Kejutan dan kesedihan yang hadir tatkala kehilangan orang tersayang memang sukar digambarkan perasaannya. Sesekali ianya datang seperti mimpi buruk dan kita ingin lupakan cepat-cepat. Namun kala kasih sayang Allah melebihi segalanya, apalah daya kita. Hanya berserah dan pasrah menjalani ujian dari-Nya.
Begitu jua situasi yang dilalui Ezatul Marini Mohd Ghazali, 46 tahun yang berasal dari negeri Pahang ini. Sesungguhnya kemalangan yang meragut nyawa suaminya dan juga membuatkan dia hilang upaya untuk kembali bergerak aktif bukanlah sebuah kenyataan yang mudah ditelan.
Mengimbau kejadian yang berlaku pada 23 November 2018, Ezatul Marini atau mesra dengan panggilan Ezatul bersama keluarga sepatutnya menyertai aktiviti lawatan dan juga hari keluarga anjuran tempatnya bekerja iaitu, Politeknik Sandakan Sabah ke Kudat.
“Dalam perjalanan, bas kami terlibat dengan kemalangan akibat masalah brek. Suami saya beserta tiga orang rakan sekerja dan anak kepada rakan sekerja meninggal di tempat kejadian. Suami saya, almarhum Mohd. Khaizuzafarin Bedalib meninggal akibat kecederaan serius pada kepala.
“Kebanyakan penumpang lain mengalami kecederaan. Saya juga mengalami kecederaan agak serius, tulang femur berkecai dan retak di beberapa bahagian sebelah kiri badan. Mulanya saya dibawa ke Hospital Kota Marudu sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu.
“Anak perempuan saya, Syahirah Nafeesa juga mengalami luka dan kecederaan tendon yang agak serius dan dirujuk ke Hospital Likas sebelum turut dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 manakala anak bongsu Syakir Naeim yang turut serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” ceritanya mengimbau tragedi yang menimpa keluarganya.
Arwah Suami Termenung Panjang
Sudah tentu, Ezatul teruja untuk mengikuti lawatan yang dianjurkan. Begitu juga arwah suaminya. Suaminya langsung tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum dirinya dijemput Ilahi. Cuma menurut Ezatul, ketika di dalam bas semasa menghampiri Telupid, arwah termenung panjang dan sayu.
Kelihatan juga air mata bergenang di matanya. Namun apabila Ezatul cuba berbahasa-basi, suaminya katakan tiada ada apa- apa. Malahan jelas wanita yang telah 20 tahun menetap di Tanjung Malim, Perak, suaminya sangat riang sepanjang perjalanan.
Ads
Arwah teruja kerana ianya merupakan kali pertama mereka akan meneroka kawasan percutian di Sabah. Maklumlah ketika itu, Ezatul baharu sahaja dua bulan berpindah ke Sandakan.
Menambah kegembiraan arwah kerana tidak lama selepas itu, iaitu pada 26 November, dia bakal balik bercuti ke semenanjung. Jelas Ezatul, suaminya tidak sabar hendak kongsikan gambar dan cerita tentang Sabah dengan keluarganya. Tetapi siapa sangka, kegembiraan yang dicipta pada awalnya berakhir dengan tragedi yang meremukkan hati.
Arwah suami Ezatul bersana dua kakaknya, dahulu kakak ipar sekarang ibarat kakak sendiri.
Bukan Seorang Yang Terkorban
“Kemalangan ini tidak hanya meragut nyawa suami saya tetapi juga meragut nyawa kawan- kawan yang setiap hari bekerja bersama. Sedih bila mendapat khabar kawan- kawan saya juga terkorban. Pedih menelan kenyataan.
“Tidak mudah memujuk hati menerima sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata. Kejadian ini bak mimpi ngeri buat kami sekeluarga. Anak- anak hilang abah yang mereka sayang. Saya pula kehilangan suami. Kakak- kakak ipar kehilangan satu- satunya adik lelaki mereka.
“Arwah memang pengidap epilepsi akibat darah beku pada saraf kepala. Sudah puluhan tahun sejak usianya 18 tahun. Tetapi kami tidak pernah menyangka begini aturan Allah. Dari ketika memandang tubuh kaku arwah, kakak pujuk hati bahawa inilah janji Allah,” ungkapnya sebak.
Ads
Jelas Ezatul, di awal kejadian berlaku, dirinya ternyata masih kuat untuk menahan rasa tetapi tatkala tibanya hari jenazah suaminay dibawa pulang ke Semenanjung, hatinya gundah dan tidak mampu menahan rasa. Hiba itu hadir kerana suaminya tinggalkan dirinya dengan mengejut dan menjadi sangat pilu pabila dia tidak dapat menatap wajah suaminya buat kali terakhir kerana masih menerima rawatan saat itu.
“Kemudian saya cuba pujuk hati. Saya katakan pada diri, Allah sayangkan arwah jadi dalam perebutan kasih ini pastilah saya tak mampu nak kalahkan sayang Allah. Jadi akhirnya saya mula terima suratan ini,”tambahnya lagi.
Kesan Kemalangan
Menurut Ezatul, dirinya kini masih dalam rawatan. Terdahulu pada 30 November tahun lalu, pembedahan implan telah dilakukan namun ia gagal. Kemudiannya pada 28 Februari lalu, dirinya telah menjalani pembedahan bagi menggantikan pinggul.
Ads
“Kini saya terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda dan tidak pasti berapa lama lagi perlu begini. Pasti sedih kerana tidak mampu aktif seperti sebelum ini. Kecewa? Kakak perlu pujuk diri setiap hari dengan katakan Allah rancang semua ini dan pastinya kerana Allah cintakan kami sekeluarga.
“Anak- anak pun sangat positif. Sungguh kami tak mampu telan kehilangan orang tersayang tapi kami percaya semua ini ada hikmahnya. Allah tidak jadikan sesuatu itu sia- sia,” luahnya positif.
Selain keluarga, kawan-kawan antara pendukung utama Ezatul untuk teruskan hidup dan lupakan segala kesedihan.
Terharu Dengan Kasih Sayang
Sebenarnya sumber kekuatan Ezatul diserap daripada kasih sayang, doa dan sokongan kaum keluarga dan kawan- kawan. Di saat, kakak- kakak iparnya mengatakan padanya yang dia menjadi “pengganti” kepada adik mereka, secara tidak langsung sudah buat Ezatul cukup gagah.
Pergorbanan adik beradik, ibu- ibu saudara, sepupu dan saudara mara yang sentiasa membantu sudah tentu tidak mampu dibalas Ezatul. Kehadiran kawan- kawan yang sanggup terbang ke Kota Kinabalu semasa dirinya dirawat di Sabah dan juga ketika di pulang ke Semenanjung menjadikan kekuatannya semakin luar biasa.
“Kini sudah hampir 3 bulan dia pergi(ketika temubual dijalankan) dan terus- terang saya masih menangisi ketiadaan dia. Dia bak sahabat baik yang sentiasa ada untuk saya. Menyokong apa yang saya buat. Menegur apa yang salah dan bagaimanalah saya nak padamkan semua memori dengan dia. Anak- anak juga tidak putus- putus bercerita tentang Abah mereka. Saya pasti mereka rindukan Abah mereka.
“Untuk hilangkan sedih saya menulis. Menulis di laman FB, menulis anekdot. In syaa Allah sempena PBAKL 2019 buku tulisan saya dan tiga orang kawan yang lain, Mrs. PAPA akan dilancarkan. Buku itu saya dedikasikan untuk suami. Manuskripnya ditulis semasa dia masih ada.
“Saya berdoa setiap hari agar saya dan anak sembuh seperti sedia kala. Saya juga tidak putus doakan agar semua yang telah bersusah payah sepanjang kami dirawat dikurniakan pahala berpanjangan dan sejahtera selalu. Paling utama saya doakan kami terus kuat dan Allah kurniakan segala kekuatan dan kecukupan rezeki serta kesihatan untuk menghadapi hari mendatang,” ungkap ibu kepada Syamil Nuqman, 20 tahun, Syahirah Nafeesa 15 tahun dan Syakir Naeim, 13 tahun.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Masakan mak memang istimewa dan paling sedap di dunia. Sungguh, walaupun masakan ‘simple’ tiada yang dapat menggantikan nikmatnya rasa tersebut yang dimasak dengan penuh kasih sayang. Bila mak dah tiada, selain pesanan dan nasihat, kenangan manis serta ‘air tangannya’ lah nanti yang paling dirindui dan diingati.
Rasa Air Tangan Ibu
Hasrat anak-beranak yang ingin merasai ‘air tangan’ insan yang paling mereka rindui sejak lima tahun lalu tercapai setelah mereka menyertai satu program rancangan televisyen Jepun.
Takaya Reiki, 25, ditemu bual program rancangan hiburan menunjukkan hidangan terakhir ibunya selepas meninggal dunia lima tahun lalu, lapor Oriental Daily.
Sebelum ibu Reiki meninggal dunia, mereka ada berbincang menu makanan apa yang hendak di masak untuk makan malam selepas pulang dari sekolah, dan mereka memilih untuk makan bubur daging. Namun, ketika pulang dari sekolah, ibunya sudah terbaring tidak sedarkan diri di rumah mereka dan terus dikejarkan ke hospital tetapi doktor mengesahkan ibu Reiki sudah meninggal dunia.
Simpan Masakan Terakhir Selama 5 Tahun
Reiki berasa sedih untuk memakan hidangan terakhir mendiang ibunya tersebut. Kerana takut satu hari nanti dia tidak dapat merasa masakan mendiang ibunya lagi dan lupa bagaimana rasanya, Reiki dan ayahnya memutuskan untuk menyimpan bubur daging yang sudah dimasak dalam sebuah bekas dan membekukannya selama lebih 5 tahun.
Dalam program rancangan tersebut, Reiki membawa bubur daging beku tersebut dan pasukan rancangan itu telah menjemput seorang profesor dari Jabatan Biologi untuk menguji makanan itu terlebih dahulu kerana ia sudah dibekukan terlalu lama.
Masih Boleh Dimakan
Walaupun keputusan ujian menunjukkan bahawa makanan itu mempunyai kehadiran bakteria dan boleh menyebabkan sakit perut selepas pengambilannya, namun ia masih boleh dimakan dalam amaun yang kecil selepas dimasak pada suhu tinggi melebihi 100 darjah celsius.
Seorang Chef telah membantu menyiapkan hidangan bubur tersebut dengan mencairkannya dan menambah beberapa bahan agar sama seperti masakan ibunya.
Setelah dihidangkan, dapat dilihat Reiki dan ayahnya mengalirkan air mata. “Rasanya sangat sedap, sama seperti masakan ibu” kata Reiki.
MW: Memang sebak bila kita tak dapat lagi merasa air tangan orang yang kita sayangi. Apatah lagi masakan terakhir yang disediakan sebelum meninggal dunia. Pasti paling sayang nak makan dan tahu takkan dapat nikmati lagi rasanya dimana-mana.
Tak salah berkawan, tapi jangan sampai abaikan perasaan perasaan isteri dan anak-anak kerana mereka lebih memerlukan anda. Jangan letakkan kawan lebih utama daripada isteri dan anak-anak hingga mereka rasa kecil hati dan terpinggir.
Ramai suami hari ini dilihat gemar lebihkan kawan-kawan hingga mengabaikan isteri dan anak-anak seolah-olah keluarga tiada lagi kepentingan buat mereka. Hati-hati ya para suami atau ayah, kelak lama-lama anak-anak tidak hairan anda tiada di sisi mereka.
Suami jangan lebihkan kawan daripada isteri dan anak-anak.
Suami sekarang suka lebihkan kawan-kawan daripada isteri dan anak-anak. Malah bagi mereka kawan-kawan adalah segalanya. Konon kawan-kawan boleh bagi mereka segalanya berbanding isteri dan anak-anak.
Yang lebih menyedihkan ada suami yang sanggup habiskan duit untuk kawan-kawannya daripada keperluan isteri dan anak-anak.
Tak Salah Berkawan
Masa mereka dengan isteri dan anak-anak sangat membosankan malah bersama kawan-kawan mereka tidak kisah masa berlalu dari petang hingga awal pagi. Bagi mereka melepak dengan kawan-kawan sangat menyeronokkan.
Wahai para suami, tidak kasihankah anda pada perasaan isteri dan anak-anak anda? mereka juga perlukan anda dan mereka juga ingin meluangkan masa dengan anda.
Lebih-lebih lagi kasihan pada anak-anak yang masih kecil, mereka perlukan ayah untuk mereka bermain. Cuba tengok keadaan mereka bila anda sebagai ayah ada bersama mereka.
Mereka sangat gembira kan? Patutnya anda bersyukur kerana Allah bagi zuriat berbanding dengan orang yang tidak mempunyai anak dan teringin untuk dipanggil ayah.
Memang diakui kawan itu diperlukan, tapi jangan sampai mengabaikan perasaan isteri dan anak-anak anda. Mereka perlukan ruang bersama anda. Jangan lebihkan kawan daripada keluarga anda sendiri.
Rugi rasanya sebagai seorang ayah tidak melalui pengalaman melihat anak-anak membesar di depan mata. Suatu hari jika ditakdirkan anak-anak tidak mempedulikan anda, itu bukan salah mereka tetapi salah anda kerana masa anda bersama mereka tidak dimanfaatkan sebaiknya.
Sebagai ayah dan suami, utamakanlah keluarga anda kerana mereka adalah di bawah tanggungjawab anda. Bukan sahaja memberi wang kepada mereka tetapi masa dan perhatian daripada anda adalah keutamaan mereka.
Jika dengan kawan dari waktu kerja hingga lewat malam boleh anda luangkan, takkan bersama keluarga sendiri anda abaikan. Komunikasi dalam keluarga juga sangat penting bagi mengeratkan lagi kasih sayang.
Kena ingat juga, doa isteri dan anak-anak adalah doakan yang paling mustajab. Jadi jagalah amanah ini dengan sebaiknya serta penuh ikhlas. Mereka tiada siapa selain anda. Kerana bagi mereka andalah hero mereka untuk melindungi mereka dan segalanya.
Ingat ya para suami, rugi jika anda lebih mengutamakan kawan diluar sana daripada keluarga sendiri. Ini juga boleh merosakkan emosi anak-anak anda. Jangan menyesal jika suatu hari mereka abaikan anda.
MW: Sebaiknya, berkawan biar berpada-pada. Utamakan keluarga sebelum kawan-kawan. Berikan ruang dan masa yang lebih buat isteri dan anak-anak sebelum ayah-ayah habiskan masa bersama kawan-kawan. Ingat ya!
Baik suami mahupun isteri, kedua-duanya saling melengkapi. Suami seharusnya menyokong, beri semangat kepada isteri. Dan begitulah isteri, sentiasa ada di belakang suaminya. Tidak merentan, sebaliknya membangkitkan kekuatan emosi dan spiritual pasangannya menjadi orang-orang hebat.
Begitulah kekuatan orang-orang hebat yang dikongsikan Siti Suryani Yaakop ini. Jika mahu jadi seperti orang-orang hebat ini, maka berganding bahu, saling lengkap melengkapilah wahai suami isteri.
Rahsia Kejayaan Orang-orang Hebat
Bila saya tengok orang-orang hebat yang berjaya dengan sesuatu yang dia buat.
Selain suka lihat dia punya kejayaan, yang lebih saya suka lihat ialah dia punya pasangan.
Non toxic.
Cuba kita bayangkan begini je. Kalau Ustaz Ebit Lew punya isteri asyik nak merajuk. Nak mengamuk. Saya tak rasa begitu senang dan tenang Ustaz Ebit Lew boleh pergi merata bagi bantuan. Tak balik berhari-hari.
“Asyik tolong orang je, saya tak tolong“.
Cukup isterinya cakap begitu saja. Dah tentu susah hati Ustaz nak keluar merata.
Isteri Tetap Beri Semangat, Jauh Sekali Merungut
Saya ingat ada sekali Cikgu Mohd Fadli Salleh pernah berkongsi kisah isteri beliau bagi semangat. Untuk teruskan apa yang cikgu buat. Tak merungut bila cikgu sampai pagi-pagi baru boleh balik berehat. Sibuk menguruskan Dana Kita.
Sekarang ditambah pula dengan kelas online percuma untuk satu Malaysia. Bukan sikit-sikit pastinya tenaga dan waktu yang nak dikorbankan di situ.
Perempuan pun ada ramai yang hebat juga. Macam Prof Muhaya, Ustaz Asma’ Harun, Ustazah Norhafizah Musa, Bonda Nor.
Wanita hebat yang mencipta nama dan kredibiliti dalam membuat sesuatu yang memberi makna untuk diri mereka sendiri. Tinggalkan legasi sebelum mati.
Suami Kekuatan Isteri..
Saya ada terbaca sekali Ustazah Asma’ Harun pernah tulis bagaimana beliau mampu kekal untuk berkongsi ilmu merata-rata walaupun ada juga rasa sedih dan putus asa bila ada peristiwa yang melemahkan jiwa. Suami beliaulah orangnya.
Suruh Ustazah teruskan. Malah bantu juga jaga anak-anak yang masih kecil-kecil lagi semuanya. Kalaulah punya nya jenis suami yang asyik nak minta isteri kena taat suami. Kena berbakti pada suami.
Malah, kena buat kerja rumah. Kena jaga anak. Saya tak pasti kita boleh kenal atau tidak nama-nama ini.
Tak cukup dengan ceramah dan aktiviti, mereka ni semuanya ada buku masing-masing. Nak buat buku ni pun bukan benda mudah. Banyak sekali perlu guna tenaga dan masa. Air mata pun ada kadangkala.
Orang-orang Hebat, Ada Pasangan Yang Kuat Di Belakangnya
Nampak macam tak berhenti-henti dan nampak macam banyaknya masa mereka mampu nak kejar semua. Tapi percayalah, semua ini tak semudah yang kita sangka.
Ada pasangan yang kuat di belakang. Yang tak penting diri. Pasangan yang tak kisah perasaan peribadi. Yang tak larut dalam emosi. Yang teguh menyokong pasangan dalam apa pun situasi.
Mereka sedar kalau suami isteri mereka buat sesuatu yang baik untuk diri sendiri, mereka pasti akan dapat sahamnya sekali.
Lebih kurang kita berfikir cuma tentang ‘saya’, akan lebih banyaklah ruang untuk kita berfikir tentang ‘kita’.
MW : Sungguhlah mahu menjadi orang-orang hebat ini, sebenarnya kekuatan pasangan itulah menjadi sandaran. Yang menyokong bukan saja emosi, malah bantuan fizikal juga.
Kali ini team Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise ke Pasir Puteh, Kelantan. Pertemuan berlaku di hadapan Markas Jejak Jalanan dengan bantuan Abe Hae. Dengan...