Mak mentua sering kali menghadapi konflik dengan menantu perempuannya berbanding menantu lelaki. Entahlah, tiada jawapan pasti kenapa ia terjadi. Tapi mungkin kerana sama-sama perempuan, jadi ‘persaingan’ terjadi tanpa sedar!
Ramai yang menganggap puncanya daripada menantu yang berperangai macam ‘hantu’ sedangkan mungkin punca sebenarnya adalah daripada pihak mak mentua!
Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj, motivator, yang juga penulis ruangan Motivasi di dalam majalah Mingguan Wanita ada pesanan untuk mak-mak mentua.
Ego
Apabila kita menjadi mentua, sentiasalah ingat watak Nyonya Mansor dalam filem “Ibu Mentuaku”, dengan itu mudah-mudahan kita akan menjadi lebih baik.
Tiada siapa rasa sikap Nyonya Mansor itu baik, bukan? Ia adalah sikap yang amat kejam serta mempamerkan ego yang amat tinggi. Sewaktu menonton kita jadi menyampah dengan watak wanita kaya tetapi sampai hati itu. Dan rasanya setiap orang pernah menonton filem itu serta merasai perasaan yang sama.
Habis, mengapa kisah mentua-mentua zalim dalam dunia realiti masih ada sehingga kini? Mustahil setiap mentua zalim hari ini tidak pernah menonton filem berkenaan. Bukan setakat orang Melayu, orang India dan Cina pun sama meminati filem-filem lama P. Ramlee. Ia penuh sindiran serta bermotivasi tinggi terutama mereka yang mahu berfikir dan mencari pengajaran di sebalik setiap kisah yang diceritakan.
Ada banyak kesalahan mentua terhadap menantu. Kadang-kadang ia dilakukan dalam fikiran yang waras. Saya senaraikan tiga sahaja, sama-samalah kita elak supaya tidak menjadi Nyonya Mansor moden:
i. Membanding antara menantu
Yang bekerja kerajaan selalu dilayan baik, sedang yang bekerja swasta ala kadar saja. Padahal yang bekerja kerajaan itu pun tidak pernah memberikan duit belanja atau balik dengan buah tangan hingga penuh meja. Bila datang terus duduk di ruang tamu menonton TV dan mentua yang sibuk-sibuk di dapur. “Tak apalah, Liza tu penat bekerja agaknya. Hari cutilah dia nak berehat,” hujah hati sendiri.
Lagi besar pangkat menantu, lagi besarlah layanan yang diberikan oleh si emak mentua. Kadang-kadang tidur pun dipersilakan ke bilik, sedang menantu yang kerja biasa terpaksa bentang totto saja di ruang tamu. Menantu yang tidak bekerja, lagilah dilayan kurang daripada biasa.
Ads
ii. Mengkritik di belakang
Sesetengah mentua rajin bercerita keburukan menantu kepada orang lain, tanpa sedar cerita itu mungkin akan berbalik kepada menantu itu juga. Ingatlah, semua kritikan di belakang jarang terhenti pada satu telinga, selalunya ia berjangkit-jangkit.
Semua cerita belakang tidak akan membawa apa-apa kebaikan. Menantu yang dikritik tidak akan tahu sikapnya tidak disenangi, lalu dia tidak akan berubah pun. Yang semakin sakit adalah si mentua itu tadi. Jika dibiarkan lama-lama akan menyebabkan berlaku gangguan psikologi.
iii. Mempengaruhi anak sendiri
Ini pun satu keburukan yang amat kerap dilakukan oleh para mentua. Tujuan asalnya baik iaitu hendak memberitahu anak tentang tak berkenannya terhadap sikap-sikap menantu tetapi hujungnya menjadi kesedapan. Tanpa dijangka kata-kata negatif itu akan mempengaruhi si anak terhadap isterinya. Jika dia anak emas, dia akan lebih cepat terpengaruh dan ini tidak baik untuk kehidupan berumah tangga si anak bagi jangka masa yang panjang.
Hati Rosak Sukar Diperbaiki
Elaklah daripada melakukan perkara-perkara berkenaan. Sekali hati telah rosak, susah hendak diperbaiki semula. Kalau hati sudah mula berprasangka keluarga besar yang bahagia mungkin hanyalah cerita sebab sukar direalisasikan lagi.
Ingatlah selalu cerita Ibu Mentuaku, moga-moga kita tidak menjadi sezalim itu. Perasaan ego yang terlampau adalah antara puncanya mengapa seseorang itu boleh bersikap teramat kejam.
Daripada Abu Hurairah ra, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Barang siapa yang mempunyai (melakukan) kezaliman kepada saudaranya, hendaklah dia membebaskan dirinya daripada kezaliman tersebut (meminta maaf) kerana sesungguhnya (pada hari kiamat) dinar dan dirham tidak akan memberi manfaat sedikit pun, sebelum amalan kebaikannya diambil untuk saudaranya (bagi menebus kezaliman yang dilakukan). Jika dia tidak mempunyai kebaikan lagi, maka akan diambil kejahatan yang dimiliki saudaranya dan dilemparkan ke atasnya.” – (Riwayat Bukhari)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hendak jadi wanita hebat tidaklah sukar seperti yang disangka. Sesiapa sahaja boleh menjadi wanita hebat jika tahu caranya. Mungkin anda boleh ikut beberapa tip ini dan menjadi seorang wanita hebat.
1-Dapatkan sinar.
Jika anda kelihatan cantik, anda akan rasa cantik. Tidak ada perkara lain yang boleh menyebabkan anda cantik melainkan kulit wajah yang bersih, bersinar dan segar. Sesetengah produk kulit amat mahal. Untuk berjimat, anda boleh elak beli produk berjenama dan buat sendiri rawatan penjagaan kulit wajah sendiri. Sebagai contoh, gunakan yogurt sebagai masker yang ditampal pada wajah selama 20 minit.
2-Keseronokan bekerja.
Jika setiap hari Isnin anda rasa amat sukar untuk pergi bekerja, sudah tiba masanya mendapatkan kerja yang disukai. Dianggarkan setiap tahun setiap orang akan menghabiskan masa lebih kurang 1800 jam di tempat kerja. Ramai wanita masih kekal melakukan kerja yang mereka kurang suka kerana mereka tidak tahu apa sebenarnya yang mahu mereka buat. Bagi mengenalpasti apa kerjaya yang sesuai dengan diri, boleh buat senarai 10 perkara yang anda suka buat. Setelah anda menemui kerjaya baru itu, anda perlu berani mengambil keputusan menceburinya kerana ganjaran yang menunggu amat berbaloi.
3-Panahan cinta.
Jika teman lelaki anda sentiasa menghampakan dan membuatkan diri tidak gembira, mulalah fikir secara serius sama ada dia berbaloi. Walaupun semua orang perlukan Putera Impian namun perhubungan adalah dalam kawalan anda sendiri. Jika ia tidak berhasil seperti yang diharapkan, anda perlu keluar daripada perhubungan itu. Hidup ini amat singkat. Jika anda masih bujang dan mencari The One, anda perlu bersifat terbuka. Tetapi sebelum anda mencari teman lelaki, pastikan anda berada dalam keadaan gembira, sihat dan yakin. Jangan bergantung pada lelaki sahaja untuk mendapatkan perkara ini kerana anda pasti tidak akan mendapatkannya. Anda perlu berada dalam keadaan positif untuk menarik lebih ramai ramai lelaki positif.
4-Carilah BFF
Kawan baik atau BFF kadangkala tidak ada yang berkekalan. Kawan akan datang dan pergi. Secara fizikal atau emosional, amat sukar untuk mencari pengganti. Bagi mencari kawan baru, anda perlu keluar bersosial. Jika dijemput menghadiri sebarang majlis, jangan berdiam diri seperti tunggul kayu. Bersembanglah dan bergaul dengan tetamu lain. Menjadi seorang sukarelawan juga adalah satu cara untuk mencari kawan baru. Bersikap jujurlah dalam mencari kawan wanita. Wanita kerap kali berasa sukar untuk bersikap mempercayai kawan-kawan mereka. Beritahu ada sebarang masalah atau isu berbangkit. Jika kawan-kawan ini berbaloi, mereka akan tetap bersama anda dan menyelesaikannya bersama-sama.
5-Gunakan masa.
Masa adalah musuh anda. Satu cara untuk melawannya adalah menjadi teratur. Mulalah dengan mengurangkan masa terhadap perkara yang lebih mengambil masa seperti memasak. Masak hidangan dalam kuantiti banyak apabila anda ada masa lebih dan kemudian sejuk bekukan makanan tersebut. Cara ini akan memudahkan anda menyediakan makanan dengan cepat pada hari berikutnya. Perkara seterusnya yang boleh anda lakukan adalah melakukan perkara yang anda suka. Masa amat berharga untuk dibazirkan. Jadilah seorang yang mementingkan diri sendiri dan guna masa lapang untuk melakukan perkara yang anda suka.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kepayahan Ibu Jadi Aspirasi, Anak Pencuci Bangunan Raih Keputusan Cemerlang Dalam STPM.
Seorang anak pencuci bangunan membuktikan kepayahan hidup bukanlah alasan untuk tidak berjaya dalam pelajaran. Bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Amsyar Muawiyah Mohd. Sofi,20 merupakan antara 70 pelajar cemerlang Pulau Pinang yang berjaya memperolehi 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023, yang diumumkan semalam.
Bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Amsyar Muawiyah Mohd. Sofi melihat sendiri kegigihan ibunya, Mardiah Ismail, 47, yang memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan menjadi perangsang untuknya mengubah nasib keluarga.
Bergelar anak yatim pada usia 16 tahun selepas ayahnya, Mohd. Sofi Salleh, 48 meninggal dunia secara mengejut empat tahun lalu.
“Selepas ayah meninggal dunia (tahun 2020) barulah mak saya bekerja sebagai pencuci bangunan di Mahkamah Pulau Pinang dan saya melihat mak bekerja keras untuk menyara saya dan adik berusia 18 tahun.
“Mak juga selalu pesan yang saya adalah harapan keluarga, jadi saya perlu berusaha membaiki nasib keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh.
Amsyar Muawiyah nekad menghadiahkan keputusan cemerlang STPM kepada ibu tersayang yang banyak memberi dorongan dan tidak putus berdoa untuk kejayaanya. Selain Amsyar, tujuh lagi pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan STPM 2023.
Hadir menyerahkan keputusan cemerlang mereka ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Roland @ Rozaidi Abu Hassan.
Tiada Tuisyen, Hanya Tumpukan Perhatian Dalam Kelas
Menurut Amsyar yang mahu menjadi seorang guru, dia tidak mengikuti mana-mana kelas tuisyen dan hanya menumpukan perhatian di dalam kelas.
“Saya meluangkan masa setiap dua atau tiga jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran dan sering mengingati pesanan mak bahawa pelajaran mampu mengubah nasib kami,” katanya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pada mulanya, anak-beranak ini berborak soal agama dan siapa sangka ia berakhir tragedi berdarah. Suami isteri warga emas ini dibunuh kejam anak sendiri.
Berborak Soal Agama Berakhir Tragedi Berdarah
Perbincangan mengenai agama dan ketuhanan akhirnya membawa tragedi berdarah apabila sepasang warga emas maut ditikam dan dikelar anak sendiri di rumah tidak bernombor di Kampung Kemahang, Benta, semalam.
Dalam kejadian 11.55 malam itu, lelaki berusia 68 tahun dan isterinya berumur 64 tahun maut ditikam dan dikelar di leher oleh anak mereka.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil siasatan awal mendapati anak mangsa yang berusia 34 tahun adalah penganggur.
Suami Isteri Dibunuh
“Kejadian berlaku ketika suspek bersama ayah dan ibunya sedang berborak.
“Tidak lama kemudian, ibu suspek masuk ke bilik. Suspek berborak dengan ayahnya mengenai ilmu agama dan ketuhanan,” katanya.
Beliau berkata, suspek mendakwa ternampak mata bapanya bertukar hitam dan seakan hendak menyerangnya menyebabkan dia mengambil parang dalam bilik dan menetak mangsa.
Dibunuh Kejam Anak Sendiri
“Ibu suspek yang nampak kejadian cuba membantu tetapi suspek menyerang wanita itu dengan menetak dan menikam di leher dan kepala.
“Ibu suspek sempat melarikan diri keluar dari rumah tetapi rebah berhampiran pagar.
“Suspek keluar mencari ibunya tapi tidak nampak sebelum masuk semula ke dalam rumah. Dia seterusnya keluar dan berjalan sehingga ke tepi jalan besar,” katanya.
Suspek Ditahan Orang Kampung
Mohd Yusri berkata, suspek ditahan oleh orang kampung dalam keadaan bogel dan berlumuran darah.
Katanya, penduduk kemudian ke rumah suspek dan ternampak bapanya terbaring di lantai manakala rumah dipenuhi darah.
Beliau berkata, ibu suspek pula ditemukan terbaring di kawasan berumput dekat pagar.
Katanya, penduduk menahan suspek sehingga polis tiba dan suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mingguan Wanita : Allahuakbar, sudah pasti kejadian yang berlaku ini menyentap perasaan seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga supek mendapat pembalasan yang setimpal jika dia benar-benar bersalah.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.