Semua manusia pernah buat silap dan Allah takdirkan dosa sengketa supaya jadi bukti pada kita, ternyata hebatnya sebuah taubat dan kemaafan. Begitulah ujian besar Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini yang akhirnya mendapat pengampunan Yang Dipertuan Agong dan dibebaskan.
Pendek kata sekadar bukan pengampunan, bahasa yang paling tepat adalah dibersihkan segala fitnah dan pertuduhan kes liwat Saiful Bukhari Azlan. Sekali gus membuka mata netizen yang mungkin pernah terpedaya dengan berita-berita palsu di media sosial.
Memamg perit dan perasaan itu mungkin hanya ditelan oleh isterinya, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail dan 6 orang anak-anaknya. Tetapi dari kaca mata Puan Ainizal Abdul Latif, dia mengambil sudut pandang yang postif untuk dijadikan pengajaran. Jemput renungkan…
Simbolik Kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim
Jika benar dia pendosa, apa amalnya dan bagaimana taubat nya di penjara sehingga Allah beri kemenangan yang tidak terduga, Allah bersihkan namanya dan melihatkan kepada kita betapa hebatnya kuasa pengampunan tuhan.
Namun jika benar dia teraniaya, sungguh benar Allah mengangkat semua doanya, walau berapa lama Allah tahan untuk menjadi asbab kepada kita melihat hebatnya apabila sengketa ditamatkan dengan kemaafan sesama insan.
Allahuakbar, jika kita melihat dengan panduan Al Quran, tiada ada apa yang silap pada perancangan tuhan. Sebaliknya kita akan hanya mencari hikmah, hikmah, hikmah dan kebaikan. Bukan mencari kesalahan manusia dan menyalahkan takdir yang di tulis tuhan.
Sejarah membuktikan, beberapa insan hebat lahir setelah dipenjarakan, namun kesudahan nya Allah gantikan dengan peristiwa besar, termasuklah Hamka dan Nabi Yusuf Alaihissalam. Moga peristiwa besar ini menjadi ibrah kepada kita sempena dengan kehadiran Ramadan.
A post shared by Dr Wan Azizah Wan Ismail (@drwanazizah) on
Hakikatnya, dunia adalah penjara bagi orang-orang mukmin. Kerana itu Allah kurniakan Ramadan, bukan sekadar untuk berlapar dan dahaga, malah besar daripada itu menjadikannya bulan memohon keampunan dan mencari sebanyaknya ibrah dari penurunan mukjizat Al Quran.
Moga kita berjaya melepaskan diri dari penjara dunia dan mendapat kemenangan dan kejayaan besar pada hari pengadilan hanya bermula dengan berjuang dengan tembakan taubat yang bertubi-tubi dan berdoa sebanyaknya di bulan Ramadan!
Terima kasih atas motivasi ini tuhan, selamat datang bulan yang di rindukan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Kecil Penat Berganda, TAPI Inilah “We Time” Dirindui Sampai Mati
Isi Kandungan
ToggleMak-mak yang ada anak-anak masih kecil memang kepenatannya berganda-ganda. Selalu terkejar-kejar nak uruskan anak-anak dan selesaikan kerja-kerja rumah dengan sempurna. Dalam pada sibuk uruskan itu dan ini, isteri sering mengharapkan ada Me-time sendiri. Namun, dapat pula suami jenis tak berapa rajin nak menolong, buat isteri menjeruk rasa dalam diam selalu merungut dan mengeluh sendiri tak puas hati.
Sebenarnya isteri boleh ubah cara berfikir, lihat anak-anak dan suami dengan pandangan yang berbeza, mampu buat hati jadi lebih tenang, bahagia dan tak kecewa.
Jemput fahamkan perkongsian Puan Sri A’jilah Mohd Samsir ini.
Kisah ni memang sangat membuka mata saya dan ubah cara saya berfikir. Saya lihat anak-anak dan suami dengan cara yang berbeza.
Ini kisah kawan saya, Kak Ti. Dia tua 3 tahun je dari saya. Sebab tu, apa yang berlaku pada dia, sangat dekat dengan saya.
Kak Ti ni orang yang sangat pandai berdikari. Tegas juga dengan anak-anak. Walaupun dia surirumah, tapi dia sangat pandai cari duit. Cergas dan ceria orangnya. Paling penting, sangat banyak mulut. Dia jenis out spoken. Dia akan cakap je apa yang dia rasa betul.
Saya pernah tanya dia pasal “Me-Time.” saya sangat percaya yang setiap perempuan yang bergelar isteri ni, mesti ada me-time. Untuk refresh kan balik diri, untuk bagi ruang pada diri sendiri.
Suami pun kena “give and take.” Isteri dah penat layan dan uruskan anak-anak, suami kena bertolak ansur lah sikit. Isteri bantu cari duit, suami bantu juga urusan rumah. Kan best macam tu. Aman harmoni rumah tangga.
Jawapan Membuka Mata
Jawapan Kak Ti ni memang menusuk jiwa saya. Sangat membuka mata saya.
“Sri, suami yang baik ni memang ramai. Yang nak bantu isteri uruskan hal-hal rumah, tengokkan anak sama-sama, memang ada. Tapi kebanyakannya memang buat donno je.
Kau mop lantai, anak menangis nak makan, nak mintak basuh berak, dia rileks je main handphone. Baru kau berlari nak basuh berak anak, sorang lagi anak dah meraung tergelincir pijak tempat kau mop. Tapi laki kau masih cool. Sakit tak hati kau? “
Memang laju je saya mengangguk. Kita huru hara dengan anak-anak, empatilah sikit kan? Anak kita kot. Bukan anak aku sorang.
“Kau pun marah kan? Kau mesti nak me-time kan?” tanya Kak Ti.
Eh, mestilahhh!
Kalau dah semua benda nak buat cool, ni memang mencetuskan pergaduhan!
Kak Ti senyum.
“Kau tau Sri, dulu, akak pun fikir macam kau. Kadang-kadang jadi benci kat suami sendiri sebab aku tak pernah ada masa untuk diri sendiri. Mandi pun terkejar-kejar, solat pun cepat-cepat. Aku sampai terfikir, baik aku hidup sorang-sorang. Semua benda pun aku buat sendiri. Apa bezanya!
Tak Bergantung Pada Manusia
Tiba-tiba, suami aku sakit.
Allah macam jawab kata-kata aku. Aku buat semuanya sendiri. Termasuklah cari duit untuk keluarga kecil aku ni.
Aku buat semua dan jaga suami aku dengan harapan dia akan sembuh. Aku pelik, sebab sejak suami aku sakit, aku tak pulak stress nak marah suami nak marah anak-anak.
Rupanya, sebab aku tak bergantung dah pada manusia. Aku tak berharap dah pada suami aku untuk tolong. Aku buat je semua. Siap ada masa untuk tahajjud, untuk dhuha. Time suami aku sihat, aku jarang snagat dapat buat benda ni. Betul, kalau kau berharap pada manusia, kau akan jumpa banyaknya kecewa.
Waktu ni, aku memang takde me-time langsung! Aku penat sangat tapi aku sangat puas hati buat semua tugas aku dengan gembira.
Perlukan We-Time
Aku tak perlukan me-time, tapi aku sangat-sangat perlukan We-time. Aku rindukan suami aku yang suka bergurau, aku rindukan saat dia balik kerja dan anak-anak berlari peluk dia. Aku rindu sangat masa dia layan anak kecik aku ni main kuda-kuda.
Suami aku ada sisi buruknya, tapi aku terlupa yang dia juga ada banyak sisi baik yang aku tak nampak waktu dia sihat dulu.
Nanti, bila anak-anak kau dah besar, kau me-time lah sampai pengsan. Sekarang ni, anak-anak kecik-kecik, memang kau akan penat berganda-ganda. Tapi ni lah we-time yang akan kau rindu sampai mati. ”
Saya terdiam. Terbayang wajah suami dan anak-anak. Tak tahulah apa jadi kalau saya berada di tempat dia.
Saya harapkan pasangan yang sempurna, yang faham bila kita perlukan bantuan, tapi saya lupa, saya sendiri banyak tak sempurna. Kurang di sini sana.
Tahun ni, hampir 10 orang kawan sebaya saya, yang dipanggil Tuhan. Terasa cepatnya Tuhan ambil kembali hak Dia. Tapi dah memang hakikat mati tak pernah kenal usia.
Kak Ti sendiri, sudah kehilangan suami.
Hargai Anak Dan Suami
“Sri, kau ada suami, ada anak-anak, kau hargai lah! Tak perlu fikir berapa banyak kau dah korbankan, tapi fikir je yang kau cuma nak beri, beri dan beri. Itu semua pahala yang kau tak nampak. Kau memang akan penat, tapi kau ikhlas kan aje. Dunia kan tempat berpenat”.
Saya menangis.
Rasa kerdilnya diri.
Saya banyak merungut bila penat uruskan rumah. Tak nampak dah yang semua tu ladang pahala. Dalam hati ni Kadang-kadang termaki hamun juga suami. Ikhlasnya hilang. Penat je yang tinggal.
Kita ni, memang bila dah rasa kehilangan, baru tahu nak belajar menghargai. Padehal, kita boleh je belajar memberi dan menghargai sementara semua orang yang kita sayang ada di depan mata.
Sri A’jilah Samsir,
#SelfReminder : Benda boleh hargai, kenapa nak pertikai itu ini.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat sebagai ingatan buat kita. Ada benarnya, jadi isteri dan mak ini memang penat, tanggungjawab dan pengorbanannya besar.Namun ikhlaskan hati, teruslah memberi..semoga ia menjadi ladang pahala dan ganjaran syurga hendaknya buat kita.
Sumber: Sri A’jilah Mohd Samsir
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Awas Beri Jus Anggur, Susu Kambing etc Pada Bayi Kuning! MakAyah Tolong Peduli Penjelasan Doktor Ini
Isi Kandungan
ToggleUmumnya dianggarkan 50% bayi baru lahir akan mempunyai tanda-tanda penyakit kuning. Malah lebih lazim dalam populasi tertentu, misalnya bayi dari Asia Timur dan pramatang.Kenapa ibu muda perlu ambil peduli masalah kekuningan kulit bayi atau bahasa perubatan dipanggil jaundis.
Jaundis Neonatal ialah penyakit yang umum di kalangan bayi yang baru lahir namun, jika dikesan pada peringkat awal, ianya boleh dirawat dengan berkesan tanpa sebarang risiko dan kecacatan.
Sebab Jaundis
Jaundis baru lahir atau Jaundis Neonatal sangat berbeza dari jaundis yang boleh berlaku dalam orang dewasa. Untuk orang dewasa, ia biasanya terdapat satu tanda penyakit di hati tetapi untuk bayi-bayi baru lahir, ianya mempunyai tanda di bahagian fisiologikal, yang bermaksud ia sebahagian daripada fungsi normal badan.
Ini terjadi kerana hasil daripada kerosakan sel-sel darah merah lebihan yang terdapat di dalam bayi baru lahir.
Semasa hayat di dalam janin, bayi memerlukan sel-sel darah merah tambahan untuk membantu membawa oksigen ke sekitar badan tetapi selepas kelahiran, sel-sel ini tidak lagi diperlukan dan akan mula pecah.
Di proses ini, produk daripada kerosakan ini ialah satu bahan yang dipanggil bilirubin. Bilirubin biasanya akan diproses oleh hati dan dikumuh melalui najis. Hati seorang bayi baru lahir yang masih baru, belum cukup matang untuk mengatasi tugas ini dan oleh itu bilirubin terkumpul di dalam darah dan berkumpul hingga menyebabkan jaundis.
Oleh kerana itu, hati bayi pramatang memerlukan masa yang lebih panjang untuk mencapai tahap kematangan yang diperlukan untuk memproses lebihan bilirubin dan akan lebih cenderung kepada jaundis.
Bayi-bayi yang mempunyai kumpulan darah berbeza dari ibu mereka akan mengalami peratusan kerosakan sel darah merah yang lebih tinggi dan risiko jaundis neonatal yang lebih teruk.
Dalam populasi Asia Timur, sangat umum untuk mengalami enzim hati yang lemah yang dipanggil kelemahan G6PD. Bayi G6PD mempunyai risiko yang lebih tinggi apabila menghadapi risiko jaundis.
Kenapa Ia Bahaya
Pengumpulan bilirubin dalam darah boleh menjurus kepada satu keadaan yang dipanggil ‘Kernicterus’. ‘Kernicterus’ berlaku apabila pigmen bilirubin yang disimpan di dalam otak yang mengakibatkan kerosakan. Ini membawa kepada keadan yang kronik dan ketidakupayaan. Ia juga boleh menyebabkan kehilangan pendengaran.
Sehari/Dua Hari Selepas Kelahiran
Tahap-tahap dan tanda-tanda juandis lazimnya akan mula kelihatan.
Hari Ke Tujuh
Tanda itu akan terus meningkat
Selepas Hari Ke Tujuh
Kebiasaannya hati bayi sudah mampu memulakan proses mengeluarkan bilirubin dan tahap bilirubin dalam darah akan turun secara semula jadi.
Dalam Seminggu Selepas Kelahiran
Bayi memerlukan penjagaan yang rapi dan teliti untuk memastikan tahap kekuningan tidak melonjak dengan mendadak dan terkawal dalam peratusan yang selamat. Jika meningkat tinggi, bayi perlu dirawat dengan diletakkan di bawah fototerapi yang mana akan membantu proses mengeluarkan kerosakan bilirubin di dalam kulit.
Rawatan awal ini akan memastikan bayi tidak berada dalam risiko ‘Kernicterus’.
Tanda Bayi Kuning
Bayi yang baru lahir kebiasaanya akan mula menunjukkan tanda-tanda Jaundis dalam tempoh hari ketiga kelahiran hingga hari kelima kelahiran dengan kulit akan mengalami kekuningan.
Jaundis biasanya bermula dari bahagian muka dan akan turun ke seluruh badan. Jika kekuningan hingga ke paras paha, ianya adalah tahap jaundis yang tinggi dan memerlukan rawatan perubatan.
Bayi yang mengalami jaundis dalam tempoh 24 jam pertama kelahiran harus diperiksa dengan lebih teliti kerana ini tidak dianggap sebagai fisiologikal.
Jaundis dapat disahkan dengan mengambil sampel kecil darah bayi (di bahagian tumit) dan diuji di makmal.
Keadaan Yang Harus Mak Bimbangkan
1. Tanda – tanda Jaundis kelihatan sebelum cukup 24 jam kelahiran
2. Jaundis merebak dengan cepat dan dapat dilihat pada bahagian dada dan ke bawah
3. Jaundis berterusan selepas 2 minggu selepas kelahiran
4. Bayi mempunyai pucat (whitish-grey) najis dan air kencing berwarna kehitaman (coklat)
Tempoh Jaundis
Jaundis neonatal biasanya akan bertahan kurang daripada 2 minggu, tetapi boleh berlarutan lebih lama untuk sesetengah bayi.
Bayi-bayi yang menunjukkan tanda-tanda jaundis melebihi 2 minggu selepas kelahiran harus dibawa untuk pemeriksaan untuk memastikan ianya tidak berkait dengan penyakit-penyakit lain seperti Hipotiroidisme Kongenital atau jangkitan di saluran kencing.
Terdapat juga 10% dari bayi yang menyusu badan secara eksklusif mengalami jaundis di bulan pertama kelahiran, jika ini berlaku bayi haruslah diperiksa oleh doktor untuk memastikan ianya tidak berkaitan dengan penyakit-penyakit yang dinyatakan dia atas.
Apa Mak Perlu Buat
* Pastikan Bayi Kekal Hidrat
* Bayi tak sepatutnya diberikan air kosong
* Mak pastikan bayi diberi susu setiap 3 jam untuk memastikan bayi menghasilkan air kencing dengan banyak. Jika najis bayi menjadi warna putih atau tidak berwarna, bawa bayi anda untuk berjumpa doktor dengan segera.
Hati-Hati Beri Bayi Perahan Anggur, Susu Kambing etc
Cara ini sangat tak selamat bagi bayi anda.
* Susu kambing yang tidak dipastur boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada bayi.
* Jus anggur dan semua produk semula jadi mengandungi banyak bahan-bahan cemar yang tidak dapat diproses oleh bayi.Ianya boleh mengancam nyawa, terdedah kepada jangkitan, komplikasi alahan dan juga masalah penghadaman.
* Cara terbaik adalah untuk menyemak dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum mengambil mana-mana daripada penawar asli ini.
Sumber/Foto: Dr. Anushree Narayanan, MBChB (Sheffield, UK), MRCPCH (Lon), FAMS (S’pore), Pakar Runding Pediatrik & Neonatalogi dari Tropicana Medical Centre via Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
10 Kesalahan Ini Bila Mak Ayah Lakukan, Boleh Buat Anak Jauh Dari Syurga Allah
Isi Kandungan
ToggleMatlamat setiap mak ayah dalam mendidik anak, tentulah mahu menjadikan setiap anaknya cemerlang dunia dan akhirat. Mencapai syurga Allah dengan usaha-usaha baik yang dilakukan di dunia. Sebab itulah dalam membesarkan anak-anak berhati-hatilah. Usahakan agar mak ayah tak lakukan 10 kesalahan ini.
Perkongsian daripada Puan Nurkhomsiah Bakrim ini diperoleh semasa beliau memandu dari sekolah. Akuinya beliau dalam 20 minit pemanduan itu, Allah kurniakan rezeki ilmu mendengar ceramah Ustaz Zainal Abideen.
“Biasanya dengar tazkirah apa yang PERLU DILAKUKAN dalam didikan anak. Kali ini, dengar apa yang TIDAK BOLEH DILAKUKAN dalam didikan anak. Nasihat Ustaz sangat terkesan di hati.”
Saya catatkan semula di sini mengikut pemahaman sebagai checklist serta peringatan kepada diri sendiri dan anda yang sedang membaca:
10 KESALAHAN DALAM MENDIDIK ANAK
Pertama : Salah Niat & Tujuan
Mungkin ada ibu bapa yang berniat mendidik anak kerana mahu penghargaan manusia. Contohnya, mahu dipuji hebat dan bagus dalam didikan anak.
Mungkin ada ibu bapa yang berniat mahu anak menjadi cemerlang dalam akademik untuk mendapat kesenangan dunia, mendapat jawatan tinggi dan dimuliakan oleh manusia lain.
Niat untuk mendapat penghargaan musia dan tujuan keduniaan sebegini salah.
Seharusnya:
√ Ibu bapa sentiasa muhasabah diri niat mendidik kerana Allah. Atas kesedaran anak ini amanah, maka hanya perlu mengharapkan redha Allah semata-mata.
√ Anak juga wajib dididik niat mahu menuntut ilmu kerana Allah. Berusaha untuk menjadi hamba dan khalifah Allah yang diredhai-Nya.
Maksud firman Allah:
“Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu..”
(Surah Al-‘Alaq: 1)
Kedua : Salah Memilih Sekolah
Memilih sekolah yang terkenal kerana berprestasi tinggi dan bertaraf antarabangsa tetapi mengetepikan element keislaman dalam pendidikan adalah satu kesalahan dalam proses pembesaran seorang anak.
Mungkin ada ibu bapa yang berpendapatan tinggi memilih sekolah berdasarkan populariti dan standard tetapi kurang cakna tentang falsafah pendidikan yang dipegang, bagaimana latar belakang tenaga pengajar dan rutin harian serta disiplin yang diamalkan di sekolah itu.
Seharusnya
√ Pemilihan sekolah yang terbaik ialah meletakkan asas akidah dan akhlak islamiah sebagai faktor utama.
Ketiga : Salah Kaedah Pendidikan
Mungkin ada ibu bapa yang terlalu tegas dalam mendidik sehingga si anak merasa takut dan kurang disayangi.
Lebih teruk, ada kes si anak merasa trauma kerana sikap ibu bapa yang terlalu garang serta suka memukul dan menghukum.
Mungkin ada pula ibu bapa yang terlalu lembut dengan anak sehingga segala kemahuan anak dituruti. Maka, wujud istilah.. “Bila si ibu melahirkan tuannya” atau merujuk kepada filem Melayu lama yang sangat popular, “Anakku Sazali.”
Seharusnya
√ Ibu bapa berbincang dan mengambil langkah pertengahan. Masih bertegas dalam kelembutan. Masih berlembut dalam ketegasan. Islam itu agama yang suka kepada kesederhanaan.
Keempat : Salah Memberi Motivasi
Mungkin ada ibu bapa yang meletakkan ganjaran duniawi semata-mata sebagai reward untuk memotivasikan anak melakukan kebaikan.
Contoh-contoh situasi:
“Kalau Adik puasa penuh sebulan, Ayah bagi duit raya RM300”.
“Kakak mesti menang pertandingan Hafazan peringkat kebangsaan. Nanti boleh masuk TV dan surat khabar.”
“Abang kena target mati syahid. Nama Abang akan disebut-sebut sepanjang zaman.”
Ganjaran berupa materials dan duniawi yang berlebihan adalah merosakkan.
Seharusnya, reward berbentuk materials perlu diberi sesekali sahaja. Asas yang paling kukuh perlu ditanam dalam jiwa seorang anak ialah melakukan segalanya kerana Allah dan untuk mendapatkan redha Allah serta ganjaran di Akhirat iaitu Syurga yang kekal abadi, inshaa Allah.
Kelima : Salah Memberi Kebebasan
Anak-anak yang semakin besar boleh diberi kebebasan dan kepercayaan untuk membuat keputusan dalam kehidupan.
Namun, satu kesalahan jika ibu bapa memberi kebebasan membuat keputusan tanpa berpandukan Al-Quran & Sunnah.
Contoh-contoh situasi:
√ Anak minat menyanyi. Maka, anak diberi kebebasan membuka aurat dan menyanyi lagu-lagu yang melalaikan di hadapan khalayak ramai.
√ Anak minat melukis dan mahu menjadi fashion designer. Maka, anak diberi kebebasan mereka design baju yang kebaratan dan tidak islamic.
√ Anak minat main bola sepak dan mahu menjadi pemain bola sepak professional. Maka, anak dibiarkan sahaja berlatih dengan memakai seluar pendek dan pulang lewat ke rumah sehingga tidak sempat solat Maghrib berjemaah.
Seharusnya:
√ Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menegur dan memandu anak-anak membuat keputusan yang tepat dalam hidup berpandukan neraca Islam.
Keenam : Salah Menjadi Contoh Teladan
Mungkin ada ibu bapa yang begitu mahu anak menjadi soleh dan solehah tetapi diri sendiri masih belum layak digelar soleh dan solehah.
Contoh-contoh situasi:
√ Ibu bapa yang mahu anak rajin mengaji al-Quran tetapi diri sendiri malas mengaji al-Quran.
√ Ibu bapa mahu anak bercakap sopan tetapi diri sendiri bercakap kasar dan suka menengking.
√ Ibu bapa menyuruh anak menghormati waktu solat tetapi diri sendiri masih bersama phone ketika azan berkumandang.
Seharusnya :
√ Ibu bapa mesti menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa perlu bertindak dan mengamalkan dahulu apa yang diperkatakan. Pendidikan terbaik ialah melalui teladan.
“Actions speaks louder than words.”
Maksud Firman Allah S.W.T:
“Wahai orang-orang yang beriman,
Mengapa kamu menyuruh orang lain berbuat sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu menyatakan apa yang tidak kamu kerjakan.”
(Surah As-Shaff: 2-3)
Ketujuh : Salah Kerisauan Melampau
Mungkin ada ibu bapa yang mengalami kerisauan melampau sehingga anak-anak dikongkong ketat.
Contoh-contoh situasi:
√ Anak tidak diberi peluang langsung bermain di luar rumah dan bersosial dengan jiran-jiran.
√ Anak tidak langsung diberi peluang ‘screen time’ walaupun hanya 1 jam sehari.
√ Anak tidak dihantar ke sekolah apabila tiba masanya kerana risau dibuli.
√ Kerisauan melampau ini adalah satu kesalahan dan merosakkan pembesaran normal dan fitrah seorang anak.
Seharusnya :
√ Ibu bapa masih memberi peluang kepada anak-anak bersosial dan berhibur tetapi dalam kawalan yang sewajarnya disamping menasihati dan bertawakkal kepada Allah Yang Maha Menjaga.
Kelapan : Salah Membandingkan Anak
Mungkin ada ibu bapa yang suka membandingkan anak pertama dengan kedua dan seterusnya. Atau membandingkan anak sendiri dengan anak orang lain.
Perbandingan yang diterjemahkan melalui kata-kata dan tindakan ini melukakan hati anak dan boleh menimbulkan isu ‘pilih kasih’ dari pelbagai sudut. Anak-anak juga membesar dalam keadaan tidak harmoni dan penuh dendam.
Seharusnya :
√ Ibu bapa bersikap adil dengan menerima setiap kelebihan dan kekurangan anak seadanya dengan penuh syukur. Sedar hakikat, setiap anak itu rezeki dan mempunyai characteristics, minat dan potensi tersendiri.
Maksud Firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah, Ayat 8,
“Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa..”
Kesembilan : Salah Menuduh Anak
Mungkin ada ibu bapa yang suka menjatuhkan hukuman kepada anak-anak secara melulu tanpa usul periksa.
Anak-anak yang selalu dituduh dengan kejahatan atau dipandang serong akan membesar dalam suasana negatif dan penuh kebencian.
Seharusnya :
√ Ibu bapa bersikap matang, teliti dan tenang dalam menjatuhkan hukuman sebagai pengajaran sekiranya anak benar-benar bersalah.
Kesepuluh : Salah Menjauh Dari Orang Soleh
Mungkin ada ibu bapa yang tidak suka membawa anak-anak pergi ke masjid, surau atau majlis-majlis ilmu agama.
Pemikiran bahawa anak-anak dirasakan mengganggu atau menyusahkan adalah satu kesalahan.
Seharusnya :
√ Anak-anak dididik untuk suka dengan rumah Allah dan taman Syurga sejak kecil. Di sini, mereka belajar bahawa mendekatkan diri dengan insan-insan soleh dapat membawa mereka lebih dekat dengan kebaikan, inshaa Allah.
TIADA IBU BAPA SEMPURNA
KITA ADA AGAMA YANG SEMPURNA
“Berilah peringatan! Sesungguhnya, peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”
.
(Surah Adz- Dzaariyat: 55)
Sumber/Foto : Nurkhomsiah Bakrim
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI