Menantu mentua boleh menjalinkan hubungan erat dan harmoni di antara satu sama lain kalau kena caranya. Namun, tak dinafikan, ramai yang mengalami masalah menantu-mentua ini. Biasanya melibatkan mak mentua dan menantu perempuan. Jarang sangat jumpa lelaki yang tidak boleh mesra dengan mentua mereka. Puncanya? Ada banyak punca yang mendorong ke arah ketidakharmonian hubungan itu.
Boleh Hidup Harmoni Sebenarnya…
Ramai je pasangan menantu mentua yang mampu hidup harmoni dan aman damai, tanpa ada sengketa. Hubungan mereka cukup mesra, umpama mak dan anak kandung. Tak ada yang mustahil pun. Tapi, ia tak semudah yang disangka. Sebab itu, masih ramai menantu yang hubungannya setakat ‘okay’ saja dengan mentua.
Mereka TETAP HORMAT mentua sebagai mak kepada pasangan hidup mereka. Tapi tak sampai boleh bertepuk tampar, bergurau senda atau teman tempat berkongsi masalah. Kenapa agaknya hubungan menantu mentua itu hambar dan dingin agaknya ye? Mungkin tip-tip yang MW kongsikan ini boleh dijadikan panduan untuk memperbaiki hubungan menantu mentua.
Kena Terima Masing-Masing Seadanya
Sebagai menantu, kita seharusnya menerima mak mentua seadanya. Begitu juga dengan mentua. Kena ingat, mungkin banyak beza cara hidup dan latar belakang masing-masing. Jadi, jangan sesekali memperlekehkan cara masing-masing. Contoh mak mentua tak suka dengan masakan menantu. “ Eh, kenapa masak macam ni? Tak sedaplah. Mak kamu tak ajar ke?” Aduh! Bisanya bahasa. Siap dikaitkan dengan mak si menantu pula.
Sepatutnya mentua kena terima cara menantu walau pun mungkin tak berapa kena dengan tekaknya. Dalam masa yang sama cuba beri tunjuk ajar juga agar tak kecilkan hati menantu. Bila menantu rasa mentua dapat terima dan bertolak ansur dengan perbezaan dan kekurangan dirinya, maka dia juga akan melakukan hal yang sama pada mentua. Lama-kelamaan, hubungan ini pasti akan semakin baik juga.
Ada menantu yang gerun dan takut dengan mentua. Apa saja yang disuruh, akan dilakukan dengan segera. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Mungkin kerana mentua itu jenis yang ‘mulut bising’ atau garang. Kalau lambat buat atau tak seperti yang dimahukan, panjang bebelannya. Lebih sedih, bila disindirnya menantu atau dimarah secara terang-terangan. Maka, untuk menggelakkan itu terjadi, menantu ambil sikap menurut saja.
Dalam keadaan ini, sah takkan timbul kemesraan di antara menantu mentua. Menantu takut nak luahkan apa yang dia rasa dan lebih suka berdiam diri daripada berbual dengan mentua. Silap cakap, nanti kena bebel. Baik diam. Itu tanggapannya.
Bagi menantu yang mempunyai mentua garang, cuba selidik kenapa sikapnya begitu, suka marah-marah. Mungkin dia mengalami stres yang menyebabkan dia bersikap begitu.
Kena Cuba Jalin Kemesraan Dan Ambil Hati
Apa jua yang dilakukan, cuba sentiasa berusaha dalam mengekalkan sesuatu hubungan agar semakin hari semakin baik. Sebagai menantu yang lebih muda harus bersikap lebih bertolak ansur untuk mengekalkan keharmonian bersama. Ibu mentua adalah insan yang membesarkan anak mereka (suami kita), jika mempunyai sebarang percanggahan idea antara anda dan mentua, sebaiknya menunjukkan persetujuan ataupun bantahan dengan cara yang betul agar mereka boleh menerimanya dengan hati yang terbuka.
Ads
Mentua juga begitu. Hargai tiap apa yang dilakukan oleh menantu. Jangan ego dan berat mulut walau sekadar nak ucapkan terima kasih jika dihulurkan pertolongan. Tunjukkan kasih sayang dengan kata-kata dan perbuatan. Tak semestinya dengan beri hadiah saja.
Kena Ringan Tulang
Sebagai menantu yang baik, bantulah buat kerja-kerja rumah bila balik ke rumah mentua. Ingat, setiap kerja yang dilakukan, jangan hanya kerana ingin mendapatkan pujian mahupun penghargaan. Lakukan dengan hati yang ikhlas.
Ini tidak, macam mana mentua tak marah kalau balik ke rumahnya, bangun pun lewat. Ke dapur jangan haraplah nak bantu. Bila mentua siap masak, tahu pula bangun ke dapur dan terus makan. Mak ai, memang patutlah menantu begini ‘dipetir’ mentua!
Jangan Rebut Perhatian
Sama ada mak atau isteri, ada hak masing-masing ke atas si anak/suami. Jadi, tak perlu nak berebut perhatian dan kasih sayang. Nanti yang tersepit, si lelaki lah! Apa salahnya, bila balik ke rumah mentua, isteri suruh suami bawa maknya keluar ke pasar berdua. Bukan malas nak ikut, tapi nak beri peluang mak dan anak luang masa bersama.
Ads
Hubungan menantu mentua boleh jadi panas kalau masing-masing tak nak mengalah dan bertolak ansur. Alangkah ruginya kerana hubungan itu boleh terjalin harmoni dan penuh kemesraan. Kena ingat, masing-masing akan berjumpa seumur hidup kelak.
Apa pun, beruntunglah mereka yang mampu menjalinkan hubungan baik antara menantu mentua. Tahniah!
Ramai yang sensitif bila menyebut isu poligami. Sukar untuk menemui keluarga yang bahagia dan harmoni dalam menyatukan kesemua anak-anak dan isteri-isteri.Lebih-lebih lagi sama-sama meraikan sambutan Aidilfitri.
Namun bagi Mohd Fazil Mohd Dali, 44, setiap tahun, keluarga besarnya merayakan Hari Lebaran secara beramai-ramai tanpa timbul sebarang masalah.Malah begitu seronok dapat meraikannya bersama-sama 4 orang isteri dan 14 orang anak serta menganggapnya ia rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
“Memang seronok dapat beraya dengan empat isteri dan 14 anak, dan saya menganggap ia rezeki diberikan Allah SWT.”
Mohd Fazil bersyukur menyambut Aidilfitri bersama empat isteri, iaitu Harlinda Suparman, 44; Suhana Mokhtar, 40; Nur Izzati Mad Wazi, 33; dan Khairatul Azwa Khairul Anwar, 36, serta 14 anak berusia antara dua hingga 18 tahun daripada enam perkahwinannya.
Berkumpul Rumah Isteri Pertama
Beliau berkata, mereka lazimnya berkumpul di rumah isteri pertama pada malam raya untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri, selain memenuhi amalan akhir Ramadan dengan pengisian keagamaan yang menjadi kunci kebahagiaan.
“Selepas bertakbir raya, kami berkumpul di ruang tamu untuk membaca kitab taalim fadilat amal selama 90 minit sebelum mula membuat persiapan menyambut Aidilfitri dan saling bermaafan,” katanya yang juga pemilik gimnasium ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pandan, di sini.
Mohd Fazil berkata, persiapan wajib seperti baju raya untuk semua isteri dan anak sudah dibuat dari awal Ramadan bagi membolehkan ahli keluarganya memberi tumpuan kepada amalan 10 malam terakhir Ramadan.
Rahsia Kebahagiaan
“Ramai yang bertanyakan rahsia kebahagiaan saya dan jawapannya ialah bergantung pada sejauh mana amalan serta tanggungjawab ditunaikan sebagai seorang ketua keluarga dan bapa.
“Saya menyatukan semua isteri dan anak bukan melalui kekerasan atau paksaan tetapi secara berhemah serta kasih sayang, selain mengerjakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.
“Selain solat berjemaah dan membabitkan semua isteri serta anak dengan majlis ilmu agama di masjid, amalan makan di dalam talam dan saling menyuap juga antara rahsia pengikat kasih sayang kami sekeluarga,” katanya.
Bergilir Beraya Rumah Mentua
Setiap tahun, Mohd Fazil berkata, mereka sekeluarga akan beraya di rumah mentua secara bergilir-gilir di Perak, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Walaupun kami beraya bersama, saya tidak mewajibkan isteri atau anak berpakaian sedondon. Mereka bebas memilih warna mengikut cita rasa masing-masing.
“Biasanya, kami akan berkonvoi ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri sebelum berkunjung ke rumah saudara terdekat selepas bersarapan,” katanya.
Saling Membantu
Sementara itu, Harlinda berkata, beliau seronok beraya bersama tiga madu dan semua anak, malah mereka saling membantu dalam segala urusan keluarga.
“Setiap anak dilayan sama rata dan isteri juga tiada iri hati terhadap satu sama lain kerana keutamaan kami ialah muafakat, kerjasama dan saling menghormati serta membahagiakan.
“Kami bertuah kerana dianugerahkan seorang suami yang rajin berusaha mencari rezeki untuk keselesaan keluarga, terutama anak, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab mencurah kasih sayang kepada kami,” katanya.
MW: Bukan mudah untuk sepakat dan hidup dalam keadaan harmoni apabila berpoligami. Tanpa pegangan agama yang kukuh, sikap suami yang bertanggungjawab dan adil dalam mengemudi rumahtangga.
Walau dah lama berkahwin pun, ada suami mahupun isteri masih tak faham konsep berkongsi dalam rumahtangga. Inilah juga jadi punca, setiap ‘benda’ nak dibahagi sama rata.
Sudahnya mewujudkan sikap ‘berkira’ untuk melakukan apa juga perkara dalam rumah tangga. Baik pendapatan, harta, tenaga, usia malah berkasih sayang itu seharusnya dikongsi bersama pasangan.
Hadamkan perkongsian Ustaz Khairul Anuar Basri akan makna sebuah perkahwinan itu seharusnya bagaimana perlu dibentukkan.
Suami Isteri Masih Tak Faham Konsep Berkongsi Dalam Perkahwinan
Perkahwinan itu perkongsian seumur hidup pasangan suami isteri.
Berkongsi tempat tinggal. Berkongsi pendapatan.
Berkongsi anak-anak. Berkongsi keluarga besar kedua-dua belah pihak.
Berkongsi maknanya bertolak ansur. Banyak benda asalnya milik individu sudah mula bertukar status. Banyak hal yang tidak boleh dipertahankan sebagai hak milik mutlak lagi.
Semuanya adalah milik bersama mulai saat ijab dikabulkan. Bukan benda best saja dikongsi bersama. Benda yang tak best pun mesti dipikul bersama.
Tapi masih ada pasangan yang tak faham konsep perkongsian dalam rumahtangga ini.
Ada suami yang tak faham. Ada isteri yang tak faham. Ada suami dan isteri, kedua-duanya sekali yang faham.
Itu yang jadi berkira tu. Bahagi-bahagi semua benda. Tak boleh nak berlebih kurang langsung.
Semua Nak Dibahagi Sama-sama..
Ini aku punya, itu kau punya.
Keluarga kau, kau punya hal. Keluarga aku, aku punya hal.
Nak balik raya rumah aku, aku yang keluar belanja. Nak balik raya rumah kau, kau yang keluar belanja.
Ada yang sampai macam tu sekali.
Kawan-kawan, kemon la. Apa guna perkahwinan kalau hanya jasad nampak bersama tetapi tiada kesamaan dalam roh dan semangat?
Apa guna perkahwinan kalau suami isteri masih ada sempadan? Apa guna perkahwinan kalau susah dan senang tak boleh nak diharung bersama?
Perkahwinan itu perkongsian. Sebelum berkahwin pastikan betul-betul bakal pasangan kita. Adakah dia boleh berkongsi segala perkara?
Benarlah anak itu ujian. Berapa pun jumlahnya ujiannya tetap tak sama. Begitu jugalah, isteri yang belum dikurniakan anak. Masing-masing ada bahagiannya. Ibu ini, Zaisya Shukor punya anak 8.
Ramai jumlahnya, sampai ramai yang bertanya macam mana caranya dia ‘handle’ anak-anaknya itu. Prosesnya tak mudah, macam-macam emosi ibu tempoh.
Dalam meniti penat dan lelah itu, ibu tetap pegang satu perkara ini. Katanya, itulah penawar PENAT nya itu.
Macam Mana Handle Anak 8?
Berbicara soal anak-anak ni bagai tiada penghujungnya. Bagi seorang surirumah macam saya rutinnya sama.
Celik je mata bangun dari tidur sehingga penghujung malam tiba masih banyak kisahnya. Anak-anak masih bertenaga. Melompat, bergaduh, berbaik semula, makan, main, melompat dan kembali bercakaran sehingga kelaparan dan ulang balik cari makan.
Orang selalu tanya saya, “macam mana handle anak-anak lapan? Tak penat ke? Kami anak dua pun dah tak tahan. Lagi rela duduk di pejabat seharian dari melayan anak-anak yang bermacam ragam.” Saya selalu diam bila diterpa pertanyaan demi pertanyaan.
Tiada jawapan.
Proses nak membesarkan anak-anak begitulah. Kadang terkeluar juga airmata keletihan. Iya, kadang terpekik juga perkataan bukan-bukan. Kadang hati ni bagai di siat pisau menahan geram. Cuma fikir semula inikan kehidupan. Hidup memang untuk diuji.
Anak 8. Besar dugaan. Bila saya rasa terlalu rapuh dengan ujian demi ujian, saya menangis semahunya. Tanpa pengetahuan sesiapa. Basah bantal selalunya. Badan penat, mata berat, tapi tak mampu lelap. Saya cuma doa pada Allah, salurkanlah saya kekuatan untuk membesarkan anak-anak sehingga mereka berjaya menjadi manusia yang berguna. Saya sebut Allah banyak kali sehingga saya terbuai. Dan sedar-sedar dah terpejam.
Sewaktu Rizqi jatuh beberapa minggu lepas, saya dapat pesanan dari seorang sahabat.
“Sya… Akak tak sabaq nak tgk kebahagiaan hang bila anak-anak dah besaq nanti. Hang duduk atas takhta ja nanti. Semua terhidang. Insya-Allah. Sabar dik.”
Dan saya cuma memandang mesej tu dengan airmata yang berlinang. Semoga waktu tu akan sampai. Semoga direzekikan Allah usia yang panjang.
Apapun yang kita alami dalam hidup kita, itu semua ujian! Senang,susah, sihat,sakit, miskin,kaya, beranak atau tiada, cantik, hodoh, cacat, sempurna, ujian semuanya.
Dahulu saya malu bawak anak ramai-ramai ke majlis kenduri kendara, risau kalau anak-anak ni buat hal. Atau mungkin orang lain tak selesa bila anak-anak buat bising. Saya takut orang pandang sinis atau perli kelakuan anak-anak saya. Sampai la satu masa, saya terjumpa dengan seorang sahabat yang masih belum dikurnia cahayamata.
Katanya, “aku malu nak ke kenduri kendara. Pergi mana-mana orang asyik tanya perihal bila nak beranak? Aku takut kena perli. Aku tak tahan bila disindir saudara mara.”
Lalu saya terfikir. Saya yang ada anak ramai malu. Dia yang tiada anak juga malu. Kami sama. Berdepan ujian yang nampak sama tapi tak serupa. Perihal anak sahaja. Yang ada anak disindir asyik beranak. Yang tiada anak pula disoal siasat sehingga perihal dalam kelambu.
Anak, ada atau tiada, sikit atau banyak syukurlah. Ada, hadap sajalah kelaku mereka. Tiada, jangan putus asa. Allah beri bersebab, Allah tak beri juga bersebab. Kalau penat menangislah. Dan kalau lemah mengadu dengan Allah. Kalau rasa tiada siapa faham perasaan kita sujud lama-lama. Cari Allah dalam setiap ujian. Selalu tanya diri apa Allah nak ajar aku dari ujian ni. Insya-Allah. Semuanya baik-baik aja.
Anak 8? Kelam kabut jangan cerita. Penat tak tahu punca. Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala? Tapi inilah UJIAN. Kalau dah nama ujian jangan fikir apa, melainkan mahu lulus saja.
Nak lulus nak pi mana?
Nak pi syurga la.
Duduk atas takhta…
Fuhh… masa tu legaaaa..
LA HAULA WA LA QUWATTA ILLA BILLAH
MW : Orang luar cuma boleh menilai, apa pun yang diuji itulah yang merasai susah senangnya.
Sumber/Foto : Zaisya Shukor*Artikel diterbitkan dengan keizinan daripada penulis.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebak bila Achey dedah isteri serahkan wang gaji ketika bekerja. Terbaru menerusi program realiti TV, Achey memberitahu dirinya sangat kagum dengan pengorbanan suri hatinya...