Operasi penangkapan atau serbuan khalwat dilakukan untuk mencegah aktiviti maksiat sememangnya suatu perkara yang bagus untuk mencegah kemungkaran. Namun demikian, ramai yang mempersoalkan prosedur yang perlu dilakukan sebelum sesuatu tangkapan atau serbuan dibuat oleh pihak penguatkuasa. Ini kerana ia dilihat tidak memenuhi standard operasi yang telah digariskan dan perlu dikaji semula.
Berikut perkongsian pengalaman mengaibkan yang pernah dilalui oleh Puan Liyana Nazli, ketika ‘ditangkap khalwat’ sebanyak dua kali sepanjang tempoh perkahwinan wanita ini.
Bila sebut tentang tangkapan khalwat, saya pun terfikir apa prosedur sebenar yang perlu dilalui sebelum sesuatu tangkapan atau serbuan dibuat. Sebab sejujurnya, sepanjang berkahwin ni dah dua kali kami kena serbu oleh pegawai pencegah maksiat. Ni bukan serbu main-main ya. Ini the real serbu punya, gaya macam nak pecah pintu punya rempuh!
Kejadian pertama masa kami baru beberapa bulan berkahwin. Kebetulan kami terlibat dengan program pelajar di sebuah resort di Terengganu. Penganjur berikan kami sebuah chalet untuk bermalam. Malam itu lebih kurang jam 3 pagi, pintu chalet diketuk macam nak roboh. Terkejut kami yang sedang tidur, terpisat-pisat suami bangun membuka pintu.
‘Disyaki’ Berkhalwat
Suami buka pintu sedikit, mengintai dari celah pintu untuk pastikan siapa yang datang tengah malam buta seperti itu. Kumpulan lelaki yang berdiri di depan pintu mahu merempuh masuk. Kami disyaki berkhalwat katanya. Suami tahan pintu sebab saya tidak menutup aurat dengan sempurna. Yelah, siapa yang pakai tudung masa tidur kan? Suami minta masa sebentar untuk saya bersiap pakai tudung. Ketika itu saya hanya menyorok di bawah selimut. Mereka kata tak boleh sebab nanti hilang bukti. Like, what?? Bukti apanya?
Suami berkeras. Tahan pintu dan kunci semula. Saya cepat-cepat pakai tudung dan setelah sempurna baru kami keluar. Hingar bingarlah pencegah-pencegah maksiat di luar. Bukan seorang dua, adalah dalam 5-6 orang lelaki di luar chalet kami tu. Selepas kami keluar, seorang pegawai agama berserban putih datang menyoal siasat suami. Kami tunjuk sijil nikah, gambar walimah dalam komputer dan siap offer mereka untuk telefon ibu bapa kami di kampung untuk sahkan kami pasangan suami isteri.
Tak Penuhi Garis Panduan Operasi
Mufti Wilayah Persekutuan ada menyebut tentang garis panduan operasi tangkap khalwat. Dan dari pengalaman memang tak ada satu pun daripada panduan itu dipatuhi dalam kes kami:
1. Serbuan tidak boleh dilakukan semata-mata atas sangkaan dan laporan hanya boleh diterima daripada individu yang diyakini kebenarannya.
Dalam kes kami, ada pekerja chalet yang laporkan pada pejabat agama setelah mengesyaki kami belum berkahwin. They could always ask us in the first place to provide document to prove that we are married before checking in. Tapi tak ada pun! Terus pergi lapor saja berdasarkan sangkaan mereka tu.
2. Hendaklah penguatkuasa meminta izin dan memberi salam terlebih dahulu sebelum melakukan serbuan.
Haih, should I comment on this? Memang taklah. Siap nak rempuh masuk macam penyamun.
3. Memastikan semua pegawai yang dihantar untuk melakukan operasi tersebut merupakan individu yang terlatih dan mempunyai ilmu pengetahuan terhadap tugasan yang dilakukan
Yang ini lagi fail. Hanya ada seorang saja pegawai agama yang kami boleh percaya dalam serbuan itu. Yang lain semua entah siapa-siapa. Seronok nak join tengok wayang free agaknya. Suami siap perli salah seorang lelaki yang menyertai serbuan itu yang berkepul-kepul keluar asap rokok dari mulutnya. Macam mana nak jadi saksi kalau begitu gayanya?
4. Hendaklah serbuan tersebut dilakukan setelah ada tanda-tanda yang jelas akan berlakunya maksiat yang mana sekiranya kita tidak melakukan serbuan tersebut akan berlakulah maksiat.
Kaji Semula Prosedur Pelaksanaan
Saya rasa amat wajar prosedur tangkapan khalwat dikaji semula supaya perlaksanaannya betul menepati matlamat asalnya mencegah maksiat daripada berlaku. Dah namanya pun mencegah, jika di hotel boleh dikuatkuasakan peraturan supaya pihak hotel mengesahkan status mereka yang datang menginap SEBELUM mereka masuk ke bilik. Takkan nak tunggu si pelaku berkemban dengan tuala atau hanya pakai boxer baru pencegah maksiat mahu datang?
Pernah terfikir apa kesan psikologi pada mereka yang menerima nasib seperti kami? Malu sangat dan memang bengang! Pagi itu apabila kami keluar sarapan, pekerja resort semua duk jeling-jeling sambil bisik-bisik. Adoi! Memang psycho habis. Ikutkan hati nak saja saman mereka yang terlibat. Saman malu. Hah, boleh ke?
Oh lupa nak cerita. Kali kedua kami diserbu semasa menginap di hotel bajet di malam merdeka. Bezanya kali ni kami dah tak kalut, rilek saja. Suami buka pintu dan tunjuk tiga anak tidur bersusun berhimpit atas katil. Ha, celah mana nak buat maksiatnya tak tahulah. Pegawai tu minta maaf dan berlalu pergi ketuk bilik sebelah pula,
Boleh baca kalam mufti tentang isu ini di sini:
http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1823-bayan-linnas-siri-41-g25-dan-isu-khalwat
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Sumber:Liyana Nazli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI