Selalunya bila isteri masih ada di depan mata, selagi dia nampak sihat di mata suami. Boleh buat kerja rumah, boleh layan lagi anak-anak, suami akan anggap isteri sihat dan baik-baik saja. Tak dipedulinya apa sebenarnya isi hati isteri, ‘makan hati’ ke tak, jiwa kacau ke tak.. suami tak care pun.
Tapi bila dah tiada, barulah nak dikenang-kenang. Masa itu nasi dah jadi bubur. Cuma kekesalan dan kekejaman diri saja yang buat suami ralat. Janganlah sampai jadi macam itu.
Kisah ini seperti yang dimaklum oleh pemilik facebook Ayu Aris adalah catatan bersiri dari penulis asal Cik Puan Ammy, di page Kisah Rumah Tangga (KRT). Dengan permohonan keizinan siar semula daripada owner, beliau cantumkan menjadi satu cerita lengkap dalam facebooknya.
Agar lebih senang untuk dibaca, sekaligus menjadi pengajaran yang baik untuk para suami agar lebih menghargai kehadiran seorang isteri. Jangan nanti bila dah tiada baru nak menyesal. Ya.. catatan ini panjang.. bacalah wahai suami, kerana terlalu sarat dengan pengajaran yang patut suami fahami.
Andai Dipulangkan Kembali
Assalammualaikum dan salam sejahtera min. Ada cerita yang ingin saya kongsi bersama. Semoga ianya bermafaat. Ceritanya agak panjang sikit.
Awal Febuari 2018, salah seorang teman baik saya telah di jemput Ilahi kerana kanser rahim tahap empat. Alhamdulillah arwah menderita tidak lama. Tiga bulan terlantar sakit sebelum subuh arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan meninggalkan seorang putera yang masih kecil bersama 2 orang puteri yang masih bersekolah dengan si suami.
Sebulan selepas pemergiannya, si suami telah datang ke rumah saya bersama sekotak pakaian arwah. Sebelum arwah pergi dia sempat berpesan kepada si suami supaya sedekahkan segala pakaian miliknya yang masih elok kepada sesiapa yang memerlukan.
Si suami tidak tahu ke mana arah untuk disalurkan pakaian milik si isteri mungkin masih baru dan tidak dapat berfikir dengan jelas maka di amanahkan kepada saya. Sewaktu saya membuka kotak itu untuk memilih pakaian yang sesuai untuk di sedekahkan seperti yang di amanahkan, tiba – tiba si suami bersuara.
“Itu jer yang arwah ada…”
Saya merenung si suami kerana cuba untuk fahami apa maksud kata kata si suami tu tadi.
“Semalam saya membuka almari arwah dan hanya ini sahaja yang arwah ada. 15 tahun saya bersama arwah, lansung saya tidak pernah ambil tahu setiap kehendak arwah isteri. Saya abaikan arwah sehinggakan arwah sakit pun saya tidak tahu.”
Bila Arwah Ajak Ke Hospital, Saya Ejek Kata Dah Tua
Ada kekesalan di situ. Namun saya masih tidak dapat mentafsir apa yang tersirat di sebalik keluhan si suami. Suami saya meletakkan handphone di meja mula berminat dengan cerita suami arwah kawan saya ini.
Setiap kali arwah mengeluh sakit, kurang sihat, tidak bermaya dan mengajak saya pergi ke hospital saya hanya menganggap ianya pekara remeh. Saya mengejek – ejek arwah dengan mengatakan dia dah tua. Saya merendah – rendahkan arwah yang dia kurang bersenam dan hanya tahu makan jer sedangkan saya aktif bersukan dan tak salah kiranya saya mengajak dia bersukan bersama sepertimana saya menggalakkan kawan kawan saya bersukan.
Saya juga selalu bersangka buruk bila arwah sakit ianya semata mata alasan untuk makan luar kerana malas masak. Lalu bangun jugak dia untuk masak dan mengemas kerana tidak sanggup dengar saya membebel dan kadang – kala sampai naik tangan saya ke kepala dia.
“Kejamnya saya…”
Saya berniaga sendiri punyai banyak masa terluang namun saya terlalu berkira untuk membawa arwah ke hospital kerana saya takut akan membuang masa menunggu segala urusan pemeriksaan kesihatan.
“Kejamnya saya pada arwah.”
Saya fikir bila dia sudah jadi isteri saya, saya tidak perlu lagi untuk mengambil hati dia seperti masa bercinta dulu. Namun saya lupa dia hanyalah pinjaman sementara bila – bila masa sahaja akan di ambil semula olehNya.
“Benda yang lepas jangan di kenang, nanti kau sengsara dia dah pergi, redha kan…kesian anak – anak kau.” Suami saya bersuara.
Bila saya pandang anak – anak makin bertambah kekesalan saya bang. Masa arwah ada boleh saya kira berapa kali saya bawa dia dan anak anak berjalan – jalan. Sedangkan saya pantang diajak kawan – kawan, ke langit biru saya boleh terbang.
Boleh Kira Gambar Saya Dengan Arwah Dalam Handphone Dia
Bila saya buka handphone arwah, boleh kira berapa sangat gambar yang di ambil bersama saya. Semuanya gambar dia dengan anak anak. Sedangkan gambar saya bersama kawan-kawan penuh dalam telefon saya. Gambar dia bersama saya langsung tiada.
Bila pandang anak yang kecil yang masih menyusu tu bang, sayu jiwa saya. Siapa antara kawan kawan saya yang telah saya banyak habiskan masa bersama boleh membuatkan anak saya tu susu pada malam-malam hari.
Siapa yang boleh tolong uruskan anak-anak saya ke sekolah seperti arwah uruskan. Siapa yang boleh temankan si kecil saya bermain sehingga jam 3 ke 4 pagi kalau dia tidak mahu tidur.
Pagi ni anak saya yang pertama meminta RM 50 untuk membeli barang barang kajian sekolah. Wajib beli kerana jika tidak buat kajian tu, markah untuk peperiksaan mata pelajaran tu akan di tolak. Selama ini saya bising – bising duit belanja rumah sering tidak cukup, saya kata arwah ni boros belanja macam air dan tidak tahu berjimat.
Baru saya tahu ke mana arah duit itu di salurkan. Hari ini genap sebulan arwah pergi dan saya kira – kira hampir RM 500 ke RM 700 belanja sekolah anak – anak dan makan sahaja.
Bila tiap kali arwah minta beli pakaian baru atau barang make up. Saya melarangnya kerana saya rasa macam membazir. Bila dia meminta lagi saya akan mula mengungkit pemberian belanja yang saya bagi. Baru lah saya tahu ianya tidak mencukupi. Baiknya arwah kerana dia patuh.
Saya sering tegur arwah kerana selekeh jer langsung tidak bergaya seperti isteri kawan – kawan saya tetapi saya lupa yang saya tidak pernah bertanya padanya tentang berlanja yang saya bagi selama ini cukup atau tidak untuk membeli pakaian dan alat – alat solek. Saya gagal menjadi suami yang baik
Saya diam tidak dapat berkata – kata lagi. Marah sedih dan sebagainya berlegar – legar dalam fikiran saya. Setahu saya arwah ni masa zaman bujang – bujang dulu memang cantik, bergaya dan pandai menghiaskan diri. Patut lah semenjak dia berkahwin hilang semuanya dan bila saya mengusik dia hanya menjawab.
“Malas lah nak makeup – makeup ni…takda masa..dengan anak – anak lagi…alaaa yang penting suami sayang…”
Dalam Almari Arwah Cuma Beberapa Helai Baju Baru
Semalam saya buka almari arwah, hanya ada beberapa helai sahaja pakaian yang baru itu pun seingat saya dibeli masa nak raya tahun lepas. Lain – lain semua dah lusuh. Ada beberapa batang lipstik yang dah patah.
Dahulu masa sebelum kawin saya pernah terlihat di dalam beg kecil arwah ada pelbagai jenis lipstik, pelbagai jenis bedak muka dan macam – macam lagi makeup yang arwah ada. Tetapi bila dah jadi isteri saya, semuanya habis tidak berganti.
“15 tahun bersama sepatutnya bukan makin berkurang namun makin bertambah. Masa kali pertama arwah menjejak kaki ke rumah saya, arwah bawa 3 beg besar pakaian semuanya cantik – cantik. Dan hari ini hanya sekotak sahaja yang arwah ada. Sedangkan keperluan anak-anak dan saya mencukupi.”
Si suami mula menangis.
Arwah nak bekerja, saya marah. Saya tanya arwah, tidak cukup ke apa yang saya bagi dan saya kata saya mampu tanggung dia lagi. Saya ego. Arwah pula demi menjaga ego saya daripada tercalar arwah mengambil keputusan untuk diam sahaja. Dia amanah saya sepatutnya dijaga, dibelai, dimanja tetapi saya abaikan kerana saya fikir sekarang bukan masa untuk semua itu.
Tiap kali arwah mengeluh sakit – sakit badan saya suruh dia tidur, makan ubat. Saya suruh anak – anak yang picitkan tetapi saya lupa itu adalah kewajiban saya. Saya lupa dia hanya pinjaman sementara.
Sekarang dia dah tiada. Saya rindu dengan dia. Rindu sangat sangat. Andainya dipulangkan dia kembali saya nak habiskan masa saya bersama dia seperti masa saya bercinta dulu. Saya nak kotakan janji saya pada dia bahawa dia akan menjadi wanita paling bahagia bila menjadi isteri saya.
Saya tahu bukan harta dan kekayaan yang arwah inginkan..tetapi perhatian dan kasih sayang saya. Saya kesal kerana selama ini arwah menjadi tempat saya melepaskan penat dan amarah saya. Saya kesal kerana selama ini menjadi suami yang terlalu berkira dengan isteri sedangkan isteri adalah punca rezeki suami.
Bila Saya Tahu Arwah Sakit.. Masa Itu Dah Terlambat
Pagi tu dia mengadu perut dia sakit sangat. Saya marahkan dia kerana tidak menjaga makan. Tetapi bila saya lihat dia tidak bermaya dan bila saya periksa nadi dia semakin menurun. Saya terus bawa dia ke hospital.
Masa dalam kereta mulut saya tak henti – henti menyumpah dia. Kata dia menyusahkan saya, nak diet sampai tak makan, ambil suplemen yang bukan – bukan sampai sakit macam ni. Masa tu saya sangat marah pada arwah sampai saya terlepas kata asyik sakit jer tapi tak mampus – mampus jugak.
Bila nurse bagi tahu dia kena tahan ward saya lagi berangin dan menunjal – nunjal kepala dia, saya terpaksa batalkan aktiviti badminton saya pada petang itu kerana terpaksa menjaga anak – anak di rumah.
Tiga hari arwah warded. Jarang sekali saya menjenguk dia. Hanya waktu melawat tengahari sahaja bawa anak – anak datang melepas rindu. Baru saya tahu susahnya bangun malam buatkan susu, mandi dan tidur kan anak, sediakan anak anak ke sekolah. Bila doktor mengesahkan isteri saya menghidap kanser rahim tahap 4. Semuanya dah terlambat kerana ianya telah merebak sepenuhnya.
Si suami berhenti seketika untuk menyapu air mata yang mula membasahi pipi. Secawan teh yang di hidangkan langsung tidak berusik. Suami saya merenung tajam ke arah muka suami arwah kawan saya. Mungkin menanti apa lagi cerita yang bakal akan keluar dari mulut suami kawan saya.
“Sewaktu dia sakit, saya cuba menjadi suami yang baik. Ajak dia pergi jalan – jalan. Tetapi dia menolak. Dia tidak mahu susah susahkan saya menolak kerusi roda. Saya ajak dia makan makanan kegemaran dia.
Dia makan namun tidak mampu untuk menelan dengan riangnya. Saya ajak bergurau bermesra seperti dulu – dulu dia lesu tak bermaya…Runtun hati saya melihat wanita yang saya sayang, saya cintai menderita. Tiap kali dia sakit, saya ajak pergi hospital dia menolak, dia kata dia dah tahu dia sakit apa, tak perlu buang masa dan duit lagi.
Rupanya Arwah Terasa Dengan Kata-kata Saya
Saya ajak dia pergi berubat kampung jika tidak mahu ke hospital. Dia menolak kerana itu akan menangguh masa untuk dia meninggal… Allahu…rupanya arwah terasa dengan kata – kata saya. Saya melutut depan dia, mohon maaf, mohon ampun dan dia kata dah lama memaafkan kesilapan saya namun itu tidak mampu membasuh dosa saya pada arwah.
Saya mula memeluk dia sewaktu tidur, saya tahu saya akan kehilangan dia dan waktu itu makin hampir. Sumpah demi tuhan saya sayangkan arwah cuma saya lupa dia hanya pinjaman lalu saya abaikan dia. Saya tidak hargai kehadiran dia dalam hidup saya.
“Sekarang satu – satunya wanita yang amat saya kasihi dah tiada. Dia dah tinggalkam saya bersama jutaan kenangan dan kisah suka duka kami sepanjang percintaan di bangku sekolah hingga ke jinjang pelamin.”
Saya merenung muka suami kawan saya itu, terpancar kekesalan di situ. Dia menceritakan pada saya bukan lah untuk membuka pekung di dada, tetapi dia tahu saya menulis blog dan ingin saya kongsi bersama kisah dia dan isteri ‘pinjaman’ sementaranya supaya menjadi satu tauladan kepada para suami di luar sana.
Sesungguhnya apa yang kita ada bukan milik kita. Semuanya hanya pinjaman. Hargai lah…
Penulis asal : Cik Puan Ammy
Sumber/Foto : KRT, Ayu Aris
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI