Nafi dakwaan berkahwin dan terkena ubat pengasih, Neelofa beri penjelasan. Neelofa, 31, akhirnya tampil membuat penjelasan dan menafikan beberapa dakwaan tidak berasas berkenaan dirinya, PU Hariz dan keluarga kedua belah pihak yang tular di media sosial sejak Sabtu.
Terdahulu nama Neelofa menjadi bualan hangat, berikutan tersebarnya spekulasi yang mengatakan hubungannya dengan PU Riz telah berakhir.
Beberapa tangkap layar status keluarga Neelofa dan beberapa pihak tersebar di media sosial sehingga tercetus pelbagai dakwaan berkenaan pasangan selebriti itu. Malah Neelofa juga memohon maaf kepada keluarga kedua-dua pihak atas apa yang berlaku itu.
Nafi Pelbagai Dakwaan & Spekulasi
Menerusi hantaran sebuah video yang dimuat naik di akaun Instagram dan kenyataan rasmi yang diedarkan kepada pihak media Neelofa menjelaskan;
“Saya ingin mengambil kesempatan yang ada, ingin memohon maaf kepada pihak keluarga saya, keluarga Haris untuk segala perkara yang berlaku.
“Saya pasti, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi kami masih belum pun ada apa sebarang ikatan.
“Kepada keluarga saya, terima kasih yang tidak terhingga ingin saya ucapkan. Sokongan, kasih sayang yang ditunjukkan, teguran yang diberikan, saya hargai dengan setulus hati.
Ads
“Sekali lagi, saya mohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama memahami dan dapat memberikan saya ruang yang sewajarnya.
“Harap perkara ini tidak lagi akan berpanjangan. Malah saya juga perlukan doa-doa anda buat saya. Terima kasih juga untuk segala sokongan yang diberikan. Saya sangat hargai,” ungkap Neelofa.
Nafi Pelbagai Dakwaan dan Andaian
Menerusi hantaran video yang sama Neelofa akui dia perlu membuat penjelasan tentang perkara tersebut kerana ia melibatkan keluarga kedua belah pihak.
“Berkenaan dengan perkara yang sedang tular, pelbagai cerita dan andaian yang telah keluar tentang diri saya dan keluarga. Saya berharap, semua pihak dapat memahami apa yang saya ingin sampaikan dan seterusnya tidak terus membuat andaian mengenai perkara yang tidak betul tentang diri saya, Haris serta keluarga kami.
“Saya sendiri terkejut bila saya membaca dan melihat andaian-andaian ini keluar yang sememangnya tak betul, tak wajar dan tak berasaas. Cerita kononnya terkena buatan minyak pengasih itu adalah tidak benar sama sekali dan sejujurnya ia merupakan satu tuduhan yang amat berat.
Ads
“Alhamdulillah, seperti yang anda lihat sekarang, saya berada dalam keadaan baik, dan kesihatan yang terbaik. Saya berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesihatan saya,” ungkapnya.
Sangkal Dakwaan Pemindahan Sejumlah Wang Kepada PU Riz
Neelofa juga menyangkal dakwaan tentang pemindahan sejumlah wang kepada PU Riz dan perkahwinan di Kelantan.
Ads
“Tuduhan kononnya saya memindahkan sejumlah wang yang agak banyak kepada Haris, saya menyangkal tuduhan tersebut dan perkara itu adalah tidak benar sama sekali.
“Begitu juga dakwaan saya telah pun melangsungkan perkahwinan dan dinikahkan oleh bapa saya sendiri di Kelantan. Andaian ini juga adalah satu tuduhan yang sangat tidak benar dan tidak berasas.
“Saya mohon kepada semua pihak untuk tidak terus menerima andaian berkenaan bulat-bulat dan mengambil masa sejenak untuk memahami ketidakwajaran tuduhan ini,” jelasnya.
Mohon Diberikan Masa & Ruang Selesaikan Masalah
Difahamkan Lofa juga memohoan agar dia diberikan masa dan ruang untuk menyelesaikan masalah antara dirinya dengan PU Riz.
“Mengenai status hubungan saya dengan Haris, apa yang mampu saya katakan setiap hubungan itu ada cerita- cerita yang tersendiri dan tidak manis untuk saya mengeluarkan kenyataan membelakangi ahli keluarga saya.
“Apa yang mampu saya katakan, keluarga saya, dan keluarga Haris, kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian.
“Bagi saya, adalah lebih baik jika perkara ini diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak,” luahnya lagi.
Berbuat baik dengan jiran tetangga sangat digalakkan. Tapi kena tahu batasan, jangan sampai terjadinya skandal dan jatuh cinta dengan jiran sendiri!
Puan Hajah Maimunah Haji Muhamad, kaunselor dan penulis bebas serta kolumnis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita, menjawab permasalahan daripada seorang wanita yang terjebak dalam hubungan cinta terlarang dengan jiran sebelah rumahnya sendiri.
Seorang Isteri Dan Ibu
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Bekerja sebagai seorang guru dan begitu juga dengan suami. Tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota.
Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran surau atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Gemar Masak
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran. Di sebelah kiri rumah saya tinggal keluarga berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya sering ke rumah. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Rapat
Pasangan jiran saya itu, isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M pula yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita, saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsApp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi tentang masalah masing-masing seperti masalah kerja, dan anak-anak. Dan tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Bahkan tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Isteri Berdosa.
Jawapan:
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya, antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini? Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya.
Nafsu
Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar?
Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup. Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat, maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi. Tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Sukar Dikawal
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata ia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya.
Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti. Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal. Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta.
Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah. Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya
Dosa Dan Pahala
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala? Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk?
Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan? Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya?
Puan tahu kan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah… Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu, tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak, namun usaha puan mesti berlipatkali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Elakkan
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar no telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan…itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni. Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik.
Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain. Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramai sangat pasangan muda yang cepat panas hati. Pantang isteri silap sikit, ditempelaknya isteri depan orang ramai. Malulah isteri itu. Paling tidak bila dalam kereta atau sampai rumah, dia menangis sorang diri.
Itu kalau dapat isteri yang jenis baik tak melawan. Kena yang sama panas, barannya melangit. Mahu bergaduh depan-depan orang ramai.
Dalam rumah tangga, adatlah berkonflik suami isteri. Cumanya macam mana cara suami isteri atasi konflik tak sefahaman itu.
Kisah guru bernama Ezatul Mariniini boleh dijadikan panduan pasangan muda yang jenis cepat panas hati, asyik tak puas hati saja dengan pasangan.. sebabnya dalam usia perkahwinan 23 tahun itu, rupanya ada rahsia bahagia yang mereka amalkan.
Mana Ada Orang Tak Pernah Gaduh Langsung Dengan Pasangan
2018 kami sambut ulangtahun ke 23 perkahwinan… uih lama tu…2 tahun lagi dah layak kalau nak buat kenduri pastu kononnya pakai baju pengantin bagai… belum terfikir lah pulak nak buat begitu…
“Kak ezat dengan Abang Khaizu tak pernah gaduh ke? Nampak cam best friend je?”
Bohong tak pernah gaduh. Mana ada orang tak pernah gaduh langsung dengan pasangan. Tak logik kalau selalu aman je. Nak- nak yang macam kami. Perangai bertentang habis.
Ada kawan-kawan yang tanya macamana kami boleh bertahan selama ini. Betul ke sayang atau sebenarnya kasihankan keadaan En. K? Saya selalu biarkan je soalan tu tidak berjawab.
Ehhh! melalut dah ni… tadi topiknya pasal bergaduh ye dak? Mestilah ada gaduh… macam ramai pakar rumahtangga cakap lah 10 tahun pertama tu memang penuh cabaran. Dengan usia yang muda, pastu masih tebal semangat wira dan wirawati, memang haru-biru la. Kena pulak en. K anak bongsu…lelaki tunggal. Saya pulak perempuan bongsu (perasan) dan dibesarkan dek atuk dan nenek. Boleh bayangkan macamana bila 2 diva bertembung kan?
Nak bertekak? Dalam kereta selalunya kami jadikan medan nak voice out apa sahaja rasa. Kami beruntung sebab direzekikan mengajar di sekolah yang sama maka perjalanan pergi balik tu memberi kami cukup masa nak “berdebat”. Sampai parking, dah sejuk, minta maaf dan masuk rumah mood pun dah lebih stabil.
Petua 2 : Sakit Hati Macam Mana Pun Jangan Gaduh Depan Orang
Satu lagi petua en. K, kalau nak gaduh atau apa pun jangan depan orang. Sakit hati macamana pun tahanlah sabar dulu. Nanti dalam kereta atau dalam bilik, bolehlah mulakan sesi “abang, saya minta maaf tapi saya perlu cakap benda ini”. Dan percayalah pada saat dan ketika itu, perasaan marah dan geram yang meluap-luap sebelumnya tu dah mula hilang maka sesi tu akan jadi lebih harmoni.
Petua 3 : Bincang, Audit Diri Dan Pasangan
Apa-apapun semuanya balik kepada bincang. Rajin-rajin berbincang dan audit diri kita dan pasangan. Dan percayalah melepasi garis 10 tahun, seiring usia yang makin meningkat dan kita pun makin memahami lebih dan kurangnya pasangan, semuanya akan baik-baik aje…
Tiba masa haramkan walker, ibu menangis tak berlagu tempurung kepala bayi retak. Allahu, malang tak berbau. Sebagai seorang penjaga, kita hendaklah selalu berhati-hati dengan persekitaran yang ada di sekeliling anak.
Bila kejadian tidak diingini berlaku hingga retak tempurung kepala bayi memang risau mak ayah.
Menerusi perkongsian Doktor Redza Zainol menyatakan dirinya tergamam apabila melihat lihat keputusan CT scan otak bayi yang menaiki walker terbalik dan jatuh di tangga.
“Saya tergamam bila lihat keputusan CT scan otak bayi ni.
“Bayi ni naik baby walker dan entah macam mana walker tu terbalik dan dia jatuh di tangga.
“Tangga tu tak tinggi pun, tapi CT scan sahkan dah ada pendarahan dalam otak siap retak tempurung kepala anak tu.
Benda Dah Jadi, Menyesal Pun Tak Guna
“Lidah saya kelu. Saya dan doktor lain cuma mampu merujuk bayi itu ke hospital yang lebih besar untuk dia dapat rawatan yang lebih baik.
“Ayahnya tersandar di dinding.
“Ibunya pula hanya mampu duduk di sebelah anak. Benda dah jadi. Menyesal pun tak guna,” begitulah situasi yang dikongsikan oleh Dr Redza tentang bayi malang tersebut.
Banyak Kes Bayi Dikejarkan Ke Hospital Sebab Tersepit, Melecur Kulit
Menurut Dr Redza lagi, sebenarnya selain terjatuh, banyak kes bayi dikejarkan ke hospital sebab tersepit dan melecur kulit ketika menggunakan baby walker.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.