Bukan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Beginilah yang dialami oleh gadis bernama Aimi, melahirkan kerisauan maknya bakal berkahwin lagi dan dia bakal mendapat ayah tiri. Luahan hati gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang gadis berusia 27 tahun dan bekerja sebagai akauntan. Masih bujang dan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Di dalam adik-beradik, hanya saya seorang saja yang masih belum berkahwin.
Saya juga seperti gadis lain, yang ingin bergelar isteri dan ibu. Namun setakat ini, rezeki saya belum tiba. Bukan tidak berusaha tapi mungkin belum tiba masanya. Pernah sekali gagal dalam percintaan dan kami terputus hubungan selepas SPM. Masing-masing bawa hal sendiri demi mengejar cita-cita.
Harapan Mak
Sejak kehilangan ayah kira-kira 20 tahun lepas, saya memang rapat dengan mak. Mungkin ayah pergi ketika saya masih lagi kecil, jadi mak lebih memberikan perhatian sepenuhnya pada saya. Tambahan pula, saya amat rapat dengan arwah dan mak tak ingin saya rasa kehilangan selepas ayah tiada. Jika mak perlu bekerja di luar daerah, apabila cuti sekolah, saya akan menemani mak kerana saya tinggal di rumah bersama mak, manakala kakak dan abang tinggal di asrama. Jarang benar saya ditinggalkan bersama pembantu rumah.
Sebagai anak bongsu, saya rela memilih sebuah universiti tempatan yang berhampiran dengan kampung, membolehkan saban minggu saya balik rumah. Demi mak, saya rela melepaskan impian untuk belajar di luar negara walau pun telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom kerana keputusan cemerlang saya. Demi mak juga, saya rela melepaskan cita-cita asal saya ingin menjadi seorang jurutera demi meneruskan legasi mak yang merupakan seorang akauntan. Kalau ikutkan saya sukakan kerjaya yang lasak. Kata mak, perempuan tak payahlah cari kerja yang lasak sangat. Mak umpama sahabat baik saya. Banyak saya kongsikan dengan mak.
Lelaki Baru
Pertengahan tahun lepas, mak ada bercerita dengan saya, dia bertemu kembali dengan seorang rakan lelaki lamanya, ketika belajar di universiti dahulu dalam satu majlis reunion. Sejak itu sering kali mereka berhubung dan sering kali juga saya akan bercakap dengan lelaki itu menerusi telefon. Lelaki itu, uncle Zack, rupanya sudah lama menetap di Australia dan berkahwin di sana. Punya seorang cahaya mata. Selepas kematian isteri dua tahun lepas, dia mulai tawar hati untuk tinggal di sana kerana rindukan kenangan bersama arwah isterinya. Manakala anak tunggalnya pula sedang belajar di sebuah universiti di sana.
Saya tak pernah halang mak berhubung dengan Uncle Zack kerana sedar mereka sama-sama kesunyian. Lagi pun, saya rasakan hubungan hanya sekadar itu saja. Tak sangka, ketika hari jadi mak Mac lalu, uncle Zack turut hadir ketika majlis makan-makan di kediaman kami. Kali pertama lihat uncle Zack, orangnya masih segak dan handsome walau usianya sudah pertengahan 50-an. Ramai tetamu mengusik, sepadan dengan mak yang masih lagi lawa. Hati saya mula rasa tak sedap.
Ads
Terus Terang
Rupa-rupanya uncle Zack sudah kembali menetap di Malaysia sejak awal tahun ini. Puan, daripada gerak geri mereka, saya dapat tangkap mereka berdua saling menyukai antara satu sama lagi. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Saya rasa sedih memikirkan kasih mak bakal beralih kepada lelaki lain. Tak cintakah lagi mak pada arwah ayah? Selama ini mak boleh setia, kenapa sekarang tidak?
Saya sedar saya tak patut halang mak mencari kebahagiaannya setelah 20 tahun bersendirian tapi entahlah. Saya susah nak terima kenyataan ini. Tapi saya tak cakap apa-apa pada mak kerana tak nak dia kecil hati. Cuma sekarang ini saya sengaja menjauhkan diri daripada mak. Bila mak ajak keluar bersama, jarang saya terima sedangkan kalau dulu kami macam belangkas. Mak tak syak apa-apa kerana kebetulan saya juga sedang mengambil sambung pengajian, memang agak sibuk.
Saya sedar, hubungan mak dengan uncle Zack makin serius dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang abang dan kakak sembunyikan daripada saya. Hati saya kuat mengatakan yang mak dan uncle Zack akan berkahwin tak lama lagi namun semua orang belum memberitahu saya apa-apa. Puan, saya sayangkan mak saya dan nak dia bahagia. Tapi saya juga risau saya akan ‘hilang’ dia seperti saya hilang arwah ayah saya dulu.
Aimi, Subang Jaya, Selangor.
Pendapat Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Semoga pada masa kini saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Apabila membaca kisah saudari, alangkah bertuahnya saudari punya seorang ibu yang amat menyayangi saudari. Sedangkan ramai anak yang tiada punya kasih ibu… sama ada ibu membiarkan tanpa didikan, diserahkan anak kepada orang lain hanya kerana memburu kehidupan lain, atau membuang anak kerana dosa yang dilakukan dan anak yang kematian ibu bapa.
Ads
Pengorbanan Mak
Bagi pihak ibu saudari pula…bayangkan seorang wanita yang telah kehilangan suami mengambil keputusan tidak berkahwin hanya semata-mata tidak mahu kasih yang dimiliki anak berumur 6 tahun hilang kasih sayang daripada ibunya pula setelah pemergian ayah yang terlalu rapat dengannya. Pengorbanannya selama 20 tahun hanya semata-mata untuk kasih kepada anaknya yang bongsu tidak dinafikan sesuatu yang hebat. Kekosongan dalam hidupnya tanpa berteman yang dinamakan suami telah sekian lama tidak diisi. Hanya kerana kasihkan anak dan memberi keutamaan dalam segala hal mengatasi keperluan sendiri.
Ramai juga saya temui ibu yang tidak berkahwin apabila kematian suami dengan alasan tidak mahu kasih terhadap anak terabai jika berkahwin lagi. Pada ibu sebegini, kasih terhadap anaknya mengatasi segalanya. Namun sering juga saya lihat anak yang sebegini ramai yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, bukan untuk ibunya (maafkan saya, bukan bermaksud saudari). Ini pengalaman yang saya lihat. Mungkin disebabkan terlalu sayangkan anaknya, mungkin anaknya tidak tahu menghargai…mungkin juga kurang matang dalam erti kata membalas jasa dan pengorbanan.
Berbalik kepada kisah saudari, saya boleh menyimpulkan daripada apa yang saudari lahirkan. Frasa lebih kurang seperti .. “saya sayangkan mak dan mahu dia bahagia…dan tidak mahu dia kahwin kerana takut kehilangan kasih”. Boleh saya andaikan beberapa analogi seperti “saya nak anak sendiri, tetapi tidak mahu mengandung”…atau “saya nak dapat ijazah tetapi tak nak belajar di Universiti”. Atau beberapa anologi yang kita boleh simpulkan bahawa kalau mahukan sesuatu tidak boleh ada apa-apa syarat dikenakan. Rasanya bolehkan kita mendapatkannya? Mungkin ada, namun terlalu jarang.
Ads
Beri Keizinan
Kalau saudari boleh bayangkan pengorbanan ibu saudari, dan mahukan dia bahagia, pastinya saya rasa saudari akan memberi keizinan kepada ibu untuk berkahwin. Bahkan kalau saudari seorang yang bijak dan matang serta bersifat pengasih, maka sejak dari dulu lagi saudari akan menyuruh ibu berkahwin.
