Mahkamah tolak rayuan Ali, Hidayah terima dengan terbuka. Ibu tunggal yang juga balu kepada Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali atau lebih dikenali dengan Hidayah menerima dengan terbuka keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak rayuan adik iparnya, Ali Puteh.
Rayuan itu dibuat Ali dan tiga ahli keluarga bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM60,000 kepada Siti Norhidayah kerana memfitnah, dua tahun lalu.
Mahkamah Tolak Rayuan Ali, Hidayah Terima Dengan Terbuka
Hidayah seperti yang dilaporkan Harian Metro menegaskan dirinya sebolehnya enggan mengulas panjang lagi perkara itu.
“Selepas dimaklumkan perkara ini oleh peguam, saya terima dengan terbuka. Kalau boleh saya tak nak ulas panjang lagi.
“Biarpun rayuan pihak sana ditolak mahkamah, saya tak anggap ia sesuatu yang perlu dibanggakan.
“Apapun, saya tetap nak mengucapkan terima kasih kepada semua (pihak) yang sentiasa mendoakan saya dan anak,” luahnya.
Ads
Saman Berhubung Temu Bual Menerusi Youtube Aliff Syukri
Dalam prosiding hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menolak rayuan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen, Februari lalu,
Ahmad Shahrir turut menolak rayuan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya untuk mengetepikan keputusan mahkamah sama yang menolak tuntutan samannya terhadap usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah.
Saman itu berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Youtube Aliff Syukri.
Ads
Sementara itu, rayuan Norhidayah untuk menaikkan jumlah ganti rugi yang diperintahkan Mahkamah Sesyen selepas membenarkan tuntutan samannya, turut ditolak.
Isteri heret suami ke mahkamah, terlampau lebihkan kucing. Dek kerana sikap suami yang terlampau melebihkan kucingnya, seorang wanita hilang sabar dan bertindak mengheret suaminya ke mahkamah.
Isteri Heret Suami Ke Mahkamah
Bagaimanapun, tindakan itu dimarahi hakim di Bengaluru kerana memfailkan aduan remeh terhadap suaminya hanya kerana seekor haiwan peliharaan.
Hakim M. Nagaprasanna yang mengambil kes ini berkata, tiada dakwaan khusus mengenai kekejaman dalam rumah tangga pasangan tersebut.
Kredit foto: Agensi
Terlampau Lebihkan Kucing
Wanita itu mendakwa suaminya sering memberikan tumpuan lebih terhadap kucing berbanding dirinya dan mereka sering bertengkar apabila membangkitkan isu haiwan peliharaan mereka.
“Isteri turut mengadu kucing mereka turut menyerangnya atau mencakarnya, tetapi suaminya tidak melakukan apa-apa.
“Sebenarnya aduan ini berdasarkan pertengkaran mengenai kucing peliharaan yang dipelihara suami.
“Dakwaannya ialah suami lebih menjaga kucing berbanding isteri,”katanya semasa mendengar petisyen jarang berlaku di mahkamah seluruh India.
Selepas mendengar petisyen itu, mahkamah memutuskan menghentikan siasatan lanjut terhadap suami dan memarahi wanita itu atas aduan remehnya itu.
“Ia adalah kes remeh yang telah mengganggu sistem keadilan jenayah hari ini dan jika penyiasatan dibenarkan dalam kes ini, ia akan menambah satu lagi kes kepada sistem keadilan yang sudah pun padat,” kata mahkamah.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Saya masuk hospital sebab apendiks tetapi sebab doktor cuai, kaki saya hilang.” Itulah yang terpaksa dilalui oleh seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang mendakwa dirinya menjadi Orang Kelainan Upaya (OKU) akibat kecuaian doktor bedah sebuah hospital swasta terkemuka.
Isman Ibrahim, 41, memfailkan saman terhadap hospital berkenaan di Mahkamah Tinggi kerana menyebabkannya kehilangan kedua-dua kaki, lima tahun lalu.
“Saya masuk hospital sebab apendiks tetapi sebab doktor cuai, kaki saya hilang. Prosedur pembedahan tidak berjalan dengan baik apabila doktor menebuk dan mengikat saluran darah utama sehingga menyebabkan kedua-dua kaki menjadi hitam atau gangren.
Pindah Hospital
“Hospital itu kemudian memindahkan saya ke hospital swasta lain. Pemeriksaan lanjut menyebabkan kaki saya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes saman itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hazizah Kassim baru-baru ini.
Isman berkata, pemotongan kedua-dua kaki dibuat hingga paras paha, selain perlu menjalani pembedahan pintasan saluran darah.
“Semasa semua ini terjadi, isteri saya mengandung anak keempat. Hati siapa tidak sedih apabila melihat diri sudah tidak seperti dulu.
“Selama 10 hari terpaksa sorokkan nasib yang menimpa saya daripada tiga anak lain sebelum mereka menangis melihat keadaan terbaharu saya,” Isman Ibrahim
Selain terpaksa dipotong kaki, kakitangan MBSA itu berkata, kecuaian pakar bedah hospital berkenaan menyebabkannya menderita sakit saraf teruk setiap dua hari.
