langgar lari

Sungguh malang tidak berbau. Malam tadi viral rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang wanita dilanggar sebuah kereta yang memandu dalam keadaan melulu dan turut merempuh beberapa kenderaan lain. Video  berdurasi 11 saat tersebut cukup menyayat hati kerana wanita tersebut berusaha mengelak daripada dilanggar pemandu ‘gila’ tersebut namun terus diseret dengan oleh kereta sejauh beberapa meter.

Terkini dilaporkan wanita tersebut telah meninggal dunia setelah alami cedera parah akibat dirempuh dan diseret sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari ketika melintas jalan di hadapan bangunan kedai di Shaftbury Cyberjaya di sini semalam.

Cedera Parah & Meninggal Dunia

Kejadian malang yang berlaku kira-kira pukul 7.34 malam itu menyebabkan mangsa Wan Amirah Wan Alias, 31, yang merupakan seorang Penolong Pengurus sebuah syarikat mengalami kecederaan parah dan dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya pada pukul 4 pagi tadi.

Malang Tak Berbau, Wanita Maut Ketika Melintas Jalan Dirempuh & Diseret Kereta Pemandu ‘Gila’!

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pihak polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kemalangan melibatkan lima buah kenderaan dengan seorang mangsa wanita.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Hyundai dipandu lelaki tidak dikenali telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Proton yang diparkir di sebelah kanan hadapan bangunan kedai tersebut.

“Selepas itu, pemandu kereta berkenaan telah menghala ke kiri dan melanggar tiga buah kenderaan lain yang diparkir di sebelah kiri jalan. Semasa mangsa sedang melintas jalan, dia telah dilanggar oleh kenderaan tersebut,” katanya.

Pemandu Langgar Lari

Menurut Abdul Aziz, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4 pagi tadi.

“Pemandu kenderaan tersebut bagaimanapun terus melarikan diri.

“Polis kini sedang giat mengesan pemilik dan pemandu kenderaan jenis Hyundai dengan nombor pendaftaran BHS 7999 tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya.

Susulan itu pihak polis sedang berusaha mengesan pemilik dan pemandu kereta dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rata-rata netizen menyelar tindakan pemandu kenderaan yang memandu secara melulu sebelum merempuh mangsa yang sedang melintas jalan, malah tidak bertanggungjawab dengan melarikan diri setelah melanggar wanita tersebut.

Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga mangsa atas ujian ini. Sungguh bahaya tidak dapat diduga meskipun telah berusaha untuk mengelak. Semoga pemandu ‘gila’ tersebut dapat diberkas segera dan dibawa ke muka pengadilan untuk mendapat hukuman yang setimpal.

Sumber: Kosmo & Bharian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI