihat bentuk dan kadar pengambilan dan kesesuaiannya dengan pengguna setempat di Malaysia.
Sebaliknya mereka sekadar memetik hadis Nabi secara umum dan memasukkan unsur bahan yang disebut tersebut ke dalam produk yang dihasilkan.
Tindakan pengusaha ini biasanya melibatkan OEM (Original Equipment Manufacturer), iaitu sesuatu produk dikeluarkan oleh pihak lain kepada pengusaha di bawah jenama yang dikehendaki oleh pihak pengusaha.
Pihak pengeluar akan mengadunkan bahan-bahan yang diminta oleh pengusaha ke dalam produk yang dihasilkan hinggalah ke proses pembungkusan dan pelabelan.
Dalam rantaian penawaran produk ini, pengusaha membayar sejumlah wang kepada pengeluar dan hanya menerima produk siap yang diinginkan untuk dipasarkan kepada pengguna.
Di samping itu, produk yang dihasilkan juga disertakan dengan dakwaan melampau dan juga testimoni pengguna.
Tanpa Melalui Kajian Dan Ujian Klinikal
Produk ajaib yang mengandungi bahan Sunnah didakwa boleh merawat 1001 jenis penyakit termasuklah 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan sebagai tuntutan perubatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Antaranya seperti kanser, jantung, kencing manis dan lain-lain. Malangnya produk yang dihasilkan hanya bersandarkan khasiat makanan Sunnah tanpa melalui kajian dan ujian klinikal pasca pengeluaran untuk dibuktikan keberkesanannya, sebaliknya hanya menggunakan testimoni pengguna yang boleh dipertikaikan.
Analisis kandungan terhadap produk tertentu menunjukkan adanya bahan berbahaya seperti dexamethasone dan prednisolone iaitu bahan steroid yang dilarang di bawah Akta Makanan 1983 di sebalik pelabelan Sunnah. Sejajar dengan dakwaan khasiat yang pelbagai, produk turut dijual dengan harga yang tinggi kepada pengguna.
Selain kemelut dakwaan melampau dalam produk yang dihasilkan, terdapat juga kalangan ibu bapa yang menolak kaedah rawatan moden dengan menggunakan pendekatan alternatif, iaitu pengambilan makanan Sunnah di samping mengamalkan teknik yang dikaitkan dengan Sunnah.
Misalnya golongan antivaksin berkeras menolak suntikan vaksin kepada kanak-kanak dengan alasan untuk menjaga kesucian tubuh anak daripada najis dan hanya mengambil makanan Sunnah sebagai ganti imunisasinya.
Begitu juga dengan golongan yang mengamalkan kaedah melahirkan anak di rumah (homebirth) tanpa pemantauan anggota kesihatan terlatih, mereka menolak kaedah moden dan mengamalkan pengambilan makanan Sunnah serta mengikut amalan secara alami sepertimana dalam kisah kelahiran Nabi Isa AS.
Justeru senario ini merupakan sebahagian daripada barah dalam masyarakat yang tidak salah faham dengan Sunnah yang diwariskan oleh Nabi Muhammad SAW kepada pengikutnya.
Mencari Keuntungan
Semakin jauh dari zaman Nabi SAW, umat semakin keliru dalam memilih Sunnah untuk diamalkan, malah ada pihak mencari keuntungan di sebalik senario tersebut.
Sedangkan Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
“Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, (iaitulah) al-Quran dan Sunnah NabiNya.” (Riwayat Malik, no. hadis: 1594).
Jelasnya, Baginda telah mewariskan dua khazanah penting kepada umat Islam untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.
Sehubungan dengan itu, dalam aspek pengambilan makanan dan minuman, syariat Islam tidak meletakkan makanan Sunnah sebagai keutamaan asas hingga menafikan makanan setempat yang halal lagi tayyib.

Sebaliknya dalam al-Qur’an, perintah yang diturunkan adalah arahan mengambil makanan secara umum (al-Baqarah [2]: 60) dan makanan yang halal lagi tayyib (al-Baqarah [2]: 168, 172; al-Ma’idah [5]: 88; Surah al-Nahl [16]:114).
Selain itu juga, penyalahgunaan label Sunnah turut memberi imej yang buruk terhadap Nabi SAW. Umpamanya apabila berlaku implikasi kemudaratan dan kematian akibat pengambilan produk yang dilabel dengan Sunnah, ia dapat memberi kesan negatif terhadap kesucian Sunnah Nabi SAW.
Di samping itu, menafikan rawatan dan perubatan moden yang diyakini keberkesanannya turut bersalahan dengan Sunnah Nabi SAW.
Ini kerana dalam urusan perubatan, Baginda pernah mengarahkan Sahabat untuk bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan (Riwayat Abu Daud, no. hadis: 3875).
Selain itu, dalam urusan keduniaan, Baginda meletakkan panduan asas umpamanya sabda Baginda: Kamu lebih mengetahui urusan duniamu. (Riwayat Muslim, no. hadis: 2363).
Kembali Hayati Sirah Dan Teladan Nabi Muhammad SAW
Panduan ini selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nahl [16], 43: Maka bertanyalah para ahli (pakar), jika kamu tidak mengetahui. Jelasnya menolak kaedah rawatan dan perubatan moden dengan alasan mengutamakan Sunnah Nabi adalah suatu tindakan yang kontradiksi dengan ajaran Islam.
Sempena dengan memperingati maulid Nabi SAW, kesempatan ini perlu dimanfaatkan untuk kembali menghayati sirah dan teladan Baginda serta Sunnah yang Baginda wariskan.
Sebaliknya, jika ingin mengikuti dan menyintai Sunnah Baginda adalah bukan dengan mengeksploitasi label Sunnah untuk menghasilkan produk dengan dakwaan yang melampau, bukan juga dengan tindakan eskapisme daripada rawatan dan perubatan moden dengan motif tertentu.
Kehadiran Nabi Muhammad SAW sebagai contoh ikutan dan juga rahmah kepada ummah perlu dihargai dengan penuh kecintaan yang tulus. Marilah bersama sama berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI