Setiap pasangan yang berkahwin, tentunya mengimpikan rumah tangga bahagia dan menjadi mak ayah yang terbaik untuk anak-anak. Itulah impian dan ikrar yang dibuat di awal-awal perkahwinan.
Namun, selepas mempunyai anak dengan karenah anak-anak yang menguji kesabaran mak ayah.membuatkan kita terlupa seketika dengan ikrar yang dibuat awal dahulu. Memang tidak salah menghukum anak tapi kenalah berpada-pada. Tegur cara yang betul.
Begitu juga dalam mendidik anak. Tegur anak tak boleh buat itu, tak boleh buat ini. Hakikatnya, mak ayah yang buat. Macam mana tu? Ingat mak ayah adalah cerminan anak-anak.
Perkongsian daripada Wawa Shauqi boleh membuka mata agar menjadi mak ayah yang terbaik untuk anak-anak. Ingat, sayang diri sendiri dulu.
Pesanan Suami
Sebelum tidur semalam, suami saya katakan sesuatu kepada saya. Katanya, “Kalau kita nak jadi parents yang baik, kita perlu buat baik kat diri kita sendiri dulu.”
Langsung otak saya ‘flashback’ memori satu masa ni.
Memori waktu saya awal-awal tak bekerja dan menjaga anak. Saya benci dengan diri sendiri. Bila tengok kawan-kawan di IG, lagilah saya jadi sedih.
Masing-masing nampak hebat dengan kerjaya yang mereka bina.
Saya pernah rasa diri sangat tak berguna. Tak ada pencapaian walaupun asalnya saya seorang scorer di universiti.
Berbulan-bulan saya tak pandang cermin. Saya dah tak fikir tentang rupa diri. Walaupun hakikatnya saya dulu mekap tebal macam Rozita Che Wawa. I mean, Rozita Che Wan.
Ads
Berat badan saya turun dari 50kg ke 36kg. Berat paling ringan pernah dicatat sepanjang dewasa.
Bila berjumpa orang, saya dah tak mampu ramah macam dulu. Awkward sangat. Apatah lagi bila berjumpa kawan lama. Seboleh-bolehnya nak jauhkan diri dari mereka.
Saya pernah menangis dalam perjalanan ke kenduri. Hanya kerana suami saya bercerita salah seorang kawan kami akan berkahwin dengan seorang doktor.
“Wow. Doktor. You kawin dengan loser je babe.” kata saya.
Ads
Waktu tu, saya menangis macam kucing hilang anak. Tudung habis basah. Sampai kat kenduri, jenuh nak hilangkan mata bengkak dan sedu-sedan yang berbaki.
Bertuah Punya Keluarga
Satu-satunya benda yang buat saya rasa bertuah waktu tu, adalah anak dan suami.
Tapi rasa bertuah tu tak cukup. Ia tak membantu saya untuk bertahan bila anak buat kerenah. Ia tak membantu bila saya penat tak cukup tidur.
Saya mudah ‘annoy’. Sikit-sikit hal boleh mencetus marah. Rasa sangat loser dan tertekan.
Semuanya jadi bila saya lupa nak SAYANG DIRI SENDIRI.
Simple je kan! Tapi kesan dia besar kalau kita terlupa. Ya. Sayang diri sendiri adalah satu perasaan yang sangat ‘powerful’.
Bila saya mula berdamai dengan diri sendiri, saya mula berdamai dengan persekitaran saya.
Ads
Maafkan Diri Sendiri
Saya memaafkan diri sendiri, saya mula mampu memaafkan orang-orang yang menjatuhkan saya.
Bila saya berterima kasih kat diri sendiri, barulah saya mampu lihat betapa mahal benda-benda kecil yang saya miliki.
Saya mula menyayangi diri sendiri, barulah saya mampu buang rasa mudah ‘annoy’ kat orang lain.
Rupanya, semuanya bermula bila kita ‘be easy on yourself’.
Selama ni kita selalu terbeban dengan rasa diri-tak-cukup-baik. Dan kita bawa ‘luggage’ itu ke mana-mana kita pergi. Tanpa kita sedar, ‘luggage’ itulah yang melambatkan langkah kita untuk pergi jauh ke depan.
Lepaskan ‘luggage’ tu dan mulalah berjalan.
Ingat ni.
Kita takkan dapat tuang air oren kat anak kita, kalau gelas kita sendiri kosong.
Kita takkan dapat beri kasih sayang pada orang lain kalau kita tak mula menyayangi diri sendiri.
Jadi, mulalah peluk badan. Belai diri dan cakap terima kasih, sebab dah banyak berpenat lelah ikut kehendak hati.
MW: Mak ayah adalah cerminan anak-anak. Berterima kasih dan sayangilah diri sendiri.
Isteri ini, Husna Adnan berkongsi pengalaman membawa suaminya yang menghidap ‘panic disorder’ untuk mendapatkan dos pertama vaksin di pusat vaksin. Suaminya ini amat memerlukan peneman bagi menguruskan keperluan sedemikian.
Namun, jadi satu kesukaran buat isteri ini yang menemani suami mendapatkan dos pertama suntikan vaksin, apabila masih ramai yang belum faham akan situasi yang dihadapi pesakit mental sebegini.
Tak mudah sebenarnya, kerana penyakit yang suaminya hadapi itu masih ramai yang belum ada kesedaran tentangnya. Masih ramai juga yang belum memahaminya.
Dan inilah yang terjadi, dikongsikan isteri ini agar lebih ramai buka mata dan memahami penyakit sebegini wujud. Sebagai penjaga pesakit yang menghadapi masalah mental, Husna berharap semoga semakin ramai lebih cakna dengannya.
TIDAK SEMUA SAKIT TERLIHAT PADA MATA
Tidak seperti insan yang diuji dengan kecacatan kekal, sakit mental hanya dapat disahkan selepas kita bertemu pakar di hospital.
Selepas disahkan oleh pakar pun, tiada siapa akan tahu selain kita sendiri memberitahu kepada umum.
Sudah diberitahu pun tidak semua faham. Tidak sama reaksinya apabila kita menjelaskan yang kita menghidap anxiety disorder, major depressive disorder, bipolar, atau skizofrenia, berbanding apabila menyebut sakit kanser atau jantung.
Sakit mental juga salah satu penyakit. Boleh diubati, boleh sembuh. Sama waktu kita demam.
Namun masyarakat masih skeptikal akan pesakit mental dan ini yang berlaku semalam waktu aku menemani suami yang menghidap panic disorder bagi mendapatkan dos pertama vaksin.
Nazry disahkan menghidap panic disorder / anxiety disorder sejak tahun 2016, empat tahun selepas kami sama-sama sedar yang Nazry tidak berkelakuan normal seperti orang lain.
Dia tidak boleh memandu seorang diri.
Dia tidak suka kawasan sesak.
Dia takut pergi solat Jumaat.
Dia tidak boleh berbuat apa sahaja di luar rumah tanpa kehadiran aku. Nak aku juga teman.
Sekiranya dia tidak bersama aku, pasti kerana dia ada bersama kawan-kawan / escort.
Selama ini aku sentiasa menemani dia hampir ke mana jua hatta terpaksa menunggu berjam-jam di dalam kereta Kelisa yang akan menjadi panas bagaikan ketuhar ketika dia bermesyuarat, adalah kerana ini. Bukan kerana aku isteri yang manja, bukan juga kerana dia suami mengada-ngada.
Pengalaman Pesakit Panic Disorder Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Panic disorder bukan ketakutan seperti kita panik apabila rumah terbakar, air tiada waktu mandi, ataupun diserang lipas terbang.
Perkataan “disorder” itu membezakan panik orang biasa dan panik pesakit ini.
Ia tidak normal.
Apa yang ditakutkan dengan bersolat Jumaat?
Apa yang ditakutkan dengan memandu sendirian?
Apa yang ditakutkan dengan buang air besar?
Apa yang ditakutkan dengan tidur?
Ayat biasa orang normal adalah,
“Nak takut apa?”
Ya, kita yang sihat tidak akan faham sekiranya tiada ilmu. Hal biasa saja tapi kenapa nak takut beria?
Apabila Nazry mendapat SMS berkenaan dos pertamanya – sehari selepas tarikh berperang mendapatkan AZ kumpulan kedua yang gagal – dia sudah mula panik.
Panik apabila dia dapat vaksin yang asalnya gagal dimohon, panik apabila dia diarahkan ke PWTC dan bukannya di sekitar Kajang, dan lebih panik apabila mendapati aku yang lebih berusaha berjuang menempah tarikh AZ, tiada panggilan hingga ke hari ini. Isi borang sekali lagi, sudah. Kemas kini segala info, sudah. Semua sudah, semua sudah.
Bagaimana pesakit panic disorder seperti dia mampu pergi seorang diri ke PWTC demi mendapatkan dos pertama?
Tiada cara.
Tiada cara melainkan aku menemani dia.
Maka itulah yang berlaku semalam.
Buku temujanji berwarna biru dari Klinik Psikiatri Hospital Kajang siap dibawa sebagai bukti.
Namun apa yang berlaku seawal masuk ke PWTC, adalah amat mengecewakan.
Buku Biru Sebagai Bukti Ketika Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Kami ditahan oleh seorang anggota tentera kerana aku tidak dapat menunjukkan bukti temujanji di MySejahtera. OF COURSE. Dah kerajaan belum beri, macam mana aku nak dapat. Aku di situ pun bukan sebab aku ada temujanji.
Maka Nazry hulurkan buku biru dia dan menjelaskan kedudukan sebenar.
Anggota itu masih menghalang aku dan menyuruh Nazry masuk seorang diri.
Bayangkan.
Ini PWTC. Luas. Besar.
Kena naik ke tingkat 2 dan 3.
Bukan klinik desa.
“Saya ada panic disorder, tuan.”
Nazry dah mula panik dan marah.
Aku menjelaskan sekali lagi, namun anggota itu membalas yang dia tidak dapat berikan kebenaran kerana memang tidak dibenarkan ada peneman. PWTC perlu uruskan 18k temujanji setiap hari.
Itulah yang diulang. Tidak mahu berlaku kesesakan tidak perlu barangkali.
Lalu Nazry kata dia tak nak naik seorang. Dia tak nak ambil vaksin dan nak balik.
Dengan nada bersahaja anggota itu berkata, “Terpulanglah.” Tetapi beberapa saat kemudian, dengan buku biru Nazry masih di tangannya, dia memanggil pegawai lebih tinggi. Tak pasti pangkat apa, kami pun tak jelas hal paku.
“Tuan, mereka ni nak masuk berdua.”
Kini kami menghadap tiga anggota tentera.
Pegawai itu mengambil buku biru dan membelek. Beberapa soalan diajukan, dan buku biru diserahkan semula kepada aku.
Sambil memeluk tubuh, pegawai itu bertanya, “Dia memang selalu macam ini ke?”
“Ya, tuan. Kami ke sini pun saya yang memandu. Beberapa hari sebelum, dia dah panik sampai tak boleh tidur. Ini saya yang ‘encourage’ dia supaya dia ambil vaksin.” Penat kena ulang jawab tapi kita jawab jugalah.
“Hmm.” Jeda. “Boleh naik, tapi saya tak jamin di atas nanti kamu diberi masuk.”
Kami pun beredar selepas mengucapkan terima kasih. Bayangkan. Temujanji jam 4, kami dibenarkan masuk dengan jarak jauhnya, dengan soal jawabnya, jam 4.30 baru selesai.
Itu baru di lobi.
Masuk ke Dewan Merdeka, tiada yang tahan. Tetapi sekali lagi aku ditanya petugas waktu nak masuk ke ruang menulis borang.
“Sini tak boleh masuk kalau tak ada temujanji, kak,” kata seorang petugas lelaki.
“Saya temankan sebab dia ada panic disorder.” Sekali lagi aku tunjuk buku biru.
“Ha tak boleh, kak. Sebab sini sehari 18k orang kami kena urus, tak cukup kerusi.”
Waktu itu Nazry dah masuk ambil borang, maka aku hanya menunggu di luar pagar putih yang membezakan meja petugas dengan Station 1.
Melihatkan aku berdiri di luar pagar, Nazry juga mengisi borang sambil berdiri di hadapan aku walaupun banyak kerusi kosong.
Kemudian terdengar petugas lelaki itu memanggil.
“Kak, masuklah kak.”
Aku pun angguk dan berjalan ke arah pintu masuk sebelum seorang lagi petugas wanita bersuara, “Masuk tapi tak boleh duduk ya kak. Akak kena berdiri. Kerusi untuk yang nak isi borang je.”
Aku tarik nafas dalam-dalam.
Sebagai Penjaga Pesakit, Ini Yang Selalu Dihadapi
Aku tak kisah kalau semua ini disusahkan kerana prosedur. Aku serius memahami.
Tapi aku sebagai penjaga pesakit / caregiver rasa sayu pun ada. Sebab ini situasi biasa yang aku dah hadapi sejak jadi peneman Nazry.
Nazry diberi air, aku tidak.
Nazry diberi kerusi, aku tidak.
Nazry mendapat simpati bagi yang memahami, tetapi aku yang menjaganya dilayan macam habuk.
Aku tak minta dilayan lebih, tapi aku harap masyarakat kena faham yang penjaga pesakit seperti kami ini sentiasa dalam keadaan penat.
Penat fizikal, penat mental.
Bukan waktu itu saja, sebab kami kena buat banyak persediaan rapi sebelum hari kejadian.
Aku tak sempat makan apa pun sebelum ke PWTC memandangkan banyak tempahan yang perlu aku bungkus sebelum ke sana. Aku kena siapkan kerja sebelum temankan Nazry. Itu pun sambil-sambil menguruskan PdPR anak-anak.
Jangan tanya kenapa Nazry tak bantu.
Dia sedang berperang dengan diri dia.
Dia yang akan dicucuk petang itu.
Jam 1 petang baru selesai. Aku minta tidur sekejap kerana nanti aku perlu memandu.
Jam 1.40 petang aku bangun, mandi, bersiap, solat, kemas apa yang patut, dengan Afia masih berusaha siapkan PdPR, jam 3 petang kami hantar anak-anak ke rumah mak aku sebelum ke PWTC.
Tak sempat makan apa pun.
Tapi kepenatan aku tiada buku biru nak dijadikan bukti. Kepenatan penjaga hanya kami yang rasa.
Pesakit mental perlu difahami.
Penjaga mereka juga perlu diambil peduli.
Aku berdiri pun tak apa, tapi nada mengarah dengan gaya tubuh yang menyebalkan itu buat aku jadi tambah letih. Okey sambung.
Orang Tak Beri Duduk, Saya Tak Duduk
Aku masuk dan berdiri di belakang kerusi Nazry. Dari satu kerusi ke satu kerusi kerana perlu penuhkan kerusi di hadapan, aku hanya berdiri.
Ada dalam 5 – 10 minit aku berdiri. Entahlah.
Tiba-tiba petugas lelaki tadi menghampiri aku. “Akak duduklah. Ada kerusi kosong.”
Aku dah rasa nak flip chair. “Saya hanya ikut arahan. Orang tak beri duduk, saya tak duduk walaupun nampak banyak kerusi kosong.”
Dia gelak kecil. “Biasa ramai, kak. Waktu ini tak ramai pula. Akak duduklah.”
Beberapa ketika selepas aku duduk, nombor Nazry dah naik. Aku ekori dengan buku biru, petugas tahan sekali lagi tetapi terus dibenarkan masuk apabila aku kata aku peneman.
Sampai di Dewan Tun Razak 4, ditanya sekali lagi tapi dibenarkan masuk. Berdiri di sebelah Nazry tetapi tidak lama. Di ruang Consultation, aku kira petugasnya adalah staf kesihatan, maka aku dilayan lebih baik. Dapat duduk haha.
Waktu dipanggil ke meja penasihat, doktor memberi beberapa penerangan. Nazry alah pada paracetamol, jadi diminta ke farmasi bagi mencari ubat alternatif sekiranya demam.
Selepas itu proses vaksinasi cepat dan lancar. Tunggu 15 minit, dia kata lengan lenguh-lenguh saja, tiada kesan yang lebih serius.
Malam tadi dia demam sekejap. Tangan dan seluruh badan jadi sangat sejuk. Dia bangun makan ubat dan tidur semula. Pagi ini alhamdulillah dah okey, tiada kesan sampingan lain.
Pada aku, PWTC waktu PBAKL pun banyak kerenah. Aku malas nak ungkit apa jadi sebab orang buku pun meloncat hal-hal dulu sampailah sekarang, tapi aku tak sangka bab vaksinasi ini pun disusahkan sehabis boleh berbanding tempat lain.
Di UKM, mak ditemani kakak sulung. Semuanya sangat cepat. Tahu-tahu dah selesai. Kakak tidak sempat turun dari kereta, mak dah masuk balik.
Pengalaman mak dan kakak berbeza. Petugas baik melayan dan membantu. Indah belaka.
Tapi mungkin bukan sebab lokasi semata-mata.
Sebabnya, aku menemani suami yang sama-sama nampak sihat dan muda.
Harap Mudahkan Urusan Kes Yang Ada Bukti Klinikal
Aku yakin pasti sudah banyak perangai manusia yang petugas hadap sampai ketat sebegini. Mungkin benar ada yang diteman sebab mengada-ngada, sekadar nak meluangkan masa di luar rumah sambil berOOTD.
Tapi aku harap mana-mana kes yang siap diberi bukti klinikal seperti pesakit mental ini, dimudahkan urusan. Cukup baik mereka hadir demi temujanji yang diaturkan, banding tidak hadir langsung.
Dan aku harap dengan perkongsian ini juga, masyarakat lebih berusaha dalam memahami situasi pesakit mental dan penjaganya.
Nak suruh empati, tidak semua mampu.
Tapi terimalah yang sakit ini wujud.
Bukan rekaan semata-mata.
Dan tolong.
Sakit mental tidak berkaitan dengan iman. Nazry cukup solat, mampu jadi imam, tidak culas nafkah keluarga, dan hafal al-Mulk. Tiap kali sebelum tidur dia akan baca al-Mulk. Namun dia tetap diuji dengan sakit mental. Bukan dia minta.
Cuma, ya. Iman membuatkan dia mudah tenang dan ditenangkan. Ubat yang doktor beri juga wajib dimakan supaya dia tidak masuk ke tahap depresi. Insya-Allah, ada nampak perkembangan baik dengan pengurangan dos dan bilangan pil.
Doakan dia, doakan aku, doakan kami, dan doakan semua yang sedang bertarung dengan diri sendiri. Ramai kawan kami yang sudah didiagnos dengan pelbagai kondisi sejak zaman PKP ini.
Anda takkan faham selagi tidak menghadapinya.
Aku harap, tiada siapa perlu menghadapinya.
#HusnaAdnan,
Allah uji ikut kemampuan. NOTA: Dengan perkongsian ini, jangan tanya apa-apa kepada Nazry, jangan telefon Nazry nak tanya pengalaman dia, jangan ada stigma, jangan apa pun. Cukup dengan doa.
Sekiranya anda rasa anda juga ada masalah mental, bertemulah dengan pakar. Jangan Google saja, jangan diagnosis sendiri. Just don’t.
Dibenarkan Share. Aku izinkan.
Aku harap lebih ramai cakna dan ada perubahan.
Mingguan Wanita : Hakikatnya bukan saja warga emas, pesakit mental juga memerlukan peneman dalam mendapatkan dos pertama dan kedua vaksin di pusat suntikan vaksin.
Bahagia mak ayah bila melihat anak-anak berjaya dan membalas jasa bakti yang diberikan oleh kedua orang tuanya ketika kecil. Kiranya anak yang cukup mengenang budi atas pengorbanan orang tuanya selama ini.
Bukan semua anak boleh lakukan begitu. Sebab ada sesetengah anak yang sanggup membiarkan orang tuanya hanya duduk di kampung dan segan dengan kehidupan orang tuanya. Akhirnya, cucu cicit, langsung tidak kenal nenek dan datuknya.
Walau bagaimanapun, mengambil berat mak ayah ada baiknya dan itulah yang kita ingin lakukan pada mereka, tapi janganlah sampai mengetepikan segala pendapat mak ayah. Ikuti perkongsian daripada Farizal Radzali tentang hal ini.
Buat Wasiat
Tadi ada sepasang suami isteri yang dah tua datang pejabat. Mereka nak buat wasiat. Tunai, hartanah, simpanan tetap, kenderaan, banyak harta mereka. Bila ditanya mereka dapat pencen ke atau ada saham? Mereka kata tak ada.
Mereka bagitahu, mereka sudah tidak bekerja sejak usia 50 tahun. Anak ada 3 orang, semua berjaya. Doktor, arktitek & pensyarah. Anak-anak belikan rumah mewah untuk mereka. Kiri kanan pagar batu, ada orang gaji dua orang, bagi duit bulanan, duit pergi melancong. Mereka sudah pun menjelajah seluruh dunia.
Tapi….wajah mereka masih tak ceria. Macam ada yang tak cukup atau yang tersimpan di hati tak dapat diluahkan.
Saya kata beruntung & bertuahnya mereka. Ada anak yang mengenang jasa. Impian semua ibu bapa.
Si suami kata…..
kami sudah tua. Tak tau berapa lama kami akan hidup. Yang kami harap di hujung sisa hidup ini ialah bersama anak cucu, bukan dengan orang lain. Kami pergi sana sini, kami hidup mewah, tapi semuanya dengan orang lain. Masakkan makanan kami pun orang lain. Ada sesekali kami hulur duit belikan keropok untuk cucu, anak kata tak perlu belikan, suruh kami simpan duit tu. Kami nak simpan duit untuk apa lagi? Tak lama lagi kami mati. Kami tak perlukan duit lagi. Bila kami menyampuk di masa mereka berbincang hal kami, anak kata mak ayah duduk diam je, tak perlu susahkan diri lagi, kami akan uruskan semua. Mak ayah rehat je. Seolah kami dah tak diperlukan.
Saya tersentap sekejap. Ada rasa sedih.
Saya beritahu, mungkin mereka nak mak ayah mereka berehat, enjoy je. Mereka tak nak susahkan mak ayah sebab mak ayah dah penat membesarkan mereka. Jadi ini masa untuk mereka menyenangkan mak ayah pula.
Maka dijawab dek si isteri…
Hingga kami rasa maacm kami dah tak diperlukan? Atau kami menyusahkan? Kerana anak-anak dah boleh hidup sendiri, maka apa saja yang kami ingin katakan adalah tidak penting lagi?
Saya diam. Tiada jawapan. Dapat dirasakan betapa kecilnya hati mak ayah tersebut.
Terlepas Pandang
Adakala anak-anak ini terlepas pandang. Sebenarnya anak-anak ini terlalu ambil berat untuk tidak menyusahkan mak ayah sampai ketepikan pendapat mak ayah. Kononnya biar mak ayah rehat, kita akan buat semua mengikut cara kita sekarang. Niat untuk menyenangkan mak ayah tapi cara kita membuatkan mak ayah berjauh hati dengan anak sendiri.
Apa yang mereka nak ialah perhatian kita, belaian kita. Makanan mewah, banyak yang dah mereka tak boleh makan. Melancong, kudrat mereka tak sekuat dulu. Cuma satu yang tak pernah berubah, kasih mereka terhadap anak-anak.
Di masa kita sibuk menjaga insan yang baru nak kenal dunia & masih panjang hidupnya, kita terlupa pada insan yang dah tak lama lagi melihat dunia.
Tak semena-mena terbayang muka mak abah….
MW: Memanglah bagus anak terlalu mengambil berat tentang kedua orang tuanya. Tapi terlalu mengambil berat sampai ketepikan pendapat itulah yang membuatkan mak ayah berjauh hati, seperti tidak diperlukan langsung. Lagi bahaya.
Nak kuatkan ikatan di bulan puasa itu juga satu cabaran bila sudah punya anak-anak dan masing-masing sibuk dengan urusan mencari rezeki. Satu penat, selebihnya mungkin tak sempat.
Ada pasangan tak sempat nak ke masjid sama-sama, payah dengan anak kecil. Nak berbuka pun kadang kena bergilir. Itulah satu cabaran bila sudah berumahtangga. Nak-nak mata selalu melihat kelebihan pasangan lain di media sosial. Padahal apa yang dilihat itu belum tentu ada manisnya.
Nah, untuk renungan bersama tentang ikatan hubungan suami isteri di bulan puasa, jemput hadam perkongsian daripada Puan Intan Dzulkefli sejenak.
Kuatka Ikatan Di Bulan Puasa
Tahun lepas, sebak dan terkejut mendengar berita beberapa kenalan bercerai menjelang Syawal. Saat kita merayakan musim raya dengan pasangan dan anak-anak, ada pasangan yang telah pun terlerai ikatannya.
Saya berpesan kepada diri sendiri dan semua yang membaca, jom kita ambil keberkatan dan kemuliaan bulan Ramadan ini untuk niatkan juga segala ibadah yang dilakukan bersama sebagai wasilah untuk menguatkan ikatan hati kita sesama suami isteri, banyakkan doa semoga Allah memelihara ikatan pernikahan kita, menjadikan kita pasangan yang soleh-solehah buat isteri/suami kita.
Kena Ada Kerjasama Kedua Belah Pihak
Sakinah mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga takkan wujud tanpa usaha, kerjasama dan doa kedua pihak suami dan isteri.
Ambil momen ini untuk muhasabah kembali ke mana hubungan suami isteri ini hendak dibawa. Ke syurga atau sebaliknya. Serta tak lupa mendoakan ampunan dan keredhaan Allah buat pasangan kita.
Cara Kuatkan Ikatan Di Bulan Ramadan
Ada beberapa hal yang ‘simple’ tetapi sebenarnya mampu menguatkan ikatan hati kita bersama pasangan sempena bulan mulia ini.
(+) Sebelum berbuka, ajak anak isteri duduk di meja, doa sama-sama, baca al-matsurat, suami baca doa Rabithah niatkan agar Allah tautkan hati kita sekeluarga atas iman dan taqwa.
(+) Masuk waktu berbuka, jika berbuka puasa di rumah, jangan lupa untuk suapkan juga pasangan dengan senyuman. Sekali suap pun jadilah. Anak-anak yang melihat pun mesti sejuk hati melihat akhlak kita mereka melayani ibu/bapa mereka.
(+) Sesekali jika suami teringin hendak membawa anak isteri ke masjid untuk ‘iftar’ dan ceramah sempena Ramadan, pastikan yang perempuan menutup aurat sebaiknya sebelum meninggalkan pintu rumah.
(+) Satu hari dalam seminggu mungkin boleh diperuntukkan untuk sama-sama gotong royong menyiapkan juadah berbuka. Atau jika ada modal, masak lebih untuk disedekahkan kepada jiran.
(+) Jika anak-anak masih kecil dan belum memahami arahan untuk menghormati masjid dan jemaah, isteri redhakanlah suami pergi ke masjid. Banyak pahala bila isteri redha suami beribadah.
Suami Kena Bantu Isteri Sama Uruskan Hal Anak-anak
Suami yang berjemaah di masjid jangan berlengah-lengah pula untuk pulang ke rumah apabila selesai solat. Jangan alpa, suami juga perlu membantu isteri menguruskan anak-anak sementara si dia menguruskan diri dan emosinya. Beri ruang untuk isteri pula beribadah tanpa tangisan anak-anak.
Hanya ibubapa paling kenal keletah anak masing-masing. Bukan semua bayi adalah ‘easy baby’. Suami yang bertoleransi pasti menyejukkan hati isteri, InsyaAllah.
(+) Set ibadah-goal sebagai rujukan suami isteri. Tidak terlalu ‘advance’ hingga sukar dicapai, tidak pula terlalu bersahaja hingga terlepas peluang memperbanyakkan akaun pahala di bulan kemuliaan ini.
(+) Sentiasa ‘remind’ pasangan tentang target yang ingin dicapai sepanjang Ramadan, seandainya kita lihat pasangan seakan lalai dan bermalasan untuk beribadah.
(+) Lebihkan masa dengan al-Quran. Tadarus bersama juga adalah penyubur kecintaan sesama pasangan. Al-Quran akan memberi syafaat dalam kubur dan di hari akhirat.
(+) Menjelang 10 malam terakhir, isteri galakkanlah suami untuk iktikaf di masjid. Serta jangan lupa berazam untuk sama-sama mengejar lailatul Qadr.
Anak-Anak Adalah Ladang Pahala
Fokuslah untuk meraih sebanyaknya kebaikan di bulan kemuliaan dan keampunan ini.
Pasangan kita, anak-anak kita adalah ladang pahala, jangan rasa kecewa dan kecil hati jika ibadah kita tak sehebat orang lain atas keterbatasan dan kekangan itu ini, insyaAllah moga Allah juga menerima segala amalan kita.
Atau sekiranya ketika membaca ini, terdetik di hati, “kenapa pasangan saya tak pernah ajak saya untuk buat semua ini?” Apa kata mulakan dengan istighfar dan berdoa agar Allah permudahkan kita untuk beribadah secara berjemaah dan bersatu hati dengan si dia.
Ya Allah, permudahkanlah…
InsyaAllah. Semoga Allah pelihara rumahtangga para suami dan isteri yang sentiasa bersungguh-sungguh ingin memperbaiki diri mereka dan ibadah mereka di mata Allah, amiin.
Nilai Syawal
Syawal bukanlah tentang berpakaian cantik warna senada, tetapi sebenarnya yang memaknakannya apabila pasangan, anak-anak dan keluarga kita bertaut hati atas ketaqwaan kepada Allah.
InsyaAllah, moga Syawal nanti benar-benar diraih dengan fitrah. Amiin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kanak-kanak tercekik gula-gula kritikal, ibu bapa pilu."Fahmi sedang berjuang untuk hidup. Seorang kanak-kanak lelaki yang tercekik gula-gula Gummy, dilaporkan dalam keadaan kritikal. Air matanya...