“Tidur saya tidak lagi lena sejak lima tahun lalu. Setiap dua hari bermula jam 2 pagi saya akan mengalami kesakitan serta ada bahagian badan terganggu dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ubat.
“Saya nekad bawa kes ini ke mahkamah untuk menunjukkan dan membongkar isu kecuaian pihak hospital. Saya pasti banyak kes didiamkan dan berharap mereka yang senasib tampil ke depan,” katanya.
Sementara itu, peguam bela Isman, Firhat Muhd Fikri Isman, memaklumkan prosiding terbabit sepatutnya untuk perbicaraan, namun pihaknya akan memfailkan semula tuntutan saman seperti dipersetujui anak guam.
“Tuntutan saman awal adalah RM55 juta dan pemfailan semula bagi memastikan kebajikan anak guam terjamin termasuk mendapatkan kos sebenar bagi kaki palsu.
“Kita mahu anak guam menjalani kehidupan seperti biasa. Pemfailan semula tuntutan akan dibuat dalam tempoh sebulan ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Di usia 35 tahun, sudah pasti saya juga ingin bergelar isteri dan ibu. Namun hasrat saya itu belum diizinkan Tuhan.
Terus terang, saya seorang wanita yang sangat mementingkan pendidikan dan karier. Saya tak kisah bila zaman remaja saya ‘habis’ dengan mengejar pelajaran dan cita-cita. Kini saya memiliki firma guaman saya sendiri, bersama seorang rakan baik.
Tak nafikan, kerjaya membuatkan ramai lelaki takut untuk menghampiri. Apatah lagi usia saya bukan lagi muda belia. Kalau ada pun, sudah bergelar suami orang dan pasti saya tolak mentah-mentah. Saya tak kisah kalau bertemu jodoh dengan duda, asalkan bukan suami orang. Bekerja sebagai peguam syariah, saya banyak uruskan kes perceraian dan banyak kes melibatkan isteri teraniaya bila suami ingin berkahwin lain. Lelaki muda? Lagi saya tolak!
Pertemuan
Kata orang, kadangkala apa yang kita nak elak, itu yang dapat. Baru-baru ini saya mengendalikan satu kes perceraian. Setiap kali datang berjumpa saya, dia akan ditemani adik lelakinya. Saya dapat rasa dia lelaki yang baik kerana sentiasa di sisi kakaknya dalam saat getir begitu.
Selepas kes itu selesai, saya terima panggilan telefon daripada lelaki itu (saya kenalkan sebagai M), mengucapkan terima kasih kerana telah membantu melancarkan kes perceraian kakaknya.
Makin Rapat
Sejak itu, sering kali juga dia whatsapp dan bila free, akan saya balas. Saya suka dengan sikapnya yang kelakar dan pandai hiburkan hati saya bila tengah tertekan. Lama-kelamaan tanpa sedar saban hari kami berhubung dan akhirnya mula keluar bersama.
Saya tak pernah simpan perasaan terhadapnya memandangkan umurnya enam tahun lebih muda. Saya membahasakan diri ‘kakak’ tapi dia enggan panggil saya begitu, katanya tak nampak pun saya lebih tua. Akhirnya saya biarkan saja.
Luah Perasaan
Dia bekerja sebagai pensyarah muda di sebuah IPTS. Satu hari saya tanya, takkan tak ada pelajar yang mengoratnya kerana orangnya boleh tahan segak juga. Tapi katanya hatinya sudah terpikat pada saya dan dia sukakan wanita yang lebih matang. Penat layan perempuan yang manja dan mengada-ada.
Mulanya saya tak ambil perhatian sebab ingatkan dia bergurau. Tapi bila dia luahkan perasaannya dengan serius, saya sedar dia tak main-main.
Dalam masa yang sama, pernah saya mengelakkan diri daripadanya selama tiga minggu namun dia tak henti-henti whatsapp walau pun saya tak balas. Akhirnya saya akur dengan perasaan sendiri, saya juga sukakan dia dan cuba beri peluang untuk kami berdua.
Kini sudah hampir setahun perhubungan kami dan rasanya ini saat tepat untuk bawa ke peringkat seterusnya kerana saya juga bukan muda lagi.
Masalahnya sekarang, saya tak tahu macam mana nak beritahu keluarga bila M mendesak saya bawa dia jumpa keluarga. Pernah saya cuba bagi ‘hint’ pada keluarga saya, apakah mereka akan terima kalau saya pilih lelaki muda tapi awal-awal lagi mak tak izinkan. Katanya jangan percaya dengan lelaki muda. Pasti nak kejar duit saya saja.
Saya serba salah, saya tahu M bukan begitu. Saya tak kisah kalau adik-beradik saya tak setuju, tapi kalau mak dan ayah, sebagai anak tentu saya kena fikir masak-masak. Saya tak nak jadi anak derhaka semata-mata kerana cinta. Dalam masa yang sama, saya juga sangat sayangkan M dan saya yakin dia dapat jadi suami yang baik untuk saya.
