Sayunya hati mengenangkan ibu yang cedera parah terlibat dalam kemalangan jalan raya kehilangan tiga anak sekaligus di tempat kejadian. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Ujian kehilangan anak bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi tiga orang anak diambil sekelip mata. Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan kekuatan buat sang ibu.
Kereta yang dipandu ibu mangsa dikatakan hilang kawalan lalu merempuh treler di bahagian kiri jalan.
Sang ibu cedera parah, kereta dikatakan terbabas sendiri lalu sang ibu hilang tiga anak serentak dalam kejadian yang cukup menyayat hati ini.
Tiga Kanak-kanak Dikenalpasti
Polis mengenalpasti identiti tiga kanak-kanak lelaki yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan dua lori di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang, di Ipoh, petang tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, mangsa yang meninggal dunia ialah Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1.
Ads
Katanya, ibu mangsa, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, cedera parah manakala dua pemandu treler dan lori tidak mengalami kecederaan.
Mohamed Nordin berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian kemalangan yang membabitkan treler, lori dan Perodua Axia pada jam 3.50 petang.
Katanya, kemalangan pertama berlaku di antara dua treler di lorong kiri jalan yang membabitkan kes langgar belakang.
“Pihak PLUS yang datang meronda di lokasi kemalangan memberi bantuan serta kawalan lalu-lintas dan tiba-tiba datang Perodua Axia dari arah sama di lorong kanan lalu hilang kawalan dan berpusing melanggar di belakang treler membawa muatan elektronik yang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Pulau Pinang.
Ads
Ibu Hilang Tiga Anak Serentak
“Keempat-empat mangsa tersepit, ibu cedera parah manakala tiga anak lelakinya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya sambil memaklumkan ibu mangsa masih dirawat di wad kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Menurutnya, punca kemalangan berpunca daripada Perodua Axia terbabas sendiri lalu melanggar belakang treler yang berada di lorong kecemasan.
Beliau berkata, bedah siasat akan dilakukan pada jam kira-kira 3 petang esok.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
MW: Malang tidak berbau, semoga ibu ini terus kuat dan redha dengan ujian berat ini. Al-fatihah untuk kesemua mangsa.
Ketika status rumah perlindungan Baitus Solehah ini dimuat naik oleh pengasasnya, Puan Ummi Muna Liza Ismail yang lebih mesra dipanggil Mak Liza, ramai yang menidakkan. Tak percaya anak semuda 13 tahun dah mengandung menjadi mangsa Pedofilia.
Jangan buat-buat pejam mata, sebab apa yang Mak Liza kongsikan ini memang kisah benar lagi nyata. Terjadi bukan saja ke atas diri gadis 13 tahun itu, malah masih ada 4 lagi mangsa pedofilia di bawah jagaan mereka.
Boleh bayangkan, betapa dahsyatnya keadaan yang berlaku. Media sosial yang bermacam-macam semua di hujung jari.Sebut saja, facebook, twitter, instagram, beego, wechat.. tak tertulis di sini. Akses mereka amat mudah. Dalam rumah pun, jenayah boleh menyerang anak kita tanpa sedar.
Dan inilah yang cuba disampaikan oleh Mak Liza. Agar mak ayah jangan terlalu terleka. Belek, telek, intai malah siasat apa yang anak kita lakukan seharian. Baik lelaki mahupun perempuan, risikonya sama.
Menakutkan mak ayah, ambillah kisah ini sebagai pengajaran.
Kecil Kecil Dah Kena Urus Anak Sendiri
Ni mangsa pedo. Budak ni di’grooming’ dari sebelum ambik UPSR. Bila umur 13 tahun dah mengandung. Budak tu happy je sebenarnya sebab dia tak tahu akibat. Best apa ada lelaki sebaya bapa belai, peluk, sentuh dan akhir sekali barulah bersetubuh. Bersetubuh ni babak akhir setelah mangsa terkulai manja
Kesian tak, budak kecik dah kendung anak. Ni gambar saya ambik waktu dia nak mandi anaknya. Terpaksa berjengket sebab masih rendah. Pendek. Ketinggian belum cukup. Masa mengandung sedih tengok budak kecik perut terjungkit ke depan.
Di sini mereka perlu berdikari. Kena urus anak sendiri. Ada kawan sebelahnya perhati, tunjuk ajar supaya budak ni lakukan dengan betul.
Apa emak emak rasa bila tengok budak umur 13 tahun kendung anak? Adik ke anak?
Ini Bukti Pedofilia Semakin Bermaharajalela
Walaupun budak, fitrahnya seorang perempuan mengandung dan melahirkan anak, air susu tetap ada dan mewah. Anaknya menyusu susu ibu.
Masih ada 4 mangsa pedo belum melahirkan. 2 orang budak dah melahirkan anak.
Ini lah bukti pedo makin bermaharajalela. Tahun lepas saja berapa ramai mangsa pedo melahirkan anak di sini.
Emak, emak…jangan lena. Jangan sibuk dengan kisah Husna. Bangun, bangun…
Ini nasihat dari Opah Makin Tua.
Pendidikan Kehidupan Menurut Islam
Bagi pembaca yang masih belum memahami sepenuhnya tentang Baitus Solehah, ia adalah sebuah rumah perlindungan untuk remaja perempuan dan wanita yang mengandung tanpa suami.
Setakat ini, jumlah ibu dan bayi di rumah ini seramai 40 orang. Rumah ini beroperasi di bawah kebenaran JKM (sah sehinggan tahun 2022). Di sini remaja perempuan dan wanita yang dilindungi dipanggil pelatih.
“Tidak ada apa-apa bayaran yang dikenakan selama mereka tinggal di Baitus Solehah. Semua kebajikan mereka ditanggung Baitus Solehah.
“Aktiviti harian di Baitus Solehah adalah pentarbiyahan hidup berlandasan agama Islam bermula dari bangun tidur hingga tidur semula.
“Mereka diberikan pendidikan kehidupan menurut Islam dalam kuliah subuh, kuliah tafsir, kelas fardhu ain, kuliah Taalim Zuhur, kelas Al quran dan kaunseling.” terang Mak Liza ketika dihubungi MW.
Jelasnya lagi, cara hidup mereka juga mengamalkan sunnah. Dengan penanaman iman, pembersihan hati dan penyucian jiwa, mereka menjadi kuat dan tabah menghadapi kehidupan apabila keluar dari Baitus Solehah nanti.
Justeru mak ayah, teruslah memanjatkan doa agar anak-anak perempuan kita dilindungiNya dan jomlah sematkan dalam hati untuk jadi mak ayah prihatin dengan anak-anak.
Moga kisah anak 13 tahun ini menjadi asbab untuk mak ayah berubah menjadi lebih baik lagi.
Rohingya ini kelompok minoriti Islam di Myanmar. Ketika anda membaca tulisan ini ada sekujur tubuh tanpa dosa sedang dizalimi, dibakar hidup-hidup, wanitanya dirogol tanpa belas sebelum dibunuh dengan kejam. Air mata kesengsaraan Rohingya kembali menyentak hati kita yang belas.
Anda yang masih belum faham sepenuhnya. Jangan cepat menghukum, apa yang berlaku ke atas kaum Rohingya sama seperti apa yang berlaku ke atas kaum Muslim Bosniak di Bosnia (1995). Ini petikan tulisan Ayman Rashdan Wong, PTD at Federal Government of Malaysia. Lanjutkan pembacaan anda agar lebih jelas dan sedar betapa kroniknya isu berkaitan Rohingya ini.
Isu Rohingya Ini Sebenarnya Rumit
Sangat rumit. Tapi ramai yang main bedal saja mengulas isu ini tanpa membuat penyelidikan secara menyeluruh.
Ilmu yang sedikit membawa kepada fitnah. Aidil Adha dan hari-hari Tasyriq yang patut menyatukan kita menjadi hari berbalah dan menyebar dusta. Apa benda.
Ada tulisan tular yang kata Rohingya ini tidak “deserve” bantuan kita kerana mereka berperangai buruk.
“Kalau etnik lain boleh hidup aman damai di Myanmar kenapa Rohingya tak boleh? Mesti perangai Rohingya sendiri yang suka duduk dalam kepompong sendiri menolak asimilasi kan? Cuba tengok perangai mereka dekat Selayang!”
Benda ini bukan boleh pakai logik sahaja bang.
Rohingya dibenci pun bukan kerana faktor agama atau Islamo-fobia semata-mata. Bukan hitam vs putih. Bahaya jika isu ini dibahaskan melalui kerangka konflik agama.
Isu Rohingya adalah contoh klasik kegagalan ethno-nasionalisme yang membawa kepada kegagalan “nation-building”. Rohingya merupakan kumpulan yang dikambinghitamkan dalam masalah ini dan mereka menghadapi penghapusan etnik atau “genocide”.
Rohingya bukanlah pendatang Bangladesh yang sombong seperti yang didakwa. Keadaan Rohingya dan Bangladesh ada persamaan dengan Alam Melayu juga.
Pada asalnya negeri Rakhine (atau Arakan, tempat duduk orang Rohingya) dan Bengal (Bangladesh hari ini) dekat dari segi geografi dan politik, maka berlaku interaksi budaya. Selepas tahun 1785, Arakan ditawan oleh Burma (Myanmar) dan kekal berada di bawah Burma selepas Burma merdeka daripada Britain pada tahun 1948, maka Muslim Arakan dipisahkan daripada Muslim Bengal.
Muslim Arakan atau Rohingya ini pada asalnya boleh hidup dengan etnik Rakhine yang menganut Buddhisme. Namun dasar British yang membawa masuk buruh Bengali menyebabkan Rakhine rasa terancam. Malah semasa Perang Dunia Kedua (1939-1945), Rakhine menyokong Jepun dan Rohingya setia dengan British. Maka berlakulah permusuhan dan episod bunuh-membunuh seperti 14 hari pemerintahan Bintang Tiga di Tanah Melayu.
Rohingya pernah menuntut kemerdekaan agar disatukan dengan Bangladesh. Mereka berjuang secara bersenjata di bawah nama Mujahideen (1947-1961), Rohingya Liberation Party (1972-1974), Rohingya Patriotic Front (1974-1982), Rohingya Solidarity Organization (1982-1998), Arakan Rohingya Islamic Front (1986-1998) dan Arakan Rohingya National Organization (1998 sehingga kini).
Dan bukan Rohingya saja yang tak mahu berasimilasi, berpuluh-puluh etnik yang lain seperti Karen, Mon, Shan, Kachin dan Wa telah mengangkat senjata menentang dasar asimilasi “Burmanization” yang bermula sejak 1960-an selepas kudeta tahun 1962. Nama saja Burmanization tapi pemerintah tentera berat sebelah kepada budaya etnik Bamar dan agama Buddhisme.
Untuk mengambil hati Rakhine (salah satu daripada 4 etnik penganut Buddhisme bersama-sama orang Bamar, Shan dan Mon), Jeneral Ne Win memberi taraf autonomi kepada Rakhine dan tidak mengiktiraf Rohingya sebagai penduduk Rakhine. Malah, sejak tahun 1982 Rohingya dilucut kewarganegaraan di bawah Undang-Undang Kewarganegaraan. Rohingya menjadi “stateless people”.
Pendemokrasian Myanmar sejak tahun 2011 tidak mengubah nasib Rohingya. Parti yang anti-Rohingya, Rakhine Nationalities Development Party (RNDP) memenangi majoriti kerusi di Rakhine. Presiden Thein Sein tiada pilihan selain mengambil hati RNDP dengan membuat cadangan agar orang Rohingya ditempatkan semula, satu cadangan yang ditolak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) kerana menzalimi hak orang Rohingya sebagai penduduk asal.
Thein Sein disokong oleh gerakan sami pelampau seperti Ashin Wirathu, pemimpin Gerakan 969 yang menyebarkan sentimen Islamo-fobia. Gerakan 969 inilah tukang penyebaran propaganda bahawa orang Rohingya adalah pendatang Bangladesh dan menghasut orang Rakhine membunuh orang Rohingya.
Sejak itu pembantaian ke atas Rohingya berlaku pada Jun 2012, Mac 2013 dan Oktober 2016 sehingga kini. Semakin ramai yang meninggalkan Rakhine dan semakin banyak tragedi kemanusiaan yang dilaporkan. Kebanyakan mereka samada mati lemas di tengah laut, atau dirogol dan dibunuh oleh pedagang manusia di Chittagong Hill Tracts di sempadan Rakhine-Bangladesh.
Apa yang berlaku ke atas orang Rohingya menepati ciri-ciri “genocide” yang sistematik: ia bermula dengan “classification” (identiti Rohingya diasingkan daripada rakyat Myanmar), kemudian “dehumanization” (969 panggil Rohingya sebagai anjing), “organization” dan “polarization” (orang Rakhine dihasut dan diberi senjata), “extermination” (bantai) dan “denial” (penafian berlakunya pembantaian).
Apa yang berlaku ke atas Rohingya sama seperti apa yang berlaku ke atas kaum Muslim Bosniak di Bosnia (1995), kaum Darfur di Sudan (2003-kini), Tutsi di Rwanda (1994), Yahudi dan Gypsy di Jerman (1942-1945) dan Armenia di Turki (1915-1917).
Situasi ini berbeza dengan Selatan Thailand atau Selatan Filipina di mana genocide tidak berlaku. Keadaan Rohingya berada di tahap kritikal, di ambang pembinasaan (annihilation).
Bermula tahun 2016 Rohingya menubuhkan tentera mereka sendiri, Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) untuk melindungi mereka. Maka bertambah kukuh lah dakyah 969 bahawa Muslim Rohingya ini golongan teroris. Lagi senang tentera Myanmar dan militia Rakhine menjalankan kerja mereka. Pada 25 Ogos 2017 baru-baru ini, ARSA diisytiharkan sebagai kumpulan teroris oleh kerajaan Myanmar dan itu menjadi antara punca kemarahan orang Rohingya baru-baru ini.
Siapa kata Rohingya tak berusaha untuk mengubah nasib sendiri? Tapi mereka ni tak lawan mati, lawan pun mati. Nasib orang Rohingya baru betul-betul tersepit.
Fakta-fakta ini boleh diperolehi daripada dokumen-dokumen UN, UNHCR, Amnesty International, Human Rights Watch dan banyak lagi. Jenayah terhadap Rohingya dibentangkan dalam sesi demi sesi di UN.
Tan Sri Razali Ismail, wakil Malaysia di UN adalah antara sosok yang aktif dalam aktiviti ARNO yang berpangkalan di London. Jadi, apa yang cuba dinafikan tentang genocide ke atas Rohingya di Myanmar? Ada ke patut mangsa genocide dipersalahkan?
Kenapa dunia tidak mahu bersuara membela Rohingya?
Kerana Myanmar ini negara yang sensitif. Kedudukannya strategik dari segi geo-politik. Myanmar pro-China, jadi kuasa-kuasa Barat (US, EU) dan India cuba kurangkan kritikan terhadap Myanmar agar ia berpaling tadah daripada China. Tapi kalau semua kuasa-kuasa besar termasuk China hatta ASEAN kutuk Myanmar sekali pun, Myanmar boleh saja tutup pintu dan amalkan dasar isolasi. Masalah tetap tidak selesai malah lagi mudah mereka nak bantai Rohingya sampai habis.
Keadaan ini berbeza dengan krisis di Bosnia atau Sudan di mana kerajaan mereka lebih “vulnerable” dengan kecaman kuasa-kuasa besar.
Nak harapkan Bangladesh yang “serumpun” dengan Rohingya? Bangladesh antara negara termiskin di dunia. Kecil dari segi ekonomi dan ketenteraan. Tak mampu nak melindungi Rohingya secara infiniti.
Dan kita pun tak mampu untuk membantu pelarian Rohingya buat selama-lamanya. Mereka yang menyuarakan keresahan tentang kehadiran Rohingya pun tidak salah sepenuhnya. Tak salah juga kalau nak mendahulukan kepentingan negara lebih daripada kemanusiaan. Tak salah.
Pada asalnya tak timbul isu pun. Orang Rohingya tak minta bantuan tambahan. Orang Rohingya tak minta nak jadi warganegara Malaysia. Orang Rohingya cuma membantah kekejaman ke atas mereka di hadapan Kedutaan Myanmar. Keadaan hilang(kawal sedikit, tapi tak seteruk perhimpunan yang dibuat oleh rakyat tempatan.
Ia menjadi asu apabila ada orang cuba menghasut agar membenci Rohingya. Kalau tak nak bantu pun tak apa, tapi amat zalim jika “whitewash” jenayah kemanusiaan yang dilakukan ke atas Rohingya dengan “half-knowledge”.
Kalau betul-betul prihatin dengan isu ini, baik consult pakar seperti Dr. Jatswan Singh (guru saya) di Universiti Malaya yang lebih 20 tahun mengkaji politik Myanmar dan masalah Rohingya.
Kalau setakat mengulas dengan emosi dan “half-truth”, atau nak mengaitkan pengalaman “saya dan Rohingya” masing-masing, sampai kiamat pun tak selesai.
(malas nak tulis lebih panjang dan teliti. Orang bukan nak baca pun, yang penting saya #macai makan #dedak yang tak pernah duduk dengan orang Rohingya)
Bacaan Lanjut
— United Nations High Commissioner for Human Rights, “Situation of Human Rights of Rohingya Muslims and other Minorities in Myanmar” (20 Jun 2017)
— United Nations Human Rights Office of the High Commissioner, “Report of OHCHR Mission to Bangladesh: Interviews with Rohingyas Fleeing from Myanmar since 9 October 2016” (3 Februari 2017)
— Azeem Ibrahim, “The Rohingyas: Inside Myanmar’s Hidden Genocide” (2016).
— Human Rights Watch, “All You Can Do is Pray: Crimes Against Humanity and Ethnic Cleansing of Rohingya Muslims in Burma’s Arakan State” (2013)
— Su-Ann Oh, “Rohingya or Bengali? Revisiting the Politics of Labelling” (Insitute of Southeast Asian Studies, 2012).
Jika Anda Masih Ada Perikemanusiaan, Bertindaklah!
Sumber/Foto: FB Ayman Rashdan Wong, CBC.co via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
5 tahun bergelar ibu tunggal, Nora Ariffin bakal bernikah. Seperti mana yang diketahui ramai, suami kesayangan penyanyi terkenal Datuk Nora Ariffin, Allahyarham Johan Nawawi telah meninggal dunia pada 2017 akibat serangan jantung.
Pejam celik rupanya sudah lima tahun Nora mengharungi kehidupan sebagai ibu tunggal.
5 Tahun Bergelar Ibu Tunggal, Nora Ariffin Bakal Bernikah
Seperti mana yang dilaporkan SinarPlus, wanita cekal ini berkongsi bakal melangsungkan perkahwinan tahun ini.
Lebih selesa tidak mendedahkan tarikh istimewa tersebut, Nora memberitahu akan berkongsi berita gembira tersebut dengan peminat apabila tiba waktunya.
“Benda baik buat apa nak sorok. Doakan yang baik-baik. Benda baik tak perlu dilambatkan dan perlu dipercepatkan.
“Bila masa sesuai saya akan beritahu. Tunggulah nanti. Anak-anak okay. Alhamdulillah, mereka berlapang dada menerima dengan hati terbuka,” ungkapnya.
Hatinya Berjaya Dicuri, Bukan Orang Politik
Seperti yang difahami, Nora mengenali lelaki yang berjaya mencuri hatinya ketika Pandemik Covid-19 dan bukan orang politik. Kemungkinan lelaki tersebut merupakan seorang pendidik.
“Kita pun bukan budak-budak muda, banyak benda perlu dipertimbangkan dan lebih memikirkan masa depan,” sambung Nora yang turut memberitahu akan mengeluarkan lagu baharu tahun depan.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.