Setiap hari berapa lama mak ayah ada masa untuk berbual atau bercerita dengan anak-anak? Atau tak ada langsung dan hanya bercakap hal yang penting sahaja? Kadang-kadang sedih memikirkan tentang anak-anak tiada masa dan kita sebagai mak ayah langsung tidak cipta masa untuk bersama anak.
Bersama anak itu bermaksud, main bersama, berbual dan sebagainya. Ada setengah mak ayah yang sibuk dengan urusn kerja sampaikan masa untuk anak-anak langsung tak ada. Bila anak datang dekat dan cuba untuk bergurau mahupun bertanya, mak ayah buat tak endah sahaja. Sebabnya, kat tangan mak ayah ada telefon dan fokus kepada telefon yang dipegangnya.
Sedih bila memikirkan mak ayah tiada masa untuk bermain atau berbual dengan anak-anak. Bayangkan berapa lama masa ada dengan anak dalam sehari-hari.
Contohnya, pagi-pagi maka ayah terkejar-kejar menyediakan sarapan, menyiapkan anak untuk ke sekolah. Mak ayah pula ke tempat kerja. Petang barulah dapat berjumpa kembali dengan anak. Malam pula sibuk dengan urusan rumah, sediakan makan malam. Jam 9.00-9.30 anak-anak kena masuk tidur. Penat seharian di sekolah. Jadi berapa lama untuk mak ayah bersama anak.
Sedihkan! Sedar-sedar anak sudah membesar dan mak ayah terlepas untuk mencipta momen indah dengan anak-anak.
Perkongsian daripada Dr. Redza Zainol boleh membuka mata mak ayah dalam mencipta masa istimewa dengan anak. Tak perlu lama, 15 minit ssetiap hari pun sudah mencukupi untuk mak ayah cipta momen indah ini. Cubalah.
Beza Mak Ayah Bersama Anak
Pandai betul isteri saya cari masa bermain dengan anak. Balik rumah, sambil buat kerja itu ini, sempat juga dia selit buat aktiviti dengan anak.
Satu hari saya tanya dia, “Macam mana boleh selit masa main dengan anak?”
Suka pula dia tengok muka blur saya ni. Dia kata gini kat saya.
Beza saya dengan dia ialah saya main dengan anak bila saya ada masa. Tapi dia pula akan “Cipta Masa” supaya boleh main dengan anak setiap hari.
Terpelanting saya dibuatnya.
Barulah saya faham beza “If I have time, I will play” dengan “I will make time to play”.
Ya Allah, terasa lalai sungguh. Dengan orang luar boleh pula saya set masa nak berjumpa. Sampai buntu masa nak bersama dengan anak. Tau-tau je anak dah besar.
Dia cerita lagi yang dia panggil ni sebagai “Special Time” bersama anak.
Ads
Syarat-syarat “Special Time” ni ialah :
Kita cuma perlu luang minima 15 minit saja sehari untuk “Special Time” dengan anak.
Pada hujung minggu, boleh dibuat beberapa kali dalam sehari.
Masa ni kita luang hanya untuk diri kita dan anak.
Aktiviti pula mesti ditentukan oleh anak.
Semasa Special Time, tugas mak ayah ialah fokus pada 5 perkara ni. Jom saya kongsikan.
1) Pujian
Contoh :
“Papa suka tengok kakak main anak patung tu, kakak jaga elok-elok ye”.
Anak terus tahu yang kita sedang perhatikan mereka dan anak dapat rasa diri mereka dihargai bila mereka bermain dengan elok.
2) Beri respon segera
Jika anak kata, “Dinosaur tengah kejar dengan singa”, kita pun ikut ulang dengan penuh semangat.
Barulah anak tahu yang mak ayah tengah mendengar.
Ads
3) Ajuk perlakuan anak
Bila anak mula susun blok, mak ayah pun boleh bina blok binaan sendiri.
Anak-anak akan tahu kita tengah beri perhatian.
4) Perhati dan huraikan perbuatan anak.
Contoh:
“Oh….adik susun blok hijau atas blok merah ye. Adik nak bina menara ye?”
5) Bersemangat
Penting ni, mak ayah jangan lemau pula.
Contoh :
“Wow! Cantiknya abang mewarna! Ibu sukalah mewarna dengan abang!”
Lepas ni anak pun tak nak cari gajet sebab mak ayah lagi pandai melayan anak berbanding gajet.
MW: Tak susah pun nak cipta masa dengan anak. 15 minit setiap hari gunakan masa yang berkualiti dengan anak.
Diuji dengan pelbagai ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Ujian tiao orag ak sama. Ikuti pengakuan seorang ibu tunggal yang dalam dilema bila mak dan ayahnya tak mengizinkannya menjadi isteri kedua.
Puan Maimunah Mohamad, seorang kaunselor telah memberikan sedikit pandangan berkenaan perkara ini.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya seorang ibu tunggal dan memiliki sepasang cahaya mata yang berusia 10 dan 8 tahun. Sudah hampir enam tahun saya bergelar janda setelah bercerai dengan bekas suami.
Kalau diikutkan, perkahwinan saya dan bekas suami dahulu, K, adalah atas aturan keluarga. Saya sebagai anak sulung daripada lima bersaudara hanya menurut kata keluarga. Bagi saya, pilihan mereka adalah yang terbaik.
Ternyata manusia hanya mampu merancang. Perkahwinan saya mula goyah selepas anak kedua lahir. Saya seorang yang sangat mementingkan akademik. Selepas berkahwin dan punya anak, saya tetap menyambung pelajaran hingga memiliki ijazah sarjana. Suami seorang pegawai bank. Saya beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat supportive. Dua anak saya mereka yang uruskan bila saya fokus belajar. Lebih-lebih lagi itulah dua cucu pertama dalam keluarga waktu itu kerana adik-adik belum berkahwin.
Entah sejak bila sebenarnya suami berubah dan kesibukan saya membuatkan dia juga makin ‘langkah panjang’. Asyik kerja hujung minggu dan out station. Saya yang sibuk belajar tak pernah syak apa-apa hinggalah terbongkar rahsia dia curang di belakang saya.
Dia menuduh saya abaikan dia kerana sibuk belajar dan ia membuatkan saya murung dan rasa bersalah. K salahkan saya atas apa yang berlaku sedangkan sebelum kahwin saya sudah tetapkan syarat, bahawa saya akan cuba menyambung pengajian sehingga ke peringkat yang saya mampu. Tapi, selepas kahwin lain pula jadinya.
Dipendekkan cerita, kami bercerai atas persetujuan bersama. Agak lama saya murung hingga membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran. Anak-anak ditinggalkan bersama mak dan ayah di Malaysia. Bukan tak sayang anak, tapi keluarga tak izinkan saya bawa mereka bersama kerana mereka masih kecil dan kasihan saya seorang yang kena jaga nanti.
Syukur, saya mampu bangkit kembali dan lupakan sejarah silam. Tak adil kalau terus nak salahkan diri. Saya bukan perkara tak elok hingga bekas suami cari alasan curang. Dia juga silap! Akhirnya saya buktikan mampu jalani hidup dengan tenang bersama anak-anak.
Selepas enam tahun, saya yakin diri saya seorang wanita yang tabah dan kuat, mampu hidup sendiri tanpa lelaki. Namun, saya tewas juga dengan naluri sebagai wanita normal. Perkenalan saya dengan seorang lelaki telah mencetuskan kembali rasa cinta di hati. Yang menjadi masalah, dia suami orang. Sudah 12 tahun kahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Tapi memiliki seorang anak angkat.
Puas saya cuba tepis perasaan itu kerana saya tak nak lukakan hati wanita lain namun apa daya. Cinta hadir juga di hati ini yang sekian lama sepi. Bagi saya, dia seorang lelaki yang baik dan matang. Dia tak pernah burukkan isterinya malah mengaku sangat sayangkan isterinya. Perkara pertama yang diberitahu selepas kami serius, dia takkan sekali-kali ceraikan isterinya kini. Bila saya bersetuju untuk berpoligami kelak, barulah kami teruskan hubungan ini.
Puan, saya pernah beritahu keluarga akan hal ini namun keluarga saya membantah. Mereka tak merestui saya bermadu. Kecualilah teman lelaki saya itu menceraikan isteri pertamanya. Puan, saya tak kejam untuk minta teman lelaki saya itu ceraikan isterinya. Dalam masa yang sama, saya sudah sayang sepenuh hati pada lelaki itu dan tak sanggup berpisah dengannya. Dia juga rapat dengan anak-anak. Bagaimana cara saya nak pujuk keluarga saya? Ikutkan hati, mahu saja saya ajak teman lelaki saya itu kahwin rahsia. Apa pandangan puan?
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Ada orang bahagia dengan punya pasangan yang baik, ada orang bahagia hanya dengan anak-anak yang dimilkki, ada orang bahagia dengan kerjayanya, pencapaian akademiknya, kedudukannya. Ada orang bahagia hidup bersendirian dan bersama rakan-rakan yang sama minat dalam menjalani kehidupan “single” dan ada orang bahagia melakukan kerja-kerja amal dan beribadah kepada Allah. Maka konsep bahagian itu relatif antara manusia.
Pandangan kasar orang melihat bahagia itu punya pasangan, anak-anak, keluarga dan harta. Bahagia bagi puan juga berbeza dengan wanita lain. Puan sebelum ini bahagia apabila pencapaian akademik yang puan usaha selama ini membuahkan kejayaan.
Namun di sebalik kebahagiaan itu diuji dengan suami yang mencari wanita lain dengan alasan puan sibuk menumpukan kepada pengajian puan. Puan telah berpisah kerana tidak mampu ada suami yang puan anggap curang bukan?
Konsep curang ini pula perlu ditafsir semula kKerana jika dia berkahwin, mungkin konsep ini kurang sesuai digunakan. Kecuali dia ada hubungan sulit dengan wanita lain, maka itu boleh dikategorikan sebagai curang.
Takdir telah menentukan segalanya hingga puan mampu melupakan kisah itu. Kini puan diuji pula adanya lelaki lain yang cuba untuk memperisterikan puan. Saya ingin bertanya, jika isteri lelaki yang puan maksudkan itu tahu suaminya berhubung rapat dengan wanita lain (puan), boleh tak dia katakan suaminya curang terhadapnya?
Puan, hidup ini ibarat roda. Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jika dulu puan benci kepada suami kerana dia curang terhadap puan atas alasan puan tidak memberikan tumpuan terhadapnya, maka tidakkah isteri teman lelaki puan itu boleh merasa perkara yang sama ?
Kadang-kadang kita terlupa, kita pernah berbuat sesuatu yang satu hari kita juga terlibat dengan tindakan yang sama. Ini saya bawa agar puan lebih nampak sesuatu itu dengan lebih terbuka dan ada pertimbangan. Kalau dulu puan tidak mahu berpoligami, kini puan bolehkah menerima poligami?
Baiklah, kita ketepikan dahulu, kerana situasi dan manusia boleh berubah. Sebelum puan mengambil keputusan, elok beberapa perkara puan senaraikan agar lebih jelas untuk mengambil keputusan.
Pertama, apa yang menyebabkan keluarga menghalang puan berkahwin dengan lelaki itu? Kedua, adakah teman lelaki puan telah memaklumkan kepada isterinya bahawa dia mahu mengahwini puan? Adakah puan betul-betul bersedia jika ditakdirkan berpoligami? Cari dulu jawapan kepada persoalan ini. Fikir secara mendalam sebelum buat keputusan. Tidak dinafikan alam rumah tangga berbeza dengan alam perkenalan atau percintaan.
Tapi manusia sering alpa. Semuanya indah ketika bercinta. Namun tiada keputusan betul atau salah yang puan lakukan. Tidak salah untuk menerimanya. Yang salah jika berhubung mesra tanpa ada hubungan yang sah.Tidak salah jika puan menerimanya. Namun, banyak juga bergantung kepada kekuatan diri untuk berhadapan dengannya.
Setelah mengambil semua pertimbangan, dan hati puan bertekad untuk menerimanya, maka saya percaya puan punya banyak kekuatan ke arah itu. Dulu puan berusaha untuk berjaya dalam akademik, berjaya mendidik anak, mampu selama 6 tahun hidup tanpa suami, dan berusaha mendapat berkerjaya yang baik.
Kalau ini puan boleh lakukan, berkemungkinan besar puan boleh berhadapan untuk meyakinkan keluarga, menerima poligami, berhadapan dengan cercaan bakal madu (mungkin) atau boleh empati terhadap perasaannya. Boleh jadi juga dia menerima puan dengan berlapang dada.
Yang penting puan mampu berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan. Jika puan belum bersedia, maka cuba jauhkan diri dari lelaki tersebut, kerana semakin lama berhubung dengannya, maka semakin kuatlah ikatan emosi puan terhadapnya. Begitu juga dia. Janganlah pula isterinya pula berkata dia curang!
Jika alasannya kukuh untuk mendapatkan zuriat, maka dia juga mesti berani hadapi kenyataan untuk menyatakan hasratnya kepada isterinya. Namun, jika alasan selain daripada itu, pun dia mesti berani berhadapan dengan respon isterinya. Jangan sembunyi, hidup mesti berterus terang.
Jika ditakdirkan puan tidak nampak jalan untuk meneruskan hubungan itu, cepat-cepat buat keputusan sama ada kahwin terus atau tinggalkan terus. Tiada hubungan rakan atau apa-apa hubungan yang tidak rasmi. Kelak nanti merana diri…Allah pun tidak gemari. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sekarang ini, bila saja anak-anak beritahu ada impian nak jadi Gamer mahupun YouTuber, mak ayah jangan cepat melatah. Tak salah sokong sepenuhnya minat anak itu. Macam mana pun, panduannya kenalah ada.
Bila mana anak sulung, Guru Bimbingan dan Kaunseling, SMK Sungai Besar, Abdul Muiez Ruslee maklumkan mahu jadi gamer, guru ini sokong saja minat anaknya itu. Tetapi, dia mengenakan syarat khas ini.
Sebelum ini saya pernah tanya anak sulung saya mengenai hala tuju bila dah besar nanti.
Dia bagitahu, dia nak jadi gamer. Ya, saya nampak kesungguhan dia nak jadi gamer tu. Saya sokong saja. Saya bagitahu dia, walaupun nak jadi gamer, akademik tetap perlu diutamakan.
Benar, ramai gamers yang dah berjaya. Ada yang siap beli kereta secara tunai lagi. Cuba tanya, bila mereka bermula? Mungkin empat lima tahun lepas. Atau mungkin lebih awal lagi. Pada waktu itu, mungkin e-sport pun tak berapa popular. Merekalah antara pelopor kepada permainan ini. Jadi, tidak hairanlah mereka boleh berjaya kini.
Sekarang, berapa ramai gamers newbie yang muncul? Persaingan juga semakin sengit. Kalau mula dari sekarang, nak selesa mungkin makan masa tiga empat tahun lagi. Masa itu, saya yakin, pasti lebih ramai pro gamers yang wujud.
Pagi tadi, saya mendengar perkongsian di Youtube mengenai isu ini semasa dalam perjalanan ke sekolah. Anak sulung saya pun dengar sekali.
Banyak perkara menarik yang dikongsi. Youtuber itu turut datangkan contoh, katakan Ali dan Abu bercita-cita nak jadi gamer. Ali main game sepenuh masa, manakala Abu pula memilih untuk sambung belajar dan dalam masa yang sama turut bermain game.
Selepas 3 tahun, Ali dan Abu pun masuk tournament. Kedua-duanya kalah. Apa yang ada pada mereka waktu itu?
Ali mungkin tiada apa-apa, tetapi Abu ada diploma.
Saya datangkan contoh pemain bola sepak pula. Ada anak murid saya yang obses dengan permainan ini. Hanya datang sekolah sewaktu ada game sahaja. Waktu lain, ponteng. Selepas keputusan SPM diumumkan, dia tidak berjaya, seiring dengan permainan bola sepaknya.
Apa yang tinggal pada dia? SPM ke mana, bola sepak pun habis macam tu saja.
Bukanlah tidak boleh main game, cuma, biarlah game dan akademik itu seiring. Saya pernah tonton video mengenai kehidupan seorang Youtuber. Walaupun pendapatan bulanan dia dah cecah ribu riban, dia tetap tak berani berhenti kerja. Sebab pendapatan Youtube ni bersifat tidak tetap. Kadang-kadang naik mencanak, kadang-kadang biasa saja dan kadang-kadang boleh jadi tidak dapat apa-apa.
Macam mana dia nak pastikan Youtube dan kerjaya dia sama-sama meningkat?
Siang kerja macam biasa, malam dan hujung minggu dia buat Youtube. Sama-sama up, orang kata.
Anak-anak ini masih belum kenal apa erti komitmen. Itu yang saya cakapkan kepada anak saya tadi. Duduk dengan mak ayah, semua ada. Hatta gajet nak main game pun mak ayah belikan.
Tapi, sampai satu masa, saat kena berdikari, masa itu mereka baru sedar, pusing ke mana pun, ilmu juga yang penting.
Nanti ada yang jawab, Syahmi Sazli, Iman Kamil (sekadar menyebut beberapa nama) tak habis belajar pun boleh jadi Youtuber terkenal. Saya tanya balik, dalam ramai-ramai youtuber yang tak habis belajar, berapa ramai yang berjaya? Seribu? Dua ribu? Sejuta?
Ibu ayah, kalau ada anak-anak macam ni, kita sokong saja minat mereka. Bukan sahaja game, tapi apa sahaja bidang yang mereka minat. Dalam masa yang sama, pasakkan dalam kepala mereka. Pokok pangkalnya tetap kembali kepada ilmu juga.
MW : Kalau bukan mak ayah yang sokong cita-cita anak siapa lagi nak sokong kan..
Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee*Artikel diterbitkan dengan keizinan daripada penulis.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Membesarkan dan mendidik anak-anak memang tak mudah. Sementelah, apabila menjadi mak ayah ia tak membuatkan kita serba serbi betul dan sempurna. Pandangan dan suara hati daripada anak-anak terhadap kita juga harus diambil kira. Latih anak-anak agar berani suarakan apa yang ada dalam hati mereka, agar hubungan lebih rapat dan mesra, serta mak ayah dapat memperbaiki kekurangan yang ada.
Setiap bulan, saya akan bertanya kepada anak-anak apa yang mahu di buat menjelang weekend (Jumaat dan Sabtu). Tidaklah setiap hari, hanya hujung minggu.
Anak-anak akan request. Nak tidur lewat, nak makan mee hailam, nak spaghetti, nak moi sup, nak bermain basikal, nak menonton cartoon atau movie. Selalunya kami layankan je, ye la time ni ja masa untuk penuhi hajat anak-anak.
Cuma sejak PKP, anak kedua saya meminta sesuatu yang tidak pernah dia minta sebelum ini.
Zhafran meminta ‘Ummi jangan marah-marah tau’.
Saya terkejut. Saya renung muka Zhafran lama-lama. Beliau anak yang baik, sopan, tidak pernah bercakap kasar dan anak yang sangat manja.
Saya hanya membalas ‘ok sayang’.
Saya control emosi saya dan cuba penuhi permintaan itu. Saya ingatkan dah setel, tetapi setiap bulan Zhafran hanya ulangi permintaan yang sama.
“Ummi jangan marah-marah”.
Akhirnya saya tanya suami saya, “Saya kerap marah-marah ke sejak dua menjak ni? Saya rasa saya tak marah-marah.”
Owh.. Baru saya tersedar, itu yang saya terlupa ubah rupanya..
Iya, saya rasa saya tidak meninggikan suara, rupa-rupanya nada suara saya tegas, tidak mesra, tidak menasihati tetapi hanya memberi arahan, dingin dan mungkin bagi anak-anak, saya sudah tidak seperti dahulu.
Kadang-kadang kita tidak perlukan orang luar untuk menegur kita,hanya bertanya kepada keluarga kecil kita, mereka jujur memberi tahu segala-galanya.
Anak-anak atau pasangan, takkan pernah menjatuhkan kita. Merekalah orang yang paling telus dan mahukan yang terbaik untuk diri kita dan keluarga kita.
Selalu juga saya terlupa, saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak, tetapi saya tidak bertanya apa yang anak-anak inginkan dari saya.
Saya okey je sebenarnya kalau suami atau anak-anak tegur, macam mana saya mahu pasangan dan anak-anak mendengar apa yang saya nasihatkan, saya juga tidak kisah menerima permintaan mereka untuk saya mengubah sikap menjadi lebih baik dari sebelum ini.
Latih anak-anak kita untuk berani voice out apa yang ada di dalam hati mereka, dengarlah pendapat mereka tentang diri kita dan belajarlah menerima kekurangan kita serta perbaiki kelemahan kita.
Menjadi ibu bapa tidak membuatkan kita 100% betul dan sempurna.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat mak ayah dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Sungguh, menjadi mak ayah bukanlah ‘tiket’ membuatkan kita betul dan sempurna serba serbi, ambil positif dengan teguran daripada anak dan belajar untuk terus memperbaiki diri agar menjadi lebih baik.