Sering kali kita dengar, kejayaan seorang suami terletak pada isteri yang sentiasa berdiri teguh di belakangnya. Begitu juga kejayaan hidup isteri, tentulah datangnya daripada suami juga. Sikap yang saling memahami dan menyokong satu sama lain menjadi pemngkin kebahagiaan rumah tangga.
Dalam hal ini, kejayaan hidup isteri pun adalah atas redha dan sokongan suami. Kalau tanpa restu suami, isteri belum tentu akan mendapat apa yang diimpikan. Ingat, ia bukan hanya dengan kerjaya isteri yang ada tapi secara keseluruhannya, lebih-lebih lagi dalam menjaga rumah tangga.
Lumrah kehidupan, ada suami yang hanya merasakan tanggungjawab memberi nafkah pada isteri dan keluarga semata-mata, sedangkan langsung tidak menghiraukan tentang apa yang telah isteri lakukan.
Baik kerja rumah atau urusan dalam menjaga anak-anak. Kadang-kadang, kepenatan isteri ini ingin sekali dikongsi dengan suami, setakat ‘membuka mata’ dan ‘tadah telinga’ mendengar celoteh isteri pun sudah memadai baginya.
Namun, berapa ramai suami yang mampu memahami. Jika dibiarkan, inilah yang membuatkan jiwa isteri kosong kerana orang yang paling rapat dengannya tidak seperti yang diharapkan.
Bila keadaan ini berlaku, bimbang isteri akan luahkan pada tempat yang tak sepatutnya. Mungkin menganggap itulah cara terbaik untuk dirinya. Inilah yang dikongsikan oleh bu Hurairah Asifa tentang apa yang dikatakan tentang kejayaan hidup isteri dalam rumah tangga.
Kejayaan hidup seorang isteri itu adalah hasil dari suami yang memahami dan menyokong isterinya.
Memahami isteri itu tak mudah. Ia perlukan perhatian dan pengorbanan yang cukup tinggi.
Sokongan juga begitu. Ia memerlukan sedikit perhatian yang membuahkan pemahaman terhadap apa yang isteri mahu lakukan.
Kalau sebagai suami, kita tidak memahami malah tidak langsung menyokong isteri, maka isteri itu akan mencuri sayapnya dari kita.
Mereka akan menyusahkan hidup suaminya dengan sikap dan perangainya.
Isteri akan terbang sesuka hati, malah di ruangan fb ini tempat mereka meluah dan membuta tuli memburukkan hidup mereka sendiri.
Mula Tarik Perhatian Orang Lain
Apa yang paling parah, apabila mereka sunyi, maka golongan isteri inilah yang akan diganggu dan dirosakkan oleh lelaki yang hanya mengucapkan selamat pagi dan mengirimkan kata cinta yang merosakkan rumah tangga.
Sebab itu, sekalipun saya ada kerja dan banyak kerja, apa saja permintaan isteri, selagi itu tidak salah dan boleh di susun kira, saya buka mata dan beri telinga untuk meraikannya.
Apa yang dia suka dan tak suka, saya pertimbangkannya.
Malah, dalam soal membeli baju atau barang rumah pun, sedaya mungkin saya cuba memahami dan berbincang soal itu bersama.
Milik Kita
Isteri kita adalah milik kita.
Tapi, kalau kita tidak mahu sedar, dia tetap isteri kita, tetapi milik orang lain yang tiada kaitan pun dengan kita.
Isteri hanya hidup dengan ‘lelaki’ lain tapi mati hati dan jiwa ketika bersama dengan kita.
Sebagai suami, sedar kah kita tentang hal ini?
Kita sibuk dengan kerja, futsal, mamak, malah kita mungkin ustaz yang memberi ceramah hari-hari, tapi kita tidak kenal malah makin jauh dengan isteri sendiri!
Bermulalah dengan mengutamakan hubungan dengan Tuhan, turunkan ego, Insya Allah sebagai suami kita akan faham.
Kenapa Tuhan cipta kita jadi lelaki dan memberikan tanggungjawab seorang suami.
#sweeterapi
MW: Isteri tidaklah mengharapkan harta dan wang yang melimpah ruah. Sebab dia tahu setakat mana kemampuan suami. Cukup dapat perhatian daripada suami untuk dengar celoteh dan luahan pun dah cukup.
Percayalah ibu ayah, anak-anak yang lahir itu asalnya bersih ibarat kain putih. Ibu ayahlah kemudian mencorak keperibadian mereka.
Dalam membesarkan anak-anak, rezeki macam mana yang ibu ayah bawakan dalam rumah setiap hari. Dari sumber yang halalkah, haram atau syubhah.
Bagaimana ibu ayah mengasuh mereka dari kecil. Didikan yang bagaimana? Jika dirasakan sudah tersilap didik, selagi nyawa dikandung badan.. wahai ibu ayah masih belum terlambat untuk memperbaiki diri.
Hayati pesanan Bonda Nor yang begitu dekat di hati.. kerana akhir-akhir ini persoalan sebegini begitu dekat dengan diri kita.
Asalnya Mereka Hanyalah Sehelai Kain Putih
Yang terjoget-joget di khalayak ramai tanpa segan silu itu, jika dahulu diasuh dengan betul mungkin hari ini seorang Al-Hafizah.
Yang sedang menyombong hingga dikeji penduduk bumi itu, jika diasuh dengan baik, mungkin hari ini sedang dipuji seisi langit.
Asalnya mereka hanyalah sehelai kain putih…
Dulu saya memang garang dengan anak-anak. Tegas! Apabila anak-anak mula membesar, saya lihat dia layan adik-adik, rasa macam lihat cermin. Nampak watak sendiri. Yang kasar, yang keras.
Menangis saya hayati hadis Nabi, tentang anak-anak ibarat kain putih.
Merintih saya sendiri-sendiri. ‘Ya Allah, apa aku dah buat ni?’
Proses Nak Betulkan Anak Bukannya Mudah
Sungguh, proses nak betulkan situasi, tak mudah. Yang pasti, proses nak betulkan anak-anak ialah proses membetulkan diri sendiri.
Mujahadah!
Namun berbaloi. Pelan-pelan, situasi mula berubah. Alhamdulillah, Allah tunjukkan pada saya betapa Allah sentiasa bantu setiap hamba yang ingin perbaiki kesilapannya. Sungguh, Dia Maha Pengampun!
Sebab tu, tulus daripada hati saya, nak ajak semua ibu bapa banyakkan muhasabah diri.
Apa makanan yang kita sumbat ke mulut anak kita? Duit haram atau halal atau syubhah?
Rezeki macam mana yang kita bawa pulang ke rumah? Duit hasil kita berlakon, menyanyi, berpakaian seksi, duit riba, duit rasuah?
Apa yang anak-anak kita lihat kita buat setiap hari? Pergaulan bebas, minum arak, parti, tengking orang sana sini?
Allah…
Mereka cuma kain putih. Terlakar padanya setiap warna yang ada di sekitar mereka, yang kita dedahkan pada mereka, setiap hari.
Maka, jika lihat anak-anak mula liar, semakin liar, semakin liar, kita yang perlu lebihkan istighfar, berlapis-lapis istighfar. Kena minta ampun pada Allah. Kena minta maaf pada anak-anak kita.
Kasihan anak-anak kita.
Mereka asalnya hanya kain putih… yang sudah dirosakkan!
Maka, wahai ibu bapa, jika benar kerosakan yang berlaku adalah angkara kita, berasa malulah dengan Allah. Sujudlah mengakui salah.
‘Ya Allah, apa aku dah buat ni? Apa yang sudah kucontengkan pada kain putih yang Kau beri?’
Allah … selagi masih bernyawa, perbaikilah!
#BondaNor
Mingguan Wanita :Anak ibarat kain putih, ibu ayahlah yang mencorak mereka mahu menjadi seperti apa.
Nak anak jadi ‘orang’, mak ayah patut didik anak dan sediakan aktiviti yang sesuai dengan tahap umur anak. Bila dan apa jenis aktiviti yang patut buat? Ok, jom semak perkongsian ini.
Sebenarnya waktu hujung minggu cukup sesuai untuk biasakan anak-anak dengan kerja rumah, didik si kecil sifat tanggungjawab.
Ada beberapa jenis aktiviti hujung minggu yang boleh ibu pilih agar permata hati anda kenal sifat tanggungjawab dalam diri, sekali gus mencipta kendiri yang baik ketika berhadapan dengan teman mahupun masyarakat sekelilingnya.
1. Sapu sampah
Bukan mudah meminta bantuan anak-anak menyapu sampah. Ada saja alasan yang diberikan. Apa kata mulakan dengan menyapu kamar tidur anak-anak itu sendiri. Setelah selesai, lakukan pemeriksaan dan berikan pujian. Minggu seterusnya bolehlah minta mereka menyapu pula di ruang tamu dan minggu seterusnya di dapur pula. Paling penting, jangan memaksa mereka. Paksaan akan membuatkan anak memberontak.
2. Basuh pinggan mangkuk
Letihnya apabila anak-anak yang sudah memasuki sekolah rendah, enggan membasuh pinggan mangkuk sendiri. Apa kata latih mereka membasuh pinggan selepas makan. Ajar mereka kegunaan sabun dan cara bilasan yang betul. Anak-anak akan seronok dan mereka melakukannya dengan penuh kegembiraan.
Bagaimana jika semasa membasuh, mereka telah memecahkan pinggan kaca?
Haaa… ibu kena bertenang dan jangan mudah melenting. Minta mereka ambil penyapu dan penyodok, bersihkan kawasan itu. Jika anak belum mahir, ibu lakukan dengan pemerhatiannya. Maklumkan itu bukan salahnya, lain kali perlu lebih berhati-hati. Dengan ini, keyakinan diri anak mulai berkembang dan mereka jari lebih bertanggungjawab.
3. Buang sampah
Ajar anak agar membuang sampah yang sudah memenuhi ruang tong sampah. Berikan jadual giliran untuk setiap anak. Tidaklah nanti mereka merasakan dibuli oleh abang atau kakak. Jadual giliran ini juga melatih anak-anak soal tanggungjawab dan perkongsian. Mereka berkongsi kesusahan bersama adik-beradik. Walaupun nampak remeh, namun aktiviti ini begitu penting sekali. Ada juga anak-anak yang seronok bila tiba giliran mereka membuang sampah.
4. Cuci barang peribadi
Barang peribadi di sini bermaksud barangan persekolahan mereka. Misalnya kasut sekolah. Minta anak-anak membasuh kasut sekolah pada hari cuti. Tak salah juga minta anak-anak membasuh pakaian mereka sendiri. Pakaian sekolah selalunya berdaki dan dipenuhi kotoran degil. Boleh latih mereka bagaimana mahu membuang kotoran degil dengan rendaman air suam dan soda bikarbonat. Tetapi anda perlu berada di sebelah sekiranya ia melibatkan air yang panas. Secara tak langsung, anak-anak belajar tentang sains dan kegunaannya dalam keperluan harian.
5. Membasuh kereta
Anda sebenarnya menjimatkan RM12 setiap bulan. Tak perlu hantar kenderaan ke tempat cuci kereta tetapi dengan bantuan anak-anak, kenderaan boleh bersih berkilat. Sediakan baldi dan sabun serta span yang sesuai. Kadangkala sambil membasuh, mereka juga bermain bersama. Ini mengeratkan lagi hubungan ayah dengan anak-anak.
Moga pengisian ini cukup bermanfaat buat anda semua untuk ajar anak-anak berdikari sejak kecil. In shaa Allah, esok-esok kalau anak belajar jauh pun boleh buat sendiri dan pastinya anda langsung tak ragu-ragu dengan kemampuan anak!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Apabila virus demam menyerang anak sulung berumur 10 tahun, mak segera bawa mereka ke klinik. Selepas pemeriksaan doktor, mak ke kaunter ubat dan diterangkan tentang preskripsi setiap ubat ikut sukatan.
Setiap ubat bukan saja ada label nama pesakit, tapi disertakan tarikh dan bilakah waktu sesuai mahu diambil. Selang dua hari, anak kedua yang berumur 6 tahun pula diserang demam. Memandangkan mak tersangatlah sibuk dengan kerja, tak sempat nak bawa anak kedua ke klinik.
Mak ambil ubat Along dan berikan pada Angah. Cara itu sebenarnya SALAH! Sebenarnya ada banyak perkara perlu diperiksa dengan teliti sebelum ubat diberikan kepada anak. Ibu bapa fahami maklumat ini. Kemudian, kongsikan dengan penjaga anak-anak jika mereka diasuh oleh orang lain.
6 Cara Betul Beri Anak Ubat
1. Pesakit Yang Betul
Sebelum diberi ubat, pastikan ianya untuk si manja. Pastikan nama anak ditulis dengan jelas. Jika di tempat asuhan mungkin ada beberapa nama yang sama atau hampir sama. Elakkan terjadi ubat untuk Mohd Amin diberikan kepada Mohamed Amin sebagai contohnya. Jadi penjaga harus lebih berhati-hati ketika memberi ubat untuk memastikan penerima yang betul.
2. Ubat Yang Betul
Pastikan sebelum membawa pulang ubat dari klinik, ubat ditulis nama dan untuk apa. Ini memastikan ibu bapa tahu apa yang diberikan kepada anak. Jika tidak pasti, tanya perawat untuk menjelaskan kekeliruan. Ini juga memudahkan kita mengenal pasti ubat mana yang sesuai, memberi alahan dan sebagainya untuk rujukkan akan datang.
3. Dos Yang Betul
Sila ikut arahan yang ditetapkan untuk mendapat kesan yang dikehendaki atau mengelakkan keracunan jika terlebih dos. Jangan menambah atau mengurangkan dos sesuka hati. Gunakan penyukat yang disediakan atau picagari untuk penyukat ubat cecair.
4. Cara Yang Betul
Bukan semua ubat perlu dimakan! Ada ubat yang ditampal “RACUN” atau “POISON” di mana ianya untuk kegunaan luar sahaja. Terdapat juga ubat untuk dititiskan ke mata, telinga dan hidung. Ada juga untuk dimasukkan melalui dubur. Asingkan ubat yang dimakan dan yang di label racun. Jika ada anak yang perlu disuntik insulin, pastikan lokasi otot ditukar-tukar.
5. Masa Yang Betul
Perhatikan arahan masa pengambilan ubat. Ada yang perlu diambil dengan perut kosong atau selepas makan. Ada yang khas untuk diambil pada waktu malam. Periksa kekerapan pengambilan mengikut selang masa yang titetapkan terutamanya antibiotik.
6. Sebab Yang Betul
Ada ubat yang diarahkan ambil bila perlu dan dihadkan pengambilannya mengikut keperluan. Contohnya ambil bila demam atau sakit sahaja. Terdapat inhaler yang perlu diambil hanya ketika lelah menyerang sahaja dan perlu dibawa kemana-mana.
Norazizah Hj Ruslan
Tip Ini Mak Ayah Wajib Hadam
Jangan berkongsi ubat dengan orang lain walaupun penyakit yang sama; kerana kesesuaian belum tentu sama. Ada ubat yang diberikan secukupnya untuk keperluan seorang pesakit, jika dikongsi ianya boleh menyebabkan kekurangan dos dari yang sepatutnya.
Sentiasa ambil tahu nama setiap ubat dan direkodkan supaya boleh dijadikan rujukan untuk masa akan datang.
Habiskan antibiotik walaupun demam telah hilang, ianya untuk memastikan bakteria penyebab penyakit tersebut dapat dihapuskan.
Krim yang mengandungi steroid perlu disapu senipisnya dan di kawasan yang terlibat sahaja.
Sekiranya berjumpa dengan lebih dari seorang doktor pada masa yang sama, pastikan diberitahu ubat yang sedang diambil untuk memudahkan doktor memberi rawatan.
Adalah penting untuk ibu bapa tahu apa yang diberikan kepada si manja serta tahu apa kebarangkalian yang akan timbul. Perhatikan sebarang tanda-tanda alahan. Hentikan pengambilan ubat serta merta dan bawa ke klinik atau hospital dengan segera.
Simpan ubat dan peralatan ditempat yang selamat dan jauh dari kanak-kanak. Simpan mengikut arahan seperti di tempat gelap, didalam peti sejuk mengikut suhu yang sesuai. Buang ubat yang lama dengan cara yang betul. Picagari yang telah digunakan untuk suntikan perlu dibuang di dalam tong sampah khas.
Sumber: Norazizah Hj Ruslan, Penceramah Bebas Pemakanan dan Gaya Hidup Sihat, Platinum Holistic Wellness Centre, Shah Alam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...