Saudari seorang terpelajar, cuba takrifkan apa maksud sayang dan mahu orang yang disayangi itu bahagia? Memang benar kalau kita sayangkan seseorang itu, kita mahu dia bahagia. Dan pastinya kita tahu apa yang membahagiakannya …dari segi keinginan dan hajatnya …Ramai orang melihat sayang itu dari kaca mata dirinya……dia melihat dari perspektif dirinya yang mahukan segala-galanya…. bukan sangat dari kaca mata orang yang disayangi. Tidak tidakkah itu namanya “hanya fikirkan tentang dirinya “? Mungkin saudari tidak tergolong dalam kategori itu.
Namun, cuba fikirkan semula. adakah sebenar-benarnya saudari sayangkan ibu atau saudari hanya fikirkan tentang diri bahawa jika ibu berkahwin kasih itu akan hilang? Dan lagi adakah ibu saudari melakukan dosa besar? Tahukah saudari jika saudari menghalangnya bermakna saudari boleh membawa ibu saudari melakukan dosa dengan menghubungi lelaki yang bukan mahram, walaupun berhubung secara kenalan biasa? Terjaminkah hubungan itu sebagai kenalan biasa? Mahukah saudari lihat ibu saudari diundang dosa? Saya rasa saudari boleh membuat analisis sendiri.
Urus Emosi
Sekarang saya membuat andaian saudari mengizinkan ibu berkahwin. Maka saya bantu saudari untuk belajar bagaimana menguruskan emosi saudari untuk tidak merasa kehilangan kasih ibu. Pertama, fikirkan yang positif sahaja, usah difikir takut kepada kehialngan. Fikirkan saudari telah dewasa dan matang, fikirkan bahawa sudah sampai masanya saudari boleh urus emosi dan diri sendiri. Fikirkan bahawa jika ibu bahagia, dia juga akan membahagiakan saudari. Telah 20 tahun dia membahagiakan saudari. Tidakkah cukup? Pada masa inilah saudari perlu buat persiapan menuju alam dewasa.. perlu belajar urus diri, urus fikiran dan emosi. Ini penting apabila saudari berkahwin nanti.
Walaupun belum ada pasangan, tetapi persiapan ini amat penting. Dalam pengalaman yang saya lihat, salah satu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh wanita yang baru berkahwin adalah kerana kurang bijak urus fikiran dan emosi . Dan ini salah satunya disebabkan ibu bapa yang terlalu menyayangi anaknya hingga menhyebabkan anaknya tidak pandai urus emosi dan “tidak pandai memberi kasih”. Sejak kecil dia hanya disayangi, tetapi tidak diajar bagaimana menyayangi. Bila dia terlebih disayangi, dan tidak tahu bagaimana menyayangi, maka apabila timbul masalah atau ujian, dengan sendirinya dia rapuh dan cepat kecewa kerana orang yang hampir dengannya (orang yang dikahwininya) tidak seperti ibu atau bapanya.
Belajar Menyayangi
Dalam hidup kita perlu banyak belajar “memberi” dan “menyayang”. Belajar menyayangi ibu bapa khususnya, makhluk-makhluk lain dan pastinya mengasihin Allah yang paling utama. Ini kerana jika dia mengasihi Allah, maka dia akan banyak memberi kerana itu yang Allah suka. Malah Allah amat menyukai anak yang membahagiakan ibunya, bukan yang mengabaikan, melukakan atau menderhaka kepadfa ibunya. Mungkin saudari pernah mendengar pepatah; ”lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita dapat”.
Maka lagi banyak kasih yang saudari beri kepada alam sejagat ini khusunya ibu, maka akan lebih banyak kasih yang saudari akan dapat, dan akan membahagiakan saudari. Dan apakah yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang? Iaiitu apabila hatinya tenang … bagaimana untuk mendapat ketenagan itu ? Dengan banyak mengingati Allah…dan ingat apa yang Allah suruh…antaranya berbuat baik kepada orang tua… siapa yang beri ketenangan itu? Pastinya Allah. Maka saudari tidak perlu risau jika ibu berkahwin. Ingatlah bahawa kehidupan seorang anak itu menjadi tidak ternilai apabila ibunya meredhainya kerana Allah ada menyatakan bahawa redhaNya bergantung kepada redha ibu bapa terhadap anaknya.Maka pohonlah agar saudari diredai Allah melalui redha ibu terhadap saudari dengan cara membahagiakan ibu…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam mendidik anak ini terlalu banyak seninya dan setiap anak berlainan sekali seninya. Anak sulung tak semestinya sama dengan anak bongsu, begitulah jua sebaliknya biarpun kitalah mak,ayah yang sama.
Kadang-kadang dalam mengejar gelaran mak, ayah mithali kita terlepas beberapa perkara. Sebenarnya tak salah mak, ayah hendak bahagiakan anak tapi jangan sampai tersalah mengajar anak hingga merasuah.
Ikuti perkongsian Puan Wawa Shauqi ini dan fahami mesej yang cuba disampaikan:
Pujuk, Atau Ajar Anak Rasuah?
Biasa memang gini kan tuan, puan. Dengan mak macam-macam pantang larang. Tiba-tiba dengan bapak semua dapat! Hahaha!
Tak payah terasa ya. Saya dengan suami pun pernah bertekak benda yang sama.
Saya faham. Ramai ibu bapa mithali di luar sana nak bahagiakan hati anak-anak. Tapi hati-hati. Tanpa kita sedar, kita mengajar mereka terima rasuah. Yezz.. Seramkan?
Tak Salah Nak Bahagiakan Anak
Iya, apabila kita memberi sesuatu kepada anak untuk hentikan rajuk dan tangis, kita sebenarnya merasuah mereka. Di hari lain, apabila mereka nakkan sesuatu dari kita, mereka akan gunakan rajuk dan tangis ni sebagai senjata.
Sebab apa? Sebab dia tahu itulah senjata yang paling berkesan untuk dia dapat apa yang dimahukan. Atau untuk dia elak buat benda yang dia tak mahu buat.
Tindakan ini dinamakan tantrum. Lagi ayah tunjuk saspen, lagi mak tunjuk muka takut, lagi galak dia tantrum.
Langkah yang perlu dilakukan ketika menghadapi anak tantrum :
1. Kekal tenang dan bagi muka ‘hati kering’ pada anak.
2. Bertegas dan mengesahkan perasaan anak, “Ayah tau awak nak kereta tu dan awak kecewa. Tapi kita sudah bincang dah sebelum keluar tadi, kita tak akan beli mainan lagi.”
3. Beri pilihan. “Along boleh menangis, tapi kita terpaksa balik. Tapi kalau Along boleh berhenti, kita akan terus jalan-jalan dalam mall ni.”
4. Jangan beri perhatian sehingga anak berhenti mengamuk/ merajuk.
5. Bila anak berhenti mengamuk/ merajuk, peluk dirinya dan beri pujian. “Terima kasih Along kerana bekerjasama dengan ayah. Ayah sayang kalau Along selalu macam ni.”
6. Nasihat Kalau masih ada marah yang berbaki, beri dia masa sehingga dia reda. Sekiranya sudah ok, boleh ingatkan semula tentang peraturan yang sudah dibuat.
Nota kaki: 1. Tantrum berlainan dengan meltdown. Meltdown biasa berlaku pada kanak-kanak berusia 3 tahun ke bawah. Atau kanak-kanak istimewa (seperti autism) yang tak dapat mengawal emosi dan ransangan sensori yang mereka terima. Ibu ayah perlu lebih berlembut untuk mententeramkan anak ini.
2. Rasuah berbeza dengan ganjaran. Rasuah adalah ‘hadiah’ yang diberi kepada anak sebelum anak buat sesuatu yang kita minta. Ganjaran diberi selepas anak berjaya melakukan sesuatu yang diminta.
MW: Sebagai mak,ayah sudah tentu mahukan yang terbaik untuk anak-anak tersayang. Namun berpada-padanya kerana lama-kelamaan buruk kesannya pada perkembangan anak jika tidak kena caranya.
Banyak sekali cerita, perkhabaran yang mengenai buruh Malaysia yang bekerja ladang di Australia. Kadangkala hasil pembacaan buat kita rasa seram sejuk. Tidaklah seindah perkhabarannya. Nak tahu indah ke tidak, baca perkongsian Ches Al-Maliki yang pernah menjadi pekerja ladang di Australia.
Siapa Ches Al-Maliki ini? Beliau merupakan pemegang BA of Islamic Education, University Of Malaya. Ketika di zaman kampus seorang Aktivis Mahasiswa, mantan Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Sabah, Universiti Malaya (2011-2012), Pemetik strawberi yang tegar (Alumni Ladang Austrarlia) dan akhirnya berkongsi pengalaman bekerja ladang di Australia dalam karyanya ‘Graduan Ke Ladang’.
“Saya ingin mengambil ruang ini untuk memberi pendedahan (Kisah Benar) pada semua tentang LADANG AUSTRALIA agar mangsa penipuan ejen semakin tipis.”
Selama 3 tahun berada di negara kanggaru itu, bermacam-macam kerja saya lakukan untuk meneruskan hidup. Pemandu pelancong, Ejen jual beli Kereta, dan Kerja Ladang. Saya menunggu waktu ini (Kembali ke Malaysia) untuk buka kisah ini.
“Hah baru tahu langit tinggi rendah di negara orang. Saya sudah rasa hidup menjadi ‘pendatang’ di negara orang. Mungkin setaraf dengan orang Bangladesh ataupun orang pilak (Pelipin sabah) yang cari makan di Malaysia, begitulah saya di Australia. Sebijik!”
Ditambah lagi tidak punya dokumen yang sah ( Lebih kurang macam tiada IC ). Jadi kalau nampak saya bermesra-mesraan dengan orang Bangladesh di mana-mana, itu adalah perkara biasa. Sebabnya saya telah menjadi sebahagian daripada ‘hidup’ mereka. Kami berkongsi rasa yang sama.
Kau yang duduk di kerusi eksklusif itu, kalau tidak mahu menyapa mereka dengan Assalamualaikum pun, paling kurang usah pandang para manusia ini dengan level kelas ke-2, kerana spesis kita adalah sama iaitu MANUSIA !
Ini Hakikat Sebenar Pekerja Ladang Di Australia
Saya akan respon beberapa perkara yang menjadi PERSOALAN banyak pihak.
1) Betulkah wujud kerja ladang di Australia tu, seperti yang diuar-uarkan oleh media massa?
Jawapannya YES! Betul. Australia dikenali sebagai sebuah negara pengeluar dan pengeksport utama hasil pertanian negaranya, 61% daratan Australia diusahakan menjadi ladang. Ianya bukan SCAM.
Untuk pengetahuan kalian, TIDAK ADA EJEN YANG RASMI YANG MEMBAWA MASUK PARA PEKERJA MALAYSIA UNTUK BEKERJA LADANG DI AUSTRALIA. Mereka yang membuat iklan di FB atau mana-mana blog atau membuat iklan mengenai ladang Australia, adalah tanpa pengetahuan pihak Imigresen Australia. Lebih kurang seperti sindiket sebenarnya. Jika diketahui oleh pihak imigresen tentu orang ini akan dihantar pulang ke Malaysia dan di BAN selama 3 tahun daripada masuk ke Aussie.
Ini adalah peraturan . Di sisi undang-undang negara memang “HARAM” lah sebenarnya menyeludup masuk orang dan bekerja di ladang tanpa permit kerja yang sah. Ini yang saya lalui sendiri. Perlu di bezakan, HARAM di sini maksudnya melanggar undang-undang Australia, kerana bekerja tanpa permit. Ibarat orang yang menjaja di tepi jalanraya, tetapi tidak punya lesen niaga (Mereka dianggap penjaja ‘haram’).
Tetapi jika berlaku transaksi jualan/belian di antara penjaja tersebut dengan pembeli adakah duit yang diterima itu haram? TIDAK! Kerana pembeli dan penjual redha di antara 1 sama lain. (Penjual) cuma melanggar peraturan (Tidak ada permit) dan tidak termasuk dalam HARAM (hukum Islam). Perlu dibezakan HARAM (hukum Islam) dan juga ‘HARAM’ (istilah orang Melayu).Sama dengan konteks pekerja ladang.
Dalam hal ini saya berani sembang tentang Hukum HARAM kerana saya tahu keadaan sebenar dan sekaligus saya tujukan pada para ‘Eksklusivers’ di luar sana yang seronok menjatuhkan hukum HARAM pada para pekerja LADANG!
Ramai yang membuat pelanggaran undang-undang ini, kerana? TERPAKSA.
Jangan Malas.. Buat Kajian
Namun soal EJEN RASMI ataupun TIDAK, itu bukanlah kerja saya, kita biarkan imigresen Australia setel. Namun yang membuatkan saya BENGANG adalah, para ejen ni MENIPU dan kebanyakkannya bangsa kita sendiri. Melayu makan melayu!! Melarikan duit orang.
But sorry to say, secara jujurnya saya tidak bersimpati 100% pun pada mereka yang ditipu oleh ejen Kerja Ladang ni, kerana kalian sendiri yang meletakkan diri untuk mudah ditipu. Si penipu apa lagi, tangkas mengambil peluang. Kasihan tu memang ada tapi sepatutnya di pihak diri sendiri perlu ada backup plan. Pada ejen yang ikhlas berkongsi saya tabik hormat pada kalian.
Ingatan buat semua amalkan sikap berhati-hati dalam semua keadaan apatah lagi mahu ke luar negara melalui orang (Ejen). JANGAN serahkan 100% kepercayaan pada orang yang baru di kenali. Buat kajian / Bacaan tentang ladang. Jangan MALAS.
Buat para ejen yang MENIPU, just want to say kejap saja kau di atas tu, duit yang kau copet tu pasti akan membuatkan kau merana, kalau bukan hari ni, mungkin esok. Lagi 1, buat para ejen yang membawa masuk orang Malaysia di Aussie tu, sembang tu jangan kencang sangat, 4 season tu kena bagi clear dengan budak-budak kau. Jangan musim winter pun kau hentam bawa masuk budak. Pada yang terkinja-kinja mahu bekerja di Aussie tu, kau pun sama, tunggu musim yang sesuai (Summer). – Buatlah secara legal, ada cara. (Rujuk Buku Graduan Ke Ladang).
2) Menjadi Pekerja Ladang di Australia tidaklah teruk sangat. Jangan samakan pekerja asing Malaysia dan menjadi pekerja asing di Australia. Agak-agaklah bro! Ni untuk info kalian, Australia berstatus negara maju dan mereka sangat mengagungkan Human Right.
Pada mereka selagi namanya MANUSIA, tidak kira apa status pekerjaan, kau pendatang haram ataupun bukan, mereka tetap melayan kita seperti manusia bukan binatang. Tidak kira, warna kulit hitam putih, ketiak berbau ataupun wangi semuanya diperlakukan seperti MANUSIA !! Yes that is the truth. So janganlah ada bunyik-bunyik kurang siuman mengatakan menjadi pekerja ladang, DIKERAH seperti lembu dan seumpamanya.
Tiada istilah hamba, kerana di akhirnya ianya adalah pilihan sendiri. Kalau hamba definisinya dipaksa. Pekerja ladang ni dibayar gaji, kalau tak suka boleh berhenti anytime dan pindah kerja lain. Nak kerja boleh, tak nak kirja pun boleh. Terpulang sama you. Tapi yang pergi gatal mahu kerja susah tu, pehal. Kalau tak mahu dipush, dimaki, kerja di tengah panas, silakan minta kerja di Office berhawa dingin. Tiada halangan.
Mereka yang jenis banyak bunyik ni, banyak komplen, banyak sembang, angan-angan tinggi tapi kerja slow, kena tegur sikit melenting, kena maki bos menangis sebenarnya mahunya apa? Seolah-olah mereka tidak memahami bahawa kerja ladang itu dipakejkan dengan selut lumpur, hujan panas dan maki hamun. (Rujuk Buku Graduan Ke Ladang untuk lebih lanjut)
Ok I stop here.
Pengalaman melihat, merasai dan bergaul dengan pelbagai latarbelakang. Membantu saya untuk melihat kehidupan yang terlalu luas ini dan bagaimana kita orang “agama” berinteraksi dengan kepelbagaian. Saya telah meletakkan diri dalam keadaan yang “Kotor” semata-mata untuk memahami cara hidup orang lain.
Moga Allah SWT merahmati kita semuanya. Salam Taaruf dari saya Ches Al-Maliki. Thank you sudi baca.
Senangnya nak buat cheese cake, guna 3 bahan je dan tak menggunakan tepung langsung. Tak perlu renyah nak buat macam-macam langkah, untuk hasilkan kek keju yang sedap. Bagi penggemar cheese, resipi ini wajib dicuba.Cuti panjang hujung minggu ni, bolehlah buat dengan anak-anak.
Berikut merupakan perkongsian resipi oleh Florence Jonathan, membuat Souffle Cheesecake dengan hanya menggunakan 3 bahan.
Bahan-Bahan:
3 biji telur (asingkan putih dan kuning telur)
120 gram cream cheese
120 gram coklat putih
Cara Membuat:
1. Pukul putih telur sampai menjadi meringue (bila terbalikkan bekas, ia tak jatuh) ketepikan.
2. Cairkan coklat putih dengan menggunakan kaedah double boiler. Setelah coklat cair sepenuhnya, bolehlah tutup api dan ketepikan.
3. Masukkan cream cheese ke dalam coklat putih yang telah dicairkan tadi, kacau-kacau sampai sebati.
4. Setelah itu, masukkan pula kuning telur ke dalam adunan cheese coklat putih tadi. Gaul sampai sebati.
5. Masukkan satu pertiga meringue ke dalam adunan cheese, kaup balikkan. Ulangi smpai habis.
6. Tuang adunan ke dalam loyang yang telah digaris dengan oil atau butter dan dilapik dengan baking paper.
7. Panaskan oven selama lebih kurang 6-7 minit.
8. Bakar adunan kek dengan kaedah bain marie menggunakan suhu 170 °C selama 20 minit dan 40 minit yang berikutnya menggunakan suhu 160°C. Tempoh membakar bergantung oven masing-masing.(oven saya dah lebih 10 tahun, sebab tu ia ambil masa nak masak). Guna api atas dan bawah.
9. Bila kek sudah masak, bolehlah dihias dengan powdered sugar atau filling kegemaran masing-masing.
10. Adunan agak sedikit, better guna loyang kecik supaya kek nampak montel. Boleh doublekan bahan-bahan kalau menggunakan loyang besar.
Ibu kepada Allahyarham Mohd Fuad Fahmie berkongsi kesedihan apabila arwah yang maut ditembak di Sungai Golok tidak sempat menimang cahaya mata sulung yang dijangka lahir pada hari kelahirannya.