Miss K, Bangi.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah. Kita merancang..Allah yang menentukan. Merancang dan berusaha serta bertawakal adalah ajaran yang Allah suruh kita ikut untuk mencapai apa yang dihasratkan. Bercakap soal jodoh, kadang-kadang pertemuan tidak dijangka menjalinkan hubungan erat yang akhirnya membawa ke alam perkahwinan.
Ramai wanita kini yang tidak berkahwin. Antara alasan yang kita sering dengar adalah wanita ramai, lelaki sedikit, susah untuk berjumpa lelaki yang baik, pendidikan lelaki jauh lebih rendah dari wanita, lelaki tidak bekerja atau pendapatan yang rendah (tidak setaraf), keluarga tidak terima berkawan dengan suami orang, dan ada juga faktor umur lelaki yang jauh beza.
Selidik Dulu Soalan Ini
Sebelum kita berbincang tentang penerimaan keluarga terhadap pilihan puan, cuba puan tanya keluarga solan-soalan ini.
i) Apakah kriteria calon yang mereka mahu?
ii) Dalam keadaan usia puan yang telah mencecah 35 tahun, adakah boleh dapat lelaki ikut kriteria yang mereka tetapkan?
Jika keluarga kata mereka boleh carikan, maka puan pula berikan satu tempoh yang bersesuaian yang boleh mereka carikan. Contoh dalam tempoh 3 bulan. Jika mereka berjumpa dengan calon pilihan mereka, mohon masa untuk berkenalan dahulu. Dan jika dalam tempoh tersebut mereka tidak dapat calon yang mereka mahukan, maka puan minta agar jodoh puan mereka terima.
Dalam masa yang sama, puan cuba kenali M dengan lebih mendalam…dari segi perwatakan, ilmu dan amalan keagamaan, kebiasaan aktivitinya, hubungan keluarga dan kerjaya melalui ahli keluarganya, rakan-rakannya dan di tempat kerjanya. Dari sini puan boleh membuat penilaian tentang latar belakang M. Namun, tidaklah perlu untuk mencari fakta kesempurnaannya kerana tidak ada manusia yang sempurna.
Maklumat ini puan simpan dan boleh dikongsikan dengan ahli keluarga terdekat yang boleh memberi kerjasama dengan puan. Dengan M yang selalu mendesak minta sedikit masa, katakan padanya keluarga agak berat menerima lelaki yang jauh lebih muda daripada puan. Atau boleh gunakan alasan lain yang bersesuaian. Beritahu dia solat istikharah sama ada pilihannya itu baik buatnya dan agamanya. Minta dia bersabar dengan tempoh masa itu. Jika dia benar mahukan puan, dia akan sanggup menunggu, kerana 3 bulan bukan tempoh masa yang lama.
Setelah sampai tempoh masa yang puan berikan kepada famili, jika tiada calon yang mereka bawa, maka puan boleh menyuarakan hasrat hati bahawa puan ada berkawan dengan M dan M ingin berkenalan dengan ahli keluarga. Jika puan sukar untuk memberitahu ahli keluarga dan meyakinkan mereka, maka puan boleh gunakan ahli keluarga yang memahami puan dan menyokong puan. Lihat respons keluarga sama ada mereka terima atau tidak. Jika responsnya negatif, maka puan bolehlah mengemukakan hujah dan maklumat yang puan tahu mengenai M. Puan seorang peguam, saya yakin tiada masalah untuk puan meyakinkan mereka dengan pilihan puan.
Ramai saja wanita yang lebih umur daripada lelaki antara 5 hingga 7 tahun mereka berkahwin dan kekal dengan perkahwinan. Pun jika ahli keluarga menyatakan bahawa lelaki itu hanya mahukan harta puan, maka puan juga boleh katakan bahawa bahagia bukan letak kepada banyaknya harta. Adakah puan rasa ahli keluarga bimbang jika puan berkahwin dengan orang muda yang tidak sebanyak harta yang puan miliki , maka mereka tidak dapat berkongsi harta puan?
Puan yang dirahmati Allah
Akhir kata, apa jua masalah, kehendak dan pilihan kita, carilah Allah mohon pertolongan. Seperti yang puan minta dia solat istikhrah, puan juga untuk beberapa malam atau dalam tempoh beri masa yang ditetapkan itu, buatlah solat istikhrah, mohon petunjuk dari Allah…apakah pilihan yang terbaik buat puan dan buat agama.
Jika apa yang puan harapkan tidak menjadi kenyataan, maka kita perlu bersyukur kerana perancangan Allah adalah lebih baik daripada perancangan kita. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Wallahualam.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tukar duit raya di mesin ATM tanpa stres beratur, ini 29 lokasi khusus untuk pengguna CIMB. Masuk je penghujung Ramadan, antara difikirkan ialah misi...