“Mak, abang pukul adikkk!” jerit si bongsu sambil meraung-raung. Aduh, tak sudah-sudah si abang, kita yang kepenatan ini pun jadi geram dibuatnya. Maka tanpa berfikir panjang, rotan pun dicapai, lalu dilibas ke tubuh kurus abang.
“Tolong Mak! Sakittt!” rayu anak sambil menepis-nepis pukulan rotan yang singgah. Air matanya bercucuran tapi kerana geram, yang kita sedar hanyalah bekas merah berbirat-birat dan sedu-sedannya yang sudah tak berbunyi.
Ya, penting bagi ibu bapa membentuk sahsiah anak-anak sejak dari awal kelahiran mereka agar tidak mengundang pelbagai masalah seperti degil, tidak mendengar kata atau sering melawan cakap orang tua.
Disebabkan itu ada antara ibu bapa yang melaksanakan hukuman untuk mendisiplinkan anak-anak mereka. Salah satu hukuman yang menjadi pilihan adalah merotan.
Menurut petikan Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Noornajihan Jaafar, dalam pada melaksanakan hukuman rotan, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa.
ADAB MEROTAN
(a) Hukuman rotan tersebut hendaklah merupakan alternatif terakhir, setelah cara didikan lain digunakan.
(b) Elakkan merotan ketika sedang marah. Hendaklah ibu bapa menenangkan diri seketika sebelum mengambil tindakan untuk merotan.
(c) Elakkan merotan pada anggota badan yang sensitif seperti kepala, wajah dan dada.
(d) Hendaklah rotan pada kali pertama itu perlahan, dan meningkat kekuatannya pada bilangan yang berikutnya.
(e) Sekiranya rotan pada kali pertama tidak memberikan kesan kepada tingkah laku anak, bolehlah ditambah bilangannya.
(f) Elakkan merotan lebih daripada 10 kali, bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w.
Sebenarnya terdapat banyak lagi ilmu merotan anak-anak yang mak mak di rumah mesti hadam. Topik ‘Aspirasi Rumah Tangga: Rotan – Calar Emosi & Fizikal’ inilah yang akan didebatkan dalam Mingguan Wanita, Jumaat, 21 September 2018. Sama-sama kita tambah ilmu keibubapaan jam 12.00 tengah hari esok, semestinya di saluran Astro Prima 105 dan Astro Maya HD 135.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI