Seronoknya bila anak dapat teruskan pembelajaran di sekolah berasrama. Tapi bila tiba masanya, berat hati mak ayah nak lepaskan anak ke asrama. Kadang-kadang terfikir bolehkah anak buat sendiri bila tinggal di asrama.
Setiap mak ayah pastikan lalui ‘perpisahan sementara’ bila anak ditawarkan belajar di sekolah berasrama. Nak tak nak kena lepaskan untuk mereka mendapat ilmu pelajaran sebaiknya.
Namun, apa yang menyedihkan di awal-awal anak ke asrama tentu macam-macam emosi terutamanya bila anak itu adalah anak pertama yang tak pernah berpisah dan tak kurang juga anak yang banyak membantu mak ayah di rumah.
Semua ini berbalik kepada tentang rindu dan homesick untuk anak-anak. Bila keadaan macam ini, mak-mak tak sampai hati. Tapi kena kental demi anak untuk mengejar ilmu.
Bagi anak yang homesick, apa yang patut mak ayah lakukan. Inilah yaang boleh dijadikan panduan hasil perkongsian daripada Bonda Nor.
Mak ayah yang hantar anak-anak ke asrama, terutama yang pertama kali berpisah, kena alert dengan situasi dan emosinya. Okey atau tidak. Stabil atau tidak.
Semalam, saya dan suami berkejar ke asrama anak keempat kami. Berdebar sepanjang perjalanan. Terngiang-ngiang suaranya di telefon yang abahnya buat loud speaker.
Dengar suaranya yang sebak itu, serasa mahu terbang segera mendapatkannya. Memeluknya. Menenangkannya.
Dia anak yang bijak. Yang naik ke pentas terima hadiah kecemerlangan. Dia anak yang kuat semangat. Yang masih boleh selamba ketawa walaupun kena ‘bahan’ kawkaw dengan abang kakaknya.
Tapi saya tahu, adakala dia juga gagal kawal emosinya. Mengamuk juga!
Jadi kali ini, apa? Dia mengamuk ke? Bergaduh dengan kawan ke? Allah. Hati berdegup kencang!
Peraturan asrama, tidak boleh lawat anak-anak hingga cuti raya. Tapi ini kes special. Kami sudah pun minta izin ustaznya untuk bertemu dia. Terpaksa!
Ads
Sampai saja ke asrama, dia sudah menunggu. Dalam hujan itu, dia masuk ke dalam kereta. Mendung ketara pada wajahnya. Jelas tampak ada beban rasa yang sedang ditanggung.
“Baim okey ke?” Sepatah soalan saya tak berjawab. Dia diam, tunduk memendam. Saya ambil songkoknya dan letak atas dashboard. Saya usap rambutnya. Kemudian, saya rangkul tubuhnya, cuba menyalurkan sokongan dan kasih seorang ibu. Hujan lebat di luar menambah lagi suasana syahdu. Aduhai.
“Baim tak boleh sekolah kat sini. Baim tak suka asrama. Baim nak tukar sekolah!”
Akhirnya terluah juga apa yang dia pendam. Tegas dan nekad benar bunyinya. Tukar sekolah? Allah. Baru 5 hari!
“Kenapa nak pindah? Ada orang buli?” soal abahnya. Dia geleng.
“Tengok muka mama. Cakap yang betul, jangan tipu-tipu. Baim ada masalah apa? Mama nak tolong Baim… ,” pujuk saya.
Dia mula angkat muka, melihat saya. Air mata mula bergenang.
“Baim rindu mama. Baim nak duduk kat rumah,” luahnya. Mula teresak. Saya peluknya lebih erat. Sekali lagi rambutnya saya usap perlahan. Kemudian tangan kanan saya berhenti seketika di ubun-ubun kepalanya, menghadiahkan Al-Fatihah buatnya sambil berdoa di dalam hati agar Allah tenangkan hati anak ini.
Saya dan suami mula perlahan-lahan mengorek cerita sebenar, mengapa dia tidak betah berada di asrama itu.
Tentang guru? Bukan.
Tentang kawan? Bukan.
Tentang buli? Bukan.
Rupa-rupanya tentang rindu. Homesick!
Ads
Subhanallah. Padahal dia bukan anak yang manja, yang selalu nak berkepit saja dengan saya. Bukan juga anak yang selalu perlu saya uruskan keperluannya.
Seawal darjah satu, sudah mula basuh dan gosok baju sendiri. Dia suka memasak. Saya ralit menulis dalam bilik, dia datang hantarkan nasi goreng. Tekun dia berada di dapur menunggu satu persatu arahan saya untuk belajar masak spageti.
Ya, saya boleh kata, dia seorang anak yang berdikari!
“Baim nak sekolah biasa je. Yang boleh balik hari-hari!” luah dia lagi.
Nah, itu masalahnya, homesick! Rindu suasana di rumah. Tak ‘boleh masuk’ dengan rutin dan suasana tempat baharu.
Perbetulkan Fahaman Anak Tentang ‘Perpisahan Sementara’
Sebagai ibu bapa, apa perlu kita buat apabila berdepan dengan situasi seperti ini?
1. Biarkan dulu anak luah apa yang dia rasa sepuasnya. Benarkan saja segala apa yang dia kata. Dia rindu, dia benci, dia tak suka, whatever luahan hatinya, kita setuju saja. Dah memang itu yang dia rasa, tak perlulah kita nafikan apa-apa, jangan sampai dia rasa kita tak faham dia.
“Betullah, sama! Mama pun dulu masa mula-mula duduk asrama pun rasa macam tu. Ya Allah, tak sukanya. Dahlah kena bangun awal pagi. Nak solat pun kena pergi surau.”
2. Tunjukkan yang kita berada di pihaknya. Kalau dia kata dia rindu kita, bagitau dia yang kita juga rindu pada dia.
“Mama asyik tanya abah, Baim ada call tak? Teringat sangat kat Baim. Nak telefon tak boleh, nak melawat tak boleh. Allah… rindunya kat anak mama.”
Tunjukkan yang kita berada di pihaknya. Kalau dia kata, ada budak yang dia tak suka, kita beritahu dia yang kita akan bela dia jika berlaku apa-apa. Buat dia rasa selamat.
3. Kemudian, pelan-pelan, mula betulkan pemahaman dia.
Beritahu dia tentang sebab dan akibat. Tentang rasional sesuatu peraturan. Kenapa perlu bangun awal pagi. Kenapa perlu solat di surau. Kenapa begitu. Kenapa begini.
Ads
4. Beritahu dia tentang PROSES. Ya, hidup ini is all about proses. Mula-mula baby, lepas tu kena pergi tadika, sekolah rendah.
“Sekarang Baim dah makin besar. Dah nak jadi orang dewasa macam abah. Lepas sekolah menengah ni, nanti masuk universiti, kerja, kahwin, ada anak. Semua orang lalui benda yang sama.”
5. Beritahu dia tentang hakikat UJIAN. Hidup ni memang Allah akan uji kita. Bukan semua perkara kita suka, tapi kita tetap kena buat juga. Memang kadang kita akan marah, kita sedih, kita menangis.
“Apa Baim rasa ni normal. Mama pun pernah rasa. Abah pun pernah rasa. Jadi, betul dah apa Baim rasa ni. Kena sabar sikit ya. Insya-Allah lepas ni akan okey. Lepas tu, mungkin akan ada masalah lagi, lepas tu akan okey balik. Selang seli suka dengan duka. Kita takkan bahagia sentiasa sebab yang bahagia sentiasa tu ada kat syurga je.”
5. Tegas berhikmah. Kita tak akan ikut keinginan dia untuk tukar sekolah sebab kita tahu apa yang dia fikir itu tidak sepatutnya. Namun tawarkan diri untuk bantu ringankan beban perasaan dia.
“Baru 5 hari Baim kat sini. Mama abah baru habis duit beribu bayar yuran, beli baju, beli buku. Kalau Baim nak tukar sekolah sekarang memang tak boleh. Tapi cuba Baim cadangkan… apa mama boleh tolong Baim supaya Baim tak stres macam ni? Mama hantar makanan selalu, nak tak? Nanti Baim ambil kat pondok guard. Atau mama bagi duit syiling banyak sikit supaya Baim boleh selalu call rumah ya?”
Ya, whatever! Tunjukkan empati kita untuk ringankan beban emosi dia. Itu yang dia perlu sebenarnya. Perhatian kita, empati kita, pengertian kita.
Jangan Lupa Tanya Khabar
Alhamdulillah, pertemuan semalam yang bermula dengan tangisan, akhirnya berakhir dengan senyuman dan senda gurau yang membahagiakan. Leganya saya dan suami melihat anak yang murung itu lebih ceria sewaktu kami tinggalkan.
Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah berkenaan bahana perpisahan.
Satu hal yang pasti tentang perpisahan ialah KITA TIDAK MAHU DILUPAKAN. Jadi, bagi ibu bapa yang menghantar anak-anak ke asrama, pastikan kita tidak lupa bertanya khabarnya, bagitau dia yang kita rindu dia, rumah jadi sunyi dia tak ada.
Ya, setidak-tidaknya dia patut lega kerana asrama buatnya bebas daripada jeritan mama yang selalu ingatkan dia suruh solat, kemas rumah, dan buang sampah!
Mingguan Wanita : Emosi mak-mak pun tak ada kurangnya. Mulalah terasa sunyi kat rumah, walaupun ada lagi anak-anak lain peneman. Mula fikir anak buat apa, makan apa kat asrama. Begitulah mak-mak.
Anak remaja, lelaki yang terbiasa bekerja, bergerak ke sana ke mari pun akan melalui fasa bosan apabila terkurung lama-lama. Jadi Bonda Nor, ibu anak tujuh siapkan spageti untuk berjualan.
Agar anak lelakinya ini dapat menjadi runner dalam masa yang sama menghilangkan kebosanan terkurung sepanjang PKP. Tentulah arahan pematuhan langkah keselamatan dijalankan dengan sebaiknya.
Kongsi ibu, “Tadi terbaca di wall Puan Nafisyah Ibrahim, anaknya suka spageti tapi dia belum pernah buat lagi. Terus saya share resepi spageti bolognese yang saya buat jual.”
Bonda Nor jual spageti?
Haah, tuan puan!
Gara-gara PKP, Bonda Nor pun cari makan jual makanan. Hahaha.
Tak promo kat FB pun?
Tak berani, gais! Karang kalau banyak order kang, tak menulis aku.
So, apa cerita yang tetiba boleh jual spageti ni?
Sebenarnya, bila perintah berkurung, mak ayah yang ada anak lelaki remaja mungkin tahulah macam mana cabarannya.
Anak dah biasa bekerja, naik motor, keluar ke sana sini, mana larat dia nak terkurung kat rumah hari-hari.
Saya cuba fahami konflik jiwa remajanya. Iya, saya faham dia bosan. Lalu akhirnya, saya ambil jalan mudah.
“Esok awak pergi Giant beli barang-barang ni. Mama masakkan spageti, awak pergi COD.”
Alhamdulillah, settle. Dia boleh keluar, tapi masih dalam keadaan mematuhi peraturan.
Tapi penatlah wei. Tak pasal-pasal asyik kena masak spageti. Dahlah banyak kerja lain.
Anak Remaja Lain Cabarannya, Ibulah Kena Kreatif
Demikianlah tuan puan. Bukan senang nak besarkan anak-anak. Anak kecil lain cabarannya. Anak remaja lain cabarannya.
Kita ni memang kena kreatif je fikir cara untuk win-win semua keadaan. Kadang perlu fahami dan tolak ansur. Kadang tetap perlu bertegas, tak kiralah sejauh mana dia berkeras!
Alhamdulillah, sekarang dah tak payah jual spageti lagi. Dia dah sibuk bantu abahnya urus jualan buku-buku especially buku PAGI!
Kejap pergi pejabat pos atau kurier. Kejap pergi COD buku kat mana-mana. Lega mama tengok dia dah mula happy je dan tak lagi tarik muka. Hahah.
Jadi, nak ke resepi spageti bolognese dan carbonara ekspres ni? Saya banyak skip bahan tau. Macam daun bay, daun parsley, tomato tin semua tu malas saya nak layankan.
But Insya-Allah rasanya sedap. Memang kalau buat open house, anak-anak buah saya memang belasah yang ini jelah makan sampai bertambah-tambah.
Oh, yang penting mudah!
Okey, gais! Ini resepi untuk sebungkus spageti okey.
SPAGETI BOLOGNESE
1. Blender 1 biji bawang holland, 2 ulas bawang putih dan sebiji tomato. Tumis dalam 2 minit.
2. Masukkan sebotol pes spageti bolognese dan Italian herbs.
3. Masukkan sebungkus kecil daging kisar, sosej, cendawan butang dan satu cawan air rebusan spageti. Biar didih sampai agak pekat.
4. Masukkan sejemput keju parmesan, garam dan gula ikut citarasa, perahkan sebiji lemon.
Siap!
SPAGETI CARBONARA
1. Blender 1 bawang holland, 2 bawang putih dan lada hitam sesudu. Tumis dalam 2 minit.
2. Masukkan sebotol pes spageti carbonara, dan italian herbs.
3. Masukkan secawan air rebusan spageti, cendawan butang, dan sosej. Nak tambah seafood pun okey.
4. Masukkan secawan susu kotak full cream, 3 keping keju, garam dan gula secukup rasa.
Siap!
CARA REBUS SPAGETI
Didihkan air, masukkan spageti, sesudu minyak dan garam.
Yeah… selamat mencuba! Bolehlah masuk list untuk menu raya kedua.
Baratsss sangat.
Mak mentua sering kali dikatakan tidak mempunyai hubungan baik dengan menantu perempuan. Entah di mana silapnya. Ia sering kali terjadi sedangkan sepatutnya hubungan itu umpama emak dan anak kandung. Sebenarnya banyak faktor penyebabnya.
Kecil Hati Dengan Sikap Mak Mentua
Kali ini, seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Sya saja, ingin berkongsi luahan rasa terhadap sikap mak mentua terhadapnya.
Kenali aku sebagai Sya, berusia 30-an. Aku merupakan seorang suri rumah tangga, ibu kepada empat orang cahaya mata yang kini berusia 17, 15, 14 dan 10 tahun. Suami bekerja di sebuah syarikat swasta, berpangkat pegawai. Syukur, hidup kami serba cukup walau pun hanya suami yang bekerja.
Aku bersyukur kerana memiliki suami yang penyayang. Dia melayanku dengan baik. Sering kali membantuku menguruskan hal rumah tangga. Cuma yang sering kali membuatkan diriku rasa sedih dan tertekan adalah sikap maknya iaitu mak mentuaku sendiri.
Aku menantu kedua dalam rumah tangga. Suami anak kedua. Yang sulung perempuan dan empat lagi adik iparku semua lelaki. Bermakna mak mentuaku ada lima orang menantu perempuan dan seorang menantu lelaki.
Sebenarnya sudah lama ku perhatikan sikap mak mentua terhadap diriku. Bila aku balik kampung, aku yang akan dikerah ke dapur, buat itu dan ini. Berbanding menantu-menantu lain. Bukan aku kisah sangat kerana aku memang suka masak. Tapi kadangkala kata-kata mak mentua buat aku kecil hati. “ Alah, biar je Sya masak. Dia bukan kerja.”
Nasib baik biras-birasku memahami. Turut membantu di dapur. Di saat itu juga biasa kami akan bertanya khabar sambil memasak.
Mak Mentua Masakkan Makanan Kesukaan Menantu Lain
Kalau balik rumah mentua, macam-macam aku bawa makanan yang ku masak balik. Aku seronok bila anak-anak saudara makan. Kebetulan kakak ipar sekeluarga tinggal di sebelah rumah mak mentua dan boleh dikatakan sepanjang masa berada di rumah nenek mereka.
Kakak dan abag ipar selalu puji aku pandai masak. Tapi mak mentua hanya mencebik saja. Katanya mestilah aku kena pandai masak. Dah tak kerja. Banyak masa di rumah. Buat apa kalau tak asah bakat memasak.
Mak mentua pun pandai masak tapi tak pernah nak masakan makanan kegemaranku. Tapi kalau menantu-menantu lain, siap masakkan bila balik.
Tiap kali ada kata-kata yang menguris hati, aku diam saja. Aku bernasib baik kerana suami sangat memahami. Dia sentiasa akan tenangkan aku. Mungkin kerana itu juga aku mampu bersabar dan bertahan.
Berhenti Atas Pilihan
Cuma aku pernah kenakan syarat pada suami, paling lama aku boleh bertahan tiga hari saja duduk di rumah mentua. Sebabnya sabarku makin nipis bila asyik diperli mak mentua. Seolah tak suka dengan aku yang tak bekerja.
Agaknya dia lupa, aku bukan tak berpelajaran. Aku lulusan universiti dan pernah bekerja, makan gaji. Tapi aku berhenti atas kemahuan sendiri kerana nak fokus pada anak-anak. Suami juga bersetuju.
Mak mentua pantang kalau tengok aku pakai baju baru atau suami belikan barang kemas baru. Pasti berdesing telingaku disindir. Katanya aku membazir dan tahu menghabiskan duit suami saja! Ya Tuhan, aku tak pernah minta suami belikan hadiah mahal. Cuma bila ada rezeki lebih, suami akan belikan.
Cuba Jimat Cermat
Aku cermat orangnya. Dan aku akan masak sendiri dan jarang makan di luar kecuali nak meraikan apa-apa hari istimewa. Aku tak nak membazir dan selagi boleh aku cuba berjimat. Tapi bila tahu kami makan di luar, mak mentua pasti marah-marah. Katanya membazir. Suruh je aku masak sebab aku kan tak kerja.
Aku tak faham kenapa mak mentuaku bersikap begitu. Dia sendiri pun suri rumah tangga dan arwah ayah mentua dulu pencen kerajaan. Jadi, dia tahu bagaimana hidup suri rumah tangga seharian. Apakah kerana aku tak mampu belikan dia hadiah seperti menantu lain? Entahlah.
Mak Mentua Marah Suami Bantu Kerja Rumah
Begitu juga kalau dia ke rumah kami, aku takkan benarkan suami membantuku buat kerja rumah. Sebabnya nanti dimarahi mak mentua. Katanya kenapa susahkan suami yang penat kerja. Akulah yang kena buat semua sebab aku tak kerja. Sekali lagi, aku hanya diam. Malas nak menjawab.
Cuma, aku tak tahu sampai bila aku boleh bersabar. Aku takut nanti bila kesabaranku hilang dan aku melenting, buruk jadinya. Sebab itu aku sentiasa berdoa pada Tuhan agar aku terus dikurniakan kesabaran.
Apa pun, dia tetap mak mentua yang perlu aku hormati dan sayangi. Namun terus terang, sikapnya itu tak membuatkan aku rasa sayang padanya. Yang ada cuma rasa hormat sebagai ibu kepada suamiku. Jahatkah aku?
Semua mak ayah berusaha mendidik perangai anak yang baik-baik dan tidak mengutip perkara negatif ketika melepaskannya dari rumah. Tetapi betul ke andaian tingkah laku buruk anak itu datang dari sikap orang lain?
Ok, sebenarnya kalau anak terbiasa dididik dengan suasana yang baik-baik di rumah, in shaa Allah anak tak cepat terikut. Pastinya dia tahu beza baik buruk walau saat dia berada di kelompok dengan orang luar. Andai kata nak disiplin anak-anak di rumah pun, mak-mak kena juga pantau dari 5 sudut seperti yang dikongsikan oleh Parent Connect Consultancy, Noor Afidah Abu Bakar ini…
Perangai Anak
Anak-anak dilahirkan baik, ingin menjadi baik dan ingin berbuat kebaikan. Kalau ada tingkahlaku anak yang tidak menyenangkan kita, dia tentu belajar dari mana-mana.
1) Kita sendiri.
Adakah kemungkinan anak meniru gaya kita, bahasa kita, amalan kita dan ‘angin’ kita? Bagaimana respon kita bila marahkan pengguna jalan raya lain yang tidak ikut peraturan? Adakah kita sendiri mengikut peraturan? Bagaimana tindakan kita bila terjumpa barang berharga di tepi jalan? Simpan atau pulangkan? Bagaimana tindak tanduk kita apabila tidak puas hati dengan sekolah/guru? Bagaimana bahasa kita bila melayari media sosial? Bagaimana akhlak kita terhadap orang yang ‘kurang’ dari kita?
Semuanya diperhatikan dan ditiru. Selagi orang yang dilihat dalam cermin tidak mengubah gaya, bahasa, amalan dan angin itu, selagi itulah anak juga tidak berubah. Anak-anak adalah guru terbaik kita.
2) Penjaga dan guru.
Jika anak menghabiskan sehingga separuh dari masa jaganya dengan seorang penjaga utama atau guru, maka kemungkinan untuk anak meniru penjaga (dan ahli keluarganya) dan guru sangat tinggi. Berbuat baiklah dan berbincanglah dengan penjaga/guru tentang nilai dan akhlak yang kita ingin lihat pada anak. Cerewetlah dalam memilih penjaga kerana amalan dan tingkahlakunya boleh menjadi ikutan anak.
3) Kawan-kawan.
Anak perlu berkawan. Kita hidup bermasyarakat dan bukannya keseorangan dalam gua. Kenalilah kawan-kawan anak dan juga ibubapa mereka. Ibubapa perlu ambil tahu realiti yang berlaku dalam masyarakat dan dunia anak-anak. Bersembanglah dengan anak tentang nilai dan akhlak SEBELUM anak meniru tingkah laku negatif. Nasihati anak dan ingatkan anak selalu. Anak kecil faham intonasi dan gerak tubuh kita walau dia belum faham percakapan kita sepenuhnya. Adakan peraturan dalam rumah. Ingat, fungsi peraturan bukanlah untuk menghukum semata-mata tetapi supaya anak bebas dalam batasan yang memelihara fizikal, spiritual, akhlak, emosi dan perhubungan sosial anak.
4) Internet dan televisyen.
Pantaulah!
Usahlah biar Youtube dan rancangan tv ‘babysit’ anak sehingga tiada pemantauan.
Tidak semua kartun itu ‘innocent’ dan sesuai untuk anak.
Tidak semua drama Melayu membawa nilai yang positif.
Tidak semua yang datangnya dari Timur itu membawa nilai ketimuran.
Bagaimana penggunaan bahasa selebriti Youtube yang menjadi idola anak?
Kenakan syarat apabila ‘smartphone’ diberikan kepada anak jika ia adalah satu keperluan. Pantaulah penggunaan ‘smartphone’ mereka. Banyak kepincangan bermula dari ‘smartphone’. ‘Smartphone’ boleh menjadikan anak tidak ‘smart’ dalam membuat keputusan. Klik sana klik sini terjumpalah bahan yang merosakkan akal, jiwa dan akhlak di internet.
5) Bahan bacaan.
Membaca itu amalan yang sangat baik tetapi sebagaimana internet dan tv, bahan bacaan juga boleh mempengaruhi tingkah laku anak. Semasa anak kecil, bacalah bersama-sama anak, kongsi pendapat dengan anak tentang cerita yang dibaca. Bina ‘connection’ melalui bahan bacaan dari kecil supaya apabila mereka besar, mereka tetap mahu berkongsi apa yang dibaca dengan kita. Dari situ tidak perlulah kita menjadi ‘mata-mata gelap’ memeriksa bahan bacaan mereka. Secara tidak langsung anak telah dididik dari kecil tentang bahan bacaan yang berkualiti.
Ingatlah ‘behaviour is learned’.
Yang baik ditiru, yang negatif juga diikut.
Pantaulah. Bimbinglah. Jangan berputus asa dengan anak-anak kerana , insyaAllah ada jalannnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!