Mentua juga manusia biasa, yang kadang kala alpa hingga bersikap suka membanding-bandingkan menantu sendiri. Yang berharta disayang, yang kurang dipandang sebelah mata. Bahkan suka pula membandingkan menantu kesayangannya dengan menantu orang lain pula. Boleh macam tu?
Tak semestinya menantu kaya, anak anda bahagia. Boleh jadi anak itu suka memandang hina pada isterinya. Tak semestinya menantu bijak pandai, anak anda bahagia. Boleh jadi dia suka memperbodoh-bodohkan isterinya. Tak semestinya menantu berdarjat, anak anda bahagia. Boleh jadi dia melihat isterinya sebelah mata saja. Tak semestinya menantu ada gelar sarjana agama, anak anda bahagia. Boleh jadi ilmunya cuma di akal sedangkan akhlaknya entah ke mana.
Tiada Manusia Layak Menilai Manusia Lain
Oleh itu kepada mentua yang suka ‘tayang’ menantu siap bagi tahu apa pangkat, di mana kerja, berapa gaji, berapa buah banglo dan kereta mewahnya, cubalah beringat. Tiada siapa dapat menilai kejayaan manusia itu melainkan Penciptanya. Malangnya apabila para mentua tengah berkumpul sakan bersembang tiada isu lain yang jadi kegemaran melainkan tayang kemewahan anak menantu.
Dalam keseronokan menjadi ahli kelab pencen, banyak perkara yang seharusnya dijadikan panduan dalam berkawan. Jangan sesekali lukai perasaan orang lain dengan cuba membanding-bandingkan anak menantu kita dengan anak menantu mereka. Jika berkawan sudah seperti saudara kandung memanglah seronok sebab hati kita sentiasa suka apa yang kawan kita suka tetapi jangan sesekali lupa Nabi Yusuf juga didengki saudara kandungnya apatah lagi kita.
Anak-anak Nabi saja mendengki adik tirinya bagaimana pula kita yang bukan anak Nabi mestilah lebih jahil dari mereka. Hati manusia susah hendak diduga, seeloknya hindarkan rasa megah diri untuk mengelakkan daripada penyakit hati.
Urusan membangga-banggakan anak menantu boleh jadi membawa kesan positif jika mahu memberi pengajaran pada orang lain. Tetapi jangan pula terbakar amal soleh kita disebabkan hasad dengki yang tular akibat tabiat suka tayang hebat.
Tiada siapa mampu menilai anak sendiri inikan lagi menantu, hanya kepada Allah kita serahkan urusan mereka. Peliknya jika jumpa menantu dua kali setahun tapi duduk sebumbung. Boleh jadi dalam ketawa anak kita sebenarnya dia sedang menutup aib suaminya. Dalam tangisannya pula boleh jadi dia sedang belajar tentang kehidupan sebenar di bawah penjagaan seorang lelaki yang sebenar.
Mentua Tiada Hak Campur Urusan Rumah Tangga Anak
Sebagai ibu bapa tiada hak untuk mencampuri urusan rumah tangga mereka melainkan mereka meminta kita menjadi pendamai bukan penghasut. Apa yang tersembunyi tak perlu dikorek dan apa yang mereka kongsi seharusnya diraikan. M
aka itu tak perlu tayang pada dunia apa yang kita tak nampak. Berpada-padalah dalam urusan membanggakan zuriat. Jangan melampau pujian diberi kerana ia boleh merosakkan hati.
Kalau begitu, berdosakah jika kita suka ‘tayang’ menantu? Tidak, bahkan dianjurkan jika itu merupakan suatu cara mengukuhkan hubungan persaudaraan, tak kenal maka tak cinta. Memperkenalkan menantu kepada kawan-kawan adalah ibadah kerana ia menepati sunnah Rasul s.a.w yang menggesa kita bersilaturahim. Rasulullah s.a.w bersabda: “Al-Rahim itu bergantung di Arsy. Dia berkata: Sesiapa yang menyambungku maka Allah akan menyambungnya dan sesiapa yang memutuskanku maka Allah memutuskannya.” (Hadis Muttafaq ‘alaih)
Ads
Pilih Menantu
Panduan memilih menantu telah diajarkan melalui wahyu, Allah tunjuk kepada kita bagaimana ciri-ciri menantu semulia Nabi Musa AS. “Wahai bapaku ambillah dia sebagai pekerja kerana sesungguhnya orang yang paling baik adalah yang kuat lagi amanah.”
Ciri-ciri kepemimpinan seorang lelaki jelas terserlah dengan rasa belas kasihannya kepada wanita membuat dia kelihatan lebih gagah. Malangnya lelaki zaman sekarang ramai yang minta dilayan lebih dan dijaga melebihi raja-raja.
Makan pun isteri yang carikan, kerja-kerja berat semua serah kepada isteri bagaimana pula kita suka memuji menantu-menantu sebegini dengan pujian mencecah awan? Entah-entah solat pun tak buat, agama tak pakai, sibuk saja dengan urusan dunia. Bukankah yang terseksa anak kita juga?
Memenuhi Syarat
Menantu kebanggaan yang semestinya disyukuri oleh para mertua seharusnya mementingkan kekuatan akal, fizikal dan spiritual sebagai penjaga anak kita. Nafkah zahir dan batinnya hanya boleh dipenuhi dengan tiga kekuatan tersebut.
Kemudian amat menjaga kesucian pergaulan, keikhlasan hati dari syahwat sehingga begitu ketat menundukkan pandangannya. Zaman ini masihkah ada lagi orang yang mencari menantu sebaik Musa atau agama tidak lagi menjadi syarat penting? Oleh itu tak payahlah tayang menantu jika tak cukup syarat lelaki segagah Musa.
Ads
Sumber: Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam
Rezeki setiap orang tak sama. Ada isteri yang melalui tempoh berpantang 44 hari amat sukar. Suami tak faham. Bila isteri berehat baring, dikatanya pemalas. Angkatlah cerek berat-berat tu sorang-sorang sebab nak mandi atau mandikan bayi.
Ya Allah.. sedihnya bila dapat suami sejenis tak ada hati dan perasaan macam ini. Kisah benar inilah yang terjadi pada rakan Puan Siti Aishah yang lebih dikenali sebagai Kak Ice. Beliau Juru Urut Bertauliah dan Pengamal Warisan Perbidanan Melayu Lama.
WhatsApp yang dihantar kepadanya buatkan Kak Ice jadi geram. All out! Bila mana suami semacam tak nak faham keadaan isteri yang sedang berpantang. Sudahnya, mak berpantang tu macam lalui tempoh getir itu sendirian. Nasihat Kak Ice ni bunyinya sentap tapi bernas!
Mak mak Yang Tengah Hamil
Rancang aturan berpantang kamu sendiri. Jangan harapkan suami (melainkan dia yang cadang nak bantu). Jangan harapkan mak ayah.
Tepikan duit sebulan RM200 x 9 = RM1800
Duit ini khas untuk orang datang rawat dan part time maid kemas rumah.
Beli saja baju baby kat shopee. RM5 sehelai.
Ni tak. Gaji bulanan RM2K. Baju anak nak branded, nak menunjuk kat IG, nak bersalin private. Tapi bab pantang sendiri jadi hamba abdi.
Kalau pantang ala ala ibu tunggal (laki dan kaum keluarga tak boleh harap). Ini yang mak-mak kena pentingkan.
1. Urut 3 kali kasi settle.
2. Bengkung param pilis pakai sendiri.
3. Lauk pantang tu mak-mak boleh masak dalam keadaan duduk. Lauk pantang je. Orang sihat gasak dia la.
4. Lauk tu kau order Tesco online kalau laki kau berkira sangat nak gi beli lauk.
5. Nasi masak sendiri. Masa basuh beras jangan gi rendam tangan kau. Pakai sudip kayu kacau sampai beras bersih.
6. Rehat pagi sampai petang.
7. Maid part time ambil seminggu 3 kali. 1 kali RM80 kalau tak silap. Seminggu RM240.
8. Kau kemas station berpantang kau saja. Kalau tilam laki kau tumbuh cendawan pun abaikan.
9. Anak-anak lain, kau didik sebelum start bersalin. Budak-budak suka lah menyibuk buat kerja rumah. Budak-budak seawal 4 tahun suka kutipkan baju masuk bakul, tekan suis mesin basuh, sapu sampah (cincai-cincai dia la).
Mak-mak typical Malay ni je nak perfection sangat…..patutnya biarkan diaorang tolong.
10. Lepas tu pakai lah perancang. Tak payah lah beranak ramai-ramai kalau suami macam ni. Bukan apa, bila kau dah jadi gila sebab stress, dia tetap salahkan kau.
Yang Kak Ice risau, mak-mak jadi gila anak-anak jadi mangsa. Dia (suami) menyendol kat tempat lain.
Lagi Kena Hadam Nasihat ‘Keras Tapi Bernas’ Ini
So korang pandai-pandai lah urus hal keluarga sendiri. Sekali jadi mangsa boleh terima. Kalau berkali-kali, itu bukan mangsa dah. Itu sebab kamu kurang cerdik.
Dan untuk yang sibuk menyendol suami orang, rata-ratanya mereka memang layan isteri diaorang mcm sampah kat rumah.
Sebab ikutkan sifir, suami orang ni nak tidur pun tak sempat sebab dia sibuk uruskan hal anak bini dia. Tapi tu yang jenis bertanggungjawab la.
Kalau kau sibuk nak jugak laki orang, selamat lah terima nasib jadi alas kaki lepas ni.
Ni status khas untuk laki orang yang DAYUS!
Tolonglah Dengar…
Kak ice sarankan makanlah perancang. Kalau dapat suami OKU macam ni (dalam whatsapp). Tolonglah jangan beranak ramai-ramai untuk dia.
Yang ada anak lelaki, janganlah kamu merajakan sangat si anak. Nanti anak tu buat lahanat kat anak perempuan orang.
Yang ada anak perempuan, ajaklah bakal menantu duduk seminggu kat rumah kita (anak perempuan kita hantar gi rumah sedara). Tengok peel dia pandai tak cebok sendiri. Kalau tak pandai sila reject awal-awal.
Yang nak kahwin tu, kau jangan gian menyendol manja-manja bukak helmet semata-mata. Pilih suami yang pandai hormat dan tolong mak dia.
Beruntungnya sesiapa yang ada adik beradik ramai. Macam-macam perangai dan karenah boleh dilihat. Mungkin ada yang garang, manja, cerewet dan tak kurang juga yang kedekut. Belum lagi, bila jumpa asyik perli memerli saja.
Tak kurang juga ada adik beradik yang bercakap, nampak macam nak bergaduh, sedangkan itulah sebenarnya kemesraan antara mereka. Gaduh atau marah sekalipun, hanya masa itu saja, tak ada nak ambil hati.
Tapi, mungkin juga adik beradik ramai yang terasa hati dan lebih teruk bila dia sendiri memutuskan hubungan kekeluargaan. Kononnya terasa hati. Jangan begitu, air dicincang tak akan putus. Seburuk-buruknya, mereka tetap darah daging kita yang lahir dalam rahim seorang ibu.
Mungkin ada rezeki adik beradik yang hidup senang dan tidak kurang yang hidup hanya cukup makan. Jadi, tidak salah untuk adik beradik membantu antara satu sama lain.
Antara perkongsian daripada Khairul Hakimin Muhammad tentang adik beradik yang mengatakan kunci rezeki kita luas bila kita dahulukan dan bantu adik beradik.
Bantu sahaja ahli keluarga terutama adik beradik ssama ada mereka senang atau susah, bantu sahaja.
Jika mereka orang kaya, hantar hadiah seperti makanan, pakaian untuk anak-anaknya.
Sementelah jika mereka bukan orang senang, beri bantuan duit, makanan dan hadiah-hadiah.
Walaupun jika mereka pernah sakitkan hati kita, bantu sahaja, berhenti rasa mereka tak perlu dibantu jika mereka buat perangai sekian-sekian.
Memantu akan dapat pahala dan memberi kelapangan jiwa dan Allah bantu lebih pada kita.
Kunci rezeki ini tak ramai yang perasan. Membantu keluarga terlebih dahulu adalah kunci besar kepada banyaknya pintu rezeki.
Buat terus hari ini kawan-kawan.
Sekarang dah mudah, hanya klik-klik sahaja di mana-mana laman beli belah. Tanya diri sendiri, ada tak simpan alamat adik beradik? Jika ada alhamdulillah. Jika belum ada, tanya terus.
Beritahu nak hantar sedikit makanan.
Menggembirakan ahli keluarga akan meluaskan pintu rezeki.
Begitulah.
Keluarga adalah segalanya.
Mingguan Wanita : Ada adik beradik ramai memang banyak karenah tapi seronoknya bila dapt berkumpul, satu rumah pun dah penuh.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Antara kursus-kursus asas yang dijangka mampu melahirkan peserta yang berkemahiran dan boleh terus dipraktik dalam perniagaan ialah:
JOM PANDAI BAKERI. BUAT DUIT JUAL KEK DAN ROTI. Peserta akan mengadun dan membakar sendiri adunan agar dapat kenal pasti formula menghasilkan satu adunan sempurna bagi kek dan roti.
Cookies Viral Legend. Jual cookies Paling Masyuk! Orang Malaysia meang suka makan. Cookies atau biskut tidak lagi laris hanya menjelang hari raya. Permintaan cookies memang tinggi dan belajar membuat cookies popular atau sedang trending ketika ini merupakan langkah bijak.
Isteri ini, Husna Adnan berkongsi pengalaman membawa suaminya yang menghidap ‘panic disorder’ untuk mendapatkan dos pertama vaksin di pusat vaksin. Suaminya ini amat memerlukan peneman bagi menguruskan keperluan sedemikian.
Namun, jadi satu kesukaran buat isteri ini yang menemani suami mendapatkan dos pertama suntikan vaksin, apabila masih ramai yang belum faham akan situasi yang dihadapi pesakit mental sebegini.
Tak mudah sebenarnya, kerana penyakit yang suaminya hadapi itu masih ramai yang belum ada kesedaran tentangnya. Masih ramai juga yang belum memahaminya.
Dan inilah yang terjadi, dikongsikan isteri ini agar lebih ramai buka mata dan memahami penyakit sebegini wujud. Sebagai penjaga pesakit yang menghadapi masalah mental, Husna berharap semoga semakin ramai lebih cakna dengannya.
TIDAK SEMUA SAKIT TERLIHAT PADA MATA
Tidak seperti insan yang diuji dengan kecacatan kekal, sakit mental hanya dapat disahkan selepas kita bertemu pakar di hospital.
Selepas disahkan oleh pakar pun, tiada siapa akan tahu selain kita sendiri memberitahu kepada umum.
Sudah diberitahu pun tidak semua faham. Tidak sama reaksinya apabila kita menjelaskan yang kita menghidap anxiety disorder, major depressive disorder, bipolar, atau skizofrenia, berbanding apabila menyebut sakit kanser atau jantung.
Sakit mental juga salah satu penyakit. Boleh diubati, boleh sembuh. Sama waktu kita demam.
Namun masyarakat masih skeptikal akan pesakit mental dan ini yang berlaku semalam waktu aku menemani suami yang menghidap panic disorder bagi mendapatkan dos pertama vaksin.
Nazry disahkan menghidap panic disorder / anxiety disorder sejak tahun 2016, empat tahun selepas kami sama-sama sedar yang Nazry tidak berkelakuan normal seperti orang lain.
Dia tidak boleh memandu seorang diri.
Dia tidak suka kawasan sesak.
Dia takut pergi solat Jumaat.
Dia tidak boleh berbuat apa sahaja di luar rumah tanpa kehadiran aku. Nak aku juga teman.
Sekiranya dia tidak bersama aku, pasti kerana dia ada bersama kawan-kawan / escort.
Selama ini aku sentiasa menemani dia hampir ke mana jua hatta terpaksa menunggu berjam-jam di dalam kereta Kelisa yang akan menjadi panas bagaikan ketuhar ketika dia bermesyuarat, adalah kerana ini. Bukan kerana aku isteri yang manja, bukan juga kerana dia suami mengada-ngada.
Pengalaman Pesakit Panic Disorder Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Panic disorder bukan ketakutan seperti kita panik apabila rumah terbakar, air tiada waktu mandi, ataupun diserang lipas terbang.
Perkataan “disorder” itu membezakan panik orang biasa dan panik pesakit ini.
Ia tidak normal.
Apa yang ditakutkan dengan bersolat Jumaat?
Apa yang ditakutkan dengan memandu sendirian?
Apa yang ditakutkan dengan buang air besar?
Apa yang ditakutkan dengan tidur?
Ayat biasa orang normal adalah,
“Nak takut apa?”
Ya, kita yang sihat tidak akan faham sekiranya tiada ilmu. Hal biasa saja tapi kenapa nak takut beria?
Apabila Nazry mendapat SMS berkenaan dos pertamanya – sehari selepas tarikh berperang mendapatkan AZ kumpulan kedua yang gagal – dia sudah mula panik.
Panik apabila dia dapat vaksin yang asalnya gagal dimohon, panik apabila dia diarahkan ke PWTC dan bukannya di sekitar Kajang, dan lebih panik apabila mendapati aku yang lebih berusaha berjuang menempah tarikh AZ, tiada panggilan hingga ke hari ini. Isi borang sekali lagi, sudah. Kemas kini segala info, sudah. Semua sudah, semua sudah.
Bagaimana pesakit panic disorder seperti dia mampu pergi seorang diri ke PWTC demi mendapatkan dos pertama?
Tiada cara.
Tiada cara melainkan aku menemani dia.
Maka itulah yang berlaku semalam.
Buku temujanji berwarna biru dari Klinik Psikiatri Hospital Kajang siap dibawa sebagai bukti.
Namun apa yang berlaku seawal masuk ke PWTC, adalah amat mengecewakan.
Buku Biru Sebagai Bukti Ketika Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Kami ditahan oleh seorang anggota tentera kerana aku tidak dapat menunjukkan bukti temujanji di MySejahtera. OF COURSE. Dah kerajaan belum beri, macam mana aku nak dapat. Aku di situ pun bukan sebab aku ada temujanji.
Maka Nazry hulurkan buku biru dia dan menjelaskan kedudukan sebenar.
Anggota itu masih menghalang aku dan menyuruh Nazry masuk seorang diri.
Bayangkan.
Ini PWTC. Luas. Besar.
Kena naik ke tingkat 2 dan 3.
Bukan klinik desa.
“Saya ada panic disorder, tuan.”
Nazry dah mula panik dan marah.
Aku menjelaskan sekali lagi, namun anggota itu membalas yang dia tidak dapat berikan kebenaran kerana memang tidak dibenarkan ada peneman. PWTC perlu uruskan 18k temujanji setiap hari.
Itulah yang diulang. Tidak mahu berlaku kesesakan tidak perlu barangkali.
Lalu Nazry kata dia tak nak naik seorang. Dia tak nak ambil vaksin dan nak balik.
Dengan nada bersahaja anggota itu berkata, “Terpulanglah.” Tetapi beberapa saat kemudian, dengan buku biru Nazry masih di tangannya, dia memanggil pegawai lebih tinggi. Tak pasti pangkat apa, kami pun tak jelas hal paku.
“Tuan, mereka ni nak masuk berdua.”
Kini kami menghadap tiga anggota tentera.
Pegawai itu mengambil buku biru dan membelek. Beberapa soalan diajukan, dan buku biru diserahkan semula kepada aku.
Sambil memeluk tubuh, pegawai itu bertanya, “Dia memang selalu macam ini ke?”
“Ya, tuan. Kami ke sini pun saya yang memandu. Beberapa hari sebelum, dia dah panik sampai tak boleh tidur. Ini saya yang ‘encourage’ dia supaya dia ambil vaksin.” Penat kena ulang jawab tapi kita jawab jugalah.
“Hmm.” Jeda. “Boleh naik, tapi saya tak jamin di atas nanti kamu diberi masuk.”
Kami pun beredar selepas mengucapkan terima kasih. Bayangkan. Temujanji jam 4, kami dibenarkan masuk dengan jarak jauhnya, dengan soal jawabnya, jam 4.30 baru selesai.
Itu baru di lobi.
Masuk ke Dewan Merdeka, tiada yang tahan. Tetapi sekali lagi aku ditanya petugas waktu nak masuk ke ruang menulis borang.
“Sini tak boleh masuk kalau tak ada temujanji, kak,” kata seorang petugas lelaki.
“Saya temankan sebab dia ada panic disorder.” Sekali lagi aku tunjuk buku biru.
“Ha tak boleh, kak. Sebab sini sehari 18k orang kami kena urus, tak cukup kerusi.”
Waktu itu Nazry dah masuk ambil borang, maka aku hanya menunggu di luar pagar putih yang membezakan meja petugas dengan Station 1.
Melihatkan aku berdiri di luar pagar, Nazry juga mengisi borang sambil berdiri di hadapan aku walaupun banyak kerusi kosong.
Kemudian terdengar petugas lelaki itu memanggil.
“Kak, masuklah kak.”
Aku pun angguk dan berjalan ke arah pintu masuk sebelum seorang lagi petugas wanita bersuara, “Masuk tapi tak boleh duduk ya kak. Akak kena berdiri. Kerusi untuk yang nak isi borang je.”
Aku tarik nafas dalam-dalam.
Sebagai Penjaga Pesakit, Ini Yang Selalu Dihadapi
Aku tak kisah kalau semua ini disusahkan kerana prosedur. Aku serius memahami.
Tapi aku sebagai penjaga pesakit / caregiver rasa sayu pun ada. Sebab ini situasi biasa yang aku dah hadapi sejak jadi peneman Nazry.
Nazry diberi air, aku tidak.
Nazry diberi kerusi, aku tidak.
Nazry mendapat simpati bagi yang memahami, tetapi aku yang menjaganya dilayan macam habuk.
Aku tak minta dilayan lebih, tapi aku harap masyarakat kena faham yang penjaga pesakit seperti kami ini sentiasa dalam keadaan penat.
Penat fizikal, penat mental.
Bukan waktu itu saja, sebab kami kena buat banyak persediaan rapi sebelum hari kejadian.
Aku tak sempat makan apa pun sebelum ke PWTC memandangkan banyak tempahan yang perlu aku bungkus sebelum ke sana. Aku kena siapkan kerja sebelum temankan Nazry. Itu pun sambil-sambil menguruskan PdPR anak-anak.
Jangan tanya kenapa Nazry tak bantu.
Dia sedang berperang dengan diri dia.
Dia yang akan dicucuk petang itu.
Jam 1 petang baru selesai. Aku minta tidur sekejap kerana nanti aku perlu memandu.
Jam 1.40 petang aku bangun, mandi, bersiap, solat, kemas apa yang patut, dengan Afia masih berusaha siapkan PdPR, jam 3 petang kami hantar anak-anak ke rumah mak aku sebelum ke PWTC.
Tak sempat makan apa pun.
Tapi kepenatan aku tiada buku biru nak dijadikan bukti. Kepenatan penjaga hanya kami yang rasa.
Pesakit mental perlu difahami.
Penjaga mereka juga perlu diambil peduli.
Aku berdiri pun tak apa, tapi nada mengarah dengan gaya tubuh yang menyebalkan itu buat aku jadi tambah letih. Okey sambung.
Orang Tak Beri Duduk, Saya Tak Duduk
Aku masuk dan berdiri di belakang kerusi Nazry. Dari satu kerusi ke satu kerusi kerana perlu penuhkan kerusi di hadapan, aku hanya berdiri.
Ada dalam 5 – 10 minit aku berdiri. Entahlah.
Tiba-tiba petugas lelaki tadi menghampiri aku. “Akak duduklah. Ada kerusi kosong.”
Aku dah rasa nak flip chair. “Saya hanya ikut arahan. Orang tak beri duduk, saya tak duduk walaupun nampak banyak kerusi kosong.”
Dia gelak kecil. “Biasa ramai, kak. Waktu ini tak ramai pula. Akak duduklah.”
Beberapa ketika selepas aku duduk, nombor Nazry dah naik. Aku ekori dengan buku biru, petugas tahan sekali lagi tetapi terus dibenarkan masuk apabila aku kata aku peneman.
Sampai di Dewan Tun Razak 4, ditanya sekali lagi tapi dibenarkan masuk. Berdiri di sebelah Nazry tetapi tidak lama. Di ruang Consultation, aku kira petugasnya adalah staf kesihatan, maka aku dilayan lebih baik. Dapat duduk haha.
Waktu dipanggil ke meja penasihat, doktor memberi beberapa penerangan. Nazry alah pada paracetamol, jadi diminta ke farmasi bagi mencari ubat alternatif sekiranya demam.
Selepas itu proses vaksinasi cepat dan lancar. Tunggu 15 minit, dia kata lengan lenguh-lenguh saja, tiada kesan yang lebih serius.
Malam tadi dia demam sekejap. Tangan dan seluruh badan jadi sangat sejuk. Dia bangun makan ubat dan tidur semula. Pagi ini alhamdulillah dah okey, tiada kesan sampingan lain.
Pada aku, PWTC waktu PBAKL pun banyak kerenah. Aku malas nak ungkit apa jadi sebab orang buku pun meloncat hal-hal dulu sampailah sekarang, tapi aku tak sangka bab vaksinasi ini pun disusahkan sehabis boleh berbanding tempat lain.
Di UKM, mak ditemani kakak sulung. Semuanya sangat cepat. Tahu-tahu dah selesai. Kakak tidak sempat turun dari kereta, mak dah masuk balik.
Pengalaman mak dan kakak berbeza. Petugas baik melayan dan membantu. Indah belaka.
Tapi mungkin bukan sebab lokasi semata-mata.
Sebabnya, aku menemani suami yang sama-sama nampak sihat dan muda.
Harap Mudahkan Urusan Kes Yang Ada Bukti Klinikal
Aku yakin pasti sudah banyak perangai manusia yang petugas hadap sampai ketat sebegini. Mungkin benar ada yang diteman sebab mengada-ngada, sekadar nak meluangkan masa di luar rumah sambil berOOTD.
Tapi aku harap mana-mana kes yang siap diberi bukti klinikal seperti pesakit mental ini, dimudahkan urusan. Cukup baik mereka hadir demi temujanji yang diaturkan, banding tidak hadir langsung.
Dan aku harap dengan perkongsian ini juga, masyarakat lebih berusaha dalam memahami situasi pesakit mental dan penjaganya.
Nak suruh empati, tidak semua mampu.
Tapi terimalah yang sakit ini wujud.
Bukan rekaan semata-mata.
Dan tolong.
Sakit mental tidak berkaitan dengan iman. Nazry cukup solat, mampu jadi imam, tidak culas nafkah keluarga, dan hafal al-Mulk. Tiap kali sebelum tidur dia akan baca al-Mulk. Namun dia tetap diuji dengan sakit mental. Bukan dia minta.
Cuma, ya. Iman membuatkan dia mudah tenang dan ditenangkan. Ubat yang doktor beri juga wajib dimakan supaya dia tidak masuk ke tahap depresi. Insya-Allah, ada nampak perkembangan baik dengan pengurangan dos dan bilangan pil.
Doakan dia, doakan aku, doakan kami, dan doakan semua yang sedang bertarung dengan diri sendiri. Ramai kawan kami yang sudah didiagnos dengan pelbagai kondisi sejak zaman PKP ini.
Anda takkan faham selagi tidak menghadapinya.
Aku harap, tiada siapa perlu menghadapinya.
#HusnaAdnan,
Allah uji ikut kemampuan. NOTA: Dengan perkongsian ini, jangan tanya apa-apa kepada Nazry, jangan telefon Nazry nak tanya pengalaman dia, jangan ada stigma, jangan apa pun. Cukup dengan doa.
Sekiranya anda rasa anda juga ada masalah mental, bertemulah dengan pakar. Jangan Google saja, jangan diagnosis sendiri. Just don’t.
Dibenarkan Share. Aku izinkan.
Aku harap lebih ramai cakna dan ada perubahan.
Mingguan Wanita : Hakikatnya bukan saja warga emas, pesakit mental juga memerlukan peneman dalam mendapatkan dos pertama dan kedua vaksin di pusat suntikan vaksin.
Lavender bakery akui tiada sijil halal tapi guna bahan halal & patuh standart HACCP. Baru-baru ini, Lavender Bakery tampil memberikan penjelasan rasmi susulan dakwaan...