Datuk Seri Aliff Syukri telah tampil menafikan dakwaan yang dibuat seorang gadis obesiti, Wani Comel berhubung kontrak yang dikatakan menganiayai dirinya.
Terdahulu pada minggu lalu, seorang gadis yang mengalami masalah obesiti iaitu Wani Comel membuat dakwaan telah dianiayai seorang usahawan kosmetik dan membuat tuntutan kepada usahawan tersebut supaya memenuhi apa dijanjikan dalam dalam kontrak membabitkan mereka.
Menerusi satu sidang media khas yang diadakan di kediamannya semalam, Aliff berkata, dakwaan yang dibuat oleh gadis terbabit tidak benar dan tidak termaktub dalam kontrak yang telah ditandatangani oleh kedua belah pihak.
Aliff Syukri, “Tindakan Meminta Itu Tidak Manis”
Menurut Aliff Syukri lagi, pemberian wang sebanyak RM3,000 sebulan yang dikatakan oleh Wani itu sebenarnya adalah bergantung pada belas ihsan pihaknya.
“Kalau tengok balik perjanjian yang ditandatangani, apakah saya ada kata nak bagi rumah atau nak bantu keluarganya? Saya hanya kata nak bantu dia berjalan.
“Kalau rasa saya tak tunaikan janji, mudah saja, saman. Saya memang tunggu saman daripada Wani dan tunjukkan bukti yang saya menganiayai mereka.
“Saya Minta Maaf”
Ads
“Saya minta maaf, benda ini merupakan permintaan di luar jangkauan. Saya malas nak cakap lebih-lebih. Tapi bagi saya, tindakan meminta itu tak manis.
“Kalau betul saya tak bagi, tunjukkan bukti surat peguam yang anda dah terima dan dah sain.
“Jangan main cakap saja sebab semua orang pun boleh cakap. Jadi kena tunjuk bukti,” kata Aliff yang tidak mahu mengulas panjang berkenaan perkara tersebut, sebaliknya menyerahkan segalanya kepada peguam untuk menguruskan.
Lebih Baik Senyap, Biar Peguam Uruskan
Aliff juga menyerahkan kepada peguam untuk menguruskan perkara ini dan memiih untuk berdiam diri.
Ads
“Biar peguam uruskan dan hakim tentukan siapa betul atau salah. Lebih baik saya senyap sahaja.
“Apa pun, saya memang bersedia 200 peratus jika pihak Wani mengemukakan saman pada saya.
“Bagi saya mudah saja, kalau tak puas hati boleh jumpa atau terus saman saya. Tak perlu nak tularkan di media sosial dan sebagainya.
“Secara jelas saya bagitahu, apa sahaja pemberian saya itu dengan jumlah sekian-sekian itu adalah bergantung kepada belas ehsan saya serta budi bicara dan bukan dalam perjanjian,” sambungnya.
Dalam masa sama, Aliff juga menafikan apa yang berlaku itu sebagai gimik untuk mempromosikan produk pelangsingan badan keluaran syarikatnya sebagaimana didakwa sesetengah pihak.
“Masyarakat sering nak cari kesalahan saya, tapi akhirnya nanti masyarakat sendiri akan buka mata siapa yang betul dan siapa salah.
“Saya ingin meminta kemaaafan pada semua. Ini bukan gimik tapi ini adalah betul berlaku.
“Ia bukan gimik yang bagus tetapi gimik murahan yang menjatuhkan reputasi saya. Saya dah rugi berjuta ringgit.
“Saya akan ambil tindakan. Bukan pada seorang, tetapi lebih pada tujuh orang yang terlibat dalam perkara ini dan saya tahu siapa mereka,” akhirinya.
Sumber: SinarPlus Sumber Foto: Instagram Datuk Seri Aliff Syukri
Sudah tentu, sebagai seorang isteri hatinya tidak tenang mengenangkan jasad suami yang masih belum ditemui. Kejadian yang berlaku lima hari lalu pasti membuatkan isteri ini tidak dapat tidur lena.
Setakat ini, walaupun tiada sebarang pentunjuk, isteri ini berdoa dan berharap agar jasad suami yang jatuh daripada motosikal segera ditemui dalam apa jua keadaan sekalipun. Sekalipun sudah tidak bernyawa lagi.
Harap Jasad Suami Jatuh Motosikal Segera Ditemui
“Saya redha jika dia ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa, asalkan jasadnya dijumpai,” kata Khatijah Din, 59, apabila suaminya masih hilang selepas terjatuh ke dalam longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di Ipoh, Khamis lalu.
Khatijah berkata, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) suaminya Ahmad Amin Ismail, 58, memasuki hari kelima, hari ini, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berdoa agar suaminya dijumpai biarpun sudah tidak bernyawa.
“Saya harap biarlah dapat melihat jasadnya. Hari-hari saya berdoa dan begitu juga dengan jemaah di surau kawasan perumahan kami, di mana setiap hari mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin agar suami dijumpai.
“Malah, saya juga lega sebaik polis memberitahu bahawa operasi mencari suami tidak akan dihentikan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz.
Katanya, walaupun tiada sebarang ‘mimpi’ sebagai petunjuk, namun dia sentiasa berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dan bertungkus-lumus dalam pencarian suaminya.
Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, operasi SAR membabitkan 61 keanggotaan pelbagai agensi diteruskan, hari ini dengan tumpuan pencarian diberi dalam jarak 90 kilometer daripada lokasi mangsa dikatakan terjatuh.
Pencarian Akan Tetap Diteruskan
Katanya, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui setakat ini, selain beranggapan pencarian semakin mudah disebabkan faktor cuaca yang baik sejak kelmarin sekali gus menyebabkan paras sungai kelihatan cetek.
“Pasukan bomba berusaha keras mencari mangsa biarpun pada sebelah malam. Kita yakin mangsa sudah terlepas ke sungai ini memandangkan terdapat kerosakan pada perangkap sampah di longkang mangsa terjatuh,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Ahmad Amin dikatakan terjatuh ke dalam longkang selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum dihanyutkan arus deras longkang berkenaan.
MW: Harapnya pencarian dipermudahkan dan jasad Ahmad Amin Ismail ditemui dengan segera. Insyallah.
Sumber/ Foto: myMetro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Fitrah lelaki dicipta dengan dominasi seksual berbanding tarikan sensual. Sebagai suami, disarankan agar menunjukkan kasih sayang, begitulah juga sebagai isteri, disarankan agar menampilkan diri yang seksi, pakaian yang seksi dan pergaulan yang seksi.
Cara menawan hati suami inilah yang dikongsikan oleh Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM).
Sebagai lelaki, memiliki isteri yang seksi untuk dirinya adalah sesuatu yang istimewa. Ramai isteri yang temui, mengadu suami mereka bermata keranjang, suka memandang wanita seksi malah kadang kala ada juga yang suka melihat gambar atau bahan-bahan lucah.
Sepatutnya tidak berlaku jika anda memiliki ilmu dan iman yang mantap, tetapi ramai juga yang terlibat. Sebab itulah solusi perkahwinan antara lelaki dan wanita disyariatkan dalam Islam, untuk menyelesaikan tuntutan fitrah secara sah. Ini seharusnya dapat diselesaikan menerusi perkahwinan.
Isteri menjadi wanita seksi yang halal untuk suami, sekali gus mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak baik. Sebagai isteri, anda perlulah menjadi wanita paling seksi untuk suami, menepati keperluan fitrah suami dan membahagiakannya.
Dan suami tidak lagi akan memerlukan wanita seksi yang lain. Ini merupakan salah satu faktor tarikan dan penakluk hubungan secara fitrah dengan suami.
Dalam kajian dan tulisan terlaris dunia seperti Mars and Venus, disimpulkan daripada ribuan responden yang ditemui, antara faktor-faktor yang menyebabkan suami atau lelaki mudah tertarik adalah dengan kecantikan seorang wanita, penghormatan oleh wanita dan tarikan seksual yang ada pada wanita.
Semua lelaki sukakan wanita cantik, meskipun cantik itu sendiri adalah bersifat subjektif. Untuk lebih mudah anda faham, selepas wanita diterima oleh suami, bermakna anda diiktiraf cantik.
Kedua, seorang lelaki akan berasa bahagia dan bangga bila dihormati oleh wanita. Sebagai isteri, hormatlah dan tunjukkan rasa hormat kita dengan cara menyokong atau mengiyakan pandangan keputusan suami, elakkan daripada ‘tunjuk pandai’ ataupun melawan.
Ketiga, jagalah penampilan diri kita sebagai isteri yang sentiasa memiliki daya penarik seksual kepada suami kita. Kadangkala perbincangan tentang hubungan seksual ini dilihat sebagai taboo dalam masyarakat, sebab itulah jarang-jarang dibincangkan.
Tetapi, sebenarnya ia adalah asas kefahaman dan kemahiran yang sangat penting, malah amat selari dengan fitrah manusia.
Kemahiran menjadi seksi, berpakaian seksi ataupun komunikasi ala-ala seksi tidak dianggap penting kerana itulah akhirnya boleh menyumbang kepada berlakunya realiti yang ada di sekeliling kita hari ini iaitu perceraian, kecurangan, perbalahan dan sebagainya.
Nak Suami Sayang, Isteri Elakkan Sifat Ini
Jadilah wanita yang membahagiakan suami, sebagaimana anda inginkan seorang lelaki yang memahami dan membahagiakan anda. Apabila suami bahagia, hatinya terikat dengan anda, lebih mudah anda memenanginya dan lebih mudah juga untuknya berfikir dalam membahagiakan anda juga.
Dalam pesanan ulama terdahulu, dalam kitab Muhimmah disenaraikan supaya anda elakkan daripada menjadi isteri yang suka melawan kata suami, yang suka memuji kebaikan lelaki lain dan banyak mengeluh.
Keadaan inilah ciri tidak menghormati suami dan akan menjauhkan hatinya daripada anda. Malah, dinasihatkan agar elakkan daripada suka meminta-minta kerana akan mudah merimaskan suami.
Fitrah suami kadang kala begitu berkira dan selalu tersalah faham dengan keperluan wanita yang kebiasaannya bukan keperluan, tetapi lebih kepada tambahan perhiasan dan aksesori.
Keadaan ini dirasakan oleh suami sebagai terbeban. Seterusnya. sentiasa jaga kecantikan, tunjukkan penghormatan serta bermanjalah dengan belaian dan layanan seksi.
Tip Jadi Isteri Yang Seksi
Pasangan anda adalah our other half yang memenuhi keperluan fitrah yang anda tidak miliki atau mampu lakukan.
Sebab itu, tugas anda adalah mengisi keperluan pasangan dan ini pastinya membahagiakannya. Membahagiakan itu adalah kunci penakluk hati dan hubungan.
1. Anda dipilih menjadi isterinya kerana anda cantik, jagalah kecantikan itu di depan suami.
2. Fitrah suami sukakan wanita seksi, berkomunikasilah atau bergaullah dengan suami anda dengan komunikasi seksi.
3. Godalah suami anda dengan memberi perhatian kepada tarikan dan hubungan seksual.
4. Elakkan terlalu banyak minta dibelai, perhatian dan kat-kata kasih sayang kerana itu tidaklah begitu membahagiakan suami, malah kadangkala merimaskan.
Sebaliknya, banyakkan melayan suami dengan cara yang menggoda dan seksi. Tapi untuk suai pula, banyakkan belaian perhatian dan kata-kata manis kasih sayang, sebab itu membahagiakan isteri.
5. Berhias dan pakailah pakaian yang cantik dan menarik atau pakaian seksi bila bersama suami. Elakkan terbiasa memakai pakaian comot atau selekeh di rumah. Secara berjenaka, suami bahagia bila isteri lawa, bukannya isteri yang sepanjang masa dengan baju kelawar.
Suami Pula Berilah Belaian Romantik
Ada perbezaan untuk suami, elakkan daripada keterlaluan bercakap ataupun meminta-minta belaian seksual daripada isteri kerana ia bukanlah fokus utama wanita.
Wanita lebih bahagia dan fokuskan kepada kasih sayang. Inilah namanya saling melengkapi. Sebagai suami, tidaklah perlu seksi untuk menakluki hati dan hubungan isteri, tetapi fokuslah lebih kepada ambil berat, caring dan belaian romantik.
Kunci kekuatan seorang suami terhadap isteri dan anak-anaknya apabila suami melaksanakan tanggungjawab ini.
Melindungi keluarga dan menyedia keperluan hidup.
Menyediakan pendidikan asas fardu ain.
Menguruskan rumah tangga dengan hikmah dan rahmah.
Mendidik akhlak isteri dengan penuh hikmah.
Menjaga anak isteri beribadah dan menjauhi maksiat.
Menyayangi isteri dan menghormati ibu bapa
Manakala isteri yang melakukan hal di bawah akan menjadikan kerjasama antara dirinya dan suami jadi lebih mantap. Bahagian isteri adalah:
Mentaati suami selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan hadis.
Selepas bersalin ibu akan lalui tempoh berpantang selama 40 hari. Sebaik keluar dari hospital, bidan mula datang ke rumah dan proses urutan dilakukan dalam tempoh 3 ke 5 hari.Tapi berapa ramai yang meneruskan rawatan penutup pantang.
Ada juga yang berurut untuk tempoh yang panjang. Ikut keinginan ibu berpantang itu sendiri.Selesai tempoh itu, ibu masuk kerja dan jalani rutin seperti biasa.
Hakikatnya, ada satu lagi proses berpantang yang dinamakan rawatan penutup pantang. Ia penting untuk wanita lepas bersalin seperti mana yang dikongsikan oleh Ummi Syatirah Kak Bidan Sempoi Sabah, Nur Syatirah Shuib dan suami, Ustaz Lokman Mohamed.
Apa Itu Penutupan Pantang
Ianya amalan orang Melayu dahulu untuk sesi terakhir bagi rawatan berpantang. Lain bidan lain caranya. Terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut kawasan. Bahan pelepas digunakan bagi mengelakkan angin daripada memasuki badan (angin jahat) dan bagi mengelakkan gangguan jin daripada memasuki badan (bad energy).
Nota: Wanita dalam pantang terdedah pada gangguan makhluk halus disebabkan badan yang lemah dan pengeluaran darah nifas dalam tempoh yang lama berbanding darah haid.
3 Sebab Kena Buat Rawatan Penutup Pantang
1. Mengelakkan angin cepat masuk ke dalam badan.
2. Merawat bad energu selama tempoh berpantang. Gangguan ini boleh masuk ke dalam badan melalui dua cara iaitu stress disebabkan masalah kesihatan ibu dan bayi ataupun tumpangan sihir.
3. Petanda tamatnya tempoh berpantang.
4. Lebih fokus kepada mencantikkan kembali seluruh tubuh badan ibu berpantang. Fokusnya kepada rawatan menguruskan badan, rawatan vagina, rawatan payudara dan punggung.
Memandangkan ibu-ibu bekerjaya pada hari ini mementingkan bentuk tubuh yang cantik, maka rawatan lengkap ini perlu dijalankan. Ia kembalikan semula keyakinan ibu-ibu untuk bekerja.
5. Ibu yang betul-betul sihat akan mempunyai tubuh badan yang langsing, muka merah berseri-seri. Ibu yang gagal berpantang dengan betul akan alami perut yang buncit, otot mengendur dan mukanya pucat.
Kelebihan Rawatan
1. Rahim ibu akan betul-betul diperiksa oleh bidan sama ada betul-betul telah kecut atau sebaliknya. Rahim akan betul-betul kecut berada pada posisi yang betul selepas darah nifas berhenti. Bila rawatan tak dilakukan, anda sendiri pun tak tahu keadaan rahim ketika itu.
Nota: Rahim mengembang selama 9 bulan mengandung belum betul-betul mengecut. Ianya boleh dilihat pada perut yang masih buncit seperti mengandung 3 bulan.
Kalau Tak Buat, Apa Jadi?
1. Tubuh badan wanita mudah penat.
2. Wanita jadi stress.
3. Anasir negatif (bad energy) mudah masuk dalam badan.
Nota: Ketika badan lemah inilah jin daripada daripada saka ataupun sihir yang lama-lama mudah aktif kembali, yang mana sewaktu sihat, ibu tak merasakan apa-apa perubahan pelik pada badan.
Cara mudah tentukan gangguan dalam rumah ialah bayi menangis (meraung) pada tengah malam dengan matanya melihat ke atas.
Pengalaman Merawat Ibu Berpantang
3 hari terakhir ketika darah nifas bertukar warna daripada merah kepada coklat. Rawatan paling minima untuk dilakukan adalah bertangas dan urutan rahim.
Tujuan bertangas untuk mengeluarkan habis sisa baki darah nifas agar selepas mandi wajib darah nifas tak keluar semula.
Urutan pula berfokus kepada:
– proses mengeluarkan angin daripada perut & usus.
– proses membantu mengecutkan rahim.
– proses menaikkan rahim iaitu sengkak peranakan.
Jenis Rawatan Penutup Pantang
Rawatan Vagina
Kita sedia maklum bahawa vagina menjadi longgar disebabkan proses melahirkan anak secara normal dan penuaan. Otot lantai pelvis boleh menjadi lemah kerana usia bertambah dan tahap hormon estrogen yang rendah.
Kaedah rawatan vagina adalah bertangas basah dan kering, scrub, masker, urutan peranakan dan organ sulit wanita, serta merawat vagina menggunakan herba yang mampu mengetatkan dan mengencangkan kembali otot vagina.
Ibu bersalin yang melakukan rawatan vagina, akan melihat organ sulitnya putih kemerah-merahan dan panas berbanding ibu yang tidak mendapatkan rawatan dimana akan kusam dan sejuk! Sesi urutan inilah yang paling penting. Teknik urutan yang betul berfokus kepada titik merawat masalah batin akan mengelakkan masalah mati putik.
Rawatan Payudara
semasa sesi penutupan pantang bertujuan melancarkan dan memperbanyakkan susu ibu. Namun, rawatan perlu dijalankan selepas tamat tempoh penyusuan untuk mengembalikan keanjalan otot payudara.
Rawatan Punggung
Rawatan punggung pula dijalankan untuk merawatkan kembali tulang punggung yang terbuka akibat proses bersalin. Selain itu, scrub & masker yang dijalankan akan menjadikan otot punggung kembali tegang dan putih bersih.
3 Kaedah Yang Bidan Dulu Amalkan
1. Benang Mentah
1 tali atau benang panjang dicantumkan dan dibawa masuk bermula kepala hinggalah ke kaki ibu dengan niat membuang semua anasir buruk (bad energy) daripada ibu.
2. Kain Batik Lepas
Kain batik yang belum dijahit, biasanya dihadiahkan pada bidan selepas rawatan. Tekniknya, kain batik lepas dilalukan di atas kepala ibu seterusnya ke badan dan kaki.
3. Mandian Herba Pelepasan Pantang
Ibu akan dimandikan oleh bidan sendiri daripada kepala hingga ke kaki. Ada yang menggunkana bunga-bungaan untuk naikkan seri wajah ibu. seri wajah hanya terpancar setelah semua anasir negatif keluar dari badan ibu.
Nota: Amalan benang mentah dan kain batik lepas banyak digunakan di Kelantan. Amalan mandian herba pelepasan pantang banyak digunakan oleh masyarakat Sabah.
Rawatan Penutupan Pantang dijalankan pada hari ganjil iaitu pada 39, 41 atau 43 hari berpantang. Bila bidan dah sahkan badan betul-betul sihat, barulah boleh buat sesi ini. Jika tubuh badan masih lagi sakit, rahim belum lagi mengecut, sesi berpantang kena diteruskan sampai 100 hari.
Secara mudahnya, orang dulu percaya ibu booleh keluar rumah selepas tamat tempoh berpantang iaitu 44 hari kerana bila badan dah kuat, ibu sukar terkena anasir negatif daripada mereka yang ada gangguan sihir dan saka keturunan contohnya.
Ramai yang kurang percaya dengan rawatan penutupan pantang kerana dari mata kasar, sukar untuk tentukan sama ada ibu dah betul-betul pulih dari segi fizikal dan mental.
Banyak ibu yang meroyan dan juga meninggal dunia disebabkan pengabaian penjagaan dan rawatan ketika berpantang.
Rawatan penutupan pantang bidan -bidan dahulu ada pelbagai jenis sebenarnya. Maka, nasihat saya, anda carilah bidan yang betul-betul mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.
Hal ini kerana, ada juga bidan yang belajar mengurut di dalam mimpi dan jin tersebut mengajarkan ilmu urutan kepadanya. Perkara ini sering terjadi kepada mereka yang mempunyai keturunan bidan.
Saka keturunan telah memasuki badan bidan tersebut dan membantunya ketika sesi urutan dijalankan. Maka, ibu-ibu yang mengurut dengan bidan tersebut hanya akan sihat sekejap sahaja dan kembali sakit.
Sebab itulah, ibu-ibu kena alert dengan rawatan penutupan pantang yang memberi kebaikan untuk kecantikan dan kesihatan tubuh wanita selepas melahirkan.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.