Bila bergelar isteri dan ibu, mulalah anggap segala kerja rumah di bahunya. Tanggapan orang selalu merasakan surirumah hanya goyang kaki, sedangkan mereka yang lalui betapa isteri penat lalui ini seorang ini.
Lebih teruk, suami tak fikir betapa isteri penat di rumah uruskan rumahtangga. Dia hanya fikirkan diri dia seorang penat keluar bekerja mencari nafkah. Bagaimana pula dengan isteri yang bekerja dan masa yan sama uruskan kerja rumah.
Suami yang baik dan faham isteri penat dan dirinya penat, kenala sama-sama bantu. Kalau suami mengharapkan pada isteri seorang, mungkin rumahtangga akan bertambah tenat.
Fahami perkongsian daripada Firdaus Shakirin ini. Kena sama-sama rasa penat urus kerja rumah, barulah rumahtangga tidak TENAT.
Dalam rumahtangga, kalau kita nak lawan siapa yang lagi penat, siapa yang lagi banyak buat kerja, maka smpai bila-bila pun kita akan bergaduh dan bermasam muka.
Prinsip rumahtangga saya, buat setakat yang larat sahaja, tak boleh buat, tinggal. Jangan paksa diri dan jangan nak perfect…
“Malam ni masak apa…?”
Wife jawab tak tahu lagi. Tak buat keputusan lagi sebab tengah ajar anak buat kerja sekolah.
Terus saya reply, “Tak payah masak, saya tapau makan malam…”
Ads
Balik rumah, sampai ja rumah, tengok baju masih kat ampaian…panggil anak, mintak dia ambik bakul…saya kutip, bawak masuk dalam rumah…lepas maghrib, sambil tengok berita, saya lipat…
Boleh saja saya balik rumah lepas itu,”kenapa tak masak lagi, kenapa baju tak kutip lagi, kenapa itu, kenapa ini…” saya dah PENAT kerja kot…takkan balik rumah kena buat macam lagi…
Isteri Bukan Goyang Kaki
Tapi saya tak buat macam tu sebab isteri pun ada kerja dia sendiri. Issteri bukan membuta dari pagi sampai ke petang. Isteri bukannya goyang kaki, tak buat apa-apa. Jangan hanya kerana kita tak nampak apa yang dia buat, itu tidak bermakna dia tak buat apa-apa.
Larat kemas, kemas…tak larat biar bersepah…larat masak, masak…tak larat kita tapau luar…larat lipat baju, lipat…tak larat, esok kita buat…
Ada yang jenis nak perfect, nak siapkan jugak walaupun tak sempat…boleh, teruskan dan buatlah…tak ada paksaan pun cuma jangan merungut je lah kalau pilih nak buat macam tu…
Ads
Dalam rumahtangga ni, penat tu dua-dua kena rasa…kalau salah seorang sahaja yang PENAT, maka rumahtangga tu TENAT…
Mingguan Wanita : Kenalah sama-sama penat. Bantu mana yang boleh. Kena ada tolak ansur.
Ada pasangan yang dikurniakan cahaya mata tak lama selepas berkahwin. Tetapi tidak semua yang bertuah dan berjaya merealisasikan impian tersebut. Normirani Mohd Noor dan Hazaha Awang terpaksa berusaha selama 15 tahun untuk mendapatkan anak.
Sehinggalah tujuh tahun lalu, impian mereka untuk memiliki zuriat sebagai penyambung keturunan telah dikabulkan oleh Allah.
Peluang itu terbuka di hadapan mata apabila salah seorang kawan mereka telah memberitahu Normirani mengenai kaedah bayi tabung uji atau In Vitro Fertilisation (IVF) oleh Tunku Azizah Fertility Foundation atau TAFF.
“Kawan bagi alamat TAFF dan saya terus hantar permohonan ke sana. Selepas permohonan berjaya, kami membuat rawatan di LPPKN. Tetapi sebelum permohohan diterima, banyak juga rawatan yang telah kami jalankan terlebih dahulu untuk mendapatkan anak,” ujar Normirani ketika ditemui baru-baru ini.
Sambungnya lagi, banyak rawatan yang telah dilakukan demi untuk hamil.
“Kami pernah buat rawatan IUI selama tiga kali di LPPKN. Selain rawatan moden, kami buat juga rawatan tradisional seperti homeopati. Semua usaha kami lakukan. Kami memang bergantung pada rezeki yang diberikan Tuhan.
“Fikir kami pada waktu itu, kalau ada rezeki dapat anak kami terima. Begitu juga kalau tidak dapat anak. Namun kami tidak pernah putus asa untuk mencuba. Dengar sahaja ada rawatan dan perubatan yang sesuai untuk mendapatkan anak, kami akan pergi mencuba.
“Pada tahun 2006 kami memohon untuk melakukan rawatan IVF dengan TAFF. Permohonan berjaya diterima pada tahun 2011.”
Bersama Dr Surender Singh, doktor yang dipertanggungjawabkan melakukan IVF pasangan ini.
Pengalaman Yang Mencabar
Normirani, 47, sangat bersyukur suami amat memahami keadaan dirinya. Tidak ada tekanan mahu pun desakan yang diterima daripada suami untuk mendapatkan anak.
Hazaha, 47, yang turut berada di sisi suaminya ketika temuramah ini dilakukan, mengakui perjalananan untuk mendapatkan cahaya mata ini memang satu pengalaman yang agak mencabar. Hanya mereka yang kuat semangat dan bersabar sahaja mampu menghadapinya.
“Kita perlu menjaga hubungan baik suami-isteri. Kita kena saling memahami. Keluarga kami pun tidak campur dalam urusan ini. Mereka tidak memberi tekanan dalam menghadapi kesukaran kami untuk mendapatkan zuriat.
“Alhamdulillah kami bersyukur mendapat keluarga yang memahami. Cuma dari segi persekitaran, kami menghadapi cabaran-cabaran. Sebagai contohnya kawan-kawan. Mereka sebenarnya hendak kita ada cahaya mata. Tetapi cara menceritakan niat itu boleh menjatuhkan semangat,” ujarnya.
Rezeki Dan Amanah Allah Akan Dijaga
Menceritakan proses rawatan IVF yang dilakukan, Hazaha berkata sebanyak 3 benih (embrio) yang telah dimasukkan ke dalam rahim isterinya.
“Sebenarnya kami ada 5 benih. Tetapi doktor mencadangkan agar masukkan 3 benih sahaja kerana 2 benih itu tidak sihat. Kami terima cadangan doktor itu. Selepas suntikan dalam masa 2 minggu sahaja keputusan positif. Doktor mengesahkan bayi telah ada di dalam kandungan. Semasa kami terima berita itu, perasaannya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kami teramat suka.”
Cerita Normirani pula, sepanjang tempoh kehamilan, tidak ada sebarang masalah yang serius dialaminya. Cuma katanya pada usia kandungan 7 bulan, ada berlaku sedikit pendarahan.
“Pendarahan itu mungkin disebabkan perjalanan yang jauh kerana saya balik kampung masa itu. Alhamdulillah selepas mendapat rawatan di hospital, kandungan dalam keadaan selamat. Saya bersalin secara pembedahan di Pusat Rawatan Islam Az Zahra, Bangi, Selangor.Doktor menyarankan agar bersalin secara pembedahan bagi mengelak daripada sebarang komplikasi semasa bersalin atas faktor usia.”
Bergelar ibu bapa buat pertama kali juga tidak dapat digambarkan sebaik sahaja anak yang ditunggu-tunggu itu telah dilahirkan. Hazaha mengakui dia tidak dapat menceritakan bagaimana perasaan gembiranya itu.
“Betapa bersyukurnya saya apabila mendapat anak walaupun doktor memberitahu yang anak saya itu mengalami masalah sindrom down. Tidak pernah tidak ada perasaan tidak bersyukur kepada Allah. Tidak pernah kami persoalkan kenapa kami dapat anak sebegini. Ini adalah rezeki dan amanah. Kami akan jaga amanah itu.”
“Saya berharap ibu bapa di luar sana yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan zuriat ini untuk bersabar. Bukan kita yang menentukan soal anak ini. Hanya rezeki Allah. Jadi bersabarlah. Jika ada apa jua ikhtiar, cubalah ikhtiar dengan cara apa sekalipun. Janji tuan puan sudah berusaha.
Rezeki hanya Allah menentukan. Itu sahaja nasihat kami kepada ibu bapa yang kesukaran mendapat zuriat.”
Sentiasa Berdoa Allah Beri Kekuatan Mental & Fizikal
Anak yang ditunggu selama 15 dilahirkan mengalami masalah sindrom down. Normirani dan Hazana bersyukur dan redha dengan pemberian Tuhan ini. Sebagai ibu, sudah lama Normirani menunggu saat untuk mendukung cahaya mata sendiri. Walau Muhammad Hazim Nufail tidak normal seperti bayi lain, dia menerimanya dengan penuh kesyukuran.
“ Alhamdulillah kami dapat menerima dengan redha. Bohong lah kalau saya kata tiada perasaan sedih pada pertama kali dapat tahu anak saya adalah seorang down syndrome. Alhamdulillah suami dan keluarga yang menenangkan saya ketika itu .
“Pada masa yang sama kami kuatkan semangat dan menerima qada’ dan qadar dari Allah dan bersyukur bahawa ujian yang Allah beri untuk kami terlalu kecil kalau nak di bandingan dengan ujian yang diterima oleh insan-insan lain.
“Jadi lama-kelamaan perasaan sedih itu semakin hilang dan dalam masa yang sama kami sentiasa berdoa agar Allah memberi kekuatan mental, fizikal dan diberikan tahap kesabaran yang tinggi dalam menguruskan anak kami. Alhamdulillah di mata dan di hati kami tidak rasa pun anak kami ini adalah anak istimewa (Down Syndrome).”
Kini anak tunggal mereka berusia 7 tahun. Sesungguhnya kehadiran Wan Muhammad Hazim Nufail itu memberi sinar dalam hidup Normirani dan Hazaha.
Cucu Angkat Raja Permaisuri Agong
Normirani dan Hazaha amat berterima kasih kepada Tunku Azizah Fertility Foundation atau TAFF.
“Izinkan saya untuk memberi ucapan ribuan terima kasih kepada TAFF kerana dengan izinNya juga telah memberi ruang dan peluang kepada kami bergelar ibu dan ayah setelah 15 tahun memadu kasih. Alhamdulillah syukur ya Allah.
“Baby TAFF 81. Itulah gelaran yang diberikan kepada Muhammad Hazim Nufail Bin Hazaha. Anak saya dan anak-anak IVF lain yang dilahirkan di bawah bantuan TAFF ini dianggap sebagai cucu angkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Bagi kami sangat-sangat istimewa terutama dari segi layanan yang Tunku berikan kepada cucu- cucu yang tiada tolok bandingnya. Kami juga rasa bertuah dan bersyukur kerana dapat bersama dengan keluarga istana walaupun hanya seketika.
“Tuanku sentiasa berpesan agar jadilah ibu bapa yang terbaik kepada anak-anak. Didiklah anak-anak sebaik mungkin semoga suatu hari nanti menjadi contoh dan tauladan buat masyarakat,” ujarnya dengan penuh rasa kesyukuran.
Baby TAFF 81, itulah gelaran Muhammad Hazim Nufail Hazaha
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Urusan jodoh memang ketentuanNya. Namun selagi boleh, elakkanlah “berkawan” dengan suami orang atas apa jua sebabnya. Ini kerana bila dah tersuka, dilamun cinta memang payah untuk tarik diri. Malah kebanyakan suami orang pun bukan semuanya mampu, niatnya selalu sekadar suka-suka dan nak ‘test market’. Jadi janganlah kita menjadi “orang ketiga”, merosakkan rumahtangga orang lain.
“Berkawan” dengan suami orang : Kalau boleh elak tu, elaklah…
Bila dah tersuka, bila dah dilamun cinta, terus dikatakan jodoh. Nak buat macam mana kan…ketentuan Allah s.w.t. Tapi pokok pangkal asal hubungan tu adalah sebab tak pandai jaga pergaulan dan tak tahu batas bila bergaul.
Bukan tak tahu dia tu suami orang, tapi melayan jugak dari sekadar “cuma kawan”, sehinggalah terbinanya “satu hubungan”.
3 Sebab Kenapa Kena Elak Berkawan Dengan Suami Orang :
1. Bukan Semuanya Mampu
Kita bukan nak menidakkan perkara yang halal dan boleh untuk orang lelaki buat. Tapi syarat utama yang membolehkan dia untuk buat pilihan itu ialah mampu. Mampu ni, boleh dikatakan ramai lelaki yang bergelar suami pada hari ini, “tidak mampu”. Kalau dia betul-betul mampu, maka isteri dia tak membantu langsung bab kewangan. From A to Z dia sediakan, semua hutang dia bayarkan siap ada pakej duit belanja yang fixed lagi setiap bulan untuk isteri dia.
Kalau bulanan pun, isteri bayar hutang, isteri topup perbelanjaan, keluar makan isteri bayar, minyak kereta isteri penuhkan, maka dimana “kemampuan” dia untuk beristeri lebih dari satu? Kalau dia teruskan jugak niat dan perbuatan itu, maka penganiayaan akan berlaku disebabkan dia “tidak mampu”.
2. Niat Nak Test Market, Main-Main & Tak Serius
Bukan semua yang menyentuh hati anda tu, membuatkan anda jatuh cinta dengannya ada nawaitu ingin menghalalkan anda. Ada yang saja-saja test market…sekadar suka-suka, main-main. Dia takkan mahu untuk ke peringkat seterusnya sebab dia takde keinginan pun untuk ke peringkat tu.
Hubungan tu sekadar mengisi masa lapang, memenuhkan masa terbuang.Dia akan mengelak daripada membicarakan soal serius ke tidak, nak berkahwin ke tidak dan sebagainya. Dia akan berjanji sahaja sepanjang masa tapi dia langsung tidak mengotakan apa yang dijanjinya.
Lebih teruk lagi, dia dapat “habuan”, dia blah dan memutuskan hubungan begitu sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Dia yang untung dan dia tak rugi apa-apa dalam hubungan yang macam ni.
3. Jangan Menambahkan Bilangan Ibu Tunggal
Biasalah, adat mula-mula nak menumpang kasih. Bila kasih dah ditumpang, maka mula tamak dan nak ianya jadi hak milik sorang. Yang pertama dah mula rasa kurang senang, yang pertama dah mula rasa diabaikan, yang pertama tak boleh terima diduakan, maka yang pertama pun “lebih rela” untuk bergelar ibu tunggal.
Ada suami yang sebelum bercinta dengan orang lain, sebelum berkenalan dengan orang lain, dia ok dengan isterinya. Bila berjumpa orang baru, dia jadi haru biru. Kewajipan dah ke laut, nafkah dah mula tak tunai, anak isteri tak dihiraukan lagi dah dek kerana keasyikan dilamun “cinta baru”.
Ditegur tak guna, dinasihat sia-sia. Maka give up dan redhalah si isteri dalam mempertahankan rumahtangga asbab kemunculan orang ketiga. Si suami yang asalnya nak membantu janda, telah menjandakan pulak isteri sendiri.
Sebagai suami, jagalah pergaulan dan fahamilah batas-batas bergaul. Kita keluar mencari nafkah untuk keluarga, bukan jodoh kedua. Tengok cermin, tengok atas bawah, sedarilah kemampuan kita dan ingatlah pengorbanan yang telah isteri kita lakukan.
Kepada “orang ketiga”, andai rosak sesebuah rumahtangga kerana perbuatan anda, maka bertanggungjawablah untuk menjawab soalan di akhirat sana.Allah Maha Adil dan Saksama.
MW: Ada benarnya, selagi boleh elakkanlah “berkawan” dengan suami mahupun isteri orang lain. Jangan runtuhkan rumahtangga orang lain kerana perbuatan kita.
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirasi dan lain-lain.
Wahai wanita di luar sana yang masih bujang! Jika ada masalah, jangan jadikan suami orang sebagai kaunselor, mereka bukanlah penasihat terbaik. Silap-silap masalah sendiri pun mereka tak pandai uruskan.
Sebaiknya carilah sahabat yang sama jantina atau ahli keluarga yang boleh dipercayai. Bukannya berkongsi masalah dengan suami yang menjadi hak wanita lain. Mula-mula mungkin sekadar berkongsi masalah, lama-lama mungkin terjatuh cinta.
Ikuti perkongsian Cikgu Nurul Haslinda ini dan fahami apa mesej yang cuba dia sampaikan:
Bila kita sudah berumah tangga janganlah sesekali kita cuba untuk suka-suka berkenalan dengan orang lain di alam maya.
Kerana dengan suka-suka itulah boleh membuka ruang-ruang kecurangan dan sekaligus meruntuhkan sebuah rumahtangga yang sudah lama di bina.
Lebih-lebih lagi anda wahai suami jangan cuba mengurat atau suka-suka mengusik wanita lain, kerana mereka akan jadi tersuka tanpa sengaja atau memang nak cari pasangan hidup dan tidak kisah melukakan hati isteri anda. Malah ada yang sanggup bermadu.
Tak Perlu Berkongsi Masalah Dengan Suami Orang
Begitu juga bagi wanita. Jangan dilayan jika lelaki itu suami orang. Tak perlulah jadikan lelaki itu tempat meluahkan masalah atau apa-apa. Carilah sesama jantina ataupun keluarga terdekat anda.
Suami orang itu bukan kaunselor atau penasihat yang baik. Diri sendiri pun dia tak dapat urus inikan masalah orang lain.
Ada juga di awal perkenalan sudah mula umpan dengan duit dan macam-macam semata-mata untuk memikat.
Walaupun hakikatnya anda tidak mampu. Tanpa bantuan isteri yang berkerja dan tidak berkira, anda memang tidak mampu.
Kasihan si isteri niat membantu untuk meringankan beban suaminya tidak disyukuri malah bila suaminya ada duit sikit mulalah dilaburkan untuk orang lain.
Menyara bulanan orang lain dan mengabaikan isteri serta anak-anaknya. Sangat tidak bertimbang rasa dan kejam.
Sesekali bila bersendirian, renunglah isteri dan anak-anak anda. Apa yang belum lagi anda lakukan untuk membuat mereka gembira.
Jangan di fikirkan untuk menambah isteri lagi kerana anda sebenarnya tidak mampu untuk menyara keluarga yang besar.
Suami Orang Tak Mampu Selesaikan Masalah Sendiri
Tidak malukah selama ini anda nampak senang kerana atas bantuan isteri anda? Mereka tidak berkira kerana memikirkan keluarga. Malah isteri sanggup habiskan duit dia sendiri untuk kepentingan keluarga. sedangkan si suami habiskan duit untuk berfoya-foya.
Akhir sekali jauhilah ber’chatting’ dengan berlainan jantina jika tidak ada urusan penting kerana selain menjadikan kita curang, ia juga merupakan satu zina kecil. Hargailah pasangan anda kerana rezeki anda ada pada mereka.
MW: Sememangnya, bukan tindakan yang bijak menjalinkan hubungan dengan suami orang. Selalunya hubungan yang sekadar suka-suka itulah menjadi serius seterusnya meretakkan hubungan suami, isteri yang sedia ada. Jadi berfikirlah sebelum terlanjur menjalin hubungan cinta dengan suami orang.