Mulanya sekadar berkongsi hobi yang sama. Siapa sangka akhirnya saling jatuh cinta dalam hubungan yang terlarang. Bila jatuh pada orang yang salah, pelbagai masalah pula yang muncul. Ikuti perkongsian seorang wanita kepada MW.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Merupakan seorang guru dan begitu juga dengan suami.
Saya tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota. Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran masjid atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Gemar Masak
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran.
Jiran sebelah kiri rumah saya berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya dan sering ke rumah saya. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Rapat
Pasangan jiran saya itu isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. bekerja swasta. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsapp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi masalah kerja, soal anak-anak. Tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya. Antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini?
Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya. Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar? Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup.
Menarik
Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat.
Ads
Maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Nafsu Sukar Dikawal
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata dia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya. Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti…
Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal.
Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta. Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah.
Tak Diredai Allah
Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya.
HANYA KERANA MENGIKUT NAFSU
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala?
Ads
Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk? Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan?
Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya? Puan tahukan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah. Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu. Tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak. Namun usaha puan mesti berlipat kali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Putuskan Hubungan
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar nombor telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan! Itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni.
Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik. Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain.
Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca al-Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.
Artikel: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Perasan tak, ada sahaja isteri yang mengeluh atau meluahkan perasaan pada kawan-kawan tentang apa yang dilakukan di rumah. Boleh dikatakan kerja rumah memang tak pernah habis.
Untungnya, bila suami memahami dan sama-sama membantu dalam uruskan rumah tangga. Sebaliknya, bila suami buat tidak tahu, sakit hati, geram dan marah. Semuanya ada. Lagi teruk bila suami mula menyalahkan isteri kerana tidak pandai uruskan rumah tangga.
Perkongsian daripada Maryam Jamadi ini mampu membuka mata buat suami tentang betapa tugas seorang isteri tidak pernah habis dan jangan sesekali menyalahkan isteri.
Rumah bersepah, salah isteri.
Dapur tak berasap, salah isteri.
Tak ada zuriat, salah isteri.
Anak lewat perkembangan, salah ibunya.
Anak ada sindrom, salah ibunya.
Anak nakal, salah ibunya.
Anak dapat nombor corot di sekolah, salah ibunya.
Keluarga tak bahagia, salah isteri.
Berdasarkan banyak penulisan di media sosial, untuk jadi orang perempuan ini kena hebat semua, barulah jadi calon menantu, isteri dan ibu yang terbaik. Kalau tak cukup “tick”, nanti takut tak jadi kahwin atau suami cari ibu lain untuk anak-anak.
Kerap kali saya mendengar keluahan ibu-ibu yang dah tak mampu nak menampung beban di kepala, fizikal penat tak apa tapi bila “kepala” pun dah penat memang parah. Ditambah lagi dengan kritikan orang sekeliling, lagi parah jadinya.
Isu Rumah Tangga
Saya terbaca baru-baru ini berkaitan isu rumah tangga, salah satu kenyataan yang saya tak berapa setuju:
“Jadi orang perempuan ni kenalah pandai mengemas dan pandai masak sebab cuba bayangkan kalau suami demam nak makan bubur, isteri tak pandai buat. Ataupun nanti dekat sekolah kawan-kawan anak kata rindu masakan mak tapi maknya tak pandai masak.”
Cuba terbalikkan situasi, isteri pula demam? Ataupun anak sepanjang hidup tak pernah rasa masakan ayah?
Bagi saya, bukan jadi orang perempuan sahaja perlu pandai memasak dan mengemas. Tapi jadi MANUSIA, kenalah pandai semua skil asas kehidupan tak kiralah perempuan atau lelaki.
Cuma mungkin ada orang bakatnya lebih terserlah pada skil memasak, ada orang lebih pada skil dekorasi rumah dan sebagainya.
Tapi kalau anda seorang isteri yang boleh buat 100% menguruskan urusan rumah, alhamdulillah anda wanita hebat. Tapi janganlah anda “meng-downgrade” wanita lain yang tak mampu.
Situasi Yang Dialami Isteri
Pernah tak para isteri mengalami situasi:
1. Pukul 11 pagi, kita nak masak nasi untuk makan tengahari tapi masa kita nak ke dapur ternampak pula bakul baju kotor yang melimpah.
2. Kita pun pergi masak nasi sambil berfikir “lepas ini nak kena basuh baju”.
3. Dah siap masak nasi, nak basuh baju pula tiba-tiba teringat yang lupa nak keluarkan ayam nak masak masih beku.
3. Kita pun minta “tolong” pasangan kita yang tengah main game di hp untuk keluarkan ayam. Pasangan kita kata “kejap,kejap”.
4. Tengah kita angkat bakul baju kotor nak basuh, anak yang sedang belajar bebas diaper pula datang beritahu nak kencing. Kita pun terpaksa tinggalkan bakul baju kotor sebab nak kena berlari bawa anak ke tandas takut “tercicir”.
5. Sambil pantau dan tunggu anak habis membuang, mata kita melilau tengok keadaan tandas yang dah mula berlendir semula walaupun baru cuci 3 hari lepas. Terfikir nak cuci tandas lepas habis makan nanti.
6. Anak pun selesai membuang, kita sambung dengan tugasan basuh baju. Kita nampak pasangan kita masih dengan hp dengan “kejap-kejapnya”, kita pun basuh baju dan keluarkan ayam sendiri.
Cuba bayangkan perkara ini berulang SETIAP HARI?
Inilah yang dipanggil “MENTAL LOAD”, keperluan merancang, menguruskan hidup diri sendiri dan hidup orang lain yang bergantung kepada kita. Semakin banyak, semakin berat beban mental yang kita alami.
Bila terlampau banyak “mental load” boleh buat seorang isteri yang lemah lembut bertukar jadi “hijau” di rumah.
Ada survey di lakukan di Australia (HILDA) pada tahun 2019, yang terbukti ada gap di antara kerja di rumah suami dan isteri.
1. Pasangan yang tiada anak, kedua-duanya bekerja:
Isteri melakukan lebih 4 JAM seminggu menguruskan rumah berbanding suami.
2. Pasangan yang mempunyai anak, kedua-duanya bekerja:
Isteri melakukan lebih 7 JAM seminggu melakukan kerja rumah dan TAMBAHAN 7 JAM lagi menjaga anak lebih berbanding suami.
3. Memang terbukti yang suami mempunyai lebih banyak masa lapang berbanding isteri.
Perkahwinan adalah perkongsian yang sepatutnya memudahkan kaum lelaki dan perempuan, bukannya untuk menyenangkan lelaki dan menyusahkan perempuan.
Maka, saya cadangkan para suami yang berminat untuk kurangkan “mental load” isteri, apa kata tukar daripada anda hanya tanya apa yang perlu dibantu. Apa kata pilih dan melantik diri sendiri untuk menjadi KETUA untuk mengurangkan beban di otak isteri:
BIRO DAPUR
BIRO MENGEMAS
BIRO BAJU
BIRO ANAK
BIRO LAMAN RUMAH
BIRO SAMPAH
BIRO JAGA KERETA
Bila dah pegang antara jawatan di atas, mohon ingatlah perkara-perkara yang perlu dilakukan. Percayalah isteri yang asyik bertukar jadi “hijau” mungkin boleh kembali jadi lemah lembut.
Bila ada pembahagian tugas, secara tak langsung kuranglah beban mental yang kita perlu fikir. Saya tak perlu fikir
Dengan kerjasama suami dan isteri, kita tak perlu pun nak korbankan apa-apa. Sama-sama membahagiakan hidup masing-masing.
Bincang Dengan Pasangan
Ada orang tunjukkan cinta dengan kata-kata manis, ada orang tunjukkan cinta dengan perbuatan. Ada orang tunjukkan cinta dengan kedua-duanya.
Kalau kita rasa boleh urus segala benda di rumah dan penuhi expectation jadi seorang isteri yang sempurna seperti ditonjolkan di dalam drama TV, janganlah kutuk atau hina orang yang tak mampu lepas itu takutkan orang lain “nanti suami cari lain”.
Cadangan saya, bagi yang merancang untuk berkahwin. Bincanglah juga peranan suami dan isteri dalam rumah tangga supaya masing-masing sedar tanggungjawab dengan harapan tak ada kes salah menyalahkan di masa akan datang. Jangan lupa kenali bakat diri masing-masing juga!
Mana yang handal melipat baju, jadilah Ketua Biro Baju.
Mana yang lebih sedap memasak, jadilah Ketua Biro Dapur.
Mana yang lebih teliti menyental kotoran, jadilah Biro Mengemas.
Bincanglah “biro” masing-masing sebelum berkahwin supaya beban mental terbahagi sama rata. Kalau tak nak pegang semua jawatan, beritahulah pada pasangan awal-awal supaya pasangan anda boleh bersedia mental dan fizikal.
“Berkorbanlah” bersama-sama supaya kesihatan mental kita terjaga, melainkan memang tiada pilihan (PJJ, frontliners, pasangan sambung belajar dll)
MW: Bila sudah ada pembahagian kerja, isteri tidaklah rasa terbeban dengan kerja-kerja rumah. Barulah bahagia cara kita.
“Tuntutan emosi tak ditangani, isteri jadi pemarah! Jerit dengan anak.” Suami kena alert dengan perubahan watak isteri.
Bila situasi ini berlaku pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan emosi isteri. Jangan dibuat main, silap haribulan anak-anak menjadi mangsa.
Kongsi Azlan Noor, apabila nampak perubahan macam ni, suami perlu cepat-cepat tangani. Peluk dia, kalau dia mengadu, dengar betul-betul apa masalah dia.
Tuntutan Emosi Tak DiTangani
Terbaca kisah ibu yang cuba kelar tiga orang anak dia dengan pisau menyebabkan seorang anaknya mati. Kemudian viral video perbualan dia dengan polis semasa dalam tahanan tu.
“Saya tertekan kerana suami saya tidak bekerja, menganggur. Malah saya yang terpaksa bekerja untuk membayar sewa rumah. Saya sedih kerana suami tidak bekerja.”
“Hanya ingin menyelamatkan anak-anak supaya mereka tidak mengalami kesusahan dalam hidup. Mereka tidak perlu berasa sedih lagi. Mereka perlu mati supaya tidak berasa sedih seperti saya.”
Perasan tak perkataan ‘sedih’ tu diulang-ulang? Kesusahan hidup itulah yang jadi punca kesedihan si ibu malang ni dan jadi trigger untuk dia bertindak kejam.
Saya selalu tulis, orang perempuan ni setiap kali stres dan tertekan, dia perlu lepaskan dengan meluahkan. Sebab tu sangat penting ada suami yang supportive yang setia mendengar luahan tu.
Tapi awas, jika dia luah sekalipun namun tak ada yang mendengar dan ambil berat, dia akan mula rasa hidup dia kosong. Mula rasa bersendirian.
Apabila tuntutan emosi isteri tak ditangani, dia akan mula jadi pemarah, mula cakap jerit-jerit dengan anak, dan bertindak kasar.
Jika masalah berkaitan suami, suami kena buat sesuatu dan berubah jadi lebih baik. Jika masalah dia berkaitan penat urus rumah tangga, suami ambil alih tugas urus rumah dan anak-anak. Biarkan isteri time off sekejap. Semua itu sudah cukup untuk tenangkan diri dia.
Tapi jika isteri sering tak didengari, kesakitan dalamannya tak diubati, akan terjadi satu tahap dimana dia sendiri sudah mula tak ambil kisah.
Rumah bersepah, pinggan mangkuk tak bercuci, anak-anak terbiar, dia sudah tak peduli. Marah pun tak, gembira pun tidak, sedih pun tak. Sudah tak ada perasaan dah. Emotionless kata orang.
Masa ni, tekanan dan stres yang teruk macam akan sebabkan depresi dan tekanan jiwa kepada isteri.
Sama seperti si ibu tadi, tekanan hidup melampau dan tak mendapat sokongan suami, jadi trigger untuk sedih. Dia sedih dengan diri sendiri dan sedih dengan nasib anak-anaknya nanti.
Dia sudah rasai sendiri kesusahan tu, dan dia tak mahu anak-anak rasa benda yang sama.
Apabila sudah buntu, jalan pintas yang dia dapat fikir untuk elak anak-anak hadapi nasib yang sama, adalah dengan mati.
Dulu saya tak faham benda ni. Buat tak tahu saja. Surihati saya bukan jenis suka membebel. Namun apabila dia mula marah-marah, dia mula senyap, fahamlah saya dia tengah ada masalah.
Sekarang sudah mengerti, setiap hari paling kurang kena tanya khabar, tanya pasal kerja. Komunikasi tu penting. Kerana masa itulah dia dapat meluah apa yang terbuku dalam hati.
Makanya,
Normal jika seorang isteri membebel kalau anda tak pernah nak layan atau dengar luahan dia. Itu salah satu cara nak lepaskan tekanan. Nak release stress. Layankan dan tadah telinga sajalah.
Kalau tak nak panas telinga, luangkanlah masa siap-siap untuk dengar luahan dan aduan isteri. Sebelum semuanya terlambat.
Kerana dengan mendengar,
Tanda kita ni bertanggungjawab dan mengambil berat.
Mingguan Wanita : Tidak rumit pun mendengar masalah isteri, sekurang-kurangnya isteri masih ada rasa untuk meluah pada suami. Jangan dibiarkan isteri menangggung beban emosi keterlaluan, bimbang kelak memberi kesan pada keluarga terutamanya anak-anak.
Salah satu cabaran bila jadi mak-mak adalah nak bagi anak kecil makan ubat tanpa menolak, silap gaya boleh keluar balik ubat atau mungkin tumpah sebab kena tolak dengan anak.
Jadi nak senang, mak ayah boleh cuba tip yang dikongsi Doktor Ezairy M.Sallih ini. In shaa Allah anak akan lebih senang makan ubat.
6 Langkah Mudah Bagi Anak Kecil Makan
Mungkin ada antara anak-anak kita yang memang susah untuk makan atau minum ubat. Masalah ini biasanya lebih kerap berlaku kepada peringkat umur bayi dan kanak-kanak. Tidak hairanlah jika ada ibu bapa yang mengambil berbagai-bagai alternatif bagi memastikan si anak tersayang dapat menelan ubat. Persoalannya bagaimana?
Saya akan kongsi 6 cara berkesan berdasarkan pengalaman para ibu bapa pesakit untuk kita cuba amalkan di rumah :
1. Guna picagari. Elak menggunakan sudu. Dos ubat yang diberitahu oleh doktor perlu diikuti. Justeru penggunaan syringe atau picagari adalah perlu bagi memastikan anda memberi ubat mengikut kuantiti yang betul dan ia sebenarnya jauh lebih mudah berbanding cara lain. Pastikan juga menggunakan syringe sesuai mengikut kuantiti yang akan diberi. Biasanya 3ml atau 5ml.
2. Teknik yang sesuai dan betul. Saya nasihatkan letakkan anak di dalam pangkuan. Untuk bayi atau anak kecil, pastikan mereka berada di posisi duduk atau separa duduk. Posisi baring menelentang dilihat mudah untuk memberi ubat, namun ia akan meningkatkan risiko ubat untuk masuk ke salur pernafasan dan seterusnya ke peparu. Ini bahaya!
3. Cari ruang dan kawasan yang tenang. Kita pun kalau nak buat sesuatu perkara perlukan ruang yang selesa. Beri ubat kepada anak pun begitu. Penting bagi kita sebagai ibu bapa untuk mencari ruang yang selesa dan cukup pencahayaan. Memberi ubat sama seperti memberi makan atau minum kepada anak. Sekiranya ruangnya sempit, kita juga akan cenderung memberi ubat dengan cara yang tidak betul. Kuantiti ubat yang bakal diberi juga akan terganggu.
4. Jangan paksa anak anda yang sedang meronta-ronta. Ini akan menyebabkan anak anda tersedak dan muntah. Beri peluang mereka tenang dan beri ubat.
5. Beri peluang anak pegang picagari ubat dan letakkan ke dalam mulutnya sendiri. Cara ini banyak membantu ibu bapa. Anda kemudian bantu untuk pastikan ubat dimasukkan ke mulut anak anda.
6. Minta nasihat doktor. Anda boleh minta pandangan dan nasihat daripada doktor yang memeriksa anak anda. Beritahu kepadanya bahawa anak anda mungkin jenis yang amat sukar untuk diberi ubat. Perlu dipegang tangan, kaki dan dipaksa baru boleh diberi. Doktor ini tuan puan, manusia juga. Kami akan cuba beri ubat yang paling sesuai dari segeri kekerapan, kuantiti dan jenis kepada anak dan bayi. Yang penting, komunikasi antara ibu bapa pesakit bersama doktor mesti ada.
Semoga perkongsian kali ini mendatangkan banyak manfaat. #Kongsikan kepada orang yang anda sayang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.