Kanak-kanak yang baru berusia tiga tahun manalah dia tahu ular itu berbisa atau tidak. Hendak mengadu pun belum pandai. Tetapi itulah yang berlaku pada Nur Safia Sumayyah Muhammad Firdaus
Pada awalnya dia hanya mengadu jatuh dan ibunya ingatkan anaknya terseliuh. Rupanya kaki anak bengkak kerana dipatuk ular ketika berbasikal sendirian. Mujurlah cepat di bawa ke hospital dan anak ini selamat.
Mengadu Jatuh, Ingatkan Terseliuh
Aktiviti berbasikal menjadi mimpi ngeri buat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Kampung Pulai Mutiara, Gelang Patah di sini, apabila kaki kanannya dipatuk ular yang melingkar di rantai basikal.
Ibu kanak-kanak itu, Aida Dalila Damia Zulkipli, 31, berkata, kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi semalam ketika Nur Safia Sumayyah Muhammad Firdaus, 3, bermain sendirian di pekarangan rumah.
Menurutnya, dia tidak mengetahui anaknya dipatuk ular sehinggalah melihat kaki anak kedua itu bengkak dan menelefon suami untuk pulang serta membawa Nur Safia ke hospital.
“Sebelum itu Nur Safia minta nak main basikal dan tak lama kemudian masuk ke dalam rumah serta cakap dia terjatuh, tetapi dia main macam biasa dengan kakaknya di dalam rumah.
“Cuma selepas itu, dia mengadu kaki sakit dan minta disapukan minyak. Saya pula tidak syak apa-apa dan menyuruhnya mandi dahulu. Selesai mandi, dia masih bermain dengan kakaknya sebelum datang kepada saya untuk menyapu ubat.
Ads
“Ketika itulah saya melihat kakinya sudah bengkak tetapi tidak fikir lain, sebaliknya bimbang dia terseliuh atau patah. Saya menelefon suami yang bekerja supaya pulang dan kami ke hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terkejut Kepala Ular Di Bahagian Rantai Basikal
Aida Dalila berkata, semasa menyapukan minyak pada kaki anaknya, dia melihat ada kesan gigitan dan bertanya berulang kali sama ada Nur Safia benar-benar jatuh atau sebaliknya.
Katanya, dia kemudian terkejut apabila terlihat kepala ular di bahagian rantai basikal anaknya yang diletakkan di hadapan pintu rumah.
Ads
Menurutnya, suaminya yang pulang segera memukul ular itu dengan dengan kayu dan mereka membawa Nur Safia ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Gigitan Ular Tidak Kena Abdomen
“Alhamdulillah Nur Safia dalam keadaan baik dan pemantauan 24 jam dilakukan doktor mendapati darahnya baik (tiada bisa) dan gigitan ular tidak mengena abdomen.
“Lebam yang sehingga lutut itu juga sudah berkurangan, cuma kakinya masih bengkak. Dia masih dalam pemantauan,” katanya yang memberitahu rumah sewa didiami empat bulan itu berdekatan kawasan paya.
Dia juga memberitahu pakar ular yang hadir memaklumkan ular menggigit Nur Safia berkemungkinan spesis ular kapak bakau.
MW: Semoga Nur Safia kembali sihat dan sembuh seperti biasa. Biar pun mak, ayah rasakan anak selamat bermain sendirian tetapi jangan ambil mudah kerana malang tak berbau. Harapnya kisah ini menjadi iktibar buat kita semua.
Ashira & Bad Indigo bercerai namun kekal berkawan, warganet doakan “Semoga diberikan kekuatan buat keduanya”. Setiap pasangan suami isteri pastinya menginginkan rumah tangga aman dan bahagia.
Namun, jodoh adalah rahsia Allah dan siapa kita untuk menyangkal takdir yang sudah tertulis sekiranya perkahwinan sebuah pasangan itu tidak mampu bertahan lama.
Menerusi perkongsian sebuah video, pasangan artis Ashira Aziz dan Badrul Izhan Yeop Abdullah atau lebih dikenali sebagai Bad Indigo tampil bercerita tentang rumah tangga mereka yang sudah berakhir.
Ashira & Bad Indigo Bercerai Namun Kekal Berkawan
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada Mac 2021 itu membuat keputusan mengumumkan sendiri mereka sudah sah bercerai kerana tidak mahu perkara tersebut menjadi khabar angin.
Walaupun sudah berpisah namun mereka tetap berkawan sampai bila-bila. Malah warganet juga berdoa agar kedua mereka diberikan kekuatan.
“Bismillahirrahmanirrahim…
“Telah tertulis di Luh Mahfuz akan setiap langkah perjalanan hidup kita.
“Dengan siapa kita kenal,dengan siapa kita berkawan,bila kita jumpa jodoh,bila ajal kita tiba. Jadi,usah risau akan perjalanan hidupmu.Kita hanya merancang.
“Tetapi, Allah SWT sebaik baik perancang” tulis Bad Indigo menerusi kapsyen sebuah video yang dimuat naik menerusi akaun rasmi Instagramnya.
“Tiada Masalah Antara Kami”
Menerusi video yang dikongsikan, Ashira dan Bad menafikan kehadiran orang ketiga menjadi punca.
“Kami telah mencapai persetujuan dan tadi kami sudah sah berpisah.
“Tapi tetap berkawan sampai bila-bila, insyaAllah.
“Kami beritahu dulu sebelum keluar daripada mulut orang lain. Jadi harap video ini jelas untuk semua orang.
“Tiada masalah antara kami. Kalau ada masalah saya tidak akan berada di sini.
“Minta Tidak Bercerita Benda Tak Betul Pasal Kami”
“Hendak minta maaf kalau ada kawan-kawan wartawan yang nak hubungi, tak perlu.
“Hendak tanya kenapa, apa punca dan bila, itu biarlah saya, dia, keluarga dan yang di atas (ALLAH) sahaja yang tahu.
“Harap jelas dan tiada lagi pertanyaan mengapa saya dan Bad sudah lama tidak nampak.
“Saya minta sangat pada semua untuk tidak bercerita benda-benda yang tidak betul pasal kami. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kami selama ini,” luah mereka.
Warganet Sebak, Doakan Yang Terbaik
Menerusi komen walaupun ada warganet yang sebak apabila mendengar perpisahan pasangan ini namun mereka doakan yang terbaik.
Naluri seorang ibu hamil itu amat dekat dengan bayi dalam kandungannya. Denyut nadi sekecil itu kekal bergerak seiring dengan naik turunnya nafas ibu. Ya, ibu yang mengandung amat merasai kedekatan ini.
Dan apabila doktor memaklumkan, bayi yang dikandung itu mempunyai pelbagai masalah kecacatan dan dia tidak boleh hidup. Apakah jangkaan emosi yang ibu harus berikan. Perlukah ibu menurut kata doktor, membenarkan anaknya dikeluarkan awal? Atau bagaimana?
Kita yang membaca mungkin menyatakan mengapa susah mahu membuat keputusan? Bila doktor sudah menjangkakan risiko begitu. Bebannya nanti akan berbalik kepada ibu, mengapa mahu menanggung risiko? Relakan sajalah kepergiannya. Ya, kita memang mudah menuturkan.
Menulis komen ikut apa yang kita fikir. Hakikatnya, ibu yang mengandungkan, yang merasai hadirnya satu nyawa dalam tubuhnya takkan mungkin dapat membenarkan nyawa itu diambil pergi. Tak mungkin! Biar apa pun kata orang, biar apa pun bentuk yang akan dilahirkan itulah anugerah, hadiah yang tuhan berikan untuknya.
Inilah cerita yang mahu Mingguan Wanita sampaikan. Kisah seorang ibu yang mengandung 5 bulan dengan bermacam risiko pada kehamilannya. Ceritanya sarat dilema, namun ibu ini tidak mengalah. Dia tetapkan hati. Demi menjaga kerahsiaan antara Mingguan Wanita dengan ibu ini, pihak kami merahsiakan identiti wanita ini. Bacalah kisahnya agar anda lebih mengerti..
Otak Bayi Saya Tak Terbentuk Sempurna..
Salam Ibu-ibu,
Di sini saya ingin meluahkan tentang kandungan saya.
Usia kandungan saya sudahpun mencecah 5 bulan. Saya mendapati baby saya ini ada masalah. Masalah yang risikonya tinggi, iaitu masalah pertama yang doktor jelaskan perut baby naik ke ruang paru-paru dan menyebabkan paru-paru baby tidak boleh berkembang.
Masalah kedua yang dikhabarkan, kedua otak baby saya tidak terbentuk dengan sempurna. Bukan itu saja, ada lagi masalah ketika yang mana kedua-dua buah pinggang baby membengkak.
Doktor juga temui masalah keempat, tapi doktor belum confirmkan lagi sama ada lelangit baby saya ada atau tidak. Dan yang terakhir doktor maklumkan baby saya sumbing.
Usia kandungan saya kini 5 bulan. Jadi doktoe sarankan untuk saya buat satu ujian. Ujian ini akan mengesahkan sama ada baby saya ini boleh hidup ataupun tidak.
Apa pun keputusannya tetap atas persetujuan ibu dan bapa sama ada mahu teruskan buat ujian itu atau sebaliknya. Kata doktor, jika keputusan menyatakan baby tak boleh hidup, doktor boleh keluarkan bayi awal. Tak perlu lagi saya meneruskan kandungan ini.
Walau Berisiko, Saya Teruskan Jua Kandungan Ini
Sungguh berat untuk saya terima. Saya berbincang hal ini dengan suami. Dan tak mahu melakukan ujian ini, apatah lagi mengeluarkan bayi dalam kandungan saya.
Lagipun, baby saya sangat-sangat aktif dalam kandungan. Doktor jelaskan memang begitulah. Bayi memang aktif dalam kandungan kerana dia bernafas melalui ibunya.
Cuma kemungkinan waktu baby dilahirkan nanti, mungkin baby tak dapat nak tampung pernafasannya sendiri. Kerana, kertika itu ruang paru-parunya dah sempit sebab diganggu oleh perut yang dah menumpang di tempat paru-paru. Allah..
Sekarang, usia kandungan saya dah 7 bulan lebih. Ya.. saya tetap teruskan kandungan ini. Walaupun saya tahu baby saya akan bermasalah besar kelak. Saya kuat untuk laluinya kerana saya tahu baby saya juga kuat.
Ibu-ibu.. saya mohon doa ibu-ibu semua. Doakan semoga ada keajaiban yang diberikanNya untuk saya dan baby.
Mingguan Wanita mendoakan semoga ibu ini akan melahirkan bayinya dalam keadaan normal dan sempurna serta dipelihara olehNya. Ya, semoga berkat doa mak-mak di bulan Ramadhan akan ada keajaiban untuk ibu ini. Sesungguhnya ketenangan hati itu adalah milik orang-orang yang sabar menempuh setiap ujian dari Allah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Keluarga Asnaf kedua yang mendapat perhatian majalah Mingguan Wanita dan Impiana dalam program CSR Raya adalah keluarga Rosnani binti Aris. Kehidupan wanita berusia 34 tahun ini memang sangat memeritkan setelah Farimzaimi bin Zakaria, suami yang disayangi tidak mampu bergerak sebaik disahkan menghidap penyakit kanser limfoma sejak tiga tahun yang lalu.
Rosnani dan Farimzaimi memiliki dua orang anak. Siti Balkis berusia 11 tahun manakala Mohd Faris berusia 10 tahun. Mereka sekeluarga tinggal menyewa di sebuah rumah kecil di Kg Baru Nelayan, Sungai Besar, Selangor sejak Farimzaimi sakit. Sebelum ini mereka sekeluarga menetap di Alor Setar, Kedah selama lima tahun.
Keputusan berpindah ke Sungai Besar dibuat kerana inilah kampung halaman Rosnani. Di sini juga tempat tinggal ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain. Berpindah ke Sungai Besar turut memudahkan dia membawa suaminya berulang-alik ke Hospital Ampang, Selangor bagi mendapatkan rawatan penyakit kanser limfomanya.
“Saya dan suami mengambil keputusan menyewa rumah kerana tidak mahu menyusahkan keluarga saya yang juga bukan orang senang. Emak perlu menjaga ayah yang menghidap penyakit Parkinson. Jadi, kami menyewa rumah yang berhampiran dengan keluarga saya. Mudahlah jika saya mahu meminta sebarang bantuan jika terjadi perkara yang tidak diingini,” ceritanya.
Mengimbas semula kisah penyakit kanser yang dihidapi oleh suaminya, Rosnani menjelaskan segala-galanya berlaku secara tiba-tiba.
“Suatu hari, selepas suami balik dari kerja, dia mengadu sakit belakang. Rasa sakit itu kemudiannya turun ke kakinya. Dia pergi ke klinik tetapi doktor tidak dapat mengesyaki sebarang masalah. Dia hanya diberi vitamin, namun, rasa sakit yang dialami tidak juga berkurangan.
“Apabila ayah saya mendapat tahu suami saya sakit, dia meminta saya membawa suami berubat di kampung (Sungai Besar). Saya ikutkan kata ayah dan bawa suami pulang. Selepas berubat kampung tidak ada sebarang kesan, saya kemudiannya membawa suami ke hospital Selayang.
“Doktor tidak dapat mengesan penyakit suami. Saya kemudiannya bawa suami ke Hospital Sungai Buloh. Di sana doktor telah melakukan pembedahan pada bahagian tulang belakang suami. Barulah doktor dapat mengesan suami menghidap kanser Limfoma,” cerita lebih lanjut tentang kesakitan suaminya.
Demi Suami Dan Anak-anak
Betapa terkejutnya Rosnani apabila doktor mengesahkan suaminya menghidap kanser Limfoma. Berikutan dengan pengesahan doktor itu, suaminya kemudian telah dirujuk ke Hospital Ampang. Selama sebulan dia menemani suami menjalani rawatan rehabilitasi di Hospital Ampang.
Sepanjang dia menjaga suami, anak-anaknya dijaga oleh keluarga di Sungai Besar. Selepas suami dibenarkan keluar dari hospital, Rosnani perlu membawa suami melakukan rawatan susulan di hospital.
“Saya masih ingat lagi betapa susahnya kami berulang-alik ke hospital agar suami dapat menjalani rawatan kemoterapi. Suami buat kemoterapi selama enam kali. Selepas habis kemoterapi, saya telah menghantar suami ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani rawatan radioterapi selama sebulan.
” Habis radioterapi, doktor membenarkan suami balik ke rumah. Doktor sahkan suami sudah tidak ada apa. Cuma kaki dia tidak boleh berjalan. Dari tulang T7 sampai paras kaki, memang tidak ada rasa. Kalau cucuk atau apa sahaja, suami tidak dapat rasa.
“Sedih juga dengan keadaan suami ketika itu. Tetapi rasa sedih itu saya simpan kerana memikirkan tentang dua orang anak kami. Mereka juga perlukan saya dan ayah mereka. Terpaksalah saya mulakan hidup baru.
“Kini hidup saya adalah untuk suami dan anak-anak. Tanggungjawab itu berat kerana perlu membawa suami berulang-alik ke hospital. Pada masa yang sama membawa anak-anak pergi dan balik ke sekolah.
“Saya masih muda dan boleh bekerja tetapi tidak boleh melakukannya kerana jika saya bekerja siapa yang akan membawa dan mengambil anak pergi dan balik sekolah. Siapa pula hendak menjaga suami kerana dia tidak boleh mengawal berak dan kencingnya.
“Dua hari sekali saya akan masuk ubat pada suami agar dia boleh berak. Suami pula akan kencing melalui tiub. Manakala setiap dua minggu sekali jururawat dari Klinik Sungai Besar akan datang ke rumah bagi menukarkan kepada tiub baru,” katanya dengan nada sedih.
Pengorbanan Rosnani yang masih muda menjaga suami berusia 45 tahun ini tidak boleh dipandang remeh. Tidak semua wanita bergelar isteri yang mampu melakukannya. Jelas Rosnani, walaupun suaminya sakit, dia sesekali tidak akan meninggalkan suaminya itu.
“Pernah juga suami meminta supaya saya tinggalkan dia kerana kesakitan yang dia alami. Namun sesekali tidak akan saya tinggalkan dia. Selagi saya mampu, saya boleh jaga suami. Sementara dia masih ada saya akan bela dia. Selagi kudrat saya ada, saya akan jaga dia,” ujar Rosnani dengan penuh bersemangat.
Pesan Rosnani lagi, kepada wanita yang mempunyai suami yang sakit seperti suaminya ini, jagalah suami mereka.
“Jagalah suami kita kerana itulah syurga kita,” tambahnya.
Tidak Mampu Balas Pengorbanan Isteri
Farimzaimi rasa bersyukur kerana mendapat isteri sebaik Rosnani. Tatkala dirinya berasa sedih, isterinya banyak memberi kata-kata semangat.
“Saya masih ingat lagi, ketika berada di wad, memang saya mudah ‘down’. Ketika emosi saya tidak stabil, pernah juga saya kata kepada isteri agar tinggalkan saya. Tetapi isteri tidak mengendahkan kata-kata saya itu.
“Sebab itu seringkali juga saya ambil masa ketika berseorangan untuk fikirkan kembali apa yang berlaku pada diri saya. Saya juga jadikan pengalaman, ketika tinggal di wad dan bertemu dengan pakar-pakar motivasi telah membuatkan saya mendapat suntikan moral untuk diri kembali bersemangat.
“Saya berterima kasih kepada isteri kerana sanggup tolong saya walau saya dalam keadaan sebegini. Allah Maha Berkuasa dan Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Pengorbanan isteri saya itu tidak dapat saya ungkapkan. Demi menjaga saya, isteri terpaksa meninggalkan anak-anak untuk dijaga oleh keluarganya,” katanya dengan suara tersekat-sekat.
Tiga Tahun Tidak Membeli-belah
Rosnani tidak bekerja. Sebab itu dia amat bersyukur kerana mendapat bantuan dari Pusat Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Pusat Zakat memberi bantuan kewangan sebanyak RM400. Manakala JKM memberi bantuan sebanyak RM350. Dengan wang tersebut saya gunakan untuk membeli barang dapur dan menampung perbelanjaan anak-anak ke sekolah.
“Kadang-kadang saya terpaksa meminjam wang daripada adik-adik saya untuk duit belanja anak-anak di sekolah. Kadang-kadang timbul rasa malu kerana terpakssa pinjam duit daripada adik beradik. Apabila timbul rasa segan itu, anak-anak saya tidak bersekolah,” luah Rosnani, sebagai ibu dia banyak berkorban untuk anak-anak. Dia sanggup tidak makan asalkan anak-anak dapat makan.
“Saya tidak kisah keperluan saya sendiri. Apa yang penting suami sihat. Walaupun kakinya tidak dapat berjalan, yang penting tangannya masih sihat. Anak-anak juga perlukan saya. Saya pernah rasa terbeban dengan tanggungjawab ini tetapi setelah saya fikir sedalam-dalamnya, saya terima takdir Allah ini. Anak-anak penguat semangat saya. Kegembiraan mereka buat saya hati saya gembira,” luahnya lagi.
Seharian Bersama Rosnani dan anak-anaknya, penulis dapat melihat sedikit perubahan pada wajah mereka apabila dibawa membeli-belah di Econsave sementara menunggu rumah mereka menjalani proses make over oleh majalah Impiana.
Dalam program CSR Raya Mingguan Wanita, Rosnani telah diberi baucar bernilai RM1300 tajaan Econsave Cash and Carry Sdn Bhd. Baucar ini ibarat rezeki terpijak buat keluarga ini. Akui Rosnani, sudah tiga tahun dia tidak mampu menjejakkan kaki ke pasar raya untuk membeli-belah dengan jumlah yang agak besar.
Terima kasih Area Manager Econsave Cash and Carry Sdn Bhd Miss Lim Yoke Foong dan Branch Manager Econcave Alam Jaya Ahmad Subti bin Haji Ashari atas sumbangan baucar bernilai RM1300 yang diberikan kepada asnaf terpilih ini.
“Sejak suami sakit, kami tidak pernah berbelanja sebanyak ini. Syukur sangat dengan rezeki yang diberikan oleh Allah ini. Anak-anak pun seronok kerana mereka tidak perlu melihat tanda harga apabila membeli barang-barang yang mereka berkenan pada hari ini,” katanya dengan gembira dan penuh kesyukuran.
Video membeli-belah di Econsave Bersama Mingguan Wanita dan make over rumah oleh Impiana ini pula boleh ditonton di saluran You Tube, laman web, Facebook dan Instagram Mingguan Wanita dan Impiana pada hari raya Aidilfitri ini.
Hulurkan Sumbangan
Jika ada yang mahu menghulurkan sumbangan bolehlah berkunjung ke alamat no 3, Lorong 1, Kg Baru Nelayan, Sg Besar, 43500, Selangor atau menghubungi nombor telefon 0172803572 atau masukkan sumbangan ke nombor akaun BSN 10123-29-00018893-8 Rosnani Binti Aris.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebak bila Achey dedah isteri serahkan wang gaji ketika bekerja. Terbaru menerusi program realiti TV, Achey memberitahu dirinya sangat kagum dengan pengorbanan suri hatinya...