Kenapa ramai isteri yang menjadi mangsa dera suami masih tetap ingin bertahan dalam ikatan perkahwinan itu? Apakah kerana mereka ‘tak sedar’ atau tak tahu apa hak mereka?
Kenapa terus biarkan isteri jadi deraan; sama ada secara emosi atau pun fizikal? Tiap rumah tangga berharap akan kekal bahagia hingga ke hujung nyawa. Namun, tiap pasangan perlu berusaha untuk meraih bahagia. Tak mudah, tapi itu yang perlu dilakukan andai ingin rumah tangga itu berjaya.
Kenapa Pura-pura Bahagia?
Jika kita lihat pasangan lain dapatkah kita menduga sama ada rumah tangga mereka bahagia atau tidak? Mungkin ya dan mungkin tidak. Itu hal rumah tangga orang. Buat apa kita mahu sibuk-sibuk, bukan? Rumah tangga kita bagaimana pula?
Bertuah sungguh jika kita bahagia dan memang orang lain dapat melihat kebahagian itu. Atau orang lihat anda bahagia sedangkan setiap hari anda berpura-pura bahagia untuk menyembunyikan rasa siksa rumah tangga itu. Atau yang lebih malang apabila kita sendiri tidak pasti apa yang berlaku. ‘Entahlah. Rumah tangga aku ini bahagia atau tidak?’
Tak Bahagia Makna Ada Tak Kena
Jawapannya mudah. Jika anda bahagia maka anda pasti tahu anda bahagia. Jika tidak maka ada sesuatu yang tidak kena dan perkara itu seperti barah yang perlahan-lahan sedang memusnahkan rumah tangga anda.
Walaupun penulis seorang lelaki dan juga seorang suami tetapi saya boleh kata tanpa ragu-ragu bahawa isteri lebih berisiko menjadi mangsa dalam rumahtangga. Terdapat beberapa kategori ‘mangsa’ dalam konteks rumah tangga dan itulah yang kita akan lihat dalam nota minggu ini.
Ketahui Undang-undang
Kategori pertama ialah mangsa keganasan fizikal. Kita semua memang bersetuju bahawa keganasan fizikal tidak boleh diterima dalam menyelesaikan apa juga konflik rumah tangga. Di Malaysia telah ada peruntukan Undang-undang tentang perkara ini. Ada laporan polis, ada laporan perubatan maka laporkanlah kepada pihak berkuasa. Namun atas pertimbangan lain yang hanya isteri itu sahaja yang tahu, ada ramai isteri yang terus rela menjadi mangsa dalam kategori ini.
Kategori kedua ialah mangsa keganasan kata-kata. Pedang yang tajam hanya boleh melukakan badan tetapi lidah boleh menusuk hati. Kutukan, hinaan, cercaan dan makian mampu membawa kesakitan yang sama seperti dalam kategori pertama bahkan lebih teruk lagi. Ini kerana kesan keganasan fizikal boleh dikesan oleh doktor bertauliah dan dibuktikan di mahkamah. Kesan keganasan kata-kata boleh membuatkan mangsa menjadi gila dan si pelaku bebas begitu sahaja.
Mangsa Dera Seksual
Kategori seterusnya ialah mangsa seksual. Bukan lagi rahsia apabila ada kes-kes yang dibawa untuk perundingan membuka kisah hitam isteri yang menjadi mangsa seksual. Walaupun saya tidak setuju dengan istilah ‘rogol’ dalam rumah tangga tetapi mendesak isteri melayani suami tanpa didahului dengan kasih-sayang bukanlah apa yang sepatutnya berlaku setiap masa.
Rasa berdosa serta keliru yang ditanggung isteri kerana suami sentiasa menggunakan hujah ‘setiap masa walau di belakang unta’ ini menyebabkan isteri tidak pasti samada dia bahagia atau tidak.
Deraan Mental Dan Fizikal
Kategori terakhir ialah didera mental dan emosi. Kategori ini adalah yang paling kabur dan sukar untuk difahami. Antara perkara yang termasuk dalam kategori ini ialah pasangan yang terlalu cemburu, pasangan yang tidak menghormati hak-hak peribadi, terlalu mengongkong dan sebagainya.
Bagaimana ini boleh berlaku? Sebagai contoh, kata orang cemburu tanda sayang. Tetapi hanya anda yang tahu betapa siksanya hidup anda kerana dia terlalu cemburu. Dia cemburu sehingga ayah kandung sendiri tidak dibenar berada di rumah semasa dia keluar bekerja. Bimbang sumbang mahram katanya.
Selain itu, oleh kerana dia suami maka dia rasa mempunyai semua hak ke atas kewangan, masa depan dan tindakan anda. Tidak ada kompromi dan semua mesti menurut apa yang dia mahu.
Kenapa Terperangkap Dalam Rumah Tangga Tak Bahagia?
Keempat-empat kategori ‘mangsa’ yang telah dikongsikan tadi semuanya terperangkap dalam rumah tangga yang sebenarnya tidak bahagia. Anda tidak memilih untuk berada dalam keadaan itu. Syukur jika anda bebas dari mana-mana kategori ini.
Namun jika anda terpaksa membaca berulang-ulang kali satu atau lebih daripada kategori ini dan melihat diri anda berada di dalamnya maka elok anda mula berfikir kaedah untuk menghadapinya.
Sumber: Artikel ini disumbangkan oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training & Consultation, juga penulis di dalam majalah Mingguan Wanita.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI