Dalam rumah tangga, perlu ada toleransi dan persefahaman di antara suami dan isteri. Barulah perkahwinan akan raih bahagia.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, daripada Promind Training & Consultation, yang juga penulis ruangan Nota Untuk Isteri di dalam Majalah Mingguan Wanita berkenaan apa sikap-sikap isteri yang boleh mencabar kesabaran suami dan seterusnya menggugat kebahagiaan rumah tangga.
Impian
Semua orang mahu memiliki keluarga bahagia. Jika diizinkan Tuhan, biarlah hari bahagiaan itu datang segera. Pemerhatian saya mungkin salah, tetapi ada perbezaan apabila lelaki dan perempuan bercakap tentang masa untuk itu semua berlaku.
Walaupun saya mendirikan rumah tangga sebelum usia 25 tahun tetapi ramai kawan-kawan lain yang masih tenang walaupun telah melewati pertengahan 30-an. Namun apabila membaca posting-posting umum di media sosial, ramai orang perempuan mula resah apabila melintasi usia 28 tahun. Usia yang mereka kata sudah terlalu lewat.
Ads
Risau
Melihat dari sudut pandang mereka, saya boleh memahami kerisauan itu. Jika ditolak tepi segala pertimbangan, memang berkahwin itu tidak sukar dan rumit.
Selalu juga saya dengar, “kalau nak fikir semua benda memang tak kahwinlah aku!”. Sebenarnya perkahwinan itu mudah jika kita betul-betul ikhlas. Perkara baik, pasti Allah mempermudahkan. Namun perkahwinan itu bermasalah jika kita melakukan beberapa perkara yang saya akan kongsi dalam nota minggu ini.
Niat
Pertama sekali, apakah niat anda berkahwin itu? Adakah anda berkahwin itu kerana panik sebab semua rakan-rakan lain sudah berkahwin? Atau anda berkahwin kerana perlukan perubahan status dalam meningkatkan pencapaian kerjaya anda?
Saya tidak tahu dan tidak ada sesiapa pun tahu jika itu niat anda ,asalkan anda tidak memberitahu sesiapa pun. Jika itu hakikatnya, maka simpan rahsia itu baik-baik. Jangan beritahu sesiapa. Tidak semua rahsia kita perlu kongsi terutama rahsia begini dengan suami sendiri sekiranya anda tidak mahu status itu hilang dalam sekelip mata.
Ads
Anda mungkin berdarah srikandi keturunan Hang Tuah Melaka. Katalah itu fakta tetapi keberanian menjadikan pertengkaran rumah tangga sebagai drama tontotan hanya memalukan suami dan diri sendiri. Keberanian luar tabii begitu tidak menyelesaikan apa-apa tetapi akan membuatkan suami meninggalkan anda kerana sikap kebudak-budakan itu.
Suka Pamer Bahagia
Anda mungkin suka kalau orang tahu anda bahagia. Anda gunakan sepenuhnya media sosial mempamerkan kebahagiaan itu. Tidak cukup begitu, bila berada di khalayak ramai anda akan menunjukkan betapa sayangnya anda dengan bergayut pada badan suami hingga dia nak melangkah pun susah.
Bagus begitu, tetapi adakah anda kenal suami anda itu lelaki yang bagaimana? Adakah dia suka publisiti begitu? Setiap suami mempunyai pendapat yang sangat berbeza tentang bentuk dan warna kebahagiaan. Dia bukan tidak bahagia tetapi dia tidak suka anda menunjukkan itu semua secara keterlaluan di khalayak umum. Anda boleh cakap itu hak anda jika orang lain yang menegur tetapi jika suami sendiri yang menegur maka isyarat itu adalah lampu kuning yang perlu perhatian serius.
Ads
Maaf Dan Lupa
Semua orang pernah buat salah. Siapa yang mengaku tidak pernah buat salah, adalah penipu besar!. Dalam rumah tangga, itu pasti telah dan akan berlaku. Cara paling tepat menyerap impak negatif keadaan ini ialah dengan memaafkan dan melupakan. Tapi ada isteri yang boleh memaafkan tetapi tidak akan melupakan. Bagaimana dengan anda? Adakah anda pantang ada isu, maka pasti anda mengungkit semula koleksi rekod-rekod kesalahan lama suami untuk dipadankan dengan isu tersebut?
Lelaki ada ego di sebalik memori jangka panjangnya yang tidak begitu baik. Egonya tidak boleh bertahan jika selalu sangat berhadapan dengan ungkitan kesalahan lama begitu.
Curiga Tak Bertempat
Cemburu dan curiga itu tanda sayang. Itu betul tetapi bukan cemburu yang melepasi kewarasan. Jika anda tidak ada masalah dengan kesetiaannya maka kenapa anda curi-curi memeriksa telefon bimbit dia?
Saya pernah ada satu kes daripada seorang klien. Dia kata itu sebagai langkah berjaga-jaga. Sudahnya suaminya tidak ada apa-apa skandal tetapi menceraikannya kerana tidak suka isteri yang curiga tidak bertempat.
Sikap dan sifat yang telah saya kongsi itu kelihatan sangat remeh. Namun jangan ambil mudah kerana ini semua adalah sikap yang mengandungi toksin bisa dalam hubungan rumah tangga. Kenal diri suami. Tahu pantang larangnya dan anda mempunyai peluang yang sangat baik untuk tua bersama dengannya. Insya-Allah…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Apabila seorang wanita mengalami menopause bermakna potensi untuk mendapatkan seorang anak adalah mustahil.Ini kerana tiada lagi telur yang dikeluarkan oleh ovari sendiri.
Namun demikian, seorang wanita dari Britain yang telah disahkan menopaus pada usia 36 tahun dan diberitahu oleh doktor bahawa dia tidak akan memiliki anak sendiri, telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan melalui kaedah persenyawaan in-vitro (IVF).
Marie Neal, 49, dari Nelson di sini telah melahirkan Essie dengan berat 3.54 kilogram pada 10 Ogos lalu selepas sembilan kali melakukan kaedah IVF yang menelan belanja mencecah £60,000 (RM324,224) sejak berusia 42 tahun.
Menopause
Wanita yang bekerja sebagai seorang setiausaha perundangan dan suaminya Dale, 49, telah bersama selama 12 tahun. Mereka berusaha untuk memiliki anak pada usian lewat 30an, namun kecewa apabila diberitahu oleh doktor bahawa dia telah mengalami menopause dan tidak akan mempunyai anak sendiri.
“Saya selalu membayangkan mempunyai anak sendiri, sehinggalah doktor memberitahu bahawa saya tak boleh mempunyai anak sendiri kerana telah mengalami menopause. Saya sedar bahawa pentingnya ada sebuah keluarga.Ia agak mengejutkan kerana tiada lagi telur dan bermaksud saya takkan ada anak kandung saya sendiri,” ujar Neal.
9 Kali Rawatan IVF
Pasangan tersebut mengumpul maklumat mengenai IVF dan mengambil keputusan untuk melakukannya menggunakan telur yang didermakan untuk disenyawakan bersama sperma Dale.
Selepas sembilan kali mencuba rawatan IVF yang melibatkan dua kali keguguran kandungan dan tiga kali kehamilan luar rahim, doktor memberi amaran bahawa cubaan Marie untuk hamil hanya akan merisikokan nyawanya, namun ternyata pertaruhan itu berjaya.
Kegigihan wanita ini untuk memperolehi ‘anak sendiri’ wajar dipuji. Keazaman dan tekad untuk memiliki cahayamata dan rela menempuhi segala ujian serta pengorbana tanpa berputus asa, seharusnya menjadi inspirasi.
Buat para wanita dan pasangan suami isteri yang masih menantikan kehadiran cahaya mata, jangan sesekali pernah berputus asa, teruslah berusaha dan berjuang kerana tiada apa yang mustahil jika terus bersikap positif dan keajaiban itu ada.
“Jurusolek merangkap pengantin lelaki.” Seronoknya suami yang mekap sendiri isterinya. Bila berdepan situasi macam ini, barulah senang nak komen di mana tak puas hati.
Maklumlah suami sendiri, terusterang saja apa yang tak puas hati dengan mekap. Harapnya suami bukan jenis yang mudah sentap sudahlah.
Jurusolek Merangkap Pengantin Lelaki
Seorang pengantin lelaki di Jakarta, Indonesia menjadi viral kerana menata rias wajah isterinya sendiri ketika hari persandingan mereka, lapor laman berita Suara.com semalam.
Berdasarkan klip video yang dikongsikan di TikTok, seorang lelaki berpakaian biasa pada awalnya dilihat sedang tekun menyolek pengantin perempuan dengan solekan asas.
Tidak lama selepas itu, video seterusnya memaparkan lelaki tersebut sebenarnya merupakan pengantin lelaki yang pada ketika itu telah menyalin pakaiannya kepada busana pengantin.
Dia dilihat mengenakan solekan yang lebih sukar pada wajah pengantin perempuan, mengikut adat pengantin Jawa.
Pada penghujung klip video itu, kedua-dua mereka dilihat bersanding pada majlis tersebut.
“Jurusolek merangkap pengantin lelaki,” tulis keterangan pada video itu.
Video tersebut menjadi tular dengan ramai netizen memberikan pelbagai komen.
“Seronoknya disolek suami sendiri,” kata seorang netizen.
“Tajuknya adalah suamiku, MUA (jurusolek) ku,” kata seorang lagi. – AGENSI
Mingguan Wanita : Bertuah badan bila suami sendiri dapat solek wajah isteri ketika hari persandingan. Paling penting, isteri pun lebih selesa bila suami yang mekapkan.
Terkejut betul baca screenshot yang Peguam Syarie, Suriati Ab Ghani dari Mohamad Azlin & Suriati Associates ini kongsikan (rujuk gambar screenshot di bawah). Marah betul menantu dengan ibu mentuanya ini. Sehinggakan keluar bahasa ‘kasar’ yang tak sepatutnya ditulis. Dengan nada marah pulak semata mahu menyakitkan hati.
Tak semua mentua itu mahu meracun hubungan anak dan menantu. Ramai sebenarnya malah rata-rata mentua sekalipun mahu lihat anaknya hidup bahagia dengan pasangannya. Berkeluarga beranak cucu. Namun, bila ada segelintir yang bersikap sebegini, maka kisah mentua kejam dijaja bagaikan tiada indah pada pandangan mata.
Kredit foto : Cerekarama Racun Ibu
Rumah Tangga Pecah Belah Kerana Campur Tangan Mentua
Bila timbul isu rumah tangga pecah belah sebab campur tangan mentua, orang pun akan nampak mentua tak baik. Sibuk je nak masuk campur urusan rumah tangga anak menantu. Biarlah anak menantu tu bawa haluan rumah tangga mereka ke mana pun, kenapa nak sibuk-sibuk.
Ya betul.. satu part macam tu, memang tak dinafikan ada mentua yang sibuk dengan urusan rumahtangga anak menantu. Tapi ada juga menantu yang tak hormat mentua, hubungan tak baik dengan mentua. Malah, tak suka mentua, bersalam dengan mentua pun masa kahwin dulu je. Lepas tu dah tak nak balik langsung rumah mentua dah..
Ingat..kita pun akan tua, semakin hari umur kita semakin meningkat, anak kita juga semakin membesar & akan kahwin suatu hari nanti, kita juga akan dapat menantu yang mana kita nak menantu tu hormat kita sebagai mentua.
Sepatutnya kita yang muda pada masa ni patut merendah diri bertolak ansur, hormat mentua seperti ibu bapa kita sendiri, orang tua emosi dia lain, sensitif.. patut kita yang muda boleh kawal emosi & dapat berfikir dengan lebih baik berbanding dengan orang tua.
Untung Menantu Dapat Mentua Jenis Yang Memahami
Amat beruntung bagi sesiapa yang dapat mentua yang memahami, tak banyak cakap, tak sibuk masuk campur hal-hal kecil dalam rumahtangga anak menantu.. bersyukurlah, gunalah peluang tersebut untuk sayangi mentua, tackle hati & perasaan mereka.
Macam-macam kisah yang saya dengar & jumpa bila terlibat dengan isu masalah rumahtangga orang, bukan nak menangkan sesiapa, tapi bila dah bahasanya macam kat atas ni.. kita dah tau orang yang taipnya macam mana.. budi bahasa mencerminkan peribadi seseorang.
Jika marah sekalipun.. jika mertua tu salah sekalipun, tak perlu mencaci carut bagai macam tu terhadap orang tua.. macam tu ke bahasa ayah yang nak menjaga anak nanti.. ayah yang sepatutnya memberi didikan ilmu dunia & ilmu akhirat kepada